Memastikan anak kecil kekal fokus ketika sesi penggambaran formal adalah satu perkara yang agak sukar untuk dilaksanakan. Puas kita memanggil namanya, membuat bunyi-bunyian dan pelbagai lagi taktik lain namun jarang kita mendapatkan hasil gambar yang diinginkan.
Pendek kata, anak-anak memang susah nak bagi kerjasama setiap kali hendak bergambar.
Namun baru-baru ini, sebuah video pendek telah menular di media sosial memaparkan gelagat dua orang pegawai imigresen yang gigih menarik perhatian seorang kanak-kanak dan memastikan kanak-kanak tersebut berada di tempatnya sambil memandang kamera.
Dalam video berkenaan, dilihat ibu sedang memangku anaknya manakala salah seorang pegawai menggunakan patung mainan untuk menarik perhatian kanak-kanak yang dipercayai berusia dua ke empat tahun itu. Kedua-dua pegawai kekal komited dan saling bekerjasama membuatkan orang ramai yang menonton video ini memuji tindakan mereka.
“Mantap lah abang. Semoga dinaikkan pangkat”.
“Pasti di rumah dia seorang ayah yang penyayang. Alhamdulillah budak itu pun memberi respon”.
“Memang imigresen dah siap-siap letak mainan di kaunter ya? Proaktif”.
Penularan video ini turut membuatkan segelintir netizen yang mempunyai pengalaman sama berkongsi pengalaman masing-masing. Ada yang menceritakan bahawa pegawai imigresen di tempat lain sanggup bermain ‘cak-cak’ dan menggunakan loceng demi mendapatkan gambar yang terbaik!
Antara nikmat tinggal di negara yang berbilang kaum ialah apabila kita dapat merayakan pelbagai perayaan. Tidak hanya itu, perkara yang paling disukai ramai pastinya apabila kita juga boleh menikmati pelbagai makanan dan juadah daripada kaum lain.
Mengambil pelbagai elemen seperti sejarah ditambah lagi dengan makanan kesukaan rakyat Malaysia, seorang Pembikin filem dan artis, Namewee, baru-baru ini ada mengeluarkan filem berjudul Nasi Lemak 1.0 yang sedang ditayangkan di pawagam.
Setelah menonton filem tersebut ramai yang menyukai mesej yang cuba disampaikan di dalam filem tersebut. Ada yang berpendapat bahawa Nasi Lemak 1.0 merupakan sebuah filem yang boleh menyatupadukan kaum yang berbeza dalam suasana berbilang budaya. Tambahan lagi, filem tersebut juga sarat dengan adegan lucu membuatkan ramai terhibur.
Baru-baru ini, Namewee mengeluarkan video muzik untuk salah satu lagu yang digunakan dalam filem itu.
Video muzik lagu berjudul “Curry & Roti” dirakam dalam gaya Bollywood dan menampilkan Namewee sendiri bersama seorang pelakon cantik, Sanjna Suri.
Video muzik itu memaparkan dua orang sedang menyanyi dan menari-nari di pantai dengan memakai pakaian penuh tradisional kaum India. Pasangan kekasih itu saling menyatakan rasa cinta mereka antara satu sama lain dengan membandingkan diri mereka dengan gabungan kari dan roti yang sempurna.
Apa yang menariknya, walaupun lagu tersebut dinyanyikan dalam bahasa Inggeris dengan beberapa slanga tempatan dimasukkan, sari kata dalam bahasa Melayu dan Mandarin turut disertakan bersama.
Video muzik yang telah dimuat naik ke YouTube pada 4 Februari lalu itu telah menerima jumlah tontonan yang banyak dan sehingg kini video tersebut telah ditonton lebih 6 juta kali di YouTube!
Ramai netizen memuji Namewee kerana secara konsisten telah mempromosikan Malaysia dengan semua budaya dan bangsa yang berbeza yang kita ada. Sebelum ini, Namawee juga banyak menghasilkan projek yang melibatkan pelbagai elemen budaya dan kepelbagaian kaum di negara ini.
Memang seronok ada haiwan peliharaan di rumah. Mereka bukan sahaja boleh menjadi peneman yang setia malah tingkah mereka boleh membuatkan kita terhibur. Namun, tidak mudah sebenarnya menjaga haiwan peliharaan terutama mereka yang nakal. Mereka bukan sahaja boleh membuat ‘angkara’ di rumah malah lebih teruk perbuatan mereka boleh menganggu jiran-jiran.
Baru-baru sebuah kejadian melibatkan seekor kucing telah menyebabkan tuannya disaman. Apa yang berlaku ialah kucing tersebut telah mencalarkan sebuah kereta milik jiran.
Berdasarkan laporan The Thaiger, seorang pemilik kereta mewah menyaman jiran mereka sebanyak 100,000 baht (RM12,792.80) sebagai ganti rugi selepas mereka menemui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kucing jiran mereka yang duduk di atas kereta sport Lotus milik mereka.
Mereka mendakwa kucing itu meninggalkan kesan calar pada kereta. Pemilik kucing itu berkongsi bahawa pemilik kereta sport itu menuntut pampasan kerana membenarkan “haiwan garang atau buas” merayau-rayau sehingga menyebabkan kerosakan pada harta dan aset orang lain.
Walaupun dia menambah bahawa dia sanggup membayar ganti rugi, dia menekankan bahawa ia sepatutnya pada harga yang berpatutan.
Pemilik kucing dan keluarganya kemudian pergi untuk melihat kerosakan pada kereta sport jirannya tetapi mereka hanya menemui kotoran dari kaki kucing itu sedangkan jiran itu menegaskan bahawa semua calar pada kereta itu adalah berpunca daripada kucingnya.
Walaupun insiden tersebut telah berlaku pada Oktober 2020 mereka masih cuba untuk mencapai persetujuan memandangkan pemilik kucing telah membayar denda sebanyak 500 baht (RM63.96) kerana membiarkan haiwan peliharaannya keluar. Dia juga telah pergi ke mahkamah sebanyak dua kali tetapi pemilik kereta tidak pernah muncul.
Ekoran berita mengenai insiden tersebut telah tersebar di seluruh Thailand, pemilik kereta sport itu telah meminta maaf dan menggugurkan tuntutan mahkamah.
Sebelum ini banyak syarikat di luar negara yang mula melaksanakan polisi bekerja hanya empat hari seminggu. Negara UAE muncul negara pertama yang melaksanakan polisi ini dan mula diikuti oleh negara-negara lain seperti Jepun, New Zealand, Ireland dan Scotland secara berperingkat.
Bulan lalu, beberapa syarikat di Britain telah mengambil bahagian dalam program percubaan bagi melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu dengan pekerja masih menerima gaji penuh untuk sebulan.
“Lebih 30 syarikat akan mengambil bahagian dalam kempen cara bekerja baharu yang lebih berani ini,” kata beberapa penganalisis.
Kajian baharu menunjukkan bahawa 78 peratus pekerja yang bekerja empat hari seminggu adalah lebih gembira dan kurang tertekan. Namun, sejauh manakah polisi tersebut sesuai dilaksanakan di negara kita?
Baru-baru ini, seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Cyberjaya, Twistcode telah berkongsi hasil daripada amalan kerja empat hari seminggu yang telah dilaksanakan di syarikatnya.
Melalui akaun LinkedIn miliknya, Nurazam Malim ada berkongsi keputusan yang diperolehi selepas melaksanakan amalan itu di syarikatnya selama 6 bulan.
Menurut Nurazam selepas mengamalkan amalan ini, produktiviti pekerjanya telah meningkat sehingga ke tahap yang tertinggi. Jika sebelum ini, hari Jumaat merupakan hari yang paling banyak masa dihabiskan untuk aktiviti yang tidak berkaitan dengan kerja seperti bermain badminton, menonton filem dan sebagainya yang sering dilakukan selepas waktu rehat tengah hari.
Jadi, dia kemudian memutuskan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari tidak bekerja manakala waktu kerja empat hari seminggu digunakan sepenuhnya pada hari Isnin hingga Khamis.
Nurazam menambah bahawa beliau telah memberi amaran kepada pekerjanya supaya tidak membalas sebarang e-mel atau mesej yang dihantarnya pada hujung minggu melainkan apabila terdapat perkara segera atau kecemasan yang perlu diselesaikan segera seperti kebakaran, meletup, staf kahwin baru, menteri minta tolong dan sebagainya.
Selain itu, budaya empat hari bekerja ini juga memberi ketenangan dalaman buatnya sendiri. Menurut Nurazam hari Jumaat yang tidak lagi dijadikan hari bekerja rasmi telah memberi ruang untuknya menyelesaikan masalah-masalah syarikat seperti yang berkaitan dengan operasi mesin, komputer, blockchain dan pengaturcaraan kuantum.
Dari segi gaji pula, tiada pengurangan walaupun waktu bekerja sudah berkurangan, malah Nurazam berkata, dia cuba menaikkan gaji dari semasa ke semasa supaya pekerjanya mendapat gaji yang setanding seperti bekerja di luar negara.
Ditanya adakah syarikat Malaysia sesuai untuk menerima pakai amalan tersebut, CEO itu memberitahu bahawa amalan tersebut mungkin tidak sesuai untuk semua industri.
Selain itu, beliau telah mengumumkan bahawa minggu kerja 4 hari akan kekal di Twistcode dan mengalakkan syarikat lain untuk turut melaksanakannya.
Baru-baru ini tular di media sosial, seorang pekerja kawalan keselamatan yang dikenali sebagai Murali Vengu berjaya mendapatkan tuntutan gaji kerja lebih masa (OT) daripada majikannya berjumlah RM58,000.
Menerusi perkongsian Arul di Facebook, Murali dikatakan telah bekerja dengan sebuah bengkel kereta kemalangan dan pusat tuntutan insurans, telah menfailkan tuntutan gaji OT, gaji cuti hari rehat serta gaji cuti hari kelepasan am terhadap majikannya pada bulan Oktober 2021.
Difahamkan, Murali seorang sahaja yang menjaga keseluruhan stor bengkel yang menempatkan kereta-kereta kemalangan yang sedang melalui proses bayaran insurans.
Majikan bengkel tidak mengambil pekerja keselamatan tambahan. Hal itu menyebabkan dia diminta bekerja daripada 7 malam sehinggalah pejabat bengkel tersebut buka pada jam 9 pagi pada keesokan harinya.
Walaupun dia sepatutnya hanya bertugas selama 12 jam, iaitu daripada 7 malam sehingga 7 pagi, tetapi biasanya dia diminta tunggu sehingga pekerja pejabat masuk kerja pada jam 9 pagi. Jadi, dia bekerja sehingga 14 jam setiap hari.
Tiada peruntukan cuti rehat setiap minggu, cuti tahunan dan Murali juga diminta bekerja pada hari kelepasan am.
Tidak hanya itu, Murali juga tidak diperuntukan apa jua cuti rehat setiap minggu, cuti tahunan dan diminta juga kerja pada hari kelepasan am.
Pada hari dimana Murali terpaksa keluar untuk urusan penting, dia terpaksa menempatkan isterinya di pondok pengawal untuk sementara waktu sehingga beliau pulang.
Walaupun bekerja 12 jam hingga 14 jam setiap hari, tetapi dia hanya menerima gaji asas sebanyak RM1,300 dan elaun petrol sebanyak RM250 setiap bulan. Sehingga dia berhenti kerja pada tahun 2018, dia langsung tidak dibayar gaji kerja lebih masa OT.
Semasa rundingan di Jabatan Tenaga Kerja Subang Jaya baru-baru ini, majikan cuba mengelirukan pegawai dengan mengatakan bahawa pelbagai bayaran telah dibuat kepada Murali.
Tetapi pemeriksaan lanjut menunjukkan bahawa majikan mengabungkan bayaran elaun petrol dan caruman KWSP untuk memberikan gambaran bahawa suatu jumlah besar telah dibayar kepada Murali dan tuntutannya tidak betul.
Majikan akhirnya bersetuju membayar sebanyak RM58,000 kepada Murali sebagai amaun penyelesaian.
Tuntutan Murali sebenarnya melibatkan pelbagai komponen seperti tuntutan gaji lebih masa (OT) hari kerja biasa, hari rehat, hari kelepasan am, gaji kerja hari rehat dan gaji kerja hari kelepasan am.
Majikan pun mengaku bahawa bayaran gaji kerja lebih masa sememangnya tidak dibayar kepada Murali, maka mereka mencadangkan suatu penyelesaian dibincangkan tanpa melalui perbicaraan penuh.
Selepas rundingan beberapa kali di antara majikan dan pegawai, akhirnya majikan bersetuju membayar sebanyak RM58,000 kepada Murali sebagai amaun penyelesaian. Jumlah tersebut adalah lebih kurang bersamaan dengan RM1,600 sebulan gaji lebih masa untuk 3 tahun.
Seperti Murali, ada ramai lagi pekerja keselamatan yang ditipu tanpa dibayar gaji lebih masa, walaupun ianya jelas dinyatakan sebagai amaun yang perlu dibayar oleh majikan dalam Akta Kerja. Maka, lebih ramai lagi pekerja keselamatan harus memastikan bahawa hak mereka terbela dan kiraan gaji merangkumi bayaran gaji kerja lebih masa.
Rakyat pekerja hanya dapat mengajar majikan-majikan seperti ini, jika lebih ramai lagi yang menfailkan kes dan mengheret mereka ke Mahkamah Buruh. Tindakan ini amat penting, demi memastikan industri pengawal keselamatan ini menghentikan penindasan dan perampasan hasil titik peluh pekerja tanpa membayar gaji OT.
Satu penerbangan dari Kuala Lumpur yang dijadualkan ke Tawau, Sabah terpaksa dilencongkan ke Kuching, Sarawak ekoran penemuan seekor ular di bahagian lampu atas kabin penumpang pesawat.
Melalui rakaman yang tular di media sosial TikTok melalui akaun @edal8808, kelihatan seekor ular sedang menggerakkan kepalanya seolah-olah sedang mencari jalan keluar.
Penerbangan pesawat milik AirAsia dengan nombor pendaftaran AK5748 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tawau pada Rabu lalu itu tertunda selama beberapa jam selepas juruterbang melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Ketua Pegawai Keselamatan Kapten Liong Tien Ling berkata AirAsia menyedari akan kejadian tersebut. Menurut beliau, tindakan juruterbang melencongkan pesawat ke Kuching merupakan tindakan yang sewajarnya untuk membersihkan pesawat berkenanaan. Tambah Kapten Liong lagi, tiada penumpang yang tercedera namun beliau tidak memaklumkan akan keadaan ular tersebut seperti yang dilaporkan oleh TRP.
Kehadiran ular itu tidak diketahui puncanya sama ada ular itu sendiri yang masuk ke dalam pesawat atau ada penumpang yang membawanya secara sembunyi dan terlepas. Ini kerana, tiada pengumuman lanjut dari pihak AirAsia sehingga kini.
Pada fasa usia mereka inilah rata-rata di antara kita akan kerap menghabiskan masa melayani mereka dan tentunya, barangan peribadi kita sering menjadi ‘mainan’ mereka bukan?
Jadi adalah normal untuk kita menjaga barangan peribadi dan melindunginya daripada terus menjadi ‘mangsa’ kucing kita. Jika tidak, jadilah seperti individu ini.
Individu ini difahamkan ada membela seekor anak kucing yang aktif dan nakal, yang mana ia kerap mencakar dan menggigit barangan bersaiz kecil.
Apa yang lebih menyedihkan adalah tuannya berbelanja banyak wang untuk mendapatkan gincu tersebut dan ‘hayat’ gincu itu berakhir sebegitu.
“Ia sepatutnya boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang (berbulan-bulan) namun kini saya perlu membelinya lagi!”, kata pemilik kucing bertuah terbabit.
Begitulah fitrahnya makhluk Tuhan yang comel ini, di mana mereka gemar bermain dengan pelbagai barangan, tanpa mengira barang apa pun.
Manalah mereka tahu harga untuk setiap barangan itu bukan?
Mungkin pemilik itu sudah serik dan tidak akan meletakkan barangannya di sembarangan tempat lagi selepas ini!
Peguam berjaya dan graduan undang-undang Alex Castro tidak pernah melupakan kebaikan hati penjual puding soya kesayangannya ‘Tatay Dong’, yang dia jalin ikatan persahabatan istimewa ketika menuntut di Universiti Filipina-Diliman.
Walaupun Alex kini seorang peguam bertauliah yang berjaya, Tatay Dong sentiasa mendapat tempat istimewa di hatinya. Selepas beberapa tahun tidak bertemu, akhirnya Alex kembali ke kampus universiti untuk bertemu semula dengan lelaki yang dianggapnya seperti bapa sendiri selama bertahun-tahun.
Dalam hantaran di Facebook yang menyentuh hati, Alex yang berasal dari keluarga berpecah belah, melahirkan rasa kasih dan syukur serta terhutang budi kepada lelaki yang menjaganya sepanjang tahun belajar undang-undang di UP-Diliman.
Semasa mula belajar di universiti itu, Alex akan selalu berbual dengan penjual puding soya yang peramah setiap pagi di luar bangunan tempatnya menghadiri kuliah pagi.
Sebaik sahaja Tatay Dong mendapat tahu bahawa Alex akan menghadiri ke kelas itu tanpa sarapan pagi, dia berasa sangat sedih.
Tatay Dong mula bimbang tentangnya dan menunggu Alex setiap pagi dengan secawan puding soya segar untuk dinikmati sebelum anak ini memulakan kelas.
Tatay Dong sangat prihatin dengan kebajikan Alex dan menganggapnya sebagai anak perempuannya sendiri.
Pada suatu hari dalam bulan Disember 2009 ketika sedang hujan, Tatay Dong memberikan Alex bungkusan kecil tambahan bersama secawan puding soya segarnya.
“Apabila saya membukanya, ini adalah jaket kamu. Yang kamu pakai pada pagi sebelumnya dan semua pagi sebelum itu – satu-satunya jaket kamu…Satu-satunya perkara yang kamu katakan kepada saya apabila saya cuba memberikannya semula untuk kali terakhir ialah: ‘Saya sudah basuh bersih-bersih, anak. Ini milik kamu,” tulis Alex di Facebook.
Alex begitu tersentuh dengan sikap penyayang Tatay Dong, dan akhirnya membelikannya jaket baharu sebagai balasan.
Tatay Dong sangat bangga dengan hadiah itu, dan memberitahu semua orang yang hadiah itu diberikan kepadanya oleh “anak perempuannya”.
“Anda memainkan peranan yang besar dan sebahagiannya daripada semua pengalaman saya di UP. Hakikatnya, saya tidak boleh memikirkan UP tanpa memikirkan tentang anda,” tambah Alex.
Selepas menamatkan pengajian dari UP, Alex Castro menjalani latihan guaman dan berusaha gigih untuk menjadi seorang peguam yang berjaya sehingga beliau tidak mempunyai masa untuk berjumpa dengan Tatay Dong tetapi sentiasa memikirkannya.
Selepas mendapat peluang itu, Alex telah kembali melepas rindu ke kampus itu, lokasi yang sama Tatay Dong pernah menjual puding soyanya setiap hari, tetapi tidak dapat melihatnya.
Tetapi nasib baik, rakannya berada di sana dan memberitahu Tatay Dong yang Alex telah kembali untuk berjumpa dengannya.
Tatay Dong sangat gembira dan segera bergegas menemui Alex.
Dan Alex akhirnya dapat mengucapkan kata-kata yang ditunggu-tunggu oleh Tatay Dong, “Ayah, sekarang kamu sudah ada peguam!”
“Tahu tak, saya masih menyimpan jaket yang kamu beri. Kadang-kadang, saya melihatnya, memakainya, dan kemudian saya ingatkan kamu, anak. Saya selalu tertanya-tanya tentang keadaan kamu. Dan sekarang kamu sudah menjadi peguam,” jawab Tatay Dong bangga.
Alex sangat gembira untuk mengucapkan kata-kata itu kepada lelaki yang dipandangnya sebagai bapa selama bertahun-tahun.
“Apabila saya dewasa, saya mahu menjadi seperti dia’ – sesuatu yang saya tidak pernah berpeluang untuk katakan tentang bapa saya sendiri,” kata Alex.
Hantaran menyentuh hati itu telah menarik perhatian beribu-ribu warganet dan berfungsi menjadi peringatan untuk sentiasa bersikap baik kepada semua orang yang anda temui.
Siapa tahu, anda mungkin menjalin persahabatan istimewa dengan seseorang yang tidak dijangka dan ia berkekalan sepanjang hayat untuk dikenang.
Memandangkan Malaysia sebuah negara pelbagai kaum dan agama, semua sudah sebati dengan perasaan untuk saling hormat-menghormati walaupun terdapat usaha segelintir pihak untuk menyatakan sebaliknya.
Amat menggembirakan untuk mendengar kisah bagaimana sesetengah orang cuba membantu memberikan kemudahan dan mendakap orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Semuanya hanya atas sikap ketulusan hati.
Salah satunya ialah apabila sepasang suami isteri berbangsa Cina telah membina surau di dalam kedai mereka untuk memudahkan pengunjung pusat membeli-belah dan pekerja mereka bersolat.
Gambar oleh mStar
Pasangan yang mengusahakan kedai menjual barang mainan kanak-kanak dan bayi yang terletak di Pandan Kapital, Pandan Indah, Kuala Lumpur itu menyediakan surau untuk lelaki dan wanita, yang lengkap dengan tempat mengambil wuduk bagi memudahkan pelanggan dan pengunjung lain di pusat beli-belah itu menunaikan solat.
Lee Chee Win dan Yong Siew Ching memberitahu mStar bahawa surau itu dibina 13 tahun lalu bagi memudahkan pekerja mereka menunaikan solat tanpa perlu berjalan jauh ke premis lain yang menyediakan kemudahan surau.
Gambar oleh mStar
Selepas ia mendapat perhatian rakyat Malaysia, mereka kemudian membukanya untuk kegunaan awam.
Lee yang menjalankan perniagaan di Pandan Kapital sejak tahun 2000 berkata, “Sudah tentu saya gembira surau yang kami bina ini dapat digunakan oleh lebih ramai orang dan saya bersyukur dapat membantu rakan Muslim bersolat apabila tiba masanya.”
Gambar oleh mStar
Jelasnya, sebelum dijadikan surau, ia pada asalnya merupakan tempat mempamerkan barangan jualan, namun mereka mengambil keputusan menukarnya kepada dua bilik untuk menempatkan surau lelaki dan wanita.
Surau itu boleh memuatkan 2 hingga 3 orang dalam satu-satu masa dan Lee berkata, beliau turut membina tempat mengambil wuduk selain meletakkan tirai mandi bagi menjaga aurat wanita.
Gambar oleh mStar
“3 tahun lalu, saya juga menukar lantai daripada permaidani kepada jubin supaya lebih mudah diselenggara. Saya juga menyediakan kelengkapan solat seperti sejadah, kain dan telekung untuk pengunjung,” katanya lagi.
Sementara itu, Yong berkata, apa yang mereka lakukan adalah atas dasar rasa hormat dan niat baik untuk memudahkan umat Islam menunaikan solat.
Ada anak angkat Melayu
Di sebalik kisah surau itu, Yong berkata, beliau sentiasa bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama Islam memandangkan mempunyai seorang anak angkat Melayu, Nik Aliza Abdullah yang kini berusia 37 tahun.
Yong berkata, beliau mengambil Nik Aliza yang berasal dari Terengganu itu sebagai anak angkat sejak 20 tahun lalu kerana remaja itu tinggal seorang diri di Kuala Lumpur.
Gambar oleh mStar
“Nik Aliza pernah bekerja dengan saya ketika mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Dia sangat baik dan saya berasa simpati apabila melihat dia tinggal bersendirian di bandar besar ini.”
“Sejak itu saya telah mengambilnya sebagai anak angkat dan menjaganya sehingga kini telah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak,” tambah Yong.
Memandangkan Nik Aliza hadir dalam kehidupan Lee dan Yong sekeluarga, mereka telah mempelajari banyak perkara yang baik tentang Islam malahan mereka turut berpuasa setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Gambar oleh mStar
Malahan, 3 orang anak Nik Aliza juga dijaga oleh Yong dan beliau tidak pernah menganggap cucu angkatnya sebagai orang luar.
“Saya menyayangi mereka seperti cucu saya sendiri dan mereka sangat rapat dengan keluarga kami. Ketiga-tiga mereka fasih berbahasa Mandarin dan Hakka,” jelasnya.
“Kami tidak pernah memandang agama atau perbezaan kaum sebagai masalah kerana kasih sayang dan rasa hormat sesama manusia adalah lebih penting,” kata pasangan ini.
Semua maklum aktivis masyarakat Uncle Kentang dimasukkan ke hospital selepas disah positif COVID-19 yang diklasifikasikan dalam kategori 4A bermaksud beliau perlu diberi oksigen.
Pada 9 Februari, Uncle Kentang menerusi hantaran di Facebook telah berkongsi satu insiden yang dirasainya sebagai menyayat hati. Didedahkan seorang budak lelaki yang pernah dilindunginya 15 tahun lalu daripada pembuli rupanya adalah doktor yang melakukan X-Ray di dadanya baru-baru ini ekoran diagnosis COVID-19.
Ketika itu, doktor itu bukan sahaja seorang budak yang pendiam tetapi juga menjadi mangsa buli di Subang Jaya dan Uncle Kentang melindunginya daripada sekumpulan pembuli. Masa berlalu dan kini beliau merupakan seorang pakar pulmonologi (pakar perubatan dalam sistem pernafasan) yang berkelulusan dari sekolah perubatan di United Kingdom.
Beliau kini merupakan seorang doktor pakar di sebuah hospital di Singapura dan juga penyelidik virus COVID-19.
“Beliau telah memeriksa imbasan X-Ray paru-paru saya dan memberi tanda ibu jari sambil memberitahu saya tiada apa yang perlu dibimbangkan,” tulis Uncle Kentang.
Uncle Kentang melahirkan rasa terkejut serta berterima kasih kepada doktor yang dipanggilnya Dr Chong kerana tanpa sangka dan takdir mempertemukan mereka semula selepas membantu doktor itu 15 tahun lalu.
Dalam hantaran lain, Uncle Kentang turut mendedahkan beliau telah keluar dari hospital dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah sehingga 14 Februari ini. Beliau dijangka akan kembali bertugas pada hari lahirnya yang jatuh pada 16 Februari.