Konflik antara Rusia-Ukraine yang sudah bermula sejak 24 Februari lalu nampaknya masih tegang dengan siri serengan yang dilakukan oleh kedua-dua negara terutama dari Rusia. Sehingga kini, pelbagai sekatan daripada pelbagai negara dan organisasi antarabangsa untuk memberi tekanan ke atas Rusia tetapi negara itu masih dengan pendirian mereka untuk meneruskan konflik.
Ekoran perang yang masih meletus, ada insiden-insiden yang di luar jangkaan berlaku. Baru-baru ini dua orang askar Rusia dilaporkan telah menjadi tawanan perang tentera Ukraine apabila mereka ditangkap. Kejadian itu berlaku semasa kedua-dua mereka terpaksa meminta bantuan musuh kerana kehabisan minyak.
Dua prang askar otu berhadapan dengan kesukaran selepas mereka kehabisan minyak. Tidak jelas sama ada mereka memandu kereta kebal, tetapi mereka terpaksa pergi ke balai polis tempatan yang berdekatan untuk meminta bantuan di wilayah Shevchenkove Ukraine, Kharkiv.
Berita penangkapan itu mula tular di Twitter dan kini, mereka secara rasmi dikelaskan sebagai tawanan perang.
(Imej: @LAPONOMARENKO)
Kawasan di mana kedua-dua askar ini mengalami kehabisan minyak ialah kira-kira satu jam dari pusat Kharkiv, yang juga merupakan lokasi di mana stesen kereta api berada. Tambahan lagi, di situ adanya beberapa kedai tempatan dan kawasan perumahan penduduk.
Memberi respons kepada penangkapan tersebut di Twitter, seorang editor, Tess Gerritsen, mempersoalkan sama ada wujudnya tempat atau ‘checkpoint’ dimana askar boleh menyerah diri.
Seorang netizen, @Nitsirk63, turut berpendapat bahawa kedua-dua mereka sememangnya sengaja untuk menyerah diri kerana mereka sendiri tidak mahu perang itu berlaku. Ada juga yang mengatakan mereka berdua mungkin tidak tahu apa yang sedang mereka lakukan.
(Imej: @LAPONOMARENKO)
Sehingga malam Sabtu, 198 orang warga Ukraine dilaporkan telah terbunuh. Mereka yang terkorban dalam perang tersebut adalah termasuk tiga orang kanak-kanak. Tidak hanya itu, sehingga kini perang telah mengakibatkan seramai lebih kurang 1,115 orang awam Ukraine mengalami kecederaan dan 33 orang daripada mereka adalah kanak-kanak.
Rusia belum mengeluarkan angka kematian rasmi, tetapi Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Hanna Malyar, berkata pada hari Ahad bahawa jumlah kematian mungkin mencapai angka 4,300.
Mendapat kunci rumah pertama pastinya momen yang sangat mengujakan. Antara perkara yang paling ditunggu-tunggu ialah masa untuk menghias atau mendekorasi rumah. Setiap orang punya rumah idaman beserta dengan hiasan dalaman yang diimpikan. Jadi, mereka sanggup berbelanja berapa sahaja untuk mewujudkan ‘mahligai’ idaman.
Jadi, sebelum mendekorasi rumah adalah lebih baik jika kita tahu sedikit-sebanyak tips berguna supaya kerja-kerja dekorasi akan memberikan hasil yang memuaskan hati.
Berikut adalah perkongsian daripada seorang pakar hiasan yang telah dimuat naik di Facebook miliknya. Menurut Nur Nazihah Abd Razak dia telah menerima WhatsApp daripada bakal pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat namun memandangkan jadualnya telah penuh dia tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.
Oleh itu, dia telah berkongsi tips buat orang ramai yang bakal memasuki rumah baru. Mari ikuti perkongsiannya:
Dekat sini contoh yang saya berikan adalah rumah berkeluasan 800sqft dengan bertemakan ‘modern elegant’. Jadi, apa-apa ketahui bajet anda dahulu sebelum memulakan ‘reno’ dan ‘deco’ rumah kediaman anda.
Faktor utama nak bagi rumah nampak cantik adalah siling. Design plaster ceiling jenis flat pun cantik. Yang penting banyak point lampu yang tersusun kemas dan point kipas juga diletakkan ditempat yang betul.
Kalau boleh janganlah tambah point lampu atau kipas menggunakan casing. Sekarang ni kebanyakan developer agak kedekut nak bg point lampu di bilik tidur. Kadang-kadang 1 point je dengan keluasan bilik tidur yang agak besar.
Jadi nak tak nak kita kena tambah point lampu dengan buat plaster ceiling. Sebab kalau kita hack slab lagi melibatkan kos yang tinggi. Selain kelebihan nampak kemas dan cantik, kita boleh tambah beberapa point lampu deco untuk menaikkan seri sesuatu ruang.
2. CAT RUMAH Bila siling rumah dah cantik, kita boleh tetapkan beberapa tema color. Pemilihan color cat mestilah berdasarkan tema yang kita minat. Ada orang suka natural yang lebih kepada grey, beige, soft brown, cream dan putih. Warna-warna seperti ni sesuai untuk semua jenis tema.
Kalau minat dengan tema ‘farmhouse’, dinding color putih amatlah sesuai. Ada yang berani dengan warna-warna terang atau gelap. Boleh je kalau pandai mix and match dengan perabot yang sesuai. Tapi make sure jangan semua dinding, fokus pada feature wall sahaja
Ruangan dapur adalah ruang yang kita kena barhati-hati. Jangan ada yang tersilap pilih material, kod color dan kontraktor. Salah pilih memang bahaya, sebab nak tukar lain dalam masa terdekat memang susah dan ia melibatkan kos yang agak tinggi.
Di pasaran sekarang banyak kontraktor kabinet yang menawarkan harga yang murah. Tapi kena hati-hati ye dari segi kekemasan kerja yang dibuat, material yang diberikan, hasil kerja mereka dan aksesori yang disediakan.
Antara material yang ada adalah melamine, 3g, 4g, formica, solid nyatoh, mdf dan lain-lain. Bagi saya semua ok cuma kod dia je kena pilih betul-betul.
Nak selamat pilih putih, hitam, grey dan warna elemen kayu. Nak nampak elegant boleh pilih warna yang berani seperti emerald green, dark blue, mint, turquoise.
Lantai jenis tiles atau lantai kayu kedua-duanya cantik. Pemilihan jenis lantai ni berkait rapat dengan kos yang diperuntukkan. Kalau ada bajet lebih boleh lah tukar kepada lantai kayu. Sebab lantai kayu ni nampak lebih moden, kemas dan cantik. Jangan ambik yang gelap nanti rumah nampak sempit.
Setelah selesai semuanya, sekarang masa untuk pemilihan curtain dan blind. Langsir dipilih berkait rapat dengan warna cat yang kita pilih awal-awal tadi. Kalau cat lebih kepada light, curtain kena pilih yang dark sedikit untuk naikkan seri.
Kalau nak pilih langsir, pilihlah bahan jenis ‘blackout’ dan untuk menjaga privacy mestilah ada ‘day and night curtain(sheer)’. Bila siang barulah tak risau nak buka curtain, syariat pun terjaga.
Untuk bagi nampak ruang lebih luas ukur curtain mestilah wall to wall dan full height. Kalau kelebaran frame tingkap tu kecik, tak apa kita buat curtain besar.
Cukuplah sofa 2/3 seater, armchair, bench/stool, coffee table, tv bench. Kita jangan sempitkan lagi ruangan yang ada. Kecuali kalau betul-betul ruangan tu besar.
Untuk entrance, kita mainkan dengan console table, chest of drawers atau cabinet yang sesuai. Bagi ruangan makan pula pilih meja makan berdasarkan size ruangan. Ingat ye, semua pemilihan bergantung pada tema yang kita dah pilih awal-awal tadi.
Ini last keperluan kalau kita mempunyai bajet yang lebih. Kita boleh buat terus masa awal-awal proses reno tu, tapi kalau tak ada bajet lagi tak apa boleh buat kemudian.
Selalu wardrobe jenis material melamine full heigth 2 pintu dalam RM2000. Bila ada wardrobe ni lebih kemas dan tersusun. Semua barang-barang tambahan seperti toto, luggage bag, bantal-bantal boleh simpan dalam wardrobe. Tapi tak apa, ia bukanlah satu keperluan wajib untuk sesuatu dekorasi.
Jangan buat sekaligus semua ruang tapi setiap ruang tu siap separuh kerja dan last sekali elemen kekemasan sangatlah penting. Bila kita displin dan sabar, setiap kerja kita akan nampak kemas.
Kerja-kerja mendekorasi rumah memang menyeronokkan tetapi boleh jadi sesuatu yang mencabar. Salah caranya, ia mungkin akan memberi kesan kepada hiasan rumah.
Tidak hanya itu, bimbang juga jika silap langkah yang diambil bakal membuatkan kos dekorasi memakan belanja yang lebih tinggi. Jadi, cuba aplikasi tips yang dikongsikan dan selamat menghias rumah baru!
Perdana Menteri Australia Scott Morrison telah mengesahkan bahawa dia didapati positif Covid-19.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Selasa, Morrison berkata beliau mengalami gejala ringan dan akan bekerja dari rumah sementara dia menjalani kuarantin sehingga minggu hadapan.
REUTERS/Issei Kato
“Saya mengalami simptom seperti selesema dan akan pulih pada minggu hadapan,” kata Morrison.
Perdana menteri itu telah menjalani ujian rutin pada Ahad lalu kerana beliau mula merasakan tidak sihat tetapi keputusan yang diperolehi adalah negatif.
Selepas mengalami demam pada lewat Selasa, Morrison mengambil ujian PCR yang menunjukkan dia positif Covid-19.
Tonight I tested positive to COVID-19.
I am experiencing flu-like symptoms and will be recovering over the next week.
I had tested myself daily since Sunday, including this morning, with all tests returning a negative result.
“Saya terus mengikuti garis panduan kesihatan dan mengasingkan diri di rumah di Sydney,” katanya, sambil menambah bahawa dia bersyukur keluarganya, isteri dan semua anak perempuannya tiada yang positif tetapi mereka tetap menjalani kuarantin selama tujuh hari seperti yang ditetapkan peraturan.
Morrison berkata beliau akan terus melaksanakan semua tanggungjawab sebagai perdana menteri, termasuk mempengerusikan mesyuarat kabinet (secara maya) jawatankuasa Kajian Semula Keselamatan dan Perbelanjaan Negara yang memberi tumpuan terhadap banjir besar di Queensland dan New South Wales.
Menurut beliau lagi, tumpuan juga akan diberikan kepada tragedi yang berlaku di Ukraine dan pencerobohan yang dilakukan oleh Rusia. Beliau akan terus berhubung dengan pegawai keselamatan dan perisikan Australia serta rakan antarabangsa, serta bekerjasama dengan bendahari untuk memuktamadkan belanjawan negara.
Menteri Pertahanan, Peter Dutton berkata penyakit Morrison adalah “sangat ringan” dan dia “kembali” pada hari Rabu.
“Jadi saya fikir beliau hanya akan bekerja dari rumah dan diharapkan akan kembali ke pejabat dengan segera selepas sembuh,” katanya kepada program Nine’s Today.
Ekoran itu anggota kerajaan persekutuan lain telah menyuarakan tanda sokongan mereka terhadap Perdana Menteri itu di Facebook.
Bendahari Josh Frydenberg, yang pulih daripada Covid-19 pada bulan Januari, berkata “Rehat, PM!” manakala Ahli Parlimen Victoria Gladys Liu berkata “harap Covid anda ringan seperti saya.”
Morrison dijadualkan menyertai Ketua Menteri NSW, Dominic Perrottet pada malam Selasa lalu di Sydney Opera House, di mana bangunan ikonik itu diterangi dengan warna bendera Ukraine tetapi terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir.
Pada awal hari itu, beliau berkata ia bertujuan untuk menghantar “mesej perpaduan yang sangat kuat” bahawa Australia menyokong Ukraine.
Dengan kecanggihan teknologi zaman hari ini, transaksi kewangan boleh dilakukan dengan mudah sekali iaitu dengan hanya menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian, melalui komputer dan telefon pintar anda.
Tetapi kadang kala akan berlaku kesilapan apabila seseorang itu tersalah memindahkan wang ke akaun bank orang lain yang tidak dikenali. Perkara sebegini jarang berlaku sekiranya anda seorang yang peka dan berhati-hati, tetapi ia tidak mustahil juga akan terjadi.
Tambah kalau pemindahan wang itu melibatkan wang yang beribu-ribu banyaknya. Boleh jadi tergamam dan hendak menangis dibuatnya.
Sekadar Gambar Hiasan
Jadi, bagaimana cara ingin dapatkan wang itu semula? Kerana untuk pengetahuan anda memang ada cara mendapatkan semula wang seperti perkongsian di Facebook berdasarkan pengalaman Puan Zarina Jalaludin.
Panduan sekiranya anda tersalah pindah wang ke dalam akaun orang lain yang wujud dan tidak dikenali.
Langkah pertama sekali anda perlu bertenang dan jangan panik. Dan ikuti Langkah kedua:
Tangkap layar atau screenshot atau cetak transaksi butiran akaun yang anda telah tersilap transaksi wang.
Ia mesti mengandungi:
Nama pemilik akaun tersebut
Nombor akaun tersebut
Tarikh dan masa slip yang tersilap pindah wang
Penama akaun yang sepatutnya anda lakukan transaksi wang.
Langkah ketiga:
Laporkan kepada pihak polis dengan pergi ke balai polis cawangan berdekatan.
Setelah anda sedar tersalah pindahkan wang, pastikan anda membuat laporan polis.
Sangat penting untuk anda tulis selengkap-lengkapnya pada laporan itu.
Laporkan bagaimana anda telah tersalah pindahkan wang, bila wang itu dipindahkan dan sebagainya, dan sertakan bukti seperti dalam butiran langkah kedua.
Sekadar Gambar Hiasan
Langkah keempat:
Bawa laporan polis itu kepada bank yang berdekatan, pada waktu bekerja.
Terangkan perkara tersebut kepada pegawai bank yang bertugas.
Jangan lupa minta bantuan pihak bank untuk dapatkan kembali wang yang telah dipindahkan secara tersalah tersebut.
Langkah kelima:
Tunggu pihak bank hubungi pemilik akaun dan dapatkan persetujuan mereka.
Bukan bermakna bila anda berhubung dengan pihak bank, anda boleh terus dapatkan wang anda semula dengan serta-merta. Anda perlu bersabar kerana kecuaian dan kesalahan memindahkan wang itu adalah daripada anda.
Pihak bank mestilah menghubungi pemilik akaun bank yang anda telah salah pindahkan wang.
Oleh kerana kesalahan ini berpunca dari anda, jadi ia perlulah mendapat persetujuan mereka untuk mengembalikan wang itu semula.
Sekadar Gambar Hiasan
Langkah keenam:
Tunggu tindakan pemilik / penama akaun yang anda tersalah pindahkan wang. Dia mungkin akan meminta butiran lain seperti e-mel, nombor telefon dan lain-lain dokumen memandangkan semua pihak kena berhati-hati di zaman ‘scammer bermaharajalela’ ini.
Dalam kes Puan Zurina, pemilik akaun itu telah meminta pihak bank e-melkan segala butirannya sebelum dia memulangkan semula wang berjumlah RM14,011.
Sekiranya persetujuan kedua-dua pihak telah dicapai, urusan ini akan menjadi mudah apabila pihak bank akan melakukan proses pemulangan wang anda kembali dengan segera.
Jika pemilik akaun terbabit yang menerima wang itu tadi enggan bersetuju untuk memulangkan wang anda, perkara terakhir yang anda perlu lakukan adalah membawa kes ini ke mahkamah.
Jika amaun yang telah dipindah kurang dari RM5,000, anda perlu memfailkan writ ‘Small Claim Procedure‘ di mahkamah majistret yang hanya boleh dilakukan jika tuntutan tidak melebihi RM5,000. Anda tak perlukan peguam di mahkamah.
Manakala untuk tuntutan yang melebihi RM5,000 pula, anda perlu menggunakan khidmat peguam untuk dapatkan semula wang anda dengan memfailkan ‘Letter of Demand’ (LOD).
Ini adalah panduan dan cara sekiranya anda tersalah memindahkan wang ke dalam akaun orang lain tidak dikenali.
Walau bagaimanapun, prosedur pemulangan wang bergantung kepada pihak bank, dengan info bahawa anda memang boleh mendapatkan semula kesemua wang yang telah tersalah pindah ke dalam akaun tidak dikenali.
Untuk tidak memikirkan urusan menjadi rumit-rumit, doakan yang baik-baik semoga semua urusan anda dipermudahkan.
Sebuah rakaman video dikongsikan oleh agensi berita APTN yang memaparkan saat genting pakar perubatan dilihat bertungkus-lumus cuba menyelamatkan kanak-kanak itu.
Malangnya, kanak-kanak itu meninggal dunia secara tragis akibat kecederaan parah yang dialami.
Kematian kanak-kanak itu jelas menjentik emosi petugas perubatan dan semua kakitangan yang berada di hospital itu. Beberapa petugas tidak dapat menahan kesedihan dan mengalirkan air mata, dengan salah seorang meluahkan kata-kata kasar terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin.
Berdasarkan rekod, ini bukan kematian pertama yang melibatkan kanak-kanak dibawah usia 18 tahun selepas peperangan tercetus dalam krisis memuncak antara Rusia dan Ukraine.
Pada 26 Februari, seorang kanak-kanak lelaki warga Ukraine berusia 6 tahun turut dilapor meninggal dunia akibat terkena peluru yang dibedil Rusia.
Rundingan antara pegawai Rusia dan Ukraine di Belarus pada 28 Februari tidak membuahkan hasil, kata pegawai selepas rundingan itu tamat.
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menghantar pegawai tertinggi sebagai perantara ketika tentera Rusia dan Ukraine terus bertempur di Ukraine, termasuk berhampiran bandar utama seperti Kyiv. Rundingan itu diadakan di Belarus, yang telah membenarkan tentera Rusia melaluinya semasa perang.
Mykhailo Podolyak, penasihat tertinggi Zelenskyy, memberitahu pemberita selepas rundingan terhenti dengan matlamat utamanya adalah untuk membincangkan gencatan senjata.
Menteri Pertahanan Ukraine Oleksii Reznikov (tiga dari kanan), Ketua Delegasi Rusia Vladimir Medinsky (dua dari kanan) dan anggota delegasi lain dalam rundingan genjatan senjata di Gomel, Belarus pada 28 Februari 2022. (Gambar oleh SERGEI KHOLODILIN/BELTA/AFP/Getty Images)
“Pihak-pihak telah menetapkan beberapa topik keutamaan yang mana keputusan tertentu telah dibayangkan,” kata Podolyak. “Kedua-dua pihak kembali ke ibu negara untuk kemungkinan melaksanakan keputusan ini. Kedua pihak telah membincangkan kemungkinan mengadakan rundingan pusingan kedua dalam masa terdekat di mana isu-isu ini akan dapat dibangunkan secara praktikal.”
Podolyak kemudiannya menulis di Twitter, “Rundingan adalah sukar. Walau bagaimanapun, tanpa sebarang kata dua yang wajib dilaksanakan. Malangnya, pihak Rusia masih sangat berat sebelah mengenai proses pemusnahan yang dilancarkannya.”
Vladimir Medinsky, yang mengetuai delegasi Rusia, berkata rundingan lima jam itu termasuk mencari titik persetujuan mengenai pelbagai perkara agenda yang tidak dinyatakan dan ciri utama perjanjian untuk meneruskan rundingan.
“Pertemuan seterusnya akan berlangsung dalam beberapa hari akan datang di sempadan Poland–Belarus. Sudah ada perjanjian yang relevan. Sebelum mesyuarat, kedua-dua delegasi, pemimpin kedua-dua delegasi, akan berunding dengan kepimpinan negara mereka mengenai kedudukan rundingan,” kata Medinsky.
Ketua delegasi Rusia Vladimir Medinsky ketika sidang media di Gomel, Belarus pada 28 Februari 2022. (Gambar oleh SERGEI KHOLODILIN/BELTA/AFP/Getty Images)
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Ned Price dalam kenyataan di Washington berkata Amerika Syarikat menyokong Ukraine dalam cubaan untuk mencapai penyelesaian diplomatik terhadap konflik itu, tetapi berkata ia akan menjadi sukar untuk mewujudkan kesepakatan semasa pertempuran sedang berlangsung.
Tentera Rusia, atas arahan Putin, melancarkan operasi ketenteraan dan memasuki Ukraine pada 24 Februari, dan telah bergerak menuju ke Kyiv dalam beberapa hari kemudian.
Pertempuran telah berlaku di sekitar Kyiv, Kharkiv, dan bandar-bandar utama lain.
Semasa rundingan itu berlangsung, pegawai lain tampil menyeru di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Sergiy Kyslytsya, duta besar Ukraine ke PBB, memberitahu para wakil dalam Perhimpunan Agung PBB “harus lantang dalam menuntut Persekutuan Rusia untuk menghentikan serangannya terhadap Ukraine sebagai tindakan pencerobohan terhadap negara yang berdaulat dan merdeka.”
Perhimpunan PBB harus menuntut Rusia segera dan tanpa syarat menarik balik semua tenteranya dari Ukraine dan memansuhkan pengiktirafan bahagian timur Ukraine sebagai wilayah bebas, katanya, yang termasuk pengiktirafan “peranan khianat Belarus” dalam konflik itu.
Penasihat tertinggi Presiden Zelenskyy, Mikhailo Podolyak ketika sidang media di Gomel, Belarus pada 28 Februari 2022. (Gambar oleh SERGEI KHOLODILIN/BELTA/AFP/Getty Images)
Vassily Nebenzia, duta Rusia ke PBB, kemudian berkata krisis itu dicetuskan oleh tindakan Ukraine, termasuk melanggar kewajipan di bawah perjanjian Minsk yang dicapai pada 2014.
“Rakan-rakan Barat kami tanpa segan silu membanjiri negara dengan senjata, telah menghantar pengajar negara dan berkesan menghasut rakyat Ukraine, yang berhadapan dengan 120,000 kontinjen tentera yang kuat, dan mendorong mereka untuk terlibat dalam provokasi bersenjata terhadap Donbas,” katanya, merujuk kepada wilayah yang diiktiraf Rusia.
Sambil menambah tentera Rusia “tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam Ukraine, tidak membedil kawasan awam serta kawasan dan bandar di mana angkatan bersenjata Rusia telah mengawal, dan kawasan ini menyaksikan rakyat menjalani kehidupan mereka secara normal.”
Mungkin menjadi kebiasaan apabila bayi menangis, antara tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan menggoncang atau melambung bayi mereka. Hal ini bertujuan untuk memujuk si kecil agar berhenti menangis.
Walau bagaimanapun, perbuatan menggoncang bayi itu boleh mendatangkan bahaya dan menyebabkan komplikasi serius terutamanya kepada otak si kecil. Tabiat ini juga dipanggil pakar sebagai ‘Shaken Baby Syndrome’.
Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar jangan menggoncang dan melambung bayi terlalu kerap.
Bahaya goncang anak sewaktu bayi. Tahukah anda, perbuatan seperti:
Melambung bayi
Menggoncang bayi
Senaman akrobatik bayi
Adalah sangat bahaya untuk bayi. Bayi mempunyai otak yang lembut dan otot leher yang lemah. Bayi juga mempunyai salur darah yang sangat halus.
Menggoncang bayi atau kanak-kanak kecil boleh menyebabkan otak menghentak dinding tengkorak dan menyebabkan salur darah terkoyak, pendarahan dan otak membengkak. Kesan lain adalah seperti patah tulang belakang, leher, dan juga kerosakan pada mata.
‘Shaken Baby Syndrome’ (SBS) kerap berlaku pada bayi berumur bawah 2 tahun. Namun ia juga boleh berlaku kepada kanak-kanak berumur 5 tahun.
Kebanyakan kes berlaku pada usia 6 -8 minggu di mana bayi kerap menangis. Penjaga yang stres akibat bayi yang kerap menangis atau untuk melepaskan geram adalah contoh paling kerap mengapa bayi digoncang.
Ada juga menggoncang bayi kerana aktiviti fizikal yang kononnya memberikan senaman kepada bayi. Anda tidak sepatutnya menggoncang dan melambung bayi dalam apa juga keadaan.
SBS adalah satu perkara yang serius dan boleh dikategorikan sebagai penderaan. Jika anda merasakan anak anda merupakan mangsa penderaan SBS, bawa kepada doktor untuk rawatan dan laporkan kepada polis untuk tindakan undang-undang.
Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati kerana kit ujian Covid-19 di rumah mungkin mengandungi bahan toksik yang mungkin berbahaya kepada bukan hanya golongan dewasa malah terhadap kanak-kanak.
Bahan kimia yang dimaksudkan itu ialah Sodium Azide, dan Medical Center’s Drug and Poison Information Center di Hospital Kanak-kanak Cincinnati dilaporkan telah menerima banyak panggilan berkenaan dengan kes di mana orang ramai terdedah kepada bahan kimia itu memandangkan kini semakin ramai melakukan ujian kendiri di rumah.
Sementara itu, Pusat Kawalan Racun Kebangsaan (National Poison Control Center) sudah mengeluarkan amaran mengenai bahan kimia itu.
“Adalah penting untuk tahu bahawa terdapat beberapa jenis bahan kimia dalam kit antigen pantas termasuk Sodium Azide, sejenis kimia yang berfungsi sebagai agen pengawet,” kata pusat itu.
Mereka turut mendedahkan beberapa jenama yang mengandungi bahan kimia tersebut iaitu kit antigen pantas Covid-19 BinaxNow, BD Veritor, Flowflex dan Celltrion DiaTrust Covid-19.
Kenali Sodium Azide
Sodium Azide adalah sejenis cecair kimia yang sering digunakan sebagai pengawet dalam beberapa kit ujian Covid-19. Bahan kimia itu tidak berwarna, tidak memiliki rasa dan tidak berbau, dan ia digunakan terutamanya dalam beg udara kereta dan sebagai agen kawalan perosak.
Risiko boleh terjadi kepada mereka yang termakan atau tertelan bahan kimia ini. Hal ini boleh menyebabkan individu tersebut mengalami tekanan darah rendah, yang boleh mengakibatkan pening, sakit kepala atau berdebar-debar.
Tidak hanya itu, pendeahan kepada bahan kimia ini juga boleh menyebabkan iritasi pada kulit, mata atau hidung. Jika ada individu terdedah kepada kuantiti Sodium Azide yang lebih banyak mereka boleh berhadapan dengan ancaman kesihatan yang lebih teruk. Mereka mungkin boleh terkena sawan, pengsan, kecederaan paru-paru atau kegagalan pernafasan yang membawa kepada kematian.
“Dos kecil Sodium Azide boleh menurunkan tekanan darah, dan dos yang lebih besar boleh menyebabkan kesan kesihatan yang lebih serius,” kata penasihat dari Health Canada. “ProClin juga terdapat dalam banyak kit. Ia mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan iritasi kulit dan mata, serta tindak balas alahan.”
Beberapa hospital di seluruh Amerika Syarikat berkata mereka telah menerima banyak panggilan telefon mengenai kes melibatkan bahan kimia itu.
“Kami mula terdedah kepada kit ujian ini sekitar awal November lalu,” kata Sheila Goertemoeller, ahli farmasi dan ahli toksikologi klinikal di Pusat Perubatan Hospital Kanak-kanak Cincinnati.
Menurutnya lagi, apa yang lebih membimbangkan ia terjadi kepada semua peringkat umur terutama kanak-kanak yang masih kecil.
Pendedahan secara tidak sengaja boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, kata Dr. Kelly Johnson-Arbor.
“Orang ramai mungkin tersalah anggap mereka sebagai ubat titis mata. Kanak-kanak mungkin terkena pada kulit mereka. Orang dewasa kadang-kadang tersilap meletakkan bahan kimia itu di mata mereka,” katanya lagi.
Tambahan lagi, kimia tersebut boleh menyebabkan reaksi seperti alahan atau ruam pada kulit. Bagi mereka yang sudah membeli kit ujian tersebut mereka dinasihatkan untuk tidak membuangnya tetapi perlu lebih berhati-hati ketika menggunakannya.
“Gunakannya dengan betul, buangnya dengan betul, dan ia tidak akan menyebabkan masalah,” kata Dr Jeffrey Jahre, dari Rangkaian Kesihatan Universiti St. Luke.
Jika ada orang di sekeliling anda yang telah tertelan bahan kimia tersebut, pakar mengesyorkan supaya individu tersebut tidak muntah dengan sengaja. Jika terkena pada mata, bilas dengan air suam selama 15 hingga 20 minit. Jika terkena pada kulit pula bersihkan dengan menggunakan air paip. Dapatkan rawatan dengan segera jika terdapat sebarang reaksi lain.
Terus bergelut dengan isu pelanggaran hak asasi manusia di China ditambah lagi dengan kegagalan Beijing untuk mematuhi perjanjian mereka sendiri seharusnya membawa kepada tindakan tegas di peringkat antarabangsa. Menurut Senator Rick Scott antara tindakan yang boleh diambil ke atas rejim itu ialah dari segi ekonomi, diplomatik, perundangan dan anti-pengintipan.
(Joshua Roberts/Getty Images)
“China telah memutuskan untuk menjadi musuh kita. Dan kita berada dalam Perang Dingin baharu yang mereka mulakan,” kata Scott kepada program ‘China Insider’ EpochTV pada Persidangan Conservative Political Action Conference di Orlando, Florida, pada 26 Februari.
“Kerajaan Parti Komunis China telah memutuskan untuk mencuri teknologi kita, mencuri pekerjaan kita, memenjarakan orang ramai kerana agama, mengambil hak asasi warga Hong Kong, meletakkan tentera di Laut China Selatan, (dan) melanggar setiap perjanjian yang pernah mereka tandatangani.”
Scott meminta perhatian yang lebih luas diberikan kepada krisis hak asasi manusia yang berterusan di China dan pelbagai bentuk penyelewengan, penipuan dan penindasan yang diamalkan oleh Parti Komunis China (PKC).
Beliau menekankan keperluan “untuk bercakap tentang kekejaman di China,” seperti kecurian PKC terhadap harta intelek AS, penganiayaan terhadap kumpulan agama, tindakan keras di Hong Kong, dan intimidasinya terhadap demokrasi di Taiwan.
Walaupun kebanyakan isu yang dibangkitkan mungkin kelihatan seperti masalah geopolitik yang besar dan menakutkan, Scott berkata, beliau menekankan tindakan yang boleh diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi memberi tekanan ke atas PKC.
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dengan memboikot barangan dari China untuk menghantar mesej mengenai isu buruh paksa di wilayah Xinjiang dan kezaliman lain, kata senator itu.
“Tiada seorang pun daripada kita yang patut membeli produk yang dibuat di China komunis. Tiada, kosong, tiada produk. Kita harus membeli produk buatan Amerika dan produk buatan sekutu kita,” kata Scott.
“Setiap kali anda memberi wang kepada syarikat China, anggap wang itu pergi kepada kerajaan China, yang mengawal keseluruhan ekonomi.”
Tugas kedua ialah dengan menesak PKC bertanggungjawab ke atas kekejaman mereka dalam pelanggaran perjanjian antarabangsanya, terutamanya kegagalan rejim itu untuk mematuhi komitmen yang dibuatnya semasa memasuki Pertubuhan Perdagangan Dunia pada 2001, kata Scott.
“Lihat [angka] terkini mengenai perjanjian perdagangan. Mereka tidak mematuhi perjanjian itu, dan kita perlu mula meminta mereka bertanggungjawab atas semua pembohongan mereka. Oleh itu, kerajaan kita perlu melakukan tugasnya, dan setiap ahli perniagaan perlu melakukan tugasnya. Tetapi ia bermula dengan anda supaya tidak membeli sebarang produk buatan China komunis,” katanya.
Scott telah menjadi pengkritik lantang terhadap kegagalan Beijing untuk meneruskan komitmen yang dibuat di bawah perjanjian perdagangan “fasa satu” yang ditandatangani pada Januari 2020, iaitu perjanjian untuk membeli sekurang-kurangnya $200 bilion lebih barangan AS pada 2020–21 daripada yang diimport China pada 2017.
Pada bulan Disember, senator itu menghantar surat kepada Wakil Perdagangan AS, Katherine Tsai, yang menuntut untuk mengetahui bagaimana pentadbiran Biden merancang untuk menangani kegagalan ini.
Selain meneruskan kebanyakan dasar perdagangan pentadbiran Trump berhubung dengan China, pentadbiran Biden masih belum menyatakan sepenuhnya pendekatan yang koheren untuk menangani penyalahgunaan perdagangan yang dilakukan Beijing.
Sebahagian daripada strategi PKC dalam Perang Dingin menentang Amerika Syarikat ialah dengan ‘masuk’ ke dalam masyarakat Amerika secara rahsia, kata senator itu.
“China Komunis telah melakukan segala cara untuk cuba menyusup masuk ke negara kita dengan mengupah pelobi dan dengan meminta pengintip bekerja di universiti kita,” kata Scott.
Senator itu juga membuat perbezaan kritikal antara PKC dan rakyat China, yang disifatkannya sebagai “hebat.” Pertengkarannya bukan dengan orang Cina tetapi dengan rejim yang “berbohong, menipu, dan mencuri,” tegas Scott.
Beliau berkata beliau bersetuju dengan undang-undang yang diperkenalkan baru-baru ini yang akan mengenakan sekatan secara langsung ke atas pegawai PKC dan keluarga mereka serta menghalang mereka daripada belajar di universiti di Amerika Syarikat.
“Saya mahu melakukan segala yang saya boleh untuk mendedahkan dengan tepat apa itu komunisme, apa itu sosialisme, dan apa kekejaman yang berlaku setiap hari,” katanya.
“Tiada syarikat, tiada individu di Amerika, yang boleh melakukan perniagaan dengan komunis China,” tambahnya lagi.
Dalam industri tertentu khidmat anjing adalah diperlukan. Anjing-anjing biasanya diperlukan di kilang-kilang, tapak pembinaa, kawasan industri dan perkebunan.
Namun begitu, apa yang menjadi masalah ialah anjing-anjing yang diambil ‘bekerja’ itu tidak dilakukan melalui saluran yang betul. Akibatnya, pihak industri akan sewenang-wenangnya membunuh anjing-anjing mereka selepas khidmat haiwan itu tidak diperlukan dan ia adalah sebuah tindakan yang kejam terhadap haiwan.
Baru-baru ini sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan sebuah kejadian di mana anjing-anjing diracun di sebuah tapak perindustrian.
Melalui laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia- Malaysia Animal Association mereka ada berkongsi bagaimana sekumpulan anjing diracun hingga mati selepas sebuah tapak perindustrian di Ipoh yang menjaga mereka memutuskan bahawa mereka tidak memerlukan khidmat anjing itu lagi.
Tidak pasti sama ada kakitangan tapak perindustrian meracuni anjing itu atau jika ada orang lain yang melakukan kerja-kerja itu.
Ekoran kejadian yang berlaku, NGO tersebut meminta pemilikan anjing industri mempunyai peraturan dan pelesenan yang lebih ketat bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang lagi pada masa hadapan.
“Kejadian tidak berperikemanusiaan pelaku yang meracun hingga mati puluhan anjing di Taman Cermin Ipoh Perak tidak harus dipandang ringan. Ia juga membuktikan keparahan masyarakat Malaysia yang semakin kejam dan hilang nilai maknusiawi,” tulis mereka.
“Sudah tiba masanya Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing & Rumah Pembiakkan Anjing dikaji semula dan diperketatkan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di negara ini.”
Mereka juga mencadangkan supaya pemilikan anjing oleh kilang-kilang, tapak pembinaan, kawasan industri dan perkebunan perlu diperkenalkan. Hal ini supaya pembiakan anjing tidak terkawal dapat dielakkan sekali gus dapat menghentikan dendam pembenci anjing hingga sanggup membunuh spesies itu.
Selain itu, peraturan mewajibkan pemandulan anjing hendaklah dikuatkuasakan terhadap semua pemegang lesen anjing untuk mengawal pembiakan yang tidak diperlukan dan seterusnya menyebabkan lambakan anjing.
Hal ini sebagai langkah pengawalan populasi anjing yang menimbulkan konflik keselesaan, hukum hakam agama dan isu keselamatan masyarakat suatu tempat.
Adalah penting bagi haiwan-haiwan ini diletakkan di tempat perlidungan atau badan khidmat yang boleh menyediakan penjagaan untuk anjing-anjing itu. Setidaknya haiwan-haiwan itu tidak ditinggalkan atau dibunuh begitu sahaja.
“Ini kerana kebanyakan masalah berkaitan anjing adalah datang daripada anjing yang ditinggalkan industri selepas khidmat anjing-anjing tersebut tidak diperlukan.”
“Oleh itu satu pendekatan pencegahan perlu dilaksanakan segera untuk kebaikan masa hadapan sebagai negara yang berkebajikan haiwan.” tulis mereka pada akhir status tersebut. Badan NGO tersebut turut menyeru orang ramai yang membuat laporan jika berlaku sebarang kekejaman haiwan di sekitar mereka.
Pihak berkuasa diharapkan agar dapat mengambil langkah yang sepatutnya dalam mewujudkan peraturan yang lebih ketat di samping penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas mereka yang terlibat.