Pemandu pesawat terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran pesawat MH2664 yang dijadualkan berlepas ke Tawau, Sabah itu mengalami masalah teknikal. Tambahan pula, ketika kejadian berlaku, cuaca buruk menyukarkan pengedalian pesawat pada tahap yang lebih baik.
Menerusi catatan salah seorang penumpang pesawat MH2664 itu Halimah Nasoha, pesawat model Boeing 737-800 yang berlepas dari KLIA pada jam 2.30 petang tersebut melakukan ‘junaman tajam’, kira-kira 30 minit selepas berlepas. Katanya lagi, penerbangan tersebut menjunam dari ketinggian 31,000 kaki ke 24,000 kaki dalam masa beberapa saat, berdasarkan pemeriksaannya pada aplikasi Radar Penerbangan.
Halimah menceritakan detik-detik cemas yang berlaku di mana dia ‘terlambung’ di tempat duduknya kerana tidak memakai tali pinggang keledar. Ini kerana ketika kejadian berlaku, tanda tali pinggang keledar tidak bernyala.
“Pesawat itu tidak stabil selama kira-kira 10 minit dan melakukan junaman sekali lagi tetapi tidak seteruk junaman pertama,” kata Halimah. Katanya lagi, beberapa penumpang menjerit dan menangis kerana takut akan ancaman terhadap nyawa mereka.
Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh MAS, pemandu pesawat membuat keputusan berpatah balik sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penumpang. Katanya, “Penerbangan Malaysia Airlines MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 03 April 2022 melakukan penerbangan pusing balik disebabkan masalah teknikal pada pesawat tersebut, ditambah dengan cuaca buruk semasa dalam perjalanan.” Katanya lagi, pesawat terbabit selamat mendarat di KLIA pada jam 5.03 petang.
Beg plastik terbiodegradasi masih utuh dan boleh membawa belian biarpun selepas tiga tahun ditinggalkan di kawasan semula jadi. Lima jenis beg plastik yang ditemui di kedai-kedai United Kingdom diuji untuk melihat apakah yang terjadi terhadap plastik-plastik itu jika dibiarkan bersepah di persekitaran semula jadi. Kesemua beg plastik tersebut hancur menjadi serpihan selepas terdedah kepada udara selama sembilan bulan. Namun, selepas tiga tahun di dalam tanah atau laut, didapati tiga jenis beg plastik masih utuh termasuklah beg plastik terbiodegradasi.
Lanjutan daripada penemuan itu, beg kompos didapati lebih mesra alam sekitar, sekurang-kurangnya di dalam laut. Selepas tiga bulan berada di dalam persekitaran marin, mereka telah ‘lenyap’ tetapi masih boleh ditemui di dalam tanah 27 bulan kemudian.
Saintis di Universiti Plymouth menguji tiga jenis bahan pada selang masa yang sama untuk melihat bagaimana bahan-bahan tersebut terurai. Menurut mereka, kajian tersebut menimbulkan tanda tanya mengenai produk terbiodegradasi yang dipasarkan kepada pengguna sebagai alternatif kepada plastik tidak boleh dikitar semula.
“Untuk beg plastik terbiodegradasi yang mampu melakukannya sungguh mengejutkan,” kata Imogen Napper yang mengetuai kajian itu.
“Apabila anda melihat sesuatu dilabel dengan cara itu, saya fikir anda secara automatik menganggap ia akan merosot lebih cepat daripada beg konvensional.”
“Tetapi selepas tiga tahun sekurang-kurangnya, penyelidikan kami menunjukkan bahawa itu mungkin tidak berlaku.”
Menurut Richard Thompson, ahli biologi marin Britain yang mempunyai kerjaya dalam kajian sisa plastik, mereka benar-benar terkejut selepas mendapati beg plastik yang dilabelkan terbiodegradasi bukan sahaja utuh tetapi boleh membawa hampir 2.3 kilogram barangan runcit.
Jika sesuatu itu diperbuat daripada bahan terbiodegradasi, ia boleh diuraikan oleh organisma hidup seperti bakteria dan kulat.
Lihat sebiji buah yang dibiarkan di atas rumput, berikan masa kepadanya dan ia akan lenyap sepenuhnya. Fakta sebenar menunjukkan buah tersebut “dihadam” oleh mikroorganisma.
Perkara tersebut berlaku terhadap bahan semula jadi tanpa sebarang campur tangan manusia yang meletakkan syarat seperti suhu dan ketersediaan oksigen.
Pengkomposan (rujukan PRPM: pemecahan jirim organik oleh mikroorganisma, secara yang terkawal. Proses ini melibatkan penguraian bahan buangan pejal menjadi hasil yang stabil untuk digunakan dalam pertanian) juga mengalami perihal yang sama tetapi ia dikawal oleh manusia untuk mempercepatkan proses tersebut.
Beg plastik boleh kompos Koperasi adalah untuk sisa makanan dan dikelaskan sebagai kompos, beg itu perlu diuraikan dalam tempoh 12 minggu di bawah keadaan tertentu.
Para saintis di Plymouth juga telah mempersoalkan betapa efektifnya bahan terbiodegradasi sebagai solusi jangka panjang kepada masalah plastik sekali guna.
“Penyelidikan ini menimbulkan sejumlah persoalan tentang apa yang dijangkakan oleh orang awam apabila mereka melihat sesuatu yang dilabel sebagai terbiodegradasi”
“Di sini kami menunjukkan bahawa bahan yang dikaji tidak memberikan sebarang kelebihan yang konsisten, boleh dipercayai dan relevan dalam konteks sampah marin.
“Ia membimbangkan saya bahawa bahan novel juga memberi cabaran dalam proses kitar semula,” kata Profesor Richard Thompson, ketua ccc.
Dalam kajian itu, para saintis memetik satu laporan Suruhanjaya Eropah 2013 yang mencadangkan sekitar 100 bilion beg plastik dikeluarkan setiap tahun.
Sejak itu, pelbagai kerajaan, termasuk United Kingdom telah memperkenalkan langkah seperti bayaran untuk mengurangkan jumlah plastik yang telah digunakan.
Seorang Sheikh yang ‘gilakan’ kereta telah membina Hummer H1 terbesar di dunia. Kenderaan gergasi itu digelar Hummer H1 X3 kerana mempunyai ketinggian 21.6 kaki (6.6 meter), panjang 46 kaki (14 meter) dan lebar 20 kaki (6 meter). Hummer H1 X3 boleh dipandu sepenuhnya serta membawa penumpang. Penumpang tidak berasa risau untuk keluar mencari tandas kerana kenderaan dua tingkat tersebut dilengkapi tandas dan singki. Bukan itu sahaja, penumpang juga tidak akan berasa bosan kerana mereka dapat melihat pemandangan yang terbentang seluas 360 darjah!
Hummer H1 X3 itu telah ditempah oleh pengumpul kenderaan 4X4 iaitu Sheikh Hamad Bin Hamdan Al Nahyan. Beliau yang juga dikenali sebagai ‘Rainbow Sheikh’ merupakan seorang jutawan dari keluarga diraja Emirates dan setaraf dengan Datuk Bandar Abu-Dhabi. Beliau mempunyai struktur berbentuk piramid yang dibina khas untuk mempamerkan koleksi keretanya kepada masyarakat umum. Gelaran ‘Rainbow Sheikh’ itu diberikan kepadanya kerana beliau memiliki koleksi Mercedes S Class yang semuanya terdapat dalam tujuh warna berbeza.
Koleksi keretanya bukan sahaja termasuk ‘supercar’ terkini seperti Ferrari, Lamborghini, Mercedes-Benz, BMW dan Porsche, tetapi juga kereta klasik dan beberapa buah kereta lama yang telah dibaiki. Salah satu kereta klasiknya termasuklah Ford Model T yang telah diberikan nafas baharu. Beliau juga memiliki Dodge Power Wagon terbesar di dunia yang beratnya sekitar 50 tan dan merupakan kenderaan terbesar di muziumnya.
Dengan pembinaan Hummer H1 X3, ia akan menjadi kebanggaan di Muzium Sejarah Sharjah Off Road di United Arab Emirates di mana Sheikh memegang rekod Dunia Guinness untuk koleksi terbesar kenderaan 4X4 dengan 718 model.
Orang awam ternganga apabila melihat betapa besarnya Hummer H1 X3 ketika kenderaan itu dibawa ke Muzium Sejarah Sharjah Off Road melalui jalan awam. Ramai orang yang mengambil kesempatan untuk merakam gambar dan video ketika Hummer H1 X3 melintas di hadapan mereka.
Untuk sampai ke Muzium Sejarah Sharjah Off Road, sekumpulan kecil pekerja telah membantu dan membimbing Hummer H1 X3 itu menyusuri lebuh raya panjang United Arab Emirates dengan kelajuan hanya 20 batu sejam.
Muzium menyifatkan Hummer H1 X3 adalah tiga kali ganda lebih besar daripada sebuah Hummer H1 normal mengikut skala dan 27 kali ganda mengikut jumlah.
Hummer H1 X3 dibina menggunakan rangka kenderaan kargo amfibia berkulit keluli LARC-LX tentera Amerika Syarikat. Kenderaan gergasi itu berfungsi dengan empat enjin diesel yang terletak di setiap satu roda.
Dikhabarkan, mereka merancang untuk menempatkan bilik tidur dan bilik mandi di dalam Hummer H1 X3. Pada ketika ini, dengan berlantaikan kayu, terdapat tangga di tingkat pertama Hummer H1 X3 beserta tandas dan singki.
Manakala di tingkat kedua pula terdapat ruang hiburan peribadi dengan pemandangan 360 darjah di mana tetamu rumah dan rakan-rakan dijemput dan dihiburkan. Kabin stereng yang menempatkan pemandu juga berada di tingkat kedua.
Hummer H1 X3 diletakkan di Muzium Sejarah Sharjah Off Road sebagai tarikan untuk pelancong dan pelawat. Kenderaan gergasi tersebut akan menjadi koleksi mutakhir Muzium Sejarah Sharjah Off Road. Muzium yang terletak 30 kilometer dari utara Dubai itu merupakan tarikan berdasarkan kecintaan Sheikh terhadap kenderaan ‘all-terrain vehicles’ (kenderaan bermotor terbuka kecil dengan satu tempat duduk dan tiga atau lebih roda yang dipasang dengan tayar besar, direka untuk digunakan di atas tanah yang kasar) di mana Hummer H1 X3 sebagai binaan teragung.
Mayat didakwa warga Malaysia, Jacky Wong Chong Kai, dipercayai ditemui di kawasan pedalaman di New South Wales (NSW), Australia selepas lebih setahun laporan kehilangannya.
Menurut 9news, rangka manusia ditemui di Killongbutta, 40 kilometer ke barat laut Bathurst, kira-kira jam 3.30 petang (waktu tempatan) pada 3 April.
Bagaimanapun, mayat itu masih belum dikenal pasti secara rasmi. Pemeriksaan forensik dan ujian DNA akan dijalankan, tetapi polis percaya ia milik Wong, juga dikenali sebagai Jacky.
Mangsa berusia 24 tahun itu dipercayai dibunuh antara 25 Disember 2020 dan 8 Januari 2021.
Bagaimanapun, news.com.au melaporkan keluarganya di Malaysia berhubung kali terakhir dengannya pada 28 Disember 2020. Jacky telah tinggal di Sydney yang terletak kira-kira 244 kilometer ke timur lokasi mayatnya didakwa ditemui sejak 2016.
Gambar news.com.au
Keluarganya memberitahu polis, mereka percaya Wong bekerja di New South Wales sebelum kehilangannya.
Wong berpindah ke Australia dengan visa percutian, tetapi sebenarnya, dia bekerja untuk sindiket jenayah Asia Tenggara, menurut media tempatan.
“Kami tahu Jacky bekerja untuk perusahaan jenayah yang terlibat dalam penanaman ganja di wilayah NSW pada masa dakwaan pembunuhannya,” kata komander skuad Dadah dan Senjata Api Detektif Supt. John Watson dalam pasukan detektif Strike Force Heighway NSW.
“Kumpulan penjenayah ini terkenal menyasarkan individu muda dengan janji wang mudah, yang biasa menyebabkan mereka terpaksa bekerja di rumah penanaman haram di hartanah terpencil,” katanya.
Ganja ialah bahan ubatan dan dadah terlarang di NSW melainkan ia ditetapkan undang-undang secara sah sebagai ubat-ubatan.
Polis mendakwa pembunuhan “mengerikan” itu mungkin disebabkan oleh pertikaian mengenai wang membabitkan lebih ramai anggota kanan kumpulan itu.
The Sydney Morning Herald melaporkan Jacky Wong bekerja sebagai penjaga tanaman ganja yang terdiri antara 500 dan 1,000 pokok.
Tiga daripada yang disyaki pembunuh Wong yang berusia 33, 28 dan 22 tahun telah didakwa berhubung kematiannya pada bulan lalu.
Susulan tangkapan dan pendakwaan itu, polis mula menggeledah sebuah hartanah luar bandar di Killongbutta.
Pada hari Isnin, 4 April, polis mengeluarkan rakaman carian, dengan para pegawai dilihat menggali dan mengais tanah di kawasan luar bandar New South Wales.
Mendapat markah peperiksaan cemerlang, atau sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran tertentu adalah salah satu pencapaian yang semua pelajar mahukan ketika berada di universiti.
Baru-baru ini seorang pakar psikologi klinikal dari UNIMAS, Sarawak berkongsi pengalamannya di Twitter menceritakan bagaimana beliau hampir menggagalkan pelajarnya ekoran sukar memahami jawapan pelajar itu yang menulis dalam Bahasa Inggeris.
Saya pernah hampir gagalkan pljr saya. Dari pantai timur. Jawapan dia dlm BI mmg saya tk dapat fahami langsung. Beliau kekurangan 3 markah utk lulus. Saya panggil beliau, saya kata awak gagal dlm final exam. Cuba terangkan kpd saya apa yg awak telah pelajari dalam subjek ini?
Pelajar itu hanya mempunyai 3 markah sahaja lagi untuk lulus kertas tersebut. Semasa memikirkan keputusannya untuk sama ada menggagalkan pelajar itu dalam peperiksaan akhir, beliau memutuskan untuk bercakap dengannya berkenaan perkara itu terlebih dahulu.
“Saya memberitahunya tentang keputusan itu dan memintanya memberitahu saya apa yang dia pelajari daripada subjek ini.”
Pelajar itu meminta kebenaran pensyarah ini untuk menjawab dalam Bahasa Malaysia dan dalam loghat pantai timurnya yang pekat, dia berjaya menerangkan segala-galanya tentang subjek itu, dari Bab 1 hingga 10.
“Saya cuba memutar belit soalan. Dia boleh menjawab segala-galanya dan ini menunjukkan bahawa dia memahami teori dengan baik. Saya menambah 3 markah untuknya dan dia lulus,” katanya.
Di akhir ciapan, beliau mengulangi matlamat mendidik pelajar bukan sekadar mereka mendapat markah A dalam setiap mata pelajaran, tetapi lebih kepada menimba ilmu menjadi lebih berilmu.
“Sesuatu yang dia tidak pernah tahu sebelum ini, kini dia menjadi lebih tahu,” katanya.
Perkongsian itu telah mendapat perhatian di media sosial dan netizen telah menyatakan rasa terima kasih mereka atas rasa empati pensyarah ini.
“Inilah pendidikan sebenar dan tugas pendidik sebenar. Terima kasih. Pelajar ini amat bertuah.”
Selain itu, beberapa netizen dari pantai timur turut mendedahkan punca sesetengah daripada mereka sukar bercakap dalam Bahasa Inggeris.
“Saya pernah belajar di pantai timur. Kebanyakan mereka kurang pendedahan dan agak anti-bertutur BI. Saya pernah dilabel berlagak kerana bercakap dalam Bahasa Inggeris.”
“Kadang-kadang mereka faham, cuma kekurangan keyakinan bercakap dalam Bahasa Inggeris. Mereka harus diajar dari rumah dan di sekolah untuk berasa yakin bertutur dalam Bahasa Inggeris.”
“Keyakinan ada kaitan dengan persekitaran juga. Apabila mereka cuba bercakap dan membuat kesilapan, mereka yang fasih cenderung meremehkan mereka.”
“Rakan sekelas saya tidak pernah meninggalkan pantai timur sehinggalah dia terpaksa belajar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk bercakap bahasa baku dengan kami. Kalau cakap loghat Kelantan memang laju.”
Apa pun, kita kena berusaha mempelajari Bahasa Inggeris dan menjadi mahir agar dapat bertutur dengan baik, memandangkan zaman kini agak mencabar dan penuh persaingan.
Selepas dua tahun negara berdepan pandemik, orang tersayang anda yang terkandas di perantauan mengambil peluang untuk pulang ke Malaysia berikutan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu.
Antara yang kembali ke pangkuan keluarga ialah Paandi Chelsea yang berkongsi pengalamannya pulang ke rumah bersama keterujaan sambutan dua anjing kesayangannya, Simba dan Nala.
Mereka menyambut Paandi seperti mana anjing lain lakukan iaitu dengan penuh semangat!
Sambil memberi salam di pintu pagar, kedua-dua anjing itu melompat-lompat dan menolaknya ke lantai ketika dia memasuki pekarangan rumah. Simba dan Nala memeluknya dengan mesra.
“Akhirnya selepas 486 hari… saya bertemu dengan anak-anak saya Simba dan Nala,” tulisnya.
Video TikTok ini mendapat perhatian lebih 1 juta tontonan netizen yang berkongsi rasa kasih sayang mereka kepada Paandi dan dua ekor anjingnya itu di bahagian komen.
Seorang netizen tertanya-tanya sama ada kucingnya akan merasakan perkara yang sama jika dia meninggalkan mereka untuk tempoh masa tertentu.
“Ini membuatkan saya berfikir, jika saya tidak pulang ke rumah untuk beberapa lama adakah mereka akan memberi reaksi seperti ini atau adakah mereka akan suka dengan hakikat bahawa saya telah tiada?”
Seorang lagi berkongsi bagaimana video ini membuatkan dia menjadi sebak.
“Serius, video ini buat saya sebak dan air mata mengalir.. Sungguh menyentuh hati..”
Kita boleh bayangkan bagaimana lebih ramai rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air merasai detik gembira ini setelah sekian lama berjauhan dan menahan kerinduan terhadap keluarga tercinta mereka.
Isu berkenaan pengangkutan awam adalah antara isu yang sering dibahaskan di negara ini. Bermula dari bas, teksi hinggalah kepada kereta api termasuk LRT, Monorail dan KTM. Memang tidak dinafikan masih banyak kelemahan yang ada pada sistem pengangkutan awam namun kita percaya pihak bertanggungjawab telah mencuba sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat para penumpang.
Setiap kali masalah timbul, kita sering menunding jari ke arah pihak bertanggungjawab atau pihak pengurusan pengangkutan awam tetapi hakikatnya ada masalah yang timbul kerana orang awam sendiri dan isu yang berlaku bukan isu yang kecil dan perlu diubah.
Antara masalah yang sering dihadapi oleh pihak KTM khususnya, ialah masalah di mana orang suka membaling batu ke arah kereta api. Ya, mungkin ramai yang mengatakan perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat dan New Zealand, tetapi itu bukan alasan untuk terus melakukan ‘aktiviti’ tidak baik ini.
Buat anda yang tidak tahu, kejadian membaling batu melalui tingkap sering sahaja berlaku sebenarnya dan perbuatan ini telah mengakibatkan ada penumpang dan kru kereta api mengalami kecederaan.
Memandangkan masalah ini seringkali berlaku kepada KTM, jadi seorang konduktor telah meminta ibu bapa untuk mengawal tingkah laku anak mereka. Video tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, @redzuanmanaf87, yang juga merupakan seorang konduktor KTM. Video tersebut merupakan balasan kepada soalan netizen tentang mengapa tingkap dan pintu kereta api pecah.
Membahasakan dirinya sebagai ‘Pak Su’ pegawai itu meminta bantuan orang ramai untuk menghentikan perbuatan yang boleh merosakkan kereta api.
“Pak Su meminta bantuan kamu untuk menasihati anak-anak kamu dan jiran-jiran kamu supaya jangan membaling batu ke arah kereta api Pak Su.”
Menurut Pak Su lagi setiap hari ada sahaja yang membaling batu ke arah kereta api. Akibatnya pihak KTM perlu menggantikan cermin tingkap yang pecah setiap hari.
“Tolonglah. Kasihanilah orang yang menaiki kereta api. Kasihan kami semua.”
“Sayanglah harta kita ini (kereta api), ini semua harta kita bukan harta Pak Su,” tambahnya lagi. Dia kemudian menunjukkan ke arah cermin tingkap kereta api yang kelihatan rosak.
Seperti yang sudah diberitahu, isu ini bukanlah isu yang baru. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menanggung kerugian lebih RM6 juta pada tahun 2016 kerana terpaksa menampung kos menggantikan kira-kira 1,300 unit tingkap koc komuternya yang pecah akibat vandalisme.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat KTMB ketika itu, Siti Badariah Wan Hanafi, perbuatan membaling batu tidak mendatangkan kecederaan kepada penumpang tetapi ini telah menyebabkan operasi perjalanan komuter kadang kala terganggu.
“Jika kerosakan tingkap itu teruk, kita terpaksa menahan koc terlibat bagi tujuan penukaran cermin demi keselamatan pengguna,” katanya.
Pada 2019, Berita Harian pula ada melaporkan bahawa kejadian terlanggar haiwan peliharaan dan tren dibaling batu adalah antara masalah utama yang dihadapi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Pantai Timur.
Ketika anda berhenti di persimpangan lampu isyarat yang sibuk dengan kenderaan, apa reaksi anda apabila tiba-tiba melihat seorang datuk tua mahu melintas jalan di laluan zebra tetapi masanya tidak cukup untuk ke seberang kerana pergerakannya amat perlahan.
Rakaman video luar negara yang lama tular dipercayai dari Taiwan ini memaparkan situasi itu apabila ketika para pemandu kenderaan sedang berhenti di lampu isyarat merah, seorang datuk tua mahu melintas jalan.
Sebaik lampu bertukar hijau, datuk itu terpaksa berhenti di pertengahan jalan dan terperangkap dalam laluan kenderaan deras yang kesemuanya cuba mengelak daripada terlanggarnya.
Melihat situasi yang agak membahayakan telah spontan membuat seorang penunggang skuter wanita bersama anak perempuannya bergegas turun untuk membantu warga emas itu melintas jalan.
Turut serta membantu datuk tua melintas jalan ialah pemandu kenderaan yang merakamkan dalam dashcam ketika detik datuk ini dibantu oleh duo anak beranak itu sehingga selesai dan selamat, dalam video berdurasi 2 minit 30 saat.
Ibu ini memberi teladan yang baik kepada anak perempuannya, menjadi insan baik hati dan menunjukkan rasa belas kasihan serta bertimbang rasa kepada golongan tua yang memerlukan bantuan tidak kira di mana.
Sekumpulan pelancong dari Singapura baru-baru ini secara realiti merasai dan memuji keramahan orang Thailand yang terkenal apabila mereka secara tidak sengaja masuk mencelah resepsi perkahwinan orang kampung di sana. Mereka pada mulanya menyangka telah melawat ‘warung penjual jalanan’.
Kumpulan warga Singapura itu sedang dalam perjalanan dengan bermotosikal sejauh 612 kilometer apabila pada waktu makan tengah hari pada 30 Mac, mereka mendapati dan menganggap kelihatan kedai makan meriah tepi jalan di Chiang Mai dan singgah.
Geng itu kemudian turun dari motosikal dan berjalan dengan gembira ke arah suasana meriah di luar bangunan kecil dengan meja dan kerusi. Dalam video, penduduk tempatan dilihat melakukan isyarat ” jemput makan” dengan tangan mereka.
“Oleh kerana sukar untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan kerana terdapat halangan bahasa jadi kami menggunakan isyarat tangan untuk mengatakan kami sedang mencari restoran,” petik Asia One apabila salah seorang warga Singapura itu menceritakan bagaimana detik melucukan bermula.
Apabila melihat meja dan kerusi, seorang lelaki menjawab dalam Bahasa Singlish, “Ohh! ohhh! sudah ada makanan”.
Dalam video siaran di TikTok, penduduk tempatan di majlis perkahwinan itu dilihat menyambut geng motosikal warga Singapura dengan hati dan tangan terbuka.
Mothership melaporkan kumpulan itu terus tidak sedar sehingga mereka meminta menu, dan apabila mendapati tiada menu, mereka menyangka telah memecah masuk pesta orang lain.
Pada masa itu mereka masih tidak menyedari majlis itu adalah resepsi perkahwinan.
Hanya selepas salah seorang daripada mereka menyiarkan salah satu video dalam talian, seorang rakan memberitahu mereka bahawa majlis meriah itu sebenarnya adalah resepsi perkahwinan, menurut laporan Asia One.
Dan apabila mereka akhirnya menyedari kesilapan main redah majlis orang, kumpulan itu mahu beredar.
Bagaimanapun, penduduk tempatan dan tuan rumah berkeras meminta kumpulan pelancong Singapura itu terus kekal duduk dan mengisi perut kenyang-kenyang terlebih dahulu sebelum beredar.
Dalam video TikTok kedua, kumpulan itu dilihat duduk di meja sambil memakan mi.
“Kami terkejut tetapi dalam cara positif dan makanannya pula sedap,” kata salah seorang daripada mereka sambil menambah kumpulan itu dijamu dengan hidangan mi, aiskrim, dan minuman.
Pelancong bermotosikal Singapura itu kemudiannya bergambar dengan beberapa penduduk kampung tempatan.
Gambar Asia One
Dalam gambar, salah seorang pelancong Singapura itu dilihat memegang beg keropok yang diserahkan orang kampung pada majlis perkahwinan untuk dimakan semasa dalam perjalanan bermotosikal.
Baik hati sungguh orang kampung Thai dan tidak kisah langsung mereka ni..
Kalau anda rakyat Malaysia mesti kena mengenali seniman agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Mana tidaknya kalau sebut nama P. Ramlee, semua orang mengenalinya sebagai legenda seni tanah air dan karyawan agong serba boleh sebagai pelakon, pengarah, penulis lagu, pemuzik, penulis lirik dan penyanyi.
P. Ramlee amat terkenal bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia kerana hasil karya filemnya seperti Bujang Lapok, Do Re Mi, Tiga Abdul, Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Ahmad Albab dan lain-lain yang tidak pernah jemu ditonton.
Agak lama juga kita tidak mendengar cerita keluarga P. Ramlee kerana kali terakhir mendengar adalah pada ketika anak lelakinya, Allahyarham Nasir P. Ramlee mengikut jejak bapanya menjadi anak seni.
Namun baru-baru ini, tular di TikTok apabila seorang pemuda bernama Abu Ghazi berkongsi dan mendedahkan yang dia adalah cicit kepada P. Ramlee.
Pada mulanya, ramai juga pengguna TikTok yang rasa macam tak percaya, sehingga ada yang meminta tolong tunjukkan gambar moyangnya yang legenda itu.
Siapa sangka sehingga ramai juga yang terkejut rupa-rupanya Abu Ghazi memang benar dan sahih ada pertalian keluarga dengan legenda tiada ganti P. Ramlee.
Abu Ghazi membuktikan yang dia memang cicit P. Ramlee dengan keterangan salasilah keluarganya dalam akhbar Kosmo yang bertarikh 28 Disember 2008 bertajuk ‘Menjejak Waris-Waris P. Ramlee’.
Selepas perkongsian dengan tontonan melebihi 1 juta itu telah membuatkan semua orang terbukti percaya, maka ramailah kalangan netizen yang meninggalkan komen di TikTok dengan berkata:
“Macam tengah belajar sejarah, hahaha..”
“Saya minat dengan moyang awak bro..”
“Terbaik, teruskan generasi legasi moyangmu dik.. Takkan pernah sekalipun lupa legenda seniman Malaysia.”
“Obses dengan P. Ramlee, semua cerita dia saya tengok..”
Semoga Abu Ghazi pun kalau berminat dan berbakat besar boleh menjadi legenda macam moyangnya Tan Sri P. Ramlee.