SEREMBAN- Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di sini 22 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan (KK) Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang hari itu selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawanya ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu diberikan susu dan dibawa ke dalam sebuah bilik di pusat penjagaan berkenaan untuk ditidurkan dalam buaian bersama dua kanak-kanak lain pada 12.30 tengah hari sebelum pengasuhnya keluar dari bilik itu untuk tugasan lain pada 2 petang.
“Sejam kemudian, wanita itu (pengasuh) kembali semula ke bilik dan mendapati mangsa (Nour Rania Asyifaa) tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala telah terkeluar serta tergantung pada kain buaian manakala badan masih berada di dalam buaian.
“Wanita itu terus mengambil mangsa dan menjalankan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa didapati gagal bernafas semula sebelum membawanya ke KK Sendayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati pusat penjagaan di rumah teres satu tingkat itu beroperasi sejak 2019 dan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) selain turut dimiliki bersama seorang lagi pengasuh wanita.
Menurutnya, selain Nour Rania Asyifaa, terdapat 14 bayi dan kanak-kanak berusia lingkungan enam bulan hingga tujuh tahun di pusat penjagaan tersebut bersama kedua-dua pengasuh berusia 37 dan 29 tahun itu.
Nanda berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.
Katanaya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, bapa kepada Nour Rania Asyifaa, Yuseri Yusoff berkata anak bongsunya itu, sebelum ini tidak pernah tidur dalam buaian. Malah ketika hari kejadian anaknya berada dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pengasuh
“Sebelum ini, anak saya tidak pernah tidur dalam buaian tapi ketika kejadian pengasuh letakkan dalam buaian kerana dia susah hendak tidur.
“Saya terkejut apabila isteri hubungi memaklumkan pengasuh beritahu anak sudah tidak bernafas dan mereka hantar ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang, selepas setengah jam doktor beri bantuan pernafasan anak sudah ‘tiada’,” katanya.
Kejadian itu menjadi ujian berganda kepada pasangan berkenaan apabila pernah kehilangan anak kedua mereka ketika masih bayi pada 2020.
Yuseri berkata, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu malah anak sulung berusia tujuh tahun juga pernah dihantar ke pusat jagaan sama sebelum ini.
“Saya terima kejadian ini kerana perkara sudah berlaku, yang selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini dan difahamkan pihak polis ada merakamkan percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak ke pusat jagaan itu,” tambahnya lagi.
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein disahkan positif COVID-19 dan kini sedang menjalani tempoh isolasi wajib mengikut ketetapan semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pejabat Menteri Kanan Pertahanan dalam kenyataan media memaklumkan, Hishammuddin yang sudah menerima dos penggalak menjalani ujian pengesanan COVID-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri melalui kaedah RTK Antigen.
“Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif COVID-19 ialah pada Jumaat, 18 Februari,” menurut kenyataan itu.
“Hishammuddin akan terus memantau dan menjalankan tugas-tugasnya yang sesuai dilaksanakan sepanjang tempoh isolasi.”
“Marilah kita sama-sama mendoakan, semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti COVID-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala,” tambah kenyataan itu.
Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik buat masa ini. Semoga setiap individu yang dijangkiti wabak ini segera diberikan kesembuhan Allah SWT. Stay safe everyone. 🙏 https://t.co/zKqgb6g5jZ
Sementara itu, Hishammuddin dalam ciapan di Twitter turut memaklumkan, “Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik buat masa ini. Semoga setiap individu yang dijangkiti wabak ini segera diberikan kesembuhan Allah SWT. Kekal selamat semua.”
Ketika berjalan di celah-celah pokok dalam hutan menghijau di Shizuoka, sebuah wilayah luar bandar Jepun dengan gelaran “French Riviera Jepun”, kelihatan sebuah kotej kecil berwarna beige yang anda ingin tahu.
Macam sebuah tapak perkhemahan dengan khemah yang besar tetapi bukan kerana ia adalah sebuah kediaman.
Gambar oleh Takumi Ota
Ia adalah sebuah rumah persaraan mempesona yang direka oleh arkitek terkenal dari Tokyo, Issei Suma.
Gambar oleh Takumi Ota
Reka bentuk seperti ‘teepee’ meniru landskap pergunungan sekeliling sambil menawarkan keselesaan moden di dalamnya, sesuai untuk mereka yang telah menghabiskan separuh hayat kehidupan dengan bekerja keras dan kini ingin mencari lebih banyak ketenangan.
Gambar oleh Takumi Ota
Jikka nama yang diberi, adalah kelompok struktur seperti khemah telah direka Issei Suma untuk menyediakan makanan dan penginapan kepada penduduk dalam komuniti warga emas di Jepun.
Kompleks kecil itu terdiri daripada lima struktur runcing, mengandungi pelbagai kemudahan termasuk kolam berbentuk spiral dan dapur yang luas.
Gambar oleh Takumi Ota
Issei Suma mereka cipta bentuk bangunan Jikka untuk sepasang wanita berusia 60-an, yang sebelum ini bertugas sebagai pekerja sosial dan seorang lagi adalah tukang masak.
Kompleks kediaman seluas 100 meter persegi itu berfungsi sebagai rumah dan tempat kerja mereka.
Gambar oleh Takumi Ota
Selain memudahkan perkhidmatan penghantaran makanan untuk warga emas, kediaman itu juga menawarkan penjagaan kejururawatan kepada orang kurang upaya.
Gambar oleh Takumi Ota
Setiap satu daripada lima bangunan itu berbentuk segi empat sama dalam pelan, dan semuanya bertindih antara satu sama lain. Dinding berbentuk gerbang, manakala bumbungnya runcing, memberikan struktur rupa seperti ‘teepee’.
Gambar oleh Takumi Ota
Issei Suma menyifatkan skim rekaannya sebagai “kompleks kecil dengan lima pondok kecil bercantum”.
Secara luaran, bangunan itu dibaluti dengan panel kayu langsing.
Gambar oleh Takumi Ota
Struktur sokongan didedahkan di dalam, yang terdiri daripada kedua-dua dinding konkrit dan alang bumbung kayu.
Setiap blok mempunyai fungsi yang berbeza.
Blok terbesar, terletak di tengah, mengandungi dapur keluli tahan karat yang luas di mana makanan untuk penghantaran disediakan. Bilik ini juga mempunyai ruang makan kecil.
Gambar oleh Takumi Ota
Dua blok di sebelah barat menyediakan tempat tinggal untuk pelanggan, termasuk bilik tidur berkongsi, bilik mandi dan ruang simpanan.
Di sebelah timur, satu blok memuatkan dua katil untuk tetamu.
Gambar oleh Takumi Ota
Blok lain mengandungi kolam berbentuk spiral yang direka khas bagi membolehkan akses mudah untuk pengguna berkerusi roda.
Gambar oleh Takumi Ota
Mungkin anda berasa seronok menghabiskan usia tua selepas persaraan di dalam kediaman yang sebegini indah mempesona dengan suasana mendamaikan.
Sambil sentiasa memikirkan usia persaraan dengan perkara yang baik-baik belaka.
Ibu tunggal Loh Siew Hong akhirnya disatukan semula dengan tiga anaknya, kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 10 tahun, selepas tiga tahun berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 21 Februari, penyerahan segera anak-anak ini kepada ibu kelahiran Pulau Pinang itu daripada jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Perlis, lapor NST.
Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Loh terhadap responden, pengendali Yayasan Hidayah Centre Nazirah Nanthakumari Abdullah, atas dakwaan penahanan anak-anaknya yang menyalahi undang-undang.
Ibu berusia 34 tahun itu tidak dapat melihat anak-anaknya sejak tiga tahun lalu selepas bekas suaminya didakwa melakukan penderaan dan membawa anak mereka pergi ketika dia berada di hospital kerana kecederaan.
Berjuang untuk hak penjagaan tunggal ke atas anak-anaknya, Loh telah menceraikan Nagashwaran Muniandy pada 19 Mac 2019 dan memperoleh hak penjagaan sementara ke atas mereka pada bulan Julai tahun yang sama.
Loh memenangi hak penjagaan penuh anak-anak itu pada Disember 2021, Malaysiakini melaporkan.
Bagaimanapun, ketika itu, Loh tidak tahu di mana anak-anaknya berada, dan suaminya telah ditahan dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan dadah.
Loh akhirnya mendapat tahu anak-anak itu telah dihantar ke Yayasan Hidayah Center, sebuah NGO untuk mualaf di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang dilaporkan pada mulanya menolak ibu itu daripada berjumpa dengan anak-anaknya.
Ketiga-tiga anak yang dilahirkan beragama Hindu juga didapati telah memeluk Islam secara unilateral oleh bapa mereka tanpa pengetahuan Loh.
Hakim Collin Lawrence menyatakan terdapat perintah mahkamah sedia ada bertarikh 31 Mac 2021 yang telah memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal kepada ketiga-tiga anak itu kepada Loh.
“Terdapat juga terdapat perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, yang memberikan hak jagaan, penjagaan dan kawalan ke atas anak-anaknya kepada pemohon,” katanya semasa prosiding.
“Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya apabila berhadapan dengan penghinaan mahkamah.”
“Oleh kerana perintah mahkamah masih kekal, dengan ini, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” kata Hakim Collin Lawrence.
“Ketiga-tiga kanak-kanak itu hendaklah dibebaskan serta-merta ke dalam jagaan, penjagaan dan kawalan tunggal pemohon,” hakim memutuskan.
Loh Siew Hong sebak menangis ketika mendengar keputusan itu.
Anak-anak Loh hadir di bilik saksi bersebelahan di mahkamah ketika penyampaian keputusan itu.
Sementara itu, peguam Aidil Khalid yang mewakili responden berkata, tidak pernah timbul isu hak penjagaan menyalahi undang-undang oleh anak guamnya memandangkan Loh sebelum ini memberi kebenaran untuk anak-anaknya diserahkan kepada JKM.
Beliau juga berkata percubaan telah dibuat bagi membolehkan Loh melihat ketiga-tiga anaknya di yayasan yang berada di bawah pentadbiran JKM itu tetapi mereka tidak dapat bertemu kerana masalah yang berada di luar kawalan anak guamnya.
Malaysiakini melaporkan Loh berhasrat mencabar dan membatalkan penukaran agama tiga anaknya dalam tindakan mahkamah berasingan.
KUALA LUMPUR: Ibu bapa dinasihatkan segera mendapatkan rawatan untuk anak-anak mereka sekiranya mereka mula menunjukkan gejala Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C)
Pakar Perunding Pediatrik dan Nefrologi Pediatrik Hospital Selayang, Dr S. Selva Kumar berkata, simptomnya termasuk demam, mata merah, ruam, muntah, sakit perut dan cirit-birit.
Beliau berkata simptom ini biasanya berlaku antara dua hingga enam minggu selepas kanak-kanak itu dijangkiti Covid-19.
“Komplikasi MIS-C melibatkan pelbagai organ dalaman iaitu jantung, paru-paru, otak dan buah pinggang,” katanya dalam video pendek yang dikongsi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Dalam video yang sama, Khairy menyeru ibu bapa mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi mereka daripada Covid-19 dan komplikasi serius MIS-C. Tambahan lagi, jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital Covid-19 adalah semakin meningkat.
“Dalam gelombang Omicron ini, kita bimbang mereka yang belum diberi vaksin terutama warga emas dan kanak-kanak.
“Mari kita elakkan anak-anak anda daripada mengalami komplikasi Covid-19. Dapatkan vaksinasi anak-anak anda dan jangan tunggu lagi,” tambahnya lagi.
MIS-C merupakan salah satu komplikasi serius yang boleh berlaku akibat jangkitan COVID-19 di kalangan kanak-kanak di mana terjadinya keradangan pelbagai organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru, dan otak. Komplikasi ini boleh membawa bahaya sehingga boleh mengancam nyawa.
KKM menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19 untuk anak-anak yang berumur 5 hingga 11 tahun dengan segera. Vaksin Pfizer untuk kanak-kanak menggunakan formulasi yang selamat dan dos yang bersesuaian untuk kanak-kanak di lingkungan umur ini.
Kuala Lumpur- Meskipun larangan merokok di kedai makan dan restoran sudah berkuatkuasa sejak tiga tahun lalu, masih ramai yang mengabaikan larangan terbabit.
Tindakan mereka bagaimanapun membawa padah apabila seramai 44 perokok dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, malam 21 Februari lalu.
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, KKM Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, operasi bermula jam 8 malam itu tertumpu di kawasan premis perniagaan sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Alor dan Bangsar.
Sebanyak 44 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM11,000 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis makanan dalam operasi bersepadu tersebut.
Menurutnya, seramai 60 anggota Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, KKM serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terbabit dalam operasi berkenaan.
“Dalam operasi itu, seramai 44 pelanggan menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“Sebanyak lapan tahun membabitkan nilai kompaun RM4,000 dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana tidak mempamerkan larangan merokok,” katanya pada sidang media di Bukit Bintang di sini pada Isnin.
Gambar Hiasan
“Tindakan diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 kerana merokok di tempat larangan dan Peraturan 12 PPKHT 2004 atas kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan,” katanya lagi.
Selain itu dalam operasi sama, Dr Norhayati berkata, seramai 72 orang awam diberikan pendidikan kesihatan.
Beliau berkata, KKM serius menangani masalah merokok dan akta baharu yang sedang digubal akan dibentangkan tidak lama lagi.
Akta baharu itu, katanya, melarang generasi lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, memiliki serta membeli sebarang produk merokok.
Kata beliau, penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan akan dijalankan secara berterusan.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.
Ukraine kini beralih ke landasan perang, apabila mengisytiharkan darurat di seluruh negara, menggesa semua rakyatnya meninggalkan Rusia dengan segera, dan melaksanakan kerahan tentera simpanan dan perkhidmatan ketenteraan wajib ketika krisis Ukraine-Rusia yang semakin meruncing.
Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Ukraine menyokong pelaksanaan darurat pada 23 Februari ke atas semua wilayah negara itu, selain wilayah Donetsk dan Luhansk yang dilanda konflik, di mana ia telah dilaksanakan selama lapan tahun seperti yang dilakukan oleh tentera Ukraine ketika memerangi pemisah pro-Rusia.
Penggubal undang-undang meluluskan secara rasmi pengisytiharan itu pada hari yang sama mengenakan pelaksanaan undang-undang darurat.
Tentera Ukraine mengadakan kawalan ketat di Novoluhanske, di timur Ukraine, pada 19 Februari 2022. (Gambar oleh Aris Messinis/AFP /Getty Images)
Oleksiy Danilov, ketua keselamatan tertinggi negara, berkata pada taklimat awal bahawa langkah-langkah yang diperkenalkan oleh pengisytiharan itu termasuk meningkatkan tahap keselamatan di lokasi utama, dengan sekatan yang lebih ketat di kawasan berisiko tinggi seperti timur Ukraine, di sepanjang sempadan negara dengan Belarus dan Rusia serta di Crimea yang diduduki Rusia.
“Ini termasuk sekatan pergerakan pengangkutan, pemeriksaan tambahan pengangkutan. Ini juga boleh termasuk pemeriksaan dokumen individu,” kata Danilov, dengan keadaan darurat pada mulanya ditetapkan untuk bertahan selama 30 hari, dengan kemungkinan dilanjutkan.
Dalam perkembangan berasingan, Parlimen Ukraine mengundi pada 23 Februari untuk meluluskan draf undang-undang yang membenarkan rakyat Ukraine membawa senjata api dan atas sebab tindakan mempertahankan diri.
“Penggunaan undang-undang ini sepenuhnya demi kepentingan negara dan masyarakat,” kata pembuat draf undang-undang itu dalam notanya, sambil menyatakan langkah itu diperlukan kerana “ancaman dan bahaya sedia ada untuk rakyat Ukraine.”
Ukraine juga telah menggesa semua kira-kira 3 juta rakyatnya yang tinggal di Rusia untuk segera beredar.
Gelombang pertama pasukan simpanan juga telah dipanggil, dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengumumkan kerahan pasukan simpanan berumur 18 hingga 60 tahun pada 22 Februari, walaupun beliau menolak kerahan tentera am.
Ketegangan semakin memuncak di rantau itu selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan Donetsk dan Luhansk sebagai negara merdeka dan berkata Rusia sedang memindahkan tenteranya ke sana, yang didakwanya hanya sebagai pasukan pengaman.
Kenderaan tentera Rusia lengkap bersenjata dilihat bersiap siaga 50 kilometer dari sempadan Donetsk di selatan Rostov, Rusia pada 23 Februari 2022. (Gambar oleh STRINGER/AFP/Getty Images)
Pemimpin Barat menolak dakwaan tentera Rusia berada di Ukraine untuk membantu mengekalkan keamanan, dengan menuduh Putin mendalangi perebutan wilayah.
Rusia telah menafikan rancangan untuk pencerobohan, sebaliknya merangka tindakan sebagai langkah ‘misi pengaman’ untuk melindungi etnik Rusia yang tinggal di Ukraine, dengan Putin menuduh tentera Ukraine dan proksinya melakukan “pembunuhan beramai-ramai” di timur Ukraine, dakwaan yang ditolak keras oleh pegawai dan penganalisis Barat sebagai satu propaganda yang dimaksudkan untuk membenarkan pencerobohan.
Pemisah pro-Rusia telah mengawal sebahagian daripada wilayah Donetsk dan Luhansk, yang kini secara kolektif dikenali sebagai Donbas, sejak 2014.
PBB menganggarkan kira-kira 14,000 orang terbunuh di timur Ukraine sejak lapan tahun lalu, termasuk sekurang-kurangnya 3,400 orang awam.
Sementara itu, China dilihat berhati-hati dalam menyiarkan kenyataan umum mengenai ketegangan Ukraine-Rusia yang semakin memuncak.
Sambil mengeratkan hubungan dengan Moscow, Beijing juga berhati-hati untuk mengelak serangan balik dengan dilihat secara langsung menyokong langkah unilateral untuk merampas kedaulatan negara lain—memandangkan reka bentuk rejim itu sendiri dalam menangani konflik di Taiwan.
Keperluan untuk China mengendalikan permasalahan geopolitik yang sensitif itu dengan sangat istimewa telah dijelaskan oleh Ming Jinwei, bekas editor kanan untuk Xinhua, dalam blog peribadinya.
“Dalam krisis Ukraine, sedikit dorongan akan mencetuskan tindak balas berantai,” tulisnya, mengingatkan China supaya berhati-hati mengendalikan hubungan dengan semua pihak yang terlibat untuk mengelakkan “mengundang masalah.”
China, katanya, mesti “menyokong Rusia dari segi moral dan emosi tetapi tanpa terlalu memprovokasi Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.”
Duta Besar Rusia ke PBB Vasily Nebenzya bertemu tangan dengan Duta Besar China ke PBB Zhang Jun, semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB membincangkan krisis Ukraine pada 21 Februari 2022 di New York, Amerika Syarikat. (Gambar oleh TIMOTHY A. CLARY/AFP/Getty Images)
Walaupun “masalah utamanya datang dari Amerika Syarikat,” beliau percaya keadaan semasa memihak kepada Beijing dalam persaingannya dengan Amerika Syarikat, dan adalah tidak bijak untuk menarik kemarahan Washington.
“Cakap banyak, kurangkan tindakan,” nasihat Ming untuk diplomat China, yang katanya perlu menggunakan saluran peribadi untuk menyampaikan sokongan sentimental mereka untuk Rusia dan menggalakkan dialog dalam suasana awam.
Nasihat yang kelihatan dipatuhi oleh rejim.
Semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Februari, Duta Besar China ke PBB Zhang Jun, menggesa semua pihak untuk menahan diri dan “mencari penyelesaian yang munasabah … melalui cara aman atas dasar kesaksamaan dan saling menghormati.” Kementerian Luar China melalui menterinya Wang Yi juga telah membuat kenyataan yang sama.
Presiden China Xi Jinping (kanan), dan Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) semasa pertemuan di Beijing, China pada 4 Februari 2022. Putin menghadiri acara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, yang turut mengumumkan perkongsian ‘tiada had’ antara kedua-dua negara. (Gambar oleh Alexei Druzhinin, Sputnik, Kremlin/Pool/AP)
Sejak 21 Februari, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah mengenakan pelbagai sekatan terhadap dua wilayah Ukraine yang mengisytiharkan ‘kemerdekaan’, bersama-sama bank Rusia milik kerajaan dan golongan elit Rusia.
Pada 22 Februari, pentadbiran Biden mengarahkan lebih ramai tentera dikerah ke Eropah Timur di tengah-tengah kebimbangan pencerobohan Rusia ke Ukraine. Kesatuan Eropah pada 23 Februari turut menerima pakai pakej sekatan yang menyasarkan 351 ahli Duma, dewan rendah Parlimen Rusia.
Berhadapan pengasingan yang semakin meningkat dari dunia, Presiden Rusia Vladimir Putin menghadiri acara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping yang berakhir dengan kedua-dua pemimpin mengumumkan perkongsian “tiada had”.
Penjaja kelapa ini tetap hidup gembira walaupun dia berkata tidak pernah mempunyai tempat tinggal kekal dan rumah yang selesa.
Seorang penjaja kelapa yang berniaga di jalanan dari El Salvador bernama Lorenzo tidak pernah menyangka boleh menerima kejutan mendapat kunci rumah baru setelah kisahnya tidak berumah menjadi tular di TikTok dan laman media sosial lain.
Video melalui TikTok itu merakam Lorenzo, seorang penjual kelapa dan air kelapa di ibu negara San Salvador, yang menjelaskan bagaimana dia yang sudah berusia terus bergelut untuk memenuhi keperluan hidup dan tidak mempunyai tempat tinggal.
Walaupun hidupnya boleh dilabel sebagai gelandangan, namun Lorenzo tetap gembira kerana seperti yang dia katakan, “Kebahagiaan itu datang dari dalam..”
Influencer Aaron Murphy, yang mengendalikan @murphslife di TikTok, kemudian menunjukkan cara beliau dan rakan-rakannya mengumpul wang dan tenaga dengan tekad membina rumah baru untuk Lorenzo bersama keluarganya supaya lelaki ini akhirnya akan mendapat tempat tinggal yang selamat serta sempurna.
Murphy mendokumentasikan bagaimana beliau menyiapkan projek rumah itu dan menemani Lorenzo untuk melihat rumah barunya yang lengkap dengan perabot, dengan beberapa bilik dan mural yang memaparkan wajah ikonik Lorenzo dan buah kelapanya.
Lorenzo yang amat terharu dengan kejutan itu mengucapkan terima kasih kepada Murphy dan pasukannya dengan menyatakan, “Ia adalah keajaiban dan hati anda yang melakukan semua ini.”
Sambil mengesat matanya yang berair, Lorenzo berjalan masuk ke bilik barunya dan berbaring di atas katil, dan menjemput anak cucunya ke dalam rumah itu.
Projek itu adalah produk dari GoFundMe yang Murphy anjurkan untuk Lorenzo dengan matlamat untuk mengumpul AS$75,000 (RM313,650), yang mana akhirnya dapat mengumpul AS$81,152 (RM340,000).
Terlebih cukup untuk membantu warga emas Lorenzo dan ahli keluarganya serta peniaga jalanan lain di El Salvador yang terlibat dalam projek itu untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa dan terbela.
Murphy melangkaui platform media sosial untuk melancarkan Murphslife Foundation, di mana selain menonton video Murphy di laman webnya, pelawat boleh membeli produk keluaran El Salvador dan negara lain seperti topi hingga ke beg tangan yang secara langsung menyokong ekonomi komuniti berbeza di Amerika Latin.
Objektif utama Murphslife Foundation adalah untuk memerangi kemiskinan yang disebabkan oleh “sejarah panjang imperialisme, pergolakan, dan ketidakstabilan” dalam negara.
Sumbangan orang ramai disalurkan melalui Patreon, Venmo, Paypal, dan aplikasi tunai lain, yang tidak terikat kepada kerenah birokrasi badan bukan keuntungan tradisional dan organisasi antarabangsa.
Derma dalam dana yayasan itu terus disalurkan kepada komuniti yang terjejas dengan secepat mungkin, serta membantu menyediakan mereka dengan perniagaan sendiri yang akan membolehkan lebih ramai golongan kurang bernasib baik seperti Lorenzo untuk ‘bangkit semula’ memulakan kehidupan baru.
Sejak kebelakangan ini cuaca dunia seolah-olah dilihat tidak menentu. Ada sahaja tempat-tempat yang mengalami bencana alam dan perubahan iklim yang melampau. United Kingdom masih ‘berperang’ dengan ribut taufan Eunice, Taiwan pula berdepan dengan cuaca sejuk melampau dan di Brazil keadaan banjir terus memburuk sehingga mengorbankan ratusan nyawa.
Pada Februari lalu, beberapa penumpang sebuah feri berhadapan dengan ‘kejutan’ apabila sebuah ombak besar datang secara tiba-tiba. Kejadian yang berlaku di di Sungai Elbe, Hamburg, utara Jerman itu dikatakan telah menyebabkan tiga orang penumpang mengalami kecederaan selepas tingkap feri tersebut pecah diadai ombak ganas manakala penumpang yang lain sempat melarikan diri bersama barangan peribadi ke bahagian belakang feri.
Ketika itu mereka dikatakan seolah-olah merasai pengalaman menjadi penumpang seperi dalam filem Titanic arahan James Cameron. Ribut taufan yang melanda seluruh Eropah kini telah menyebabkan beberapa gangguan berlaku termasuk gangguan perjalanan. Tidak hanya itu, orang ramai juga berhadapan dengan gangguan emosi sehingga ada yang mengalami panik yang keterlaluan.
Ribut taufan Ylenia (atau Dudley di United Kingdom) telah menyebabkan banyak penerbangan komersial membatalkan perjalanan. Selain itu, perkhidmatan kereta api merentasi bahagian Jerman Utara turut mengalami gangguan akibat dilanda ribut. Di Hamburg, Ylenia membawa angin kencang serta ribut setinggi 6.5 kaki.
Insiden ini berlaku di dalam feri HADAG yang ketika itu dalam perjalanan dari terminal feri Teufelsbrück ke jeti feri kilang Airbus.
Walaupun perjalanan agak singkat, seorang penumpang berhasil merakam detik yang mencemaskan itu. Jika dilihat pada video yang dimuat naik ke Twitter, jelas kelihatan menunjukkan feri dipukul ombak tinggi yang kuat sehingga memecahkan tingkap di bahagian hadapan kabin.
Rakaman video sama juga menunjukkan terdapat beberapa serpihan kaca daripada tingkap mula ‘berterbangan’ ke arah penumpang saat tingkap feri pecah. Mereka yang duduk di bahagian hadapan mula terkena air dan pantas mengemas barang dan beredar ke bahagian belakang kabin untuk menyelamatkan diri.
Kesemua penumpang berjaya diselamatkan termasuk mereka yang mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca.
Isu mengenai kewarganegaraan Malaysia telah lama diperkatakan. Untuk menentukan siapa patut diberikan kerakyatan secara automatik atau siapa yang benar-benar layak, adalah dua perkara berbeza menurut undang-undang.
Sementara itu, terdapat mereka yang telah memberikan sumbangan kepada Malaysia tanpa mengetahui status sebenar kerakyatan, mereka tidak dapat dikaitkan dengan negara dan dinafikan haknya sebagai warganegara.
Namun, terdapat pula mereka yang berada dalam situasi sebaliknya, tetapi mendapat hak kewarganegaraan tanpa perlu memberikan apa-apa sumbangan kepada negara, yang kadang-kadang tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan pun. Di mana silapnya?
Gambar Hiasan
Baru-baru ini dilaporkan seorang lelaki berusia 91 tahun dari Sarawak yang dinafikan kerakyatan walaupun telah berkhidmat untuk negara selama bertahun-tahun lamanya.
Basar Paru yang bermastautin di Sarawak adalah pesara pengakap sempadan yang berkhidmat semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia dan pemberontakan Parti Komunis Malaya yang berlaku antara 1960-an dan akhir 1980-an. Beliau menghabiskan masa 10 tahun dalam hidupnya dengan meronda di sempadan Long Semado di Lawas.
Walaupun Basar Paru dilahirkan di Kalimantan, Indonesia tetapi beliau telah berhijrah merentasi sempadan dan membina rumah serta membesarkan keluarganya di Sarawak sejak akhir 1950-an.
Anak perempuan Basar, Orpah berkongsi bapanya telah melakukan beberapa kali percubaan selama berdekad-dekad lamanya untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia tetapi tidak pernah berjaya.
Jelasnya, bapanya tertekan dan hanya mengimpikan untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia bukan hanya kerana sumbangannya kepada negara tetapi kerana anak dan cucunya kesemuanya adalah rakyat Malaysia.
“Dia mahukan MyKad berwarna biru dan kami sebagai anak-anaknya perlu menghiburkannya pada setiap kali dia merajuk apabila kami memberitahu permohonannya masih dalam proses,” kata Orpah.
“Dia pernah memohon banyak kali sebelum ini dengan melakukan banyak lawatan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Lawas dan JPN Miri. Hanya pada tahun 2013, dia diberi status pemastautin tetap atau MyPR,” jelasnya.
Orpah menjelaskan tanpa kerakyatan Malaysia, Basar tidak dapat menerima faedah yang dinikmati warganegara seperti pencen, penjagaan kesihatan dan bantuan kebajikan percuma.
“Seperti mana kita semua mahu impiannya menjadi kenyataan, dia sudah terlalu tua untuk pergi berulang-alik ke JPN. Malah, sampai dia berkata mungkin mereka hanya akan meluluskan permohonannya apabila dia sudah tiada lagi. Berapa lama lagi dia perlu menunggu untuk mendapatkan kewarganegaraannya?” kata Orpah yang sedih.
Semoga pihak berwajib mengambil perhatian segera dengan permohonan warga emas ini.