Satu rakaman video yang menjadi tular dan mencemaskan pada petang 30 Mac menunjukkan kepulan asap keluar dari pusat membeli-belah terkemuka Pavilion Kuala Lumpur, di Bukit Bintang.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengurusan Pavilion Kuala Lumpur, insiden berlaku kira-kira jam 2.10 petang dan berpunca dari salah sebuah restoran yang terletak di Aras 1 pusat membeli-belah berkenaan.
Kebakaran kecil tersebut telah berjaya dipadamkan dan insiden telah dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan punca kebakaran masih dalam siasatan, menurut kenyataan Pavilion KL di Twitter.
Difahamkan insiden itu bermula dari dapur pemanggang itik di salah sebuah restoran terkemuka di dalam pusat membeli-belah berkenaan.
Dua jentera bomba dengan 11 anggota dari Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Pudu dan BBP Jalan Tun Razak telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.12 petang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak bomba dan penyelamat, api berkenaan telah terpadam dengan sendiri selain 5 penyembur api kecemasan automatik telah pecah disebabkan bahang yang terhasil dalam kejadian berkenaan.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa yang dilaporkan dalam insiden kebakaran kecil terbabit.
Tampil menjelaskan rakaman video dan gambar kepulan asap yang tular di media sosial, pihak bomba menjelaskan ini kerana asap tebal telah mengalir keluar dari corong asap yang berada di restoran berkenaan.
Sementara itu, pihak Pavilion Kuala Lumpur dalam kenyataan yang sama memberi jaminan bahawa mereka mengambil semua langkah keselamatan dan penjagaan yang diperlukan dalam memastikan keselamatan para pelanggan dan penyewa sentiasa diutamakan.
Difahamkan Pavilion Kuala Lumpur meneruskan operasi seperti biasa selepas insiden kebakaran kecil itu.
Tonton video di sini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: