30 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 23, 2025
Utama Blog Laman 209

Kumpulan doktor dan saintis Kanada menyeru kerajaan alih segera semua sekatan COVID-19

0

Sekumpulan saintis terkemuka, doktor dan profesional pembuat dasar Kanada berkata sudah tiba masanya untuk menamatkan semua sekatan COVID-19 di seluruh Kanada, termasuk wajib vaksinasi dan sijil.

Kumpulan jawatankuasa dikenali sebagai Canada Science & Policy Committee to Exit the Pandemic itu berkata pandemik telah berakhir dengan mencapai tahap endemik.

“Ia adalah endemik. Kami sudah baik untuk meneruskan imuniti am,” kata Irvin Studin, pengerusi bersama jawatankuasa itu dalam sidang media pada 18 Februari.

Pengembara di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson, Kanada pada 16 Disember 2021. Kerajaan Kanada mengenakan sekatan perjalanan bukan keperluan berikutan risiko varian Omicron yang menyebabkan jangkitan COVID-19. (Gambar oleh Tijana Martin / THE CANADIAN PRESS)

“Di bahagian hadapan berkaitan COVID-19, semua sekatan, untuk semua maksud dan tujuan praktikal, akan ditamatkan. Wajib vaksinasi, sijil vaksinasi, keperluan pemakaian pelitup muka, keperluan kuarantin, keperluan ujian hendaklah dialihkan secara nyata.”

Kumpulan itu mengeluarkan pelan jalan keluar kebangsaan pada 18 Februari, yang memperincikan bagaimana Kanada boleh keluar daripada pandemik itu dalam masa beberapa bulan akan datang, dengan penekanan untuk menggugurkan semua mandat dan sekatan yang berkaitan serta-merta.

Bagi mereka yang lemah imun, lanjut usia dan mempunyai komorbiditi, kumpulan itu mengesyorkan campur tangan awal, vaksinasi bermusim dan rawatan lain.

Studin berkata kini pelan itu sudah disiapkan, dan ia akan dimaklumkan kepada kerajaan serta pembuat keputusan di seluruh negara. Beliau berkata ramai kalangan mereka telah diberi taklimat.

“Ia akan membantu mereka. Dalam sesetengah kes, mereka akan menggunakannya secara langsung. Dan dalam kes lain, mereka akan mengisi butiran untuk realiti tempatan,” katanya.

Jawatankuasa itu mengisytiharkan pandemik di Kanada berakhir secara rasmi pada 16 Februari.

Irvin Studin yang juga presiden kumpulan pemikir 21CQ (Institute for 21st Century Questions), menekankan penamatan sekatan pandemik perlu berfungsi dalam koreografi “lapan sistem negara dalam krisis” yang melibatkan kesihatan awam COVID-19, kesihatan awam bukan COVID-19, perniagaan dan ekonomi, pendidikan, institusi, perpaduan kebangsaan, fabrik sosial, dan antarabangsa.

“Jika kita menamatkan sekatan untuk perniagaan, kita masih mempunyai puluhan ribu perniagaan yang telah lenyap. Banyak perniagaan tidak boleh dikembalikan. Jadi ia adalah penghapusan sekatan serta tenaga yang diperlukan untuk menyatukan semula sistem dan menyediakannya untuk hari esok,” katanya.

“Jika anda mengurangkan segala-galanya kepada hanya sedikit kerana COVID, yang telah menjadi keruntuhan intelektual kami sejak dua tahun lalu, maka sistem lain runtuh dan menyebabkan lebih banyak limpahan, kesedihan, dan kematian. Jadi jalan keluar daripada pandemik adalah COVID plus, di mana ia adalah tenaga yang tinggi merentasi semua sistem,” jelasnya.

Pelan jalan keluar jawatankuasa itu diterangkan dalam jadual matriks yang memetakan strategi untuk setiap lapan sistem krisis mengikut wilayah Kanada (Seluruh Kanada, Pusat, Barat, Atlantik, Utara) dan mengikut bulan (Februari, Mac, April, dan Mei 2022).

Tumpuan pelan jalan keluar pada bulan Februari termasuk menghapuskan wajib vaksinasi untuk warga Kanada yang melancong ke luar negara, menamatkan keperluan ujian untuk warga Kanada yang keluar dan tiba di negara itu, dan menggugurkan semua sekatan perjalanan daerah dan wilayah.

Jawatankuasa itu juga akan bekerjasama dengan penguasa daerah dan kerajaan wilayah supaya mereka komited secara terbuka untuk tidak kembali kepada perintah penutupan dan sekatan, yang menjejaskan keyakinan perniagaan, dan komited untuk tidak lagi menutup sekolah. Pelajar perlu kembali ke sekolah secara bersemuka, dan semua sekatan dengan mengenakan pelitup muka, dan penjarakan sosial akan ditamatkan.

“Universiti tidak sepatutnya mewajibkan vaksinasi kepada pelajar pada ketika ini sama sekali,” kata Studin.

“Terdapat kategori gelap golongan muda di seluruh negara yang tidak mendapat akses ke universiti, persekitaran sukan atau sosial, atau kem atau sekolah dalam beberapa kes, berdasarkan keputusan mereka untuk tidak mendapatkan vaksin atau tidak diberi vaksin.”

Untuk ketetapan penjagaan kesihatan jangka panjang, pelan itu bertujuan untuk mengatur polisi dalam menamatkan kemudahan yang mengasingkan pesakit warga emas, dengan menambah kakitangan, dan menggalakkan panggilan kakitangan yang hilang pekerjaan semasa pandemik untuk mengekalkan nisbah minimum kakitangan kepada pesakit dalam penjagaan yang mencukupi.

Pakar perubatan perlu kembali secara sepenuh masa, bersama-sama dengan kakitangan hospital yang diberhentikan untuk kembali bekerja bagi melindungi sistem penjagaan kesihatan negara, syor pelan itu.

Pada bulan Mac, pelan itu merancang untuk mencapai pembukaan semula semua sempadan Kanada kepada pelawat tanpa sekatan.

Menjelang April, sukan, kejohanan, perayaan, permainan dan perjalanan perlu dipulihkan untuk kanak-kanak.

Studin berkata jawatankuasa itu dibentuk bertujuan menyatukan komuniti perubatan, saintifik dan pembuat dasar Kanada bagi mempercepatkan rancangan sistematik untuk keluar daripada pandemik.

“Kami telah bekerja secara intensif sejak dua bulan lalu dengan mengadakan rundingan dalam semua sektor, semua bahagian, ramai pakar, dan pegawai kerajaan dalam negara,” katanya.

Dibentangkan dalam blognya pada 18 Februari, Irvin Studin berkata rasional untuk mengisytiharkan penamatan pandemik adalah COVID-19 “kini sangat terurus untuk sistem kesihatan Kanada dan sistem lain.” Campur tangan juga kini boleh menjadi lebih disasarkan, dan virus itu semakin menjadi “isu kecil” di antara lapan sistem dalam negara yang dikenal pasti.

“Ini konsisten dengan kedudukan yang dipertimbangkan pada hari ini yang antara lain, Singapura, United Kingdom, Ireland, Sepanyol, Belanda, Denmark, Sweden dan Norway lakukan,” kata Studin dalam blog itu.

Merujuk cadangan yang dikemukakan oleh Irvin Studin dan pasukannya, beberapa netizen memberi komen:

“Masalah di sini bukan tentang kesihatan, ia mengenai kawalan totalitarian. Berhenti berurusan dengan Covid seperti ia penyakit dan dedahkannya sebagai alat untuk mengubah masyarakat mengikut model China. Apa-apa perkara lain adalah membuang masa.”

“Pelan itu kedengaran hebat. Bahagian yang sukar adalah untuk melaksanakannya ke dalam kerja.”

“Terima kasih para saintis dan doktor kerana tampil mengambil langkah yang betul dalam usaha untuk menamatkan kegilaan global.”

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Kerajaan akan pastikan semua rakyat dapat akses internet : Menteri Komunikasi dan Multimedia

0

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan dasar am kerajaan adalah memastikan setiap rakyat di Malaysia mempunyai akses internet, walaupun kualiti dan pengalaman perkhidmatan internet adalah dinamik dan berbeza.

Tan Sri Annuar berkata ramai rakyat Malaysia tidak memahami tingkah laku berkaitan perkhidmatan jalur lebar yang merupakan situasi yang dinamik. Tingkah laku ini termasuk perkhidmatan yang memadai pada masa-masa tertentu tetapi tidak memadai buat sesetengah orang lain, lapor Bernama.

Tan Sri Annuar mengulas masalah kelajuan internet di Sarawak selepas ditanya wartawan di Putrajaya berhubung pengalaman Frank Steward Panting Sa, pemuda 19 tahun dari Pakan yang terpaksa mendaki bukit selama dua jam untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik untuk menghadiri temu duga pengambilan universiti (UPSI) dalam talian. 

Facebook

“Ia tidak akan sampai ke tahap di mana semuanya baik-baik saja. Yang penting kita lihat dasar kita, kita kata mesti ada jaringan liputan baik walaupun berada di rumah panjang di kawasan terpencil,” tegas Tan Sri Annuar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu seterusnya menjelaskan terdapat dua kaedah pelaksanaan perkhidmatan internet di Sarawak iaitu:

1. Melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

2. Melalui agensi Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) melalui inisiatif Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN).

Twitter

Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, siasatan mendapati perkhidmatan internet rumah panjang pemuda itu adalah di bawah inisiatif SALURAN yang menggunakan teknologi satelit yang mampu memberikan kelajuan jalur lebar dengan purata 25 Mbps.

Sambil mengulas lanjut, Tan Sri Annuar Musa turut mendakwa kawasan tertentu di Putrajaya dan Kuala Lumpur turut mempunyai titik buta dan internet tidak stabil kerana ciri atau sifat perkhidmatan jalur lebar itu sendiri.

Tambahnya, Jalinan Digital Negara (JENDELA) Map diwujudkan bagi tujuan mendapatkan maklum balas supaya liputan perkhidmatan dapat ditambah baik dan memberi manfaat berimpak tinggi kepada kehidupan harian rakyat.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Peti ais kurang sejuk? Boleh servis DIY ikut dua cara ini tanpa keluar modal

0

Pernah alami peti ais lama anda sudah tidak lagi dingin atau sejuk, dan pengudaraannya yang jadi suam-suam? Bagi yang berduit boleh terus membeli peti ais baru, tetapi bagi yang tidak bagaimana?

Mungkin anda boleh cuba dua cara di bawah ini untuk berikhtiar servis sendiri tanpa keluar modal pun rasanya.

DIY servis peti ais yang kurang sejuk tanpa keluar modal

Gambar Hiasan / Unsplash

Pengguna Facebook Mohd Hafiz Zullkipeli telah berkongsi dengan berkata anda boleh jimat lebih kurang RM250, dan paling banyak kalau keluar modal untuk DIY dalam RM40 sahaja.

Terdapat 2 jenis masalah biasa untuk peti ais yang kurang sejuk.

1. Masalah bahagian bawah peti sejuk dan bahagian freezer yang tidak sejuk (tempat sejuk beku menyimpan ikan, daging dan makanan sejuk beku)

2. Masalah bila anda hidupkan peti ais, ‘main breaker’ akan ‘trigger’ dan tutup secara automatik, iaitu terdapat masalah kebocoran arus.

Cara DIY untuk Masalah 1:

1. Tutup suis peti ais.

Facebook

2. Buka ‘cover cooling coil’ seperti dalam gambar.

Facebook

3. Cabut perlahan-lahan ‘cover’ dan cabut ‘socket’ yang bersambungan.

Facebook

4. Anda akan nampak ketulan ais di belakang ‘cover cooling coil’ telah menutup laluan udara sejuk di atas dan di bawah, punca yang menyebabkan peti ais anda tidak lagi sejuk.

2 cara mencairkan ketulan ais.

a) Gunakan pengering rambut atau ‘hair dryer’.

b) Biarkan peti ais dimatikan dalam masa 3 hingga 4 hari.

5. Setelah ketulan ais sudah mencair, tutup kembali semua ‘cover’ yang telah dicabut dan pasang semua ‘socket’ kembali dengan ketatkannya.

Facebook

6. Jangan lupa periksa takungan air, buang semua air atas ‘compressor’ dekat belakang peti ais. Takut-takut air itu melimpah pula.

7. Hidupkan suis peti sejuk dan ia boleh digunakan seperti biasa.

Ini untuk masalah kurang sejuk sahaja. Kalau tidak sejuk langsung, sila panggil tukang baiki peti ais yang arif, mungkin ada masalah lain seperti gas habis atau ‘compressor’ peti sejuk tidak lagi berfungsi. Tapi anda boleh cuba dahulu cara 1 ini.

Cara DIY untuk Masalah 2:

1. Tutupkan suis peti ais.

2. Buka ‘cover cooling coil’ seperti dalam gambar.

3. Cabut perlahan-lahan ‘cover’ dan cabut ‘socket’ yang bersambungan.

4. Lihat ‘glass heater’ yang berada di bawah ‘cooling coil’, ia mungkin telah pecah dan ‘spring heater’ telah menyentuh badan peti ais, ini yang menyebabkan ‘main breaker’ selalu ‘trigger’ dan mati.

Facebook

5. Keluarkan ‘glass heater’ yang berada di bawah ‘cooling coil’ dan tukar baru mengikut saiz yang sama. Modal ‘glass heater’ cuma dalam RM40 sahaja.

6. Pasang kembali ‘glass heater’ dan semua ‘cover’ dan ‘socket’ yang dicabut.

7. Peti ais sudah boleh dibuka dan digunakan tanpa masalah.

Selamat mencuba sementara anda kumpul duit untuk membeli peti ais yang baru.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Johor kuat kuasa larangan kesemua aktiviti politik di masjid dan surau

0

KULAI: Kerajaan Johor menguatkuasakan larangan kegiatan politik termasuk ceramah dan ucapan di masjid serta surau di seluruh negeri berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata pada 18 Februari lalu bahawa kadi daerah dipertanggungjawabkan untuk memastikan peraturan itu dikuatkuasakan.

Tosrin menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kadi daerah untuk memastikan masjid dan surau dalam kawasan masing-masing tidak dijadikan tempat kegiatan politik. Ini termasuk ceramah dan khutbah yang disampaikan oleh pemimpin politik, sama ada mereka daripada kerajaan atau pembangkang.

“Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah mengambil satu ketetapan bahawa tidak dibenarkan mana-mana pemimpin termasuk pimpinan parti kerajaan untuk menggunakan masjid dan surau bagi menjalankan aktiviti politik,” katanya.

Tosrin yang juga merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai bagaimanapun memberitahu, pemimpin dan parti politik boleh menghadirkan diri untuk menunaikan kewajipan.

“Tokoh-tokoh politik, calon bertanding atau mana-mana parti masih boleh menghadirkan diri ke masjid dan surau untuk bersolat atau menyertai bacaan Yaasin, tetapi tanpa sebarang ceramah atau ucapan dibenarkan.

“Kita ada garis panduan, ketika solat Jumaat dan selepas Maghrib memang ada bacaan Yaasin, jadi jika mereka turut serta bersolat dan baca Yaasin, ini dibolehkan tetapi itu sahaja,” ujarnya.

Beliau juga berkata bahawa individu yang gagal mematuhi larangan itu akan dirujuk ke Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk tindakan selanjutnya.

Langkah tersebut merupakan langkah yang sama seperti yang diambil oleh negeri Selangor pada Disember tahun lalu yang melarang sesiapa yang bergiat politik mendapat kebenaran untuk mengajar agama Islam di negeri itu.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Terselamat daripada keracunan Karbon Monoksida yang meragut 3 nyawa lain, gadis ini ceritakan kejadian sebenar

0

Masih ingat tentang cerita tragis apabila tiga orang gadis meninggal dunia akibat akibat keracunan karbon monoksida ketika berada di dalam kereta? Berita tersebut menggemparkan negara sekitar September 2020 lalu dan sehingga kini masih diingati ramai termasuk satu-satunya mangsa yang terselamat.

Baru-baru ini gadis bernama Nor Aqilah itu telah memuat naik sebuah video di laman TikTok miliknya, qillmyname dan telah menarik perhatian netizen. Video tersebut merupakan sebuah video mengimbau kembali kenangan terakhir dia bersama arwah dan telah menerima sekitar 1.7 juta tontonan.

TikTok

Ekoran video itu, netizen mula tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Sebagai tindak balas kepada komen tersebut, gadis tersebut telah memuat naik sebuah lagi video yang memberitahu perkara sebenar tentang tragedi itu.

Menurut Nor Aqilah, pada masa itu mereka sama sekali tidak tidur di dalam kereta jenis Honda Odyssey yang dinaiki dengan enjin tidak dimatikan seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.

“Kami stop kejap sebab nak beli makanan je. Tak ada pun cakap letih nak tidur.

“Saya turun dari kereta sebab tak cukup tangan nak bawa banyak barang, tinggal kakak seorang dalam kereta.

“Lepas masuk kereta ada borak kejap lepas tu tak ingat dah,” Nor Aqilah menceritakan semula apa yang berlaku pada malam kejadian menerusi video di TikTok.

Menurutnya lagi, mereka bergerak pulang jam 8 malam dan berhenti di stesen minyak Shell pada jam 8.40 malam sebelum dua sahabatnya, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri turun untuk membeli makanan dan pada masa sama kembarnya, Nor Adilah yang memandu kekal dalam kereta dan mengadu pening.

“Lepas ambil makanan terus masuk kereta untuk makan dan kami ada borak kejap. Masa tu saya rasa pening yang terlampau sangat saya letak makanan dan terus bersandar.

“Lepas tu terus saya tak sedar, bangun buka mata je dah ada kat katil hospital, seminggu kat ICU memang tak tahu apa-apa,” tambahnya lagi.

Menurut laporan forensik, ekzos kereta telah retak dan karbon monoksida bocor melalui AC. Kerana karbon monoksida tidak berbau, gadis-gadis itu tidak menyedari bahawa nyawa mereka dalam bahaya.

Apabila dia sedar dari koma seminggu kemudian, dia mendapat tahu bahawa 2 kawan baiknya telah meninggal dunia di tempat kejadian. Kakak kembarnya pula telah meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Bila saya turun ke wad biasa, mak ayah bagitahu tentang kejadian tu dekat saya.

“Ada yang tanya punca kejadian. Menurut forensik ada gas bocor cuma kami tak perasan sebab tak ada bau dan tanda-tanda.

“Apa pun berserah dengan takdir, semua dah tertulis di luh mahfuz, Al-Fatihah untuk sahabat syurga saya,” tulisnya.

Kejadian individu mati lemas ketika tidur akibat terhidu gas karbon monoksida dalam kereta yang dihidupkan enjinnya telah beberapa kali direkodkan di negara ini.

Karbon monoksida terdiri daripada satu unsur karbon dan satu unsur oksigen yang mana ia adalah sejenis gas toksik yang tidak berwarna, berbau dan berasa yang kurang padat sedikit daripada udara dengan formula kimia CO.

Tambahan lagi, gas ini merupakan toksik kepada manusia dan haiwan apabila didapati dalam kepekatan tinggi kerana mengakibatkan gangguan pada darah.

Biasanya gas beracun karbon monoksida terhasil daripada pembakaran bahan bakar tanpa oksigen yang mencukupi untuk menghasilkan karbon dioksida (CO2).

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1992, dinyatakan di kawasan bandar 90 peratus daripada CO di udara berasal daripada kenderaan bermotor.

Keracunan CO adalah kondisi yang mana seseorang mengalami keracunan akibat terlalu banyak menyedut CO. Ketika terlalu banyak CO di udara, tubuh menggantikan oksigen dalam sel darah merah dengan CO sehingga menyebabkan kerosakan jaringan yang serius, bahkan boleh membawa kepada kematian.

Keracunan CO tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan seseorang tidak sedarkan diri. Jadi, sentiasalah berhati-hati dengan ‘pembunuh’ senyap seperti ini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ibu bapa berpakat biar anak conteng dinding rumah

0

Ketika berusia antara dua dan tiga tahun, anak-anak akan mula memegang krayon, cat air dan mencontengnya pada apa-apa permukaan seperti dinding. Pada ketika ini, bermulalah episod mimpi ngeri buat ibu bapa apabila melihat hasil contengan didinding-dinding rumah apatah lagi dinding ruang tamu yang menjadi pilihan anak-anak menunjukkan ‘bakat’ menconteng mereka. Namun, ada juga ibu bapa yang berpakat membiarkan anak mereka menconteng dinding rumah seperti Puan Khairunisa Mamat.

PEXELS

Pada mulanya Puan Khairunisa Mamat menerusi kumpulan Anak Sepahkan Apa Hari Ini? di Facebook berkongsi ragam anaknya yang terbaring kepuasan selepas menyepahkan rumah. Namun, yang menjadi bualan para ibu bapa ialah berkenaan dinding rumahnya yang dipenuhi dengan contengan.

Apabila ditanya adakah Puan Khairunisa membiarkan sahaja anaknya menconteng dinding rumah, dia menjawab ‘ya’. Mengakui pada mulanya dia berasa runsing melihat keadaan dinding yang diconteng, Puan Khairunisa kemudiannya akur setelah ditenangkan oleh suaminya. Akhirnya mereka suami isteri berpakat memberi peluang kepada anak mereka berkarya pada dinding rumah.

Menurut Puan Khairunisa, anaknya mula menconteng dinding rumah pada usia 3 tahun. Ketika Puan Khairunisa menulis catatan tersebut di Facebook, anaknya sudah berusia 6 tahun dan selama 3 tahun itulah, dia melihat perkembangan lukisan anaknya. Kata Puan Khairunisa lagi, walaupun contengan itu nampak biasa tetapi sebenarnya ada karakter yang tersendiri. Contohnya seperti gambar di bawah ini. Kebanyakan gambar yang dilukis oleh anaknya adalah gambar Ultraman.

Gambar di bawah ini pula dihasilkan oleh anaknya ketika berusia 4 tahun. Menurut Puan Khairunisa, ini adalah lukisan pertama anaknya yang lengkap berserta kaki dan tangan. Dia juga bertanyakan kepada anaknya apakah karakter gambar tersebut dan anaknya mengatakan itu adalah Ultraman.

Tidak ramai anak-anak kecil mahir memegang pensel atau krayon sehingga berjaya menghasilkan lukisan menarik. Anak Puan Khairunisa ternyata berbakat dan buktinya lukisan Ejen Ali yang dihasilkan ketika berusia 5 tahun di bawah ini. Sekali pandang pun kita boleh kenal ini watak Ejen Ali. Berbakat sungguh anak Puan Khairunisa ini!

Lukisan Naruto dan Hatake Kakashi ini pula dihasilkan oleh anak Puan Khairunisa ketika usia 6 tahun.

Ramai ibu bapa yang kagum dengan kebolehan anak Puan Khairunisa melukis. Ada di antara mereka yang berkongsi perihal sama anak-anak mereka yang gemar menconteng dinding. Tidak kurang juga ibu bapa yang mengakui mereka sendiri tidak pandai melukis malah lukisan yang mereka hasilkan tidak setanding dengan lukisan yang dihasilkan oleh anak Puan Khairunisa.

Pernah juga anaknya meminta Puan Khairunisa melukiskan gambar Ultraman, lalu digagahinya jua walaupun tidak begitu mahir. Kini, jika si adik pula yang meminta si ibu lukiskan gambar, Puan Khairunisa akan meminta anaknya, si abang untuk melukis lukisan buat adiknya.

Kini anaknya tidak lagi menconteng dinding sebaliknya melukis di atas kertas. Menurut Puan Khairunisa, dia sedikit pun tidak menyesal membenarkan anaknya itu menconteng dinding. Malah, dia berbangga dengan kebolehan anaknya itu.

Kesimpulan yang kita peroleh daripada kisah ini ialah, ada baiknya jika dibiarkan sahaja anak-anak menconteng dinding kerana pada waktu inilah, anak-anak akan termotivasi dan minda mereka dapat dirangsang secara sihat. Selain itu, anak-anak akan lebih berkeyakinan dalam meluahkan rasa dan kreativiti serta membina personaliti yang kuat.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

‘Jenayah Sempurna’ tiada yang terselamat: Penyiasat perinci industri kejam penuaian organ di China

0

Mereka berada dalam keadaan sihat apabila diletakkan di atas meja pembedahan untuk doktor mengeluarkan organ mereka. Ramai yang masih bernafas. Apabila tugas selesai, mayat dicampakkan ke dalam insinerator dan dibakar, tanpa meninggalkan kesan.

