Ada antara kita yang suka dengan mencuba menu baru. Apabila ada sahaja waktu lapang mula lah tangan sibuk mencari menu baru di internet untuk dicuba.
Kadang-kadang ianya berhasil, masakan yang dimasak sebiji seperti cef dalam YouTube, namun adakalanya hidangan yang cuba dibuat tidak sama seperti yang ditunjukkan di internet. Itu semua lumrah, apa yang penting masa tersebut dapat digunakan dengan sebaik dengan melakukan perkara-perkara berfaedah.
Itu jika di rumah, kalau di luar pula golongan ini pastinya suka mencuba untuk makan di tempat-tempat baru. Tambahan lagi kalau-kalau restoran tersebut menyediakan menu yang lain daripada yang lain. Pasti mereka teruja untuk mencubanya.
Jangan kata kita yang dewasa, kanak-kanak juga punya kegemaran yang sama iaitu mencuba makanan baru. Misalnya, si kecil yang bernama Rayray ini yang nampaknya sering teruja setiap kali tiba waktu makannya.
Sejak Rayray mula makan makanan pejal ibu bapanya mula menyediakan pelbagai makanan pejal yang sesuai untuk bayi sesuai dengan usianya. Sejak usianya enam bulan ibunya sudah mula menyediakan makanan yang bersaiz kecil dan mudah untuk dipegang oleh Rayray. Hal ini supaya si kecil ini boleh makan dengan sendiri.
Pada tahap umur seperti ini si kecil boleh diberikan pelbagai jenis makanan yang berkhasiat seperti sayur, buah-buahan, susu lembu dan telur. Makanan seperti ini boleh membantu perkembangan deria rasa si kecil. Melihatkan telatah comel Rayray jelas sangat dia memang suka apa sahaja yang dihidangkan kepadanya!
Setiap kali dia diberi makan dia akan mencuba semua makanan tersebut tanpa mengetahui rasanya terlebih dahulu. Apa yang penting dia mahu makan dan menikmati semua itu dahulu sebelum dia membuat keputusan makanan apa yang dia tidak suka. Kalau dilihat sayur pun dia makan juga!
Apa yang menariknya ibunya sering mempunyai idea untuk menyediakan makanan untuk Rayray. Tidak hanya memberikan sayur-sayuran atau buah-buahan malah si kecil itu juga diberikan makan ayam yang dikisar dan dijadikan seperti nugget. Kepelbagaian ini yang membuatkan Rayray selalu teruja apabila tiba waktu makan!
Buat ibu bapa yang sedang mencari menu baru untuk anak kecil mereka, anda mungkin boleh mengikut resipi daripada ibu Rayray. Mana tahu anak kecil kesayangan anda akan teruja untuk makan dan tidak akan menolak sayur atau buah yang diberikan kepada mereka.
AMPANG – Kira-kira 30 buah rumah terjejas akibat banjir di Jalan Mulia, Bukit Antarabangsa selepas hujan lebat turun berterusan pada petang 30 Mac.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 6.35 petang.
Hujan lebat berterusan telah menyebabkan air hujan dari atas bukit telah melimpah dari longkang utama di kawasan taman tersebut dan menyebabkan laluan air turun ke bawah bukit.
“Kejadian tersebut menyebabkan kira-kira 30 buah rumah terjejas dengan ketinggian air setinggi 0.6 meter,” katanya.
Tambahnya lagi, air mula surut kira-kira sejam kemudian dan tiada penduduk yang dipindahkan.
“Kejadian ini juga bukan disebabkan ban yang pecah seperti dakwaan sebaliknya disebabkan air hujan dari atas bukit telah melimpah dari longkang utama seterusnya ke kawasan perumahan tersebut,” jelasnya.
Semua ibu bapa sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kata kan apa sahaja, mereka akan cuba melakukan sedaya upaya untuk menyediakan semua keperluan anak-anak walaupun mereka dalam keadaan kurang berkemampuan.
Ada yang sanggup bekerja lebih masa, ada pula yang terpaksa duduk berjauhan dari keluarga semata-mata untuk meningkatkan status kewangan bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Menggalas tugas sebagai ketua keluarga pastinya bukan sesuatu yang mudah. Memang seronok memiliki keluarga, anak-anak tetapi tanggungjawab yang digalas di bahu sangatlah berat. Namun, seberat mana, sebesar mana pun komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, mereka tetap akan melakukan yang terbaik demi keluarga tersayang.
Antara perkara yang tidak lupa untuk disediakan oleh ibu bapa ialah permainan anak-anak kecil. Walaupun ada yang kurang mampu membelikan permainan yang mahal, mereka tetap cuba untuk membelikan sesuatu yang boleh mengembirakan anak-anak. Tujuan mereka hanya satu, iaitu mahu melihat kebahagiaan anak-anak.
Itulah yang dilakukan oleh seorang bapa yang membelikan plastik untuk anak-anaknya. Plastik untuk dibuat mainan? Kedengaran agak janggal bagi sesetengah orang, namun hakikatnya ada kanak-kanak yang sangat suka bermain dengan plastik yang dijadikan alat permainan mereka.
Menerusi video yang dikongsi oleh @ainuntazrie, di laman sosial TikTok, kelihatan lelaki itu meluahkan hasratnya untuk membelikan mainan buat anak-anaknya di rumah.
Namun, mungkin kerana belum berkemampuan seperti orang lain, dia akhirnya masuk ke dalam sebuah premis dan pergi ke ruangan yang menjual bermacam jenis plastik.
Menurutnya, dia membeli plastik sebagai ganti kepada alat permainan anak-anaknya dengan harapan agar kedua-dua orang buah hatinya itu akan suka dengan mainan baru mereka.
Apa yang membuatkan dia sebak ialah apabila dia melihat kedua orang cahaya matanya kelihatan sangat menyukai pemberian tersebut dan begitu gembira bermain plastik bersama-sama.
Sehingga kini video tersebut telah ditonton lebih daripada 40 ribu kali dan menerima hampir 5000 ‘like’ serta dihujani dengan pelbagai komen dari netizen.
Rata-rata netizen turut tersentuh dengan video tersebut. Ramai juga yang memuji anak-anak kepada lelaki ini yang nampaknya tidak kisah dengan permainan yang diberikan. Mereka tidak memberontak atau merajuk malah gembira dengan mainan baru itu. Ramai juga yang mendoakan lelaki ini supaya sentiasa sihat untuk menari nafkah buat keluarga.
PETALING JAYA: Penyanyi nasyid yang popular dengan lagu ‘Mimpi Laila’, Yasin Sulaiman atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Bin Sulaiman, 47, berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.
Yasin kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah yang mendakwanya mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati. Sekiranya tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Namun begitu, tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahmakah Tinggi.
Sementara itu, Yasin juga mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Seksyen.
Dia didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.
Walau bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan Yasin diikat jamin bagi kedua-dua prosiding itu dan sebutan kes akan diperdengarkan semula pada 18 Mei ini.
Menurut Zain Sulaiman,50, abang kandung kepada penyanyi yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2001 itu berkata, Yasin menghidap bipolar sejak tahun 2009 dan pernah menjalani rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Dia menerima rawatan terakhir pada dua bulan lalu. Lantaran itu, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin memohon pertimbangan mahkamah untuk rawatan anak guamnya itu, sebelum mahkamah mengarah perkara itu dibawa ke pengetahuan Jabatan Penjara.
Kata Zain yang turut hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya itu lagi bahawa anak-anak Yasin yang berusia 17 dan 12 tahun sudah mengetahui keadaan bapa mereka malahan berharap bapa mereka pulang ke pangkuan keluarga.
Satu rakaman video yang menjadi tular dan mencemaskan pada petang 30 Mac menunjukkan kepulan asap keluar dari pusat membeli-belah terkemuka Pavilion Kuala Lumpur, di Bukit Bintang.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengurusan Pavilion Kuala Lumpur, insiden berlaku kira-kira jam 2.10 petang dan berpunca dari salah sebuah restoran yang terletak di Aras 1 pusat membeli-belah berkenaan.
Kebakaran kecil tersebut telah berjaya dipadamkan dan insiden telah dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan punca kebakaran masih dalam siasatan, menurut kenyataan Pavilion KL di Twitter.
Difahamkan insiden itu bermula dari dapur pemanggang itik di salah sebuah restoran terkemuka di dalam pusat membeli-belah berkenaan.
Dua jentera bomba dengan 11 anggota dari Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Pudu dan BBP Jalan Tun Razak telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.12 petang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak bomba dan penyelamat, api berkenaan telah terpadam dengan sendiri selain 5 penyembur api kecemasan automatik telah pecah disebabkan bahang yang terhasil dalam kejadian berkenaan.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa yang dilaporkan dalam insiden kebakaran kecil terbabit.
Tampil menjelaskan rakaman video dan gambar kepulan asap yang tular di media sosial, pihak bomba menjelaskan ini kerana asap tebal telah mengalir keluar dari corong asap yang berada di restoran berkenaan.
Kepulan asap yang keluar daripada sebuah pusat membeli-belah terkenal berpunca daripada kebakaran kecil di dapur pemanggang itik sebuah restoran – Bomba
Sementara itu, pihak Pavilion Kuala Lumpur dalam kenyataan yang sama memberi jaminan bahawa mereka mengambil semua langkah keselamatan dan penjagaan yang diperlukan dalam memastikan keselamatan para pelanggan dan penyewa sentiasa diutamakan.
Setiap ibu bapa pasti akan melakukan apa sahaja untuk memastikan anak mereka selamat. Jika anak kecil dihantar ke taska atau ke pusat penjagaan sekalipun hati mereka terkadang tetap berasa bimbang. Sepertinya hati mereka tidak akan tenang selagi tidak melihat anak mereka ada di depan mata.
Walaupun sudah berhati-hati, kadangkala kemalangan tetap berlaku ke atas anak kecil. Saban waktu ada sahaja berita kemalangan yang melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan di media dan percaya atau tidak, banyak kemalangan yang berlaku di rumah.
Antara kemalangan yang boleh terjadi ke atas anak kecil ialah tercekik. Ada yang tercekik ketika makan, dan ada juga yang tercekik ketika bermain. Anak kecil sememangnya mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, jadi ada antara mereka yang suka memasukkan sesuatu yang mereka pegang ke dalam mulut kerana menganggap itu adalah makanan.
Baru-baru ini seorang doktor Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr Mohd Shaiful Nizam berkongsi pengalamannya di laman Twitter miliknya ketika mengendalikan kes seorang anak kecil berusia tujuh tahun tertelan duit syiling sebesar 50 sen.
Berikut di bawah adalah bebenang yang dikongsikan Dr Shaiful:
JIKA SILAP MASUK SALURAN, BOLEH MEMBAWA MAUT!!!
Ini cerita OnCall di malam tadi. seminggu sebelum menjelang RAMADAN.
— Dr Mohd Shaiful Nizam | Epul | (@Dr_Shaiful) March 27, 2022
Keadaan akan menjadi lebih berbahaya jika syiling tersebut tersalah masuk ke dalam salur pernafasan berbanding salur pemakanan
Soalan pertama yang ditanyakan tentang pesakit adalah sama ada dia sesak nafas atau tidak.
Alhamdulillah.
Antara kerisauan utama Pakar ENT jika ada budak tertelan bendasing adalah MASUK ke dalam SALURAN PERNAFASAN, bukan saluran pemakanan(esophagus).
Jika termasuk dlm SALURAN PERNAFASAN, pesakit boleh mengalami sesak nafas & boleh membawa kematian pic.twitter.com/ViTiugmCEw
— Dr Mohd Shaiful Nizam | Epul | (@Dr_Shaiful) March 27, 2022
Selepas beberapa prosedur dilakukan, pembedahan untuk mengeluarkan duit syiling tersebut berjaya dilakukan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.
Untuk pesakit ini, urusan pembedahan mengeluarkan duit syiling yang tersangkut disaluran esophagus dipermudahkan tanpa sebarang komplikasi yang serius. Hanya mengambil masa beberapa minit shj dibawah bius penuh (GA) pic.twitter.com/PqsUhpNO1B
— Dr Mohd Shaiful Nizam | Epul | (@Dr_Shaiful) March 27, 2022
Saiz duit syiling tersebut dikatakan merupakan syiling paling besar yang pernah dikeluarkan oleh Dr Shaiful.
Alhamdulillah. Duit syiling 50sen berjaya dikeluarkan.
UNTUK REKOD, INI ADALAH NILAI SYILING TERBESAR BUAT SAYA SELAMA MENGELUARKAN DUIT SYILING PESAKIT SEBELUM2 INI.
— Dr Mohd Shaiful Nizam | Epul | (@Dr_Shaiful) March 27, 2022
Memandangkan insiden tersebut bukanlah kali pertama terjadi, malah pernah banyak kali sebelum ini, Dr Shaiful menasihatikan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi permainan anak-anak mereka.
Kalau boleh elakkan memberi mainan kecil kerana mereka suka memasukkan sesuatu ke dalam mulut.
Selepas melihat insiden yang sama kerap kali berulang, doktor ini menasihatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau dan mengawai tingkah laku anak-anak terutamanya yang masih kecil.
Ibu bapa juga perlu mengawal tingkah laku masing-masing supaya tiada aksi bahaya yang ditiru oleh anak-anak kecil mereka. Ibu bapa pula, jagan sesekali membuat ‘magic’ dan jangan bergurau ketika ada sesuatu di dalam mulut.
Kalau ada anak-anak dilihat tertelan sesuatu yang tidak sepatutnya dan mereka berkelakuan agak pelik, segera bawa ke hospital bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Nasihat terakhir, segeralah bawa anak2 ke Hospital jika ternampak tertelan benda2 yang tidak sepatutnya!!
Dan seandainya anda tidak nampak berlaku, antara gejala awal yg biasa adalah anak2 muntah dengan tiba2 sambil menjolok tangan ke dalam mulut.
Moga bermanfaat untuk semua.!
— Dr Mohd Shaiful Nizam | Epul | (@Dr_Shaiful) March 27, 2022
Beberapa bahagian di Malaysia akan mengalami fenomena ‘hari tanpa bayang’ sepanjang minggu ini.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengeluarkan kenyataan bahawa orang ramai di Lembah Klang berpeluang melihat fenomena itu pada tengah hari Isnin, 28 Mac seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya pada jam 1.19 tengah hari dan Shah Alam pada jam 1.20 tengah hari.
Seperti yang diketahui, bayang-bayang pada setiap hari sudah kelihatan paling singkat pada waktu tengah hari.
Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata orang ramai akan dapat melihat bahawa sesetengah objek tidak akan memberikan bayang-bayang sama sekali pada tengah hari minggu ini disebabkan fenomena semula jadi, peristiwa ekuinoks apabila seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan malam.
MOSTI berkata negeri-negeri selatan mula berpeluang menyaksikan fenomena ini seawal 23 Mac, manakala negeri-negeri utara pada 7 April.
Malaysia mula mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang pada 23 Mac lalu di bandar Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor.
Ini diikuti bandar lain pada tarikh berikutnya sehingga ke bandar terakhir iaitu di Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April dan selepas itu matahari akan semakin teranjak ke latitud lebih ke utara ke negara Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Ia agak istimewa, tetapi jangan bimbang jika anda terlepas hari dan waktu ini, akan berlaku lagi fenomena semula jadi ini kerana ia terjadi dua kali setiap tahun.
Fenomena ‘hari tanpa bayang’ berlaku semasa ekuinoks musim bunga dan musim luruh pada bulan Mac dan September setiap tahun, tetapi hanya berlaku di negara berhampiran khatulistiwa.
“Peristiwa Ekuinoks menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan bumi akan mula mengalami musim luruh,” jelas Dr Adham Baba.
“Ia dipanggil fenomena tengah hari tanpa bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang sepanjang garisan khatulistiwa dan bayang kepala serta badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah tiada bayang yang jatuh ke bumi,” tambahnya.
Semasa ekuinoks, paksi Bumi tidak condong ke arah atau menjauhi matahari.
Dengan Bumi condong sedemikian, matahari berada tepat di atas khatulistiwa, memberikan negara pada 0° latitud pengalaman ‘hari tanpa bayang’, kerana bayang-bayang akan jatuh terus berada di bawah objek atau kaki seseorang.
Ia lebih baik diperhatikan apabila melihat objek yang berdiri tegak seperti tiang bendera, tonggak jalan, juga tiang letrik dan telefon.
Di Hawaii, fenomena ini juga dikenali sebagai ‘Lāhainā Noon’, dengan Lāhainā bermaksud “matahari yang kejam” dalam bahasa Hawaii yang mungkin juga menggambarkan betapa panasnya pada hari itu.
Anda sempat lihat tak Fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang pada tengah hari tadi?
Nampak macam “CGI buruk” seperti dalam permainan video lama, tetapi ini adalah gambar realiti berlakunya fenomena alam yang indah dan jarang dapat disaksikan.
Jika terlepas pengalaman pada kali ini, anda boleh menyaksikan fenomena ‘hari tanpa bayang’ ini di Malaysia sekali lagi dengan jangkaan bakal berlaku pada 14 September 2022.
Kerajaan Persekutuan baru meluluskan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 yang secara amnya mendapat pujian rakyat.
Walau bagaimanapun, nampaknya hasilnya tidak menampakkan kesudahan yang baik untuk diperkatakan kerana ramai yang akan terus mengeluh.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid percaya ia mungkin salah satu faktor yang akan menyebabkan kenaikan harga barang.
Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid (Gambar Utusan Malaysia)
“Kita akui akan berlaku kenaikan harga barang itu atas pelbagai faktor antaranya COVID-19, kos pengangkutan, kadar pertukaran asing, perang Rusia-Ukraine dan juga banjir,” jelasnya.
“Malah apabila kerajaan membuat pengumuman gaji minimum baharu RM1,500 pun dikhuatiri menjadi satu lagi faktor penyumbang kenaikan harga barang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau memberi amaran kepada pembekal dan peniaga terhadap kenaikan harga barang yang keterlaluan kerana mereka berisiko berhadapan tindakan tegas yang akan diambil kerajaan.
Rosol berkata setiap kes kenaikan harga yang melampau akan disiasat secara menyeluruh bagi mengelakkan aktiviti pencatutan berlebihan oleh mana-mana pihak.
“Berhubung kenaikan harga, tiada satu cara untuk membendung isu itu kerana ia adalah fenomena global yang menjejaskan seluruh dunia. Apa yang kerajaan boleh lakukan adalah memberi subsidi kepada barangan tersebut,” tambahnya.
Beliau berkata kira-kira 1,000 pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan memantau aktiviti kenaikan harga barang ke atas pembekal dan peruncit di seluruh negara.
Bazar Ramadan (Gambar Astro Awani)
Sebelum ini dilaporkan persatuan peniaga dan peniaga bazar Ramadan di Kedah, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan menyatakan mereka perlu menaikkan harga menu bagi menampung kos kenaikan harga barang.
Bagaimanapun, Rosol mengingatkan para peniaga supaya berhati-hati untuk tidak membebankan pengguna atau berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Boleh dikatakan semua orang sudah tahu bahana rokok. Tiada siapa yang dapat membuktikan bahawa rokok baik untuk kesihatan. Namun begitu, masih ada yang terus merokok dan menganggap ia adalah sesuatu yang perlu dibanggakan. Tidak hanya itu, ada juga yang tetap berdegil dengan merokok di tempat kawasan larangan merokok. Malah, yang lebih teruk lagi apabila ada orang yang merokok di hadapan orang lain terutama kanak-kanak!
Kanak-kanak yang sering terdedah dengan asap rokok berdepan risiko menghidap pelbagai penyakit seperti jangkitan paru-paru, asma dan masalah pendengaran. Tidak hanya itu, daya fikiran mereka juga boleh menjadi lembap akibat asap rokok.
Baru-baru ini seorang doktor, Dr Daya Nanda, berkongsi pengalamannya ketika berhadapan dengan kejadian di mana pesakitnya tidak dapat diselamatkan akibat asap rokok bapanya. Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat semua terutama mereka yang selalu merokok di hadapan kanak-kanak…
Menurut Dr Daya Nandan, dia telah mengeluarkan (discharge) seorang pesakit kanak-kanak yang menghidap asma selepas dia memberi rawatan kepada pesakit tersebut. Selepas menerima rawatan, kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan sihat dan paru-parunya kelihatan baik.
Namun, selepas beberapa jam keluar dari hospital, pesakit tersebut dibawa semula ke hospital dan keadaan ini mengundang kemarahan si bapa. Lelaki tersebut juga mengatakan bahawa Dr Daya adalah doktor yang bodoh kerana anaknya diserang asma selepas dikeluarkan.
Keadaan itu membuatkan Dr Daya mula berfikir apa sebenarnya yang tidak kena. Dia kemudian dapat menghidu bau rokok yang keluar daripada nafas lelaki tersebut dan dia mula tahu akan apa sebenarnya yang berlaku.
“Adakah anda menghisap rokok di hadapan anak anda selepas saya mengeluarkannya?” tanya Dr Daya dalam kekecewaan. Lelaki itu terkedu dan nampak terkejut dengan pertanyaan itu. Isterinya yang berada di situ mengangguk dalam keadaan malu kerana dia tahu kejadian seperti itu bukan pertama kali terjadi.
Dr Daya kemudian menyakinkan pasangan tersebut untuk memasukkan semula anaknya ke hospital tetapi si bapa menolak dengan memberi alasan. Walaupun ada pihak atasan yang datang membantu Dr Daya, lelaki itu tetap berkeras untuk tidak memasukkan anaknya ke hospital dengan mengatakan “saya lebih tahu anak saya dari doktor.” Lelaki itu kemudian membawa anaknya meninggalkan hospital.
Beberapa hari kemudian semasa bertugas di syif malam, Dr Daya menerima panggilan dari zon merah. Dia bergegas ke sana dan mula melakukan ‘chest compressions’ ke atas seorang pesakit yang tidak sedarkan diri sementara rakannya pula mengambil ‘adrenaline’ untuk menyedarkan pesakit tersebut. Malangnya usaha mereka tidak berhasil…
Melihat apa yang berlaku, ibu bapa pesakit terus menangis. Rupa-rupanya mereka adalah ibu bapa kepada kanak-kanak asma yang pernah mendapatkan rawatan di situ. Mereka jugalah yang berkeras tidak mahu anak mereka dimasukkan ke hospital dan kini anak mereka tidak dapat diselamatkan.
Itulah kejadian tragis yang tidak mungkin dilupakan oleh Dr Daya. Katanya lagi, rokok boleh membunuh. Jika anda (perokok) tidak takut untuk mati, rokok boleh meragut nyawa orang yang ada di sekeliling mereka.
Apa yang berlaku memang menyedihkan. Kanak-kanak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa asap rokok bapa sendiri, sangat tidak patut!
Buat perokok di luar sana, sudah tiba masanya untuk anda berhenti merokok. Ya, perkara ini bukan mudah tetapi berusaha lah!
Mungkin masih ramai yang tidak tahu mengapa rokok berbahaya kepada tubuh. Tahukah anda bahawa terdapat 7000 bahan kimia di dalam rokok dan sebanyak 70 bahan boleh menjadi punca kepada kanser? Berikut adalah antara kandungan bahan yang terdapat di dalam rokok dan kesannya kepada tubuh:
Nikotin
Kajian menunjukkan nikotin adalah penggalak pertumbuhan kanser. Nikotin secara amnya akan merangsang pengeluaran dopamin dalam otak. Dopamin adalah hormon yang menyebabkan seseorang untuk merasa gembira dan teruja.
Dopamin akan melatih otak kita untuk mengulang pengambilan nikotin. Setiap kali kita menghisap rokok, otak kita akan mengeluarkan hormon dopamin. Jadi semakin lama seseorang itu menghisap rokok, semakin sukar dia meninggalkannya dan terus bergantung kepadanya. Antara simptom-simptom yang akan dialami ialah:
Rasa keinginan yang kuat untuk merokok
Kerisauan
Cepat marah
Kemurungan
Rasa kekosongan
Tidak dapat menumpukan perhatian
Kesan nikotin terhadap badan
Merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko penyempitan saluran darah.
Menyebabkan pening kepala.
Gangguan kepada sistem pencernaan.
Menyebabkan ulser perut.
Tar
Terdapat sekitar 60 bahan kimia yang dijumpai dalam tar adalah bersifat karsinogen (punca kanser). Apabila seorang perokok menghisap rokok, tar akan menghasilkan permukaan yang melekit pada dinding dalaman paru-paru. Hal ini akan menyebabkan kanser dan penyakit kronik pernafasan.
Tar juga boleh menyebabkan paru-paru menjadi hitam. Bahan ini bukan sahaja menyebabkan penyakit pada paru-paru, ia juga boleh menyebabkan kanser mulut, kerosakan gigi dan penampilan diri yang kurang baik.
Karbon Monoksida
Apabila Karbon Monoksida memasuki saluran darah, oksigen akan bercantum dengan gas ini sekali gus menyekat oksigen daripada diserap ke dalam sel-sel tubuh. Antara simptom-simptom keracunan karbon monoksida ialah:
Mudah letih
Pening kepala
Loya dan muntah
Kekeliruan
Arsenik
Kajian menunjukkan bahawa walaupun dalam jumlah yang sedikit, Arsenik boleh menyebabkan kematian akibat sekatan saluran darah dan penyakit jantung.
Arsenik boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser seperti:
Kanser paru-paru
Kanser kulit
Kanser pundi kencing
Kanser hati
Kanser buah pinggang
Formaldehid
Ia merupakan gas yang tiada warna tapi mempunyai bau yang kuat. Antara kesan apabila seseorang terdedah kepada formaldehid ialah:
Mata berair
Kepedihan pada mata, hidung dan tekak
Batuk
Nafas berbunyi seperti wisel
Kegatalan kulit
Kanser hidung akibat penggunaan rokok dalam tempoh yang panjang
Plumbum
Pendedahan pada plumbum boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada otak dan sel darah merah.
Benzena
Benzena mengurangkan sel darah merah dan merosakkan sum-sum tulang dan boleh membuatkan perokok menghidapi penyakit Anemia. Anemia merupakan penyakit di mana sel darah merah berkurangan.
Kekurangan sel darah merah akan menyebabkan kekurangan oksigen yang dihantar kepada sel. Benzena juga dikaitan dengan Leukemia Myelogenous Akut, ia merupakan kanser sel darah putih.
Kadmium
Kadmium mampu merosakkan paru-paru, buah pinggang, hati dan sel darah merah. Kadmium juga merupakan bahan karsinogen. Antara gejala keracunan kadmium ialah:
Loya dan muntah
Cirit birit
Kekejangan otot
Gangguan deria
Kegagalan buah pinggang
Hidrogen Sianida (Hydrogen Cyanide)
Hidrogen Sianida adalah sejenis gas yang akan menghalang sel-sel dalam tubuh badan daripada menggunakan oksigen. Oksigen adalah komponen yang penting untuk sel-sel berfungsi. Tanpa oksigen, sel-sel dalam tubuh badan akan mula mati. Kadar hidrogen Sianida dalam sebatang rokok adalah dalam lingkungan 10 – 400 mikrogram.
Aseton
Aseton adalah cecair yang mempunyai bau yang kuat dan senang terbakar. Aseton boleh dijumpai pada pokok dan tumbuh-tumbuhan, malah tubuh badan kita menghasilkan Aseton apabila kita mengamalkan diet rendah lemak.
Dalam kadar sederhana, Aseton mampu membuat iritasi pada hidung, tekak, paru-paru dan mata. Selain itu, Aseton boleh menyebabkan pening kepala, peningkatan degupan jantung, loya dan muntah.
Dalam kadar tinggi, Aseton pula boleh menyebabkan koma. Bagi golongan wanita, mereka boleh mengalami haid yang tidak teratur. Aseton akan menyebabkan kulit pada dinding mulut rosak. Kerosakkan pada dinding mulut yang berulang akan menyebabkan anda cenderung untuk mendapat kanser mulut.
Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran Fasa 1 dikreditkan mulai 28 Mac, melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2 bilion.
Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan pada 20 Mac berkata 8.6 juta penerima akan mendapat bayaran RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima, merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.
“Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang, tarikh pembayaran akan bermula 28 Mac sehingga 8 April dan akan terus dikreditkan ke akaun bank.
“Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak), pembayaran akan dibuat bermula 30 Mac melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN),” kata Perdana Menteri.
Untuk pembayaran secara tunai, penerima wajib membawa kad pengenalan dan hadir ke cawangan BSN. Hanya wakil yang didaftarkan sahaja yang dibenarkan untuk mewakilkan penerima bagi BKM tunai.
Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP (prosedur operasi standard) dari semasa ke semasa.
BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.
Pembayaran Fasa 1 bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut Ramadan.
Kelayakan penerima BKM 2022
Permohonan BKM yang layak menerima bayaran BKM 2022 Fasa 1 adalah merujuk kepada Permohonan BKM 2022 yang berstatus Lulus dan melepasi semakan verifikasi kelayakan.
Pastikan anda semak terlebih dahulu status anda. Semakan status kelulusan BKM boleh dibuat mulai 28 Mac 2022 (Isnin) melalui pautan:
Dan jika berstatus TIDAK LULUS, ia akan memaparkan status “TIDAK LULUS PERMOHONAN” berserta alasan tidak lulus permohonan (dengan kod dan keterangan)
Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang layak, Perdana Menteri berkata tempoh permohonan rayuan akan dibuka selama sebulan mulai 2 Mei ini.
Proses ini bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mereka mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Jumlah dan kadar bayaran Fasa 1 BKM 2022:
Isi rumah B40: RM300
Isi rumah M40: RM200 (1-2 anak), dan RM300 (3 anak dan ke atas)
Bujang dan Ibu Bapa Tunggal tiada anak: RM200
Bujang dan Ibu Bapa Tunggal tiada anak 60 Tahun ke atas: RM150
Jadual pembayaran di bawah menerangkan dengan lebih jelas kadar pembayaran Fasa 1 hingga Fasa 4 berserta amaun tambahan bagi mereka yang layak.
“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” kata Perdana Menteri.