KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 buah motosikal dan 4 kereta musnah 100 peratus dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri Kuala Lumpur, dalam kejadian awal pagi 4 Mac.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan dalam satu kenyataan, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 4.22 pagi.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit bagi mengawal kebakaran dengan menggunakan dua aliran bantu mula,” katanya dalam kenyataan itu.
Seramai 15 anggota bomba bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dan Gombak Selatan telah dikejarkan ke lokasi, menurut kenyataan itu.
Kita mungkin tersilap apabila melihat situasi ini, ketika seorang pak cik telah terlupa mengambil wang yang dia keluarkannya di ATM, dan seorang pemuda di belakangnya pula terlupa untuk memulangkannya secara jujur dan amanah. Sangkaan kita yang mungkin tersilap untuk menyatakan sesuatu yang tidak baik.
Seorang lelaki di Puchong sedang beratur di belakang seorang pak cik warga emas yang ketika itu mengeluarkan wang di ATM kedai serbaneka di Taman Puchong Perdana dan secara tidak sengaja telah pergi tanpa mengambil wang miliknya.
Laman Facebook We are Malaysians berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai insiden lelaki itu kelihatan bersikap tidak jujur, yang mencetuskan komen kecoh di kalangan warganet.
“Kasihan… pak cik terlupa mengambil wang itu. Lelaki berbaju biru, tolong pulangkan wang itu kepada pak cik,” We are Malaysians dalam hantaran video di Facebook.
Dalam video itu, pak cik ini dilihat menggunakan ATM manakala lelaki berbaju biru masuk dan beratur di belakangnya. Lelaki warga emas itu kemudian mengeluarkan kad ATM miliknya dari mesin ATM dan segera berlalu pergi, membawa barangan yang dibeli tetapi meninggalkan wangnya yang tergantung di slot ATM.
Semasa lelaki berbaju biru memasukkan kadnya, dia melihat wang itu, dan dengan spontan mengeluarkannya dan kelihatan memasukkannya ke dalam poket seluarnya. Dia kemudian mengeluarkan resit transaksi pak cik itu dan meletakkannya di atas ATM.
Lelaki itu dilihat menjenguk dan memandang ke luar tingkap kedai serbaneka, kononnya melihat keluar ke arah pak cik itu, jikalau dia akan kembali mengambil wangnya.
Dia kemudian memasukkan kadnya sendiri ke dalam ATM, memasukkan kod laluan tetapi segera membatalkan transaksi sebelum berjalan pergi.
Perkongsian video itu turut mendapat perkongsian nasihat tentang bagaimana pak cik itu boleh mendapatkan semula wangnya, jika lelaki berbaju biru terbabit tidak tampil memulangkan wangnya.
Ramai yang menegaskan oleh kerana lelaki berbaju biru itu memasukkan kadnya ke dalam ATM, bank itu akan dapat mengesan identitinya.
“Laporkan kepada bank. Terdapat rakaman CCTV, pak cik boleh mendapatkan semula wang itu. Jika lelaki berbaju biru itu mendiamkan diri dan menggunakan wang itu, ia dikira sebagai jenayah.”
“Bank boleh mengesan butiran akaun lelaki baju biru itu, dan boleh menuntut kembali wang daripadanya dan memasukkannya ke dalam akaun pak cik.”
Yang lain secara berseloroh berkata lelaki berbaju biru itu mendapat ‘rezeki terpijak’.
Diharapkan agar kita semua sebenarnya telah tersalah sangka, apabila lelaki berbaju biru itu rupa-rupanya meninggalkan ATM untuk memulangkan wang itu semula kepada pak cik.
Untuk tahun 2022, anda akan dapat menyaksikan 8 hujan meteor dan tidak perlu menunggu lama untuk yang pertama.
Menurut Time and Date dalam jadual untuk sepanjang tahun, hujan meteor pertama di Malaysia akan dapat dilihat pada 22 hingga 23 April.
Berikut adalah senarai hujan meteor yang boleh anda jangkakan pada tahun 2022 dan bila anda boleh saksi dan merakam kesemuanya.
Perlu diingatkan juga hujan meteor mungkin kelihatan pada bila-bila masa sepanjang malam, tetapi jangka masa tepat yang diberikan mempunyai darjah penglihatan yang terbaik. Tarikh yang diberikan juga dijangka menjadi tarikh puncak hujan meteor masing-masing mengikut jadual Time and Date untuk Malaysia.
1. Hujan Meteor Lyrid (22-23 April)
Space.com (Gambar oleh Daniel Reinhardt/DPA/AFP/Getty Images)
Hujan Meteor Lyrid biasanya aktif antara 16 dan 25 April setiap tahun. Menurut beberapa teks sejarah China, Lyrid telah dilihat sejak 2,500 tahun dahulu.
Hujan meteor kedua dijangka berlaku pada Hari Raya Aidilfitri. Mungkin kita beraya dengan hujan meteor tahun ini? Juga dikenali sebagai Eta Aquariid, hujan meteor ini dinamakan sempena bintang paling terang dalam buruj itu. Eta Aquariid ialah 1 daripada 2 hujan meteor yang tercipta oleh serpihan Komet Halley.
Selepas 2 hujan meteor pertama, anda mungkin perlu menunggu berbulan sedikit sebelum hujan meteor ketiga berlaku pada bulan Ogos. Terhasil daripada serpihan angkasa kecil komet Swift-Tuttle, Perseid dinamakan sempena buruj Perseus. Pada kemuncaknya, seseorang boleh melihat 60 hingga 100 hujan meteor dalam masa sejam dari tempat yang gelap.
Time and Date telah mengkategorikan darjah penglihatan untuk Perseid sebagai sangat tidak jelas kepada tidak jelas. Namun begitu, anda boleh catatkan sahaja masa untuk tidak ketinggalan menyaksikannya.
Keterlihatan terbaik: 12:00 tengah malam – 6:00 pagi.
2 bulan kemudian untuk hujan meteor seterusnya pada akhir Oktober. Juga dikenali sebagai Giacobinid, Draconid berhutang nama mereka kepada buruj Draco the Dragon dan dicipta apabila Bumi melalui serpihan debu yang ditinggalkan oleh komet 21P/Giacobini-Zinner.
Keterlihatan terbaik: 8:00 malam – 2:00 pagi (Keterlihatan selepas 2:00 pagi dikategorikan sebagai sangat lemah)
Hujan meteor Orionid ialah hujan meteor kedua yang dicipta oleh Komet Halley dan biasanya berlaku pada akhir Oktober. Orionid dinamakan sempena Orion kerana meteor kelihatan muncul atau memancar dari kawasan yang sama di langit dengan buruj.
Keterlihatan terbaik: 12:00 tengah malam – 5:00 pagi.
Beberapa minggu selepas Orionid datang pula Leonid. Hujan meteor ini dipanggil Leonid kerana sinarannya, atau titik di langit di mana meteor kelihatan terbit dari terletaknya buruj Leo.
Geminid dianggap sebagai salah satu hujan meteor yang paling menakjubkan pada tahun ini. Ada kemungkinan untuk melihat kira-kira 120 meteor per jam pada puncaknya. Tidak seperti kebanyakan hujan meteor lain, Geminid tidak dikaitkan dengan komet tetapi dengan asteroid iaitu 3200 Phaethon.
Pada akhir tahun, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan hujan meteor Ursid sebelum semua orang mengucapkan selamat tinggal kepada 2022. Hujan meteor menjelang Krismas berbunyi sempurna buat kalangan pencinta astronomi.
Pada kemuncaknya, pemerhati mungkin dapat melihat sebanyak 10 meteor dalam masa sejam. Nama itu berasal dari arah yang kelihatan memancarkan meteor dari Ursa Minor di langit.
Jika anda tiada peralatan untuk melihat hujan meteor, tidak perlu bimbang. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah memerhatikan langit yang cerah dengan penuh kesabaran.
Jangan lupa catat dan simpan tarikh-tarikh ini serta berdoa cuaca terbaik akan menyebelahi anda semua.
Kita sudah sedia maklum bagaimana sukarnya kehidupan rakyat Palestin. Dijajah dan dilayan buruk di tanah air sendiri pastinya bukan sesuatu yang manis untuk dilalui. Saban hari ada sahaja kekejaman yang dilakukan oleh pihak Israel untuk menyakiti penduduk Palestin. Tahun berlalu namun kezaliman terus dilakukan tanpa belas kasihan.
Faham dengan apa yang berlaku banyak badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk membantu. Walaupun bantuan yang dihulurkan tidak mampu menghentika kekejaman Israel namun setiap pertolongan diharapkan dapat mengurangkan sedikit kesukaran yang dihadapi rakyat tempatan di sama.
Baru-baru ini kita dikhabarkan dengan sedikit berita gembira apabila badan Pertahanan Awam Palestin kini dikatakan berjaya memiliki trak bomba mereka sendiri. Trak tersebut merupakan trak pertama buatan tempatan yang berjaya dihasilkan dengan kerjasama NGO, Cinta Gaza Malaysia bersama-sama MyAqsa Defenders.
Trak berkenaan dicipta dan direka oleh pakar, jurutera serta juruteknik Palestin di Semenanjung Gaza dan berjaya disiapkan dalam masa kurang daripada tiga bulan.
Menerusi status yang dimuat naik oleh MyAqsa Defenders di laman Facebook rasminya, mereka turut memberitahu bahawa trak tersebut kini telah sudah bersedia untuk beroperasi di lapangan.
“Alhamdulillah dengan izin Allah siapkan juga trak Bomba Gaza, Palestin dan inilah yang pertama “Made In Gaza”. Sumbangan kalian tidaklah sia-sia melainkan terus memberi manfaat buat mereka yang sedang berjuang membina negara.
“Kita berharap agar trak-trak Bomba yang bakal keluar mampu menjadi pasukan respons yang ke hadapan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.
“Syukran Ya Malizi! (terima kasih Malaysia!),” katanya.
Untuk pengetahuan semua, trak ini adalah trak pemadam api yang pertama di Semenanjung Gaza yang boleh membawa lebih dari 5700 liter air. Trak ini juga adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang telah sama-sama berjuang untuk rakyat Palestin dan semestinya demi pembebasan Baitul Maqdis.
Berita gembira ini turut dikongsikan oleh pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri di Facebook miliknya.
Made in Gaza, Funded By Malaysia
Fire-truck pertama buatan tempatan, di Palestin bersedia untuk berkhidmat di bumi Gaza. Memang seram sejuk apabila melihat video trak ini beraksi mashaAllah. Tak sangka kita boleh sampai ke tahap ini dalam khidmat kita kepada bumi yang telah dikepung ini.
Alhamdulillah hari ini sejarah sekali lagi tercipta, kerana memang sejarah ditulis oleh tangan-tangan kita sendiri melalui perancangan yang teratur dan berkesan.
Trak pertama sumbangan MyAqsa Defenders ini akan melalui fasa percubaan dan sekiranya melepasi tempoh tersebut, 4 buah trak lagi akan dihasilkan sumbangan Cinta Gaza Malaysia pula.
Dunia hari ini adakalanya agak menakutkan. Banyak kejadian jenayah boleh berlaku di mana sahaja termasuk di tempat awam. Hal ini menunjukkan bahawa penjenayah sudah semakin berani untuk menunjukkan diri mereka asalkan mereka mendapatkan apa yang mereka mahukan.
Seorang pengguna TikTok bernama Adrian, baru-baru ini telah berkongsi pengalamannya berhadapan dengan tiga orang penipu (scammer) yang berbeza di Stesen MRT Merdeka semasa dia menunggu kereta api untuk ke Bukit Bintang.
Dalam TikTok yang telah tular itu, Adrian menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku pada 2 Mac, sekitar jam 2:38 petang.
Jelasnya, 4 minit sebelum kereta api yang ditunggu tiba, seorang pak cik berbangsa Cina menghampirinya dan bertanya sama ada dia boleh bercakap bahasa Cina.
“Saya mengandaikan bahawa dia memerlukan bantuan untuk menunjukkan arah jadi saya berkata ya. Dia mula memberitahu saya bahawa dia telah ditipu oleh rakannya dan sekarang dia tidak memiliki wang dan bertanya kepada saya sama ada saya boleh memberinya sedikit wang untuk membeli tiket bas pulang ke Johor.”
“Saya minta maaf saya tidak mempunyai wang dan saya tidak pernah meminjamkan wang tunai kepada sesiapa, malah rakan terdekat saya,” tambah Adrian.
Lelaki itu kemudiannya dengan beraninya meminta Adrian untuk pergi ke ATM berhampiran bersamanya untuk mengeluarkan wang.
Pada mulanya Adrian berfikir bahawa pak cik tersebut mempunyai kad ATM tetapi tidak tahu menggunakannya tetapi rupa-rupanya dia meminta Adrian menggunakan kad ATM miliknya untuk mengeluarkan duit dan memberikan duit itu kepadanya.
Semasa sedang bercakap, dua minit sebelum kereta apinya tiba, seorang lelaki lain mendekatinya dan memberitahunya perkara yang sama.
Berhadapan dengan keadaan itu membuatkan Adrian berasa tidak selamat. Dia kemudian segera meninggalkan kawasan itu dan pergi ke seberang platform. Dia juga cuba memberitahu polis atau mana-mana kakitangan, tetapi tiada sesiapa pun ada di situ.
Dia mula berfikir semuanya sudah berakhir tetapi seminit sebelum kereta apinya muncul datang pula seorang lelaki India menghampirinya. Lelaki itu kemudian bertanya kepadanya bagaimana untuknya pergi ke Nilai. Adrian kemudian memberitahu lelaki itu cara untuk pergi ke KL Sentral.
“Dia kemudian bertanya kepada saya sama ada saya boleh meminjamkan RM20 kepadanya. Kereta api tiba tepat pada masanya dan sebaik pintu dibuka, saya terus berlari ke kereta api,” katanya.
“Seorang cuba menipu? baiklah. Tetapi ada tiga orang meminta saya wang dalam tempoh empat minit, di stesen MRT Merdeka. Adakah anda memberitahu saya ini adalah satu kebetulan? RapidKL di mana keselamatan kamu?”
Adrian juga mendedahkan bahawa Pasukan Tindakan Khas (SAT) RapidKL telah menghubunginya dan pihak SAT sedang mendapatkan semula rakaman CCTV kejadian itu dan akan memastikan dia mendapat berita terkini.
Video Adrian telah ditonton lebih daripada 120,000 tontonan. Ramai netizen berkongsi pengalaman serupa yang pernah mereka hadapi di stesen dan menggesa RapidKL meningkatkan tahap keselamatan mereka.
Sementara itu, menurut Adrian dia hanya cuba untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan tiada niat untuk menyebarkan sebarang berita negatif terhadap RapidKL.
“RapidKL perlu meningkatkan keselamatan mereka di semua stesen. Macam mana tiga orang cuba nak minta duit dari saya dalam masa empat minit. Jelas sekali terdapat sindiket aktif mencari sasaran di sekitar kawasan.”
Dia juga mencadangkan supaya meletakkan sekurang-kurangnya seorang kakitangan di setiap stesen untuk memantau keadaan di sana. Dengan hal itu orang ramai akan berasa lebih selamat kerana ada seseorang yang boleh menjaga kawasan daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
Bukan mudah untuk bergelar ibu terutama jika memiliki anak-anak yang masih kecil. Pastinya keadaan rumah pasti akan menjadi ‘huru-hara’ dengan segala benda yang disepahkan mereka. Kerja-kerja mengemas biasanya tidak akan berhenti. Mana tidaknya, baru lima minit dikemas, sekejap sahaja ruang rumah sudah menjadi huru-hara semula.
Tidak kira sama ada ibu itu bekerja atau sebaliknya, tugas di rumah tidak akan pernah berhenti. Kerja mereka bermula awal-awal pagi lagi, saat tiada seorang ahli keluarga yang bangun dan tugas mereka hanya akan selesai lewat malam. Itu pun kadangkala masih ada kerja rumah yang tidak sempat disiapkan.
Bagi yang kurang faham dengan tugas seorang ibu atau jika ada yang mengatakan tugas mereka adalah sesuatu yang mudah tonton sendiri video di bawah dan lihat sendiri bagaimana seorang ibu kepada tiga orang anak kecil mengurus rumahnya.
Kerja-kerjanya bermula di dapur. Lihat sendiri betapa kotor dan berseleraknya dapurnya dan dia dengan kesungguhan terus mengemasnya, tanpa dibantu oleh sesiapa pun. Tidak hanya itu, terkadang ada anak kecilnya datang kepadanya mungkin mahu meminta sesuatu.
Ruang tamu adalah antara ruang yang tidak akan berada dalam keadaan teratur terutama jika ada anak kecil di rumah. Sekejap mereka boleh bermain masak-masak dan tidak lama selepas itu mereka boleh bermain ‘perang-perang’. Hasilnya, ruang tamu akan kelihatan betul-betul seperti medan perang.
Pakaian adalah sesuatu yang leceh untuk diuruskan. Bermula dengan mengumpul semua pakaian kotor, basuh, sidai, lipat dan letakkan semula ke dalam almari… dan bayangkan pula berapa orang ahli keluarga dan berapa kali pakai ditukar setiap hari. Hasilnya dalam sehari mungkin tidak sebanyak itu tetapi satu hari mengurus pakaian sahaja sudah letih dibuatnya.
Tidak hanya pakaian, selepas siap mengantung baju di dalam almari, bilik juga perlu dikemas. Katil perlu dirapikan. Kalau perlu cadar dan sarung bantal perlu ditukar. Lantai pula perlu dibersihkan daripada segala kotoran atau habuk.
Kerja-kerja si ibu tidak akan pernah berhenti. Setiap hari mereka akan mengulang hal yang sama. Ya, ianya sangat meletihkan dan memenatkan tetapi mereka tidak pernah merungut. Namun begitu, itu tidak bermaksud mereka perlu terus dilayan begitu. Hargailah mereka, bantu mereka dan berterima kasih atas setiap peluh mereka mengurus rumah.
Sepatutnya pada usia 89 tahun, warga emas Derlin Newey tidak perlu bekerja lagi dan boleh hidup dengan baik membelanjakan wang persaraannya.
Tetapi Derlin, warga emas yang menghampiri usia 90 tahun bekerja keras selama 30 jam seminggu sebagai penghantar piza Papa John di kejiranannya yang terletak di Roy, Utah demi kelangsungan hidup.
Untuk dijadikan kisah menyentuh hati kerana keramahan dan kebaikan hati Derlin terhadap semua pelanggannya, dia menerima rezeki tip besar hasil usaha seorang bintang TikTok yang memulakan kutipan derma untuknya.
Mulanya warga emas ini kerap menghantar piza ke rumah bintang TikTok popular Carlos Valdez dan dia merakam video Derlin dengan keramahan hatinya yang secara tidak disangka telah mengubah hidupnya buat selama-lama.
Carlos Valdez merakam interaksi keluarganya dengan Derlin Newey – yang berdiri di ambang pintu dan mereka gembira menikmati perbualan mesra itu yang termasuk dengan beberapa jiran lain. Derlin melayan mereka dengan cara yang sama.
Rakaman itu kemudiannya dimuat naik ke laman TikTok Valdez @vendingheads, di mana ia segera menjadi tular.
Peminat Valdez jatuh cinta dengan pekerja rajin Derlin Newey yang baik hati, dan ramai yang tertanya-tanya mengapa dia masih bekerja ketika usianya menghampiri 90 tahun.
Carlos Valdez kemudiannya mendapat idea untuk memulakan kutipan derma untuk pekerja warga emas itu.
Bintang TikTok ini membuka akaun kutipan derma melalui platform Venmo, dan ramai yang menyumbang dari pelosok negara dengan menghantarkan wang derma untuk Derlin. Keluarga Valdez telah berjaya mengumpul AS$12,069 (RM50,400) dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Selepas itu, Carlos Valdez dan isterinya menziarah ke rumah mudah alih Derlin Newey untuk menyampaikan ‘tip’ AS$12,069 itu kepada pekerja penghantaran piza paling disayangi semua orang di Amerika Syarikat.
“Kami secara kolektif mengumpulkan hadiah ini untuk anda, dan saya di sini hanya menyampaikan hadiah ini kepada anda bagi pihak komuniti TikTok yang sayangkan anda,” kata Carlos kepada Derlin.
Rakaman TikTok pemberian tip besar itu telah membuatkan Derlin berasa sebak dan terus menangis.
“Bagaimana saya boleh mengucapkan terima kasih dengan pemberian ini? Tidak tahu hendak cakap apa, saya betul tidak percaya semua ini,” ketika Derlin menangis teresak-esak.
“Kita hanya perlu melayan semua orang dengan baik dan penuh rasa hormat, seperti yang dia lakukan. Derlin sebenarnya yang mencuri hati kita,” kata Carlos Valdez.
Bulan hampir ditenggelami oleh 3 tan sampah angkasa lepas, satu rempuhan yang akan membentuk kawah dengan muatan beberapa treler semitraktor.
Sisa dari roket itu bakal merempuh bahagian jauh bulan pada kelajuan 5,800 mph pada jangkaan hari Jumaat, yang terlalu jauh untuk dilihat dengan teleskop. Ia mungkin mengambil masa berminggu-minggu, malahan berbulan-bulan, untuk mengesahkan kesan rempuhan itu melalui imej satelit.
Ia telah jatuh secara tidak sengaja melalui ruang angkasa, dan pakar percaya sejak China melancarkannya hampir sedekad lalu. Tetapi pegawai China meragui dan mungkin menafikan itu milik mereka.
Rakaman bulan pada 2011. (Gambar oleh NASA/Goddard/Arizona State University/AP)
Tidak kira siapa yang punya, saintis menjangkakan objek itu akan mengukir lubang sepanjang 33 kaki hingga 66 kaki (10 hingga 20 meter) dan menghantar debu bulan terbang ratusan kilometer melintasi permukaan bulan yang tandus dan berbintik-bintik.
Sisa angkasa lepas yang mengorbit rendah agak mudah untuk dikesan. Objek yang dilancarkan lebih dalam ke angkasa tidak mungkin mengenai apa-apa dan kepingan-kepingan yang jauh ini biasanya akan segera dilupakan, kecuali oleh segelintir pemerhati yang gemar bermain peranan sebagai detektif cakerawala.
SpaceX pada asalnya mengambil peranan untuk sisa ke bulan yang akan datang selepas penjejak asteroid Bill Gray mengenal pasti laluan pelanggaran pada bulan Januari. Beliau membetulkan dirinya sebulan kemudian, mengatakan objek “misteri” itu bukan pentas atas roket SpaceX Falcon dari pelancaran 2015 sebuah balai cerap iklim angkasa lepas untuk NASA.
Gray berkata ia berkemungkinan peringkat ketiga roket China yang menghantar kapsul sampel ujian ke bulan dan kembali pada 2014. Tetapi pegawai kementerian China berkata pentas atas roket itu telah memasuki semula atmosfera Bumi dan terbakar.
Tetapi terdapat dua misi China dengan gelaran yang sama—penerbangan ujian dan misi pemulangan sampel bulan 2020—dan pemerhati Amerika Syarikat percaya kedua-duanya telah bercampur aduk.
Space Command Amerika Syarikat yang menjejaki sisa angkasa lepas, mengesahkan pada hari Selasa bahawa pentas atas dari misi lunar China pada 2014 tidak pernah mengelilingi orbit, seperti yang ditunjukkan sebelum ini dalam pangkalan datanya. Tetapi ia tidak dapat mengesahkan negara asal untuk objek yang akan merempuh bulan.
“Kami memberi tumpuan kepada objek yang lebih dekat dengan Bumi,” kata seorang jurucakap Space Command dalam satu kenyataan.
Bill Gray, seorang ahli matematik dan fizik, berkata beliau yakin yang ia adalah sisa roket China.
“Saya menjadi lebih berhati-hati dengan perkara seperti itu. Tetapi saya benar-benar tidak nampak apa-apa cara ia boleh menjadi perkara lain,” katanya.
Jonathan McDowell dari Harvard and Smithsonian Center for Astrophysics menyokong penilaian Gray yang disemak, tetapi menyatakan, “Kesannya akan sama. Ia akan meninggalkan satu lagi kawah kecil di bulan.”
Gambar oleh Andrew McCarthy/@cosmic_background
Bulan sudah mempunyai kawah yang tidak terkira banyaknya, antara 1,600 batu (2,500 kilometer). Dengan sedikit atau tiada suasana sebenar, bulan tidak berdaya melawan serangan meteor dan asteroid yang berterusan, dan kapal angkasa yang datang sekali-sekala, termasuk beberapa yang sengaja terhempas demi sains. Tanpa cuaca, tiada hakisan dan kawah hentaman adalah kekal selama-lamanya.
China mendarat di bahagian jauh bulan, tetapi ia akan menjadi terlalu jauh untuk mengesan kesan itu di utara khatulistiwa. Lunar Reconnaissance Orbiter NASA juga akan berada di luar jangkauan. Tidak mungkin Chandrayaan-2 dari India yang mengorbit bulan akan melaluinya juga.
“Saya sudah lama mengharapkan sesuatu yang signifikan merempuh bulan. Sebaik-baiknya, ia akan melanda bahagian dekat bulan pada satu ketika di mana kita benar-benar dapat melihatnya,” kata Gray.
Selepas menuding jari kepada SpaceX milik Elon Musk, Gray melihat sekali lagi selepas seorang jurutera di Makmal Pendorong Jet NASA mempersoalkan dakwaannya. Kini, beliau “cukup diyakinkan dengan teliti” ia adalah bahagian roket China, berdasarkan bukan sahaja pada penjejakan orbit kembali dari pelepasan 2014, tetapi juga data yang diterima daripada eksperimen radio ham jangka pendeknya.
Pusat Kajian Objek Berdekatan Bumi JPL menyokong penilaian semula Gray. Pasukan Universiti Arizona juga baru-baru ini mengenal pasti segmen roket Long March China daripada cahaya yang dipantulkan melalui catnya, semasa pemerhatian teleskop ke atas silinder yang bergerak.
Panjangnya kira-kira 40 kaki (12 meter) dan diameter 10 kaki (3 meter), dan melakukan balik kuang pada setiap dua hingga tiga minit.
Gray berkata SpaceX tidak pernah menghubunginya untuk mencabar tuntutan asal itu. Tidak ada dari China juga.
Gambar bulan yang dirakam dari Berlin, Jerman pada 11 Januari 2022. (Gambar oleh Michael Sohn/AP)
“Ia bukan masalah SpaceX, dan juga bukan masalah China. Tiada siapa yang sangat berhati-hati tentang apa yang mereka lakukan dengan sampah di orbit semacam ini,” kata Gray.
Menjejaki sisa misi angkasa lepas seperti ini sukar, menurut McDowell. Graviti bulan boleh mengubah laluan objek semasa ‘flyby’, mewujudkan ketidakpastian. Dan tiada pangkalan data yang tersedia, kata McDowell, selain daripada yang “disatukan” oleh dirinya sendiri, Gray dan beberapa yang lain.
“Kita kini berada dalam era di mana banyak negara dan syarikat swasta meletakkan barang-barang mereka di ruang angkasa, jadi sudah tiba masanya untuk mula menjejakinya. Buat masa ini tiada siapa, hanya beberapa peminat yang mengisi masa lapang mereka,” kata Jonathan McDowell.
Loji nuklear terbesar di Eropah, Zaporizhzhia di Ukraine terbakar pada awal pagi Jumaat waktu tempatan selepas serangan oleh tentera Rusia.
Jurucakap loji Zaporizhzhia, Andriy Tuz mengesahkan dalam video yang disiarkan melalui Telegram bahawa salah satu daripada enam reaktor itu terbakar, tetapi reaktor itu tidak digunakan.
“Terdapat ancaman sebenar bahaya kebocoran di stesen janakuasa tenaga nuklear terbesar di Eropah,” katanya.
Beliau memberitahu televisyen Ukraine bahawa peluru kereta kebal terjatuh terus ke loji Zaporizhzhia, tetapi reaktor yang terbakar sedang dalam pengubahsuaian dan tidak beroperasi. Walau bagaimanapun terdapat bahan api nuklear di dalamnya, lapor AP.
Gambar Daily Mail
Anggota bomba tidak dapat mendekati loji kerana mereka ditembak, kata Tuz.
Rakaman siaran langsung menunjukkan barisan kenderaan tentera menembak ke arah bangunan di loji nuklear, menyebabkan api marak dan mencetuskan kebimbangan berlakunya bencana radiasi di negara itu yang kini diceroboh tentera Rusia.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan, kira-kira sejam sebelum subuh di Ukraine pada hari Jumaat, pegawai nuklear negara itu berkata kebakaran tidak menjejaskan peralatan ‘penting’.
IAEA berkata kakitangan loji telah ‘mengambil langkah mitigasi’.
Ketika huru-hara berlaku, seorang pegawai Kyiv memberitahu AP bahawa tahap radiasi yang tinggi telah dikesan berhampiran tapak loji itu. Jurucakap loji kemudian berkata ia kekal pada tahap normal, dan saluran TV 24 Ukraine memetik pengarah loji berkenaan berkata ‘keselamatan radiasi’ telah dijamin.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa berkata mereka amat bimbang – tetapi menekankan tiada peningkatan dalam tahap sinaran telah dilaporkan.
Kementerian Tenaga Atom Ukraine berkata salah satu daripada enam unit jana kuasa di loji itu telah disambar api dalam kebakaran akibat serangan Rusia. Zaporizhzhia mempunyai enam reaktor nuklear dan menghasilkan hampir satu perempat tenaga di Ukraine.
Gambar Daily Mail
Pegawai pada mulanya melaporkan tentera Rusia menghalang pasukan kecemasan daripada menghampiri bahagian kebakaran dalam unit yang menempatkan bahan radioaktif, tetapi media tempatan kemudian berkata anggota bomba kini sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran.
Dmytro Kuleba, Menteri Luar Ukraine berkata terdapat ‘tembakan dari kedua belah pihak’ dalam pertempuran berhampiran loji itu.
“Tentera Rusia menembak dari semua arah ke Zaporizhzhia, loji tenaga nuklear terbesar di Eropah,” maklumnya di Twitter.
“Kebakaran telah pun berlaku. Jika ia meletup, ia akan menjadi 10 kali lebih besar daripada Chernobyl! Rusia mesti SEGERA menghentikan kebakaran, membenarkan anggota bomba masuk, mewujudkan zon keselamatan!” katanya.
Kuleba merujuk bencana loji kuasa nuklear Chernobyl tahun 1986 di utara negara itu, ketika Ukraine dibawah Kesatuan Soviet.
Tetapi selepas beberapa jam ketidakpastian, pihak berkuasa Ukraine berkata tapak berada dalam keadaan selamat.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menuduh Rusia sebagai pencetus ‘keganasan nuklear’ dan mahu mengulangi bencana Chernobyl yang dikenali sebagai bencana nuklear terburuk dalam sejarah dunia.
“Anda tahu perkataan ‘Chernobyl’. Tiada negara selain Rusia yang pernah menembak unit kuasa nuklear. Ini adalah kali pertama dalam sejarah, dalam sejarah umat manusia. Negara pengganas kini menggunakan keganasan nuklear,” katanya dalam mesej video pada pagi Jumaat, sambil menyeru Rusia untuk menghentikan serangan.
Gambar Daily Mail
Sementara itu, jurucakap Amerika Syarikat dan United Kingdom berkata situasi itu sebagai ‘membimbangkan’, sambil menambah, “Kedua-dua pemimpin bersetuju Rusia mesti segera menghentikan serangannya ke atas stesen janakuasa nuklear dan membenarkan akses tanpa halangan untuk menghantar perkhidmatan kecemasan ke loji itu”.
“Perdana Menteri berkata tindakan melulu Presiden Putin kini secara langsung boleh mengancam keselamatan seluruh Eropah. Beliau berkata UK akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan keadaan tidak bertambah buruk,” kata jurucakap Boris Johnson.
Kedua-dua pemimpin kuasa besar itu bersetuju gencatan senjata adalah penting.
Pertempuran sengit antara tentera Ukraine dan Rusia ketika mereka berjuang untuk menguasai wilayah pengeluar tenaga utama. Datuk bandar Dmytro Orlov yang melaporkan kebakaran itu menambah terdapat korban tanpa memberikan butiran.
“Akibat serangan berterusan musuh ke atas bangunan dan unit loji tenaga nuklear terbesar di Eropah, loji kuasa nuklear Zaporizhzhia terbakar,” kata Orlov, memetik apa yang disebutnya sebagai ancaman kepada keselamatan dunia.
Video menunjukkan api dan asap hitam kelihatan di bandar yang berpenduduk lebih 50,000, dengan orang ramai merakam di sebalik kereta yang rosak, hanya sehari selepas agensi pemerhati atom PBB menyatakan kebimbangan besar pertempuran boleh menyebabkan kerosakan tidak sengaja ke atas 15 reaktor nuklear di Ukraine.
Pihak berkuasa Ukraine melaporkan tentera Rusia sedang meningkatkan usaha untuk merampas loji itu dan telah memasuki bandar dengan kereta kebal pada Khamis, dalam usaha untuk memenangi kawalan wilayah pengeluar tenaga utama.
Gambar Daily Mail
Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan NATO telah menolak permintaan Ukraine untuk mewujudkan zon larangan terbang kerana langkah itu secara langsung akan menyaingi tentera Rusia dan Barat, dengan kebimbangan tindakan sedemikian boleh menjadi percikan yang mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Zaporizhzhia ialah tapak nuklear terbesar di Ukraine dan Eropah, dengan enam daripada 15 reaktor di negara itu.
Rusia telah pun menawan loji nuklear Chernobyl yang telah ditamatkan operasinya, tempat kejadian bencana nuklear terburuk di dunia pada tahun 1986.
Penyelidikan oleh pakar Greenpeace International mendapati, dalam senario terburuk di mana letupan memusnahkan sistem pembendungan dan penyejukan reaktor di Zaporizhzhia, ia boleh mencipta bencana yang jauh lebih teruk daripada Fukushima di Jepun pada 2011.
Gambar Daily Mail
Pada hari Rabu, orang awam Ukraine membina sekatan jalan raya sementara dengan lori jingga terang dan longgokan tayar di laluan utama ke tapak Zaporizhzhia.
Mengibarkan bendera Ukraine, tentera sukarelawan membina sekatan manusia berhampiran bandar Enerhodar untuk menghentikan kemaraan tentera Rusia.
Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan sekatan itu, dilaporkan sepanjang satu kilometer dan terdiri daripada sekerap kereta, lori sampah dan beg pasir.
Anton Gerashchenko, penasihat kepada kementerian dalam negeri Ukraine, memberi amaran pada hari Rabu bahawa Rusia boleh mencipta ‘Chernobyl baharu’ jika loji itu rosak.
‘Kerana kegilaan Vladimir Putin, Eropah sekali lagi berada di ambang malapetaka nuklear,’ tulisnya di Facebook.
Gambar Daily Mail
Rusia telah menulis surat kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dengan menyatakan tenteranya telah menguasai kawasan sekitar loji itu.
Badan pemerhati nuklear PBB berkata Moscow mendakwa juruteknik di Zaporizhzhia meneruskan ‘kerja mereka untuk menyediakan keselamatan nuklear dan memantau sinaran dalam mod operasi biasa’.
“Tahap sinaran kekal normal,” kata mereka.
Ketua IAEA Rafael Grossi memberi amaran sebarang “kemalangan yang melibatkan kemudahan nuklear di Ukraine boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar”.
Kemalangan jalan raya boleh sahaja berlaku kepada sesiapa sahaja. Terkadang kita sudah sangat berhati-hati tetapi ada pula kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan. Akibatnya, kita mungkin akan mengalami kemalangan- tidak kira sama ada kemalangan kecil mahupun serius.
Apa yang lebih membimbangkan jika kemalangan yang berlaku melibatkan pihak ketiga. Kita bukan sahaja perlu memikirkan keadaan sendiri tetapi dalam masa yang sama perlu bertanggungjawab ke atas mereka yang terlibat.
Baru-baru ini tular sebuah video di laman sosial TikTok di mana seorang wanita berhadapan dengan detik cemas apabila dia terlibat dalam sebuah kemalangan. Dia dengan secara tidak sengaja telah terlanggar sebuah kereta di hadapannya. Kebiasaannya, jika hal itu berlaku pemandu (mangsa) pasti akan marah dan paling tidak pun akan meminta ganti rugi. Namun, berbeza kali ini semua adegan tersebut tidak berlaku.
Wanita bernama Shuhada Mohamad yang berusia 27 tahun itu dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja apabila dia mengalami kemalangan berhampiran Lebuhraya Persekutuan. Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi dan saat itu jalan kelihatan sibuk dengan kenderaan.
Apa yang terjadi ialah ketika dia cuba menekan brek keretanya, dia secara tidak sengaja telah terlanggar kereta di hadapan. Hal ini kerana brek keretanya sudah haus dan tidak dapat berhenti dengan baik.
Memandangkan ini kali pertama dia mengalami kemalangan, Shuhada panik dan sangat cemas kerana dia menyangka pemilik kereta di hadapannya akan memarahinya.
Selepas keluar dari kereta, dia memohon maaf bersungguh-sungguh kepada pemandu itu yang merupakan seorang wanita. Dia kemudian meminta wanita itu pergi ke bengkel bersamanya.
Bagaimanapun, wanita berusia 40-an itu menolak kerana ketika itu dia dalam keadaan sibuk dan tidak mempunyai masa. Melihat Shuhada yang panik dan cemas dia kemudian cuba menenangkan Shuhada.
“Jangan risau, ia cuma sedikit (kerosakan). Tidak mengapa, semua orang melakukan kesilapan,” ujar wanita baik hati itu.
Selepas bertukar nombor telefon, mereka meneruskan perjalanan masing-masing.
Apa yang menarik ialah selepas pemilik kereta Honda pergi ke bengkel kemudiannya untuk membaiki keretanya, dia menghubungi Shuhada dan memberitahunya bahawa Shuhada tidak perlu membayar apa-apa.
Shuhada sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang pemaaf. Selain itu, dia menggesa semua orang untuk memeriksa dan menyelenggara kereta mereka secara rutin kerana kejadian ini berpunca daripada pad breknya yang haus.