Adegan yang menusuk tulang belakang dan meremangkan bulu roma telah menjadi realiti hidup buat tahanan kerohanian di China di bawah jenayah penuaian organ paksa yang dibenarkan oleh rejim PKC, yang diimbas oleh dua penyiasat pada webinar maya pada 17 Februari yang dihoskan oleh badan pemikir Institut Hudson yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat.

“Tiada pertuduhan, tiada pendengaran, tiada rayuan,” kata David Kilgour, bekas setiausaha negara Kanada untuk Asia-Pasifik, bersama peguam hak asasi manusia Kanada David Matas, yang menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menyiasat isu itu.

Pengamal Falun Gong mengambil bahagian dalam perarakan sempena memperingati Ulang Tahun ke-22 Penganiayaan Falun Gong di China di Brooklyn, New York pada 18 Julai 2021. (Gambar oleh Chung I Ho/The Epoch Times)

“Seorang anggota polis hanya berkata: ‘anda akan pergi ke kem buruh di sini.’ … anda menunggu dengan bekerja 16 jam sehari,” katanya. “Kemudian suatu hari seseorang akan masuk, menangkap mereka, memberi mereka sedikit potassium, kemudian organ mereka akan dikeluarkan dan badan anda akan dibakar.”

“Begitulah bagaimana kedaulatan undang-undang berfungsi di China dari segi peraturan mendapatkan organ.”

Ia adalah “jenayah sempurna, kerana sebenarnya tidak ada yang terselamat” dalam pembedahan itu, tambah moderator Nina Shea, seorang peguam hak asasi manusia dan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Amerika Syarikat mengenai Kebebasan Beragama Antarabangsa, kini seorang felo kanan di Institut Hudson.

Industri penuaian organ bernilai bilion dolar, yang berkembang pesat pada masa yang sama ketika rejim meningkatkan kempen pembasmian kejam yang menyasarkan kumpulan kerohanian Falun Gong pada awal tahun 2000-an, yang selama beberapa dekad telah disembunyikan di China.

Malah di Barat, pegawai dan badan perubatan enggan membangkitkan isu ini sehingga tahun 2019, apabila tribunal rakyat bebas di London menyimpulkan, “melampaui keraguan munasabah”, bahawa penuaian organ daripada tahanan Falun Gong telah berlaku selama bertahun-tahun “pada skala yang signifikan”.

Demonstrasi bagaimana penuaian organ ke atas pengamal Falun Gong di China dilakukan, di Ottawa, Kanada pada 2008. (Gambar The Epoch Times)

Annie (alias), bekas petugas di sebuah hospital yang terletak di timur laut China, adalah individu pertama yang mendedahkan penganiayaan ngeri itu pada 2006. Dalam testimoni kepada The Epoch Times yang kemudiannya disokong oleh beberapa saksi lain, dia mendedahkan bagaimana bekas suaminya, seorang pakar bedah tentera di hospital yang sama, mengeluarkan kornea secara paksa daripada pengamal Falun Gong.

Pendedahannya telah membawa kepada tindakan bersama David Matas dan Kilgour untuk menyiasat isu itu. Mereka kemudiannya mengeluarkan laporan bertajuk Bloody Harvest, di mana mereka memeriksa ratusan hospital di China, menggunakan laporan media, jurnal perubatan dan arkib. Penemuan mereka mendapati rejim China telah menggunakan pengamal Falun Gong sebagai bank organ hidup sambil mengurangkan dengan ketara bilangan pemindahan organ sebenar yang dijalankan setiap tahun.

Suami Annie melakukan lebih daripada 2,000 pembedahan mengeluarkan kornea dalam tempoh dua tahun bermula 2001. Annie kemudian memberitahu kedua-duanya dalam temu bual dengan berkata suaminya sangat terseksa dalam hati nuraninya sehingga dia mula mengalami mimpi buruk, yang membangkitkan syak wasangka Annie.

Kedua-duanya berpisah selepas Annie memutuskan yang dia tidak boleh menerima penglibatan suaminya dalam jenayah kejam itu. Kedua-dua mereka melarikan diri ke luar negara selepas menerima ancaman ke atas nyawa mereka.

Pemberi maklumat Annie ketika di Washington D.C pada 20 April 2006. (Gambar The Epoch Times)

“Ini adalah jenayah negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Epoch Times pada April 2006.

Bekas suami Annie berasa sangat menyesal apabila dia memotong pakaian pesakit dan melihat kotak kecil jatuh, menurut Annie, yang membaca pendedahan itu dalam jurnal yang disimpan bekas suaminya. Kotak kecil itu mengandungi pin bulat Falun Gong dengan nota tertulis di atas kertas.

“Ibu, saya mengucapkan selamat hari lahir,” bunyinya.

Walaupun Annie dan beberapa yang lain berpaling tadah, jentera penuaian organ terus beroperasi, menarik kedatangan para pelancong pemindahan organ dari seluruh dunia yang terpikat dengan janji-janji hospital di China mengenai pemadanan organ dan pembedahan pemindahan organ pada kadar segera.

“Di tempat lain, terdapat kekurangan organ, dan organ yang diperuntukkan bergantung kepada keutamaan, tetapi di China, keseluruhan sistem dijalankan seolah-olah terdapat bekalan organ yang tidak habis-habis,” kata Matas. “Apa yang mereka perlu lakukan ialah anda muncul dan membayar wang itu.”

“Keseluruhan sistem dibahagi-bahagikan, dan semua orang akan berpura-pura dengan sengaja menjadi buta terhadap komponen sistem yang lain,” katanya.

Kilgour mengingati ketika bercakap dengan seorang pesakit lelaki dari Asia yang diberikan empat padanan buah pinggang yang berturut-turut tanpa menunggu lama selama beberapa bulan. Tiga buah pinggang pertama ditolak oleh badannya, dan yang keempat berjaya. Doktor itu, yang memakai seragam tentera, memberikan buah pinggang padanan pertama sejurus selepas pertemuan pertama mereka.

Dari kiri ke kanan, David Kilgour, David Matas, dan Ethan Gutmann, penulis buku “Bloody Harvest/The Slaughter: An Update”.

“Mereka mengambil semua organ, mereka bukan hanya mengambil satu buah pinggang,” kata Kilgour. “Jadi empat orang meninggal dunia supaya lelaki ini mendapat buah pinggang yang baik. Bukankah itu luar biasa?”

24 daerah di negeri Virginia, Amerika Syarikat baru-baru ini telah meluluskan resolusi untuk mengecam penuaian organ di China dan menggesa penduduk mereka supaya tidak mengambil bahagian dalam pelancongan pemindahan organ di negara itu, begitu juga dengan Senat negeri Texas.

Beberapa pegawai Amerika Syarikat sedang mengusahakan untuk memulakan tindakan di Kongres bagi mensabitkan pelaku ke muka pengadilan.

Kedua-dua penyiasat bersetuju badan antarabangsa perlu menangani lebih lanjut berkenaan isu penuaian organ. David Kilgour, antara lain, berkata beliau “malu” bahawa Kanada belum meluluskan sebarang undang-undang mengenai penuaian organ.

“Ada sedikit tindakan tetapi tidak mencukupi,” kata David Matas, yang menggesa negara-negara di dunia untuk menghentikan sebarang bentuk kerjasama dengan sistem pemindahan organ di China.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Bakal guru dari Sarawak terpaksa daki bukit 2 jam demi dapatkan capaian internet lebih baik untuk temu duga dalam talian universiti

0

Untuk mencapai impian, tidak kira apa halangannya, sesetengah orang itu akan melakukan apa sahaja demi kejayaan. Semangat yang setiap daripada kita perlukan.

Seperti seorang pemuda dari Sarawak berusia 19 tahun ini dengan usaha gigihnya menjadi tular selepas beliau tidak mempunyai pilihan selain mendaki bukit selama 2 jam, semata-mata untuk memastikan capaian internet yang stabil dapat diperolehi untuk temu duga dalam talian universitinya.

Impian Frank Steward Panting Sa adalah untuk menjadi seorang guru sehingga beliau sanggup mendaki Bukit Kelingkang hanya untuk mencuba peluang dalam temu duga itu.

Mario Sa / Facebook

Abangnya, Mario, berkongsi video menyentuh hati di Facebook di mana Frank dilihat sedang duduk di atas tikar bemban di pondok sementara yang dibina oleh bapanya Sa Ujom.

Menurut Borneo Post, pada mulanya Frank membawa bersama tikar untuk diduduki, bagaimanapun seluarnya basah semasa temu duga kerana hujan lebat.

Mario Sa / Facebook

“Kakinya digigit lintah tetapi dia tetap cekal mahu mengikut jejak orang lain yang telah mencapai kejayaan dalam hidup mereka.” tulis Mario dalam hantaran Facebook itu.

Mario menjelaskan, rumah panjang mereka Rumah Suing di Teberu, Ulu Kemalih sebenarnya dilengkapi jaringan WiFi Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran).

Walau bagaimanapun, ia tidak mencapai kelajuan yang menyokong keperluan data untuk temu duga dalam talian itu, yang mengambil masa lama untuk diselesaikan dan hanya boleh digunakan untuk WhatsApp dan Facebook kerana itu hanya memerlukan penggunaan data asas yang sedikit.

Mario Sa / Facebook

“Begitulah kesukaran capaian rangkaian internet di kawasan luar bandar. Kita terpaksa menanggungnya dan pada masa sama berharap pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” tambahnya.

Sementara itu, Frank berkata, temu duga selama 45 minit itu adalah untuk Kaunseling, 1 daripada 2 subjek dalam permohonan untuk memasuki kursus perguruan di universiti (UPSI).

Sebelum ini, Frank pernah menghadiri temu duga sama untuk subjek Moral di lokasi yang sama.

Mario Sa / Facebook

“Keputusannya dijangka keluar dalam masa dua minggu. Saya 70 peratus yakin bahawa saya akan lulus temu duga,” tambah Frank.

Semoga Frank Steward Panting Sa berjaya mencapai cita-citanya menjadi guru dan selamat maju jaya diucapkan untuk masa depannya.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

AirAsia Ride di udara tawar 11 minit perjalanan KLIA-KL Sentral

0

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkongsi berita mengenai pelancaran AirAsia Ride di udara menerusi akaun Instagram miliknya pada Rabu.

Beliau berkata, perjalanan KLIA-KL Sentral hanya akan mengambil masa 11 minit melalui perkhidmatan e-hailing udara yang bakal dilaksanakan itu.

Untuk melaksanakan perkhidmatan e-hailing udara, AirAsia telah menandatangani kerjasama dengan syarikat pemajakan pesawat antarabangsa, Avolon untuk menyewa sekurang-kurangnya 100 buah pesawat VX4 eVTOL. Dengan itu, AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara yang mengendalikan pesawat itu.

Khabar angin mengatakan pengguna bakal menikmati perkhidmatan e-hailing udara tersebut pada tahun 2025, namun perincian mengenai pelaksanaan perkhidmatan itu masih belum dikongsi secara umum oleh pihak Capital A Berhad.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Suruh pelajar letak ‘assignment’ lewat dalam tong sampah, pensyarah ini tegur tindakan pensyarah tersebut

0

Bukan mudah bergelar pelajar institusi pengajian tinggi. Bunyinya seperti seronok sahaja tetapi di sebalik itu ada tugas berat yang digalas mereka. Bukan hanya perlu ke kelas setiap hari, pelajar juga perlu menyelesaikan tugasan sama ada di dalam atau di luar kelas.

Tidak hanya itu, tidak semua pelajar bertuah untuk mendapatkan akses kewangan yang mudah. Ada pelajar yang perlu melakukan kerja sambilan semata-mata untuk menanggung pengajian. Ada juga yang berhadapan dengan pelbagai tekanan lain yang tidak hanya berpunca daripada kelas.

Setiap pelajar punya masalah tersendiri dan apa pun yang mereka alami pastinya mereka tetap mahu berikan yang terbaik. Namun, tidak semua pensyarah faham dengan keadaan pelajar mereka malah tidak peduli dengan apa pun alasan yang diberikan kerana pada mereka tugasan adalah tugasan yang wajib mereka hantar tepat pada waktunya.

Baru-baru ini seorang pensyarah mendedahkan bahawa dia meminta pelajarnya yang lewat menghantar tugasan mereka untuk meletakkannya ke dalam tong sampah. Catatan tersebut walau bagaimanapun telah dipadam oleh pensyarah berkenaan.

Memberi respons kepada hantaran tersebut, seorang pensyarah kanan dari sebuah institusi pengajian tinggi, Dr Zach, ada memuat naik sebuah video di TikTok miliknya yang meluahkan rasa dan pandangannya terhadap isu tersebut.

“Bagi pihak akademia, saya amat kesal dengan perkara itu. Pada dasarnya, kami tidak berbuat demikian.” ujarnya di dalam video tersebut.

Dalam video TikTok yang disiarkannya empat hari lalu, Dr Zach menjelaskan bahawa daripada membuang tugasan pelajar yang lewat, terdapat alternatif lain yang boleh dilakukan untuk menangani perkara itu.

Dr Zach mencadangkan bahawa sebelum membuat sebarang keputusan, pensyarah boleh cuba menghubungi pelajar melalui panggilan telefon atau e-mel untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Anda perlu ingat, dalam situasi semasa ini, kita dicabar oleh banyak perkara,” tambahnya.

Dia juga menyatakan ada kemungkinan pelajar itu berasa sedih apabila melihat penyerahannya dibuang ke dalam tong sampah.

Dr Zach juga memberitahu bahawa dia bukanlah menyokong pelajar yang lewat menghantar tugasan mereka tetapi sebagai pensyarah, adalah baik untuk memimpin melalui teladan bagi membentuk generasi akan datang. Dia menganggap tindakan membuang tugasan itu sebagai tidak wajar dan percaya perkara itu boleh dikendalikan dengan cara yang lebih baik.

Dunia hari ini sangat mencabar sehingga memaksa semua orang bertahan dan cuba melakukan yang terbaik termasuk mereka yang masih belajar. Bukan mudah bergelar pelajar pada era Covid-19. Jadi kepada pendidik di luar sana cuba fikir dahulu sebelum mengambil sesuatu tindakan yang bakal memberi kesan kepada masa depan pelajar mereka.

Tiada pelajar yang sengaja menghantar tugasan lewat. Pasti ada sebab yang tidak boleh dielakkan dan alangkah baiknya jika pengajar lebih peka dan memahami keadaan pelajar terlibat.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: