Kuala Lumpur- Meskipun larangan merokok di kedai makan dan restoran sudah berkuatkuasa sejak tiga tahun lalu, masih ramai yang mengabaikan larangan terbabit.
Tindakan mereka bagaimanapun membawa padah apabila seramai 44 perokok dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, malam 21 Februari lalu.
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, KKM Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, operasi bermula jam 8 malam itu tertumpu di kawasan premis perniagaan sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Alor dan Bangsar.
Sebanyak 44 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM11,000 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis makanan dalam operasi bersepadu tersebut.
Menurutnya, seramai 60 anggota Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, KKM serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terbabit dalam operasi berkenaan.
“Dalam operasi itu, seramai 44 pelanggan menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“Sebanyak lapan tahun membabitkan nilai kompaun RM4,000 dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana tidak mempamerkan larangan merokok,” katanya pada sidang media di Bukit Bintang di sini pada Isnin.

“Tindakan diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 kerana merokok di tempat larangan dan Peraturan 12 PPKHT 2004 atas kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan,” katanya lagi.
Selain itu dalam operasi sama, Dr Norhayati berkata, seramai 72 orang awam diberikan pendidikan kesihatan.
Beliau berkata, KKM serius menangani masalah merokok dan akta baharu yang sedang digubal akan dibentangkan tidak lama lagi.
Akta baharu itu, katanya, melarang generasi lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, memiliki serta membeli sebarang produk merokok.
Kata beliau, penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan akan dijalankan secara berterusan.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: