Kasih sayang seorang ibu selalunya tidak bersyarat dan tidak pernah ada had kerana seorang ibu akan sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anaknya, dalam apa jua keadaan.
Sebuah laman Facebook 收风吹水 baru-baru ini berkongsi gambar menyentuh hati memaparkan seorang ibu membawa meja lipat semata-mata untuk melindungi anaknya daripada hujan.
Kanak-kanak itu baru pulang dari sekolah dan turun dari kereta, apabila ibunya sudah menunggu betul-betul di luar kereta untuk memastikan anak kesayangan yang bertuah itu tidak terkena hujan.
Tidak jelas lokasi kejadian menghangatkan hati ini di mana dan bila ia berlaku. Tetapi konteks imej itu sendiri mendapat perhatian warganet, sementara ada yang memperkatakan bagaimana ibu ini begitu kreatif menggunakan meja lipat sebagai alternatif untuk payung,
Tetapi kebanyakan mereka menyerlahkan satu perkara yang sama – kasih sayang ibu itu sememangnya tiada batasan dan tidak pernah bersyarat.
Warganet yang tersentuh dengan adegan kasih sayang sejati itu mempunyai cara tersendiri untuk menggambarkan perasaan mereka.
“Melindungi anak daripada cuaca buruk. Begitulah mulianya kasih sayang seorang ibu.”
“Kasih sejati tidak peduli apa yang orang lain fikirkan.”
“Demi anak-anak, seorang ibu sanggup memikirkan apa sahaja, ini adalah betapa mulianya kasih seorang ibu.”
“Adegan menyentuh hati yang menggambarkan kasih sayang seorang ibu. Tiada apa yang dapat menggambarkannya dengan sempurna.”
“Selagi ia dapat menyempurnakan tugas, proses itu tidak penting. Selagi kanak-kanak itu dilindungi, membawa meja lipat bukan masalah, tidak mengapa.”
Begitulah kasih sayang seorang ibu, dan pengorbanan mereka tidak akan pernah berhenti walaupun anak-anak telah dewasa. Jadi hargailah kehadiran ibu bapa anda selagi mereka masih ada.
Apabila pendandan rambut Nicholas Smithson memberitahu melihat tahi lalat yang kelihatan berbahaya pada lehernya, ia sudah terlambat kerana kini lelaki berusia 38 tahun itu hanya tinggal enam bulan sahaja untuk hidup.
Pembuat dandang dari Rockhampton, Queensland, Australia itu berkata pendandan rambutnya menggesa untuk dia memeriksa tahi lalat itu.
Tetapi apabila dia berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai tahi lalat itu, mereka memberitahunya ‘tiada apa yang perlu dibimbangkan’.
Gambar oleh Daily Mail
Nicholas memberitahu The Courier Mail yang dia berjumpa dua orang doktor dalam masa 11 hari selepas menyedari pertumbuhan tahi lalat itu meningkat dua kali ganda – hanya untuk dinafikan yang ia tidak berbahaya.
Nicholas kemudian memutuskan untuk pergi berjumpa pakar kulit yang akan mengambil biopsi dengan segera.
Keputusan menunjukkan pertumbuhan itu adalah nodular melanoma dan ia telah merebak melepasi tahi lalat hitam ke nodus limfanya.
Lelaki ini berkata doktor menjelaskan ‘senario kes terburuk’ selepas menemui kanser itu, yang membuatnya terkejut.
“Saya masih ingat saya melihat pasangan saya dan berkata, ‘Saya akan mati, ini akan membunuh saya’,” kata Nicholas.
“Kami pulang ke rumah dan hanya merenung dinding kosong dan saya mula menangis,” katanya.
Nicholas kemudian segera ke Brisbane untuk menjalani pembedahan leher dua hala, yang memakan masa selama 10 jam untuk mengeluarkan nodus limfa di lehernya.
Gambar oleh Daily Mail
Sebelas hari kemudian Nicholas melihat pertumbuhan lain di belakang telinganya.
Imbasan PET menunjukkan dia mula diserang kanser dan tidak lagi boleh mengharapkan rawatan yang membawa kepada penawar dan penyembuhan.
Pada bulan Ogos, doktor memberitahu berita sedih yang Nicholas Smithson hanya mempunyai masa enam bulan untuk hidup.
“Ia seperti dalam filem apabila seorang dimaklumkan berita buruk, mereka hanya pegun bagai tidak percaya,” katanya.
Dia mengakui telah menelefon rakan-rakan secara rawak dengan harapan mendapatkan ketenangan, malahan bertanya kepada pengarah pengebumian tempatan jika ada bukti kehidupan akhirat.
Nicholas sentiasa mahu melancong jadi rakan-rakannya telah memulakan GoFundMe untuk membantunya ‘menjalani kehidupan bermakna’ sebelum dia meninggal dunia.
Mereka telah mengumpul AUD$17,000 (RM51,000) selepas menetapkan matlamat AUD$5000 (RM15,000) untuk membantu pembuat dandang itu menandakan beberapa hajat dalam ‘bucket list’ nya.
Nodular Melanoma boleh merebak ke organ utama dalam masa tiga bulan, menurut Healthline.
Gambar oleh Daily Mail
Apakah tanda-tanda nodular melanoma?
Berjumpa dan dapatkan nasihat doktor dengan segera jika anda mempunyai benjolan kulit, pertumbuhan, tahi lalat atau lesi yang:
Lebih besar daripada kebanyakan tahi lalat atau bintik-bintik biasa pada badan anda.
Dulu rata tetapi kini ia tinggi atau lebih tebal daripada dahulu.
Berbentuk kubah atau mempunyai ketulan yang keras sama ada satu warna (hitam, coklat, merah, merah jambu atau berwarna daging) atau campuran warna (seperti biru-hitam, coklat-merah).
Mempunyai sama ada permukaan licin atau kasar, berkerak telah berubah dalam penampilan yang gatal atau berasa seperti sengatan.
Gambar oleh Daily Mail
Nodular melanoma adalah bentuk kanser kulit yang berkembang pesat dan agresif. Ia biasanya muncul sebagai benjolan atau luka pada kulit yang tegang dan mungkin berwarna atau tidak. Ia mungkin tidak didiagnosis sehingga ia berada di peringkat lanjut kerana kelajuan ia boleh berkembang. Oleh itu, pemeriksaan kulit di rumah adalah alat penting dalam mendiagnosis dan merawat kanser kulit seperti nodular melanoma lebih awal.
Jika anda melakukan pemeriksaan kulit dan mendapati sesuatu yang mencurigakan, atau jika anda mengalami sebarang gejala luar biasa, seperti keletihan, loya, sakit kepala, demam atau penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, jangan teragak-agak untuk membuat temu janji dengan profesional penjagaan kesihatan untuk peperiksaan. Doktor yang pakar boleh membantu anda untuk menentukan sama ada ujian atau rawatan lanjut diperlukan.
Kini semua sudah maklum ejen jualan kosmetik yang diculik dari rumahnya di Kelantan telah berjaya diselamatkan oleh PDRM dan dibawa pulang ke Malaysia dari Thailand. Tetapi, ramai yang ingin mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepadanya ketika diculik.
“Setiap hari, ketika dalam tahanan, saya berdoa agar segera dikembalikan kepada keluarga dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan,” kata Rosnazirah Mohd Naim, 36 tahun yang diculik sekumpulan lelaki pada 13 September lalu.
Katanya, dia tidak ingat dengan jelas kronologi penculikannya, tetapi tahu ditempatkan di sebuah rumah yang kelihatan seperti inap desa yang terletak di sebuah kampung di Laos, selepas menempuh perjalanan jauh dari Sungai Golok, Pengkalan Kubor, Kelantan, Harian Metro melaporkan.
“Ketika kami tiba di tebing Sungai Golok, pada hari kejadian (ketika diculik) untuk menaiki bot, ada beberapa saksi di sekeliling tetapi mungkin mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku atau tidak mahu masuk campur kerana takut,” katanya.
“Selepas menyeberangi Sungai Golok, saya dibawa menaiki kereta dan terus ke destinasi yang tidak diketahui, tetapi menempuh perjalanan yang jauh sehingga tiba di sebuah rumah di Laos,” tambahnya.
“Sepanjang tempoh pahit itu, saya menangis setiap hari dan bertanya bila akan dikembalikan ke Malaysia kerana difahamkan mereka tidak meminta wang tebusan, malah saya tidak tahu apa motifnya,” katanya lagi.
Jelas Rosnazirah, sepanjang perjalanan dari Thailand ke Laos, mereka melepasi banyak sekatan jalan raya dan hatinya berdoa supaya dapat ditahan di mana-mana, namun perkara itu tidak berlaku sehingga tiba di destinasi.
Ejen jualan kosmetik ini berkata dia menerima layanan baik daripada penculiknya, yang memastikan makanan dan minuman sentiasa terjaga. Walaupun begitu, hatinya tetap bimbang sekiranya akan diapa-apakan.
“Dalam hati, saya ada juga ingin menjerit meminta tolong tetapi teringat mungkin sia-sia kerana kawasan sekitar adalah sawah padi dan tiada siapa yang faham, jadi saya hanya mampu berdoa,” katanya.
Setiap kali menanyakan bila dia akan dihantar pulang, salah seorang penculik memberi jaminan mereka akan berbuat demikian sambil memintanya bersabar. Mereka memintanya memberi tempoh 3 minggu hingga sebulan kerana keadaan masih ‘panas’ berikutan berita penculikannya yang tersebar luas.
Sehingga suatu hari, mereka memberitahunya “you back home” dan Rosnazirah bertanya “when?” dan mereka menjawab “today” oleh lelaki berkenaan.
“Kami menaiki kereta menuju ke Bangkok dan ditahan oleh pihak imigresen Thailand sebelum salah seorang anggota mereka mengecam wajah saya yang tersebar luas berhubung kes penculikan menyebabkan kami semua ditahan dan saya dibawa ke depoh tahanan imigresen,” katanya.
“Tidak lama kemudian, saya dibawa ke Kedutaan Malaysia di Thailand dan saya dapat menghubungi keluarga dan proses membawa saya pulang ke Malaysia telah segera dilakukan,” katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini mengaku masih trauma dan meminta diberi masa yang secukupnya untuk bertenang sebelum dapat memberi penjelasan penuh mengenai kejadian pahit yang terpaksa dialaminya.
“Kami masih belum bersedia untuk menerima sebarang temu bual daripada media atau sesiapa sahaja. Keluarga kami cukup tertekan sejak beberapa minggu lalu dan kami berharap pihak media tidak keterlaluan dan beri kami ruang untuk tidak diganggu,” kata adik Rosnazirah, Mohammad Mohd Naim.
“Saya berharap selepas ini kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” kata Mohammad kepada Astro Awani.
Sebelum ini beberapa tahun lalu di Indonesia ada seorang peniaga yang membeli kereta dengan duit syiling, dan kali ini sebuah kedai motosikal di Thailand telah menjadi tular atas sebab yang hampir sama, menjadikan ramai netizen yang rasa macam tidak percaya!
Akhom Charoen Honda Motorcycles, sebuah kedai motosikal yang terletak di wilayah Chon Buri di Timur Thailand, memuat naik satu gambar di Facebook pada 25 September memaparkan pekerja mereka sedang duduk bersila sambil mengira duit syiling.
“Cuba teka berapa banyak syiling yang ada?” permulaan kapsyen gambar itu. “Pelanggan memberitahu saya dia menyimpan duit syiling setiap hari untuk membeli Honda PCX160 secara tunai! Cemerlang! Kami seronok mengira.”
Ya, anda meneka dengan betul. Seorang pelanggan membayar keseluruhan motosikal baharu untuk dirinya dengan bayaran tunai menggunakan syiling.
Mereka mendedahkan kakitangan Akhom Charoen mengira 102,500 Baht (kira-kira RM12,703) dalam syiling.
Dalam perbualan dengan platform media digital Thailand, Sanook, wakil jualan kedai motosikal, Suwanna Chunram, berkata pelanggan telah menghubungi mereka lebih awal untuk bertanya sama ada dia boleh membayar Honda PCX160 menggunakan duit syiling, yang dia menjawab boleh.
Pelanggan itu kemudiannya datang pada petang 25 September dengan membawa dua kotak syiling untuk dikira oleh kakitangan. Chunram telah memanggil lebih ramai kakitangan untuk bekerja pada hari itu bagi membantu mengira semua duit syiling.
Selain itu, dilaporkan bahawa pekerja hanya mengambil masa 20 minit untuk mengira semua 102,500 Baht (RM12,703) dan yuran pendaftaran berasingan.
Bagaimanapun, mereka juga menyatakan pembeli telah memudahkan urusan dengan mengasingkan wang syilingnya kepada beg kecil THB100 (kira-kira RM12) di dalam kotak itu.
Menurut Chunram, tiada pelanggan pernah membuat keseluruhan pembelian sebesar itu dalam sejarah kedai. Yang paling hampir dengan mereka ialah wang pendahuluan yang dibuat untuk sebuah motosikal yang berjumlah THB1,500 (kira-kira RM186) dalam bentuk syiling, yang walau bagaimanapun selebihnya tidak.
Tanpa mengira kaedah pembayaran, Chunram turut menyatakan semua pelanggan dialu-alukan untuk mengemukakan wang mereka untuk dikira oleh kakitangan, tanpa sebarang potongan atau caj tambahan untuk usaha berkenaan.
Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Nor Azazi Zakaria berkata pembersihan sungai sebenarnya adalah pembersihan laut manakala pembersihan longkang itu sebenarnya membersihkan sungai memandangkan air dari longkang akan mengalir ke sungai. Disebabkan itu, tindakan sekumpulan remaja yang membersihkan longkang ini wajar dipuji kerana bermula dari kebersihan longkanglah, sungai dan laut akan menjadi bersih dan terhindar daripada pencemaran.
Sekumpulan remaja dari negara seberang ini mengambil inisiatif sendiri untuk membersihkan longkang yang dipenuhi dengan sampah sarap. Memang rasa geli melihatkan longkang yang kotor itu. Tetapi ia perlu dibersihkan kerana jika dibiarkan pasti akan mengundang bencana lain pada masa hadapan.
Dengan menggunakan peralatan sendiri, mereka membersihkan longkang tersebut. Air kotoran yang terdapat dalam bekas minuman plastik dibuang terlebih dahulu sebelum bekas minuman plastik itu dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam.
Mereka juga turut mengutamakan keselamatan diri ketika melakukan kerja-kerja pembersihan dengan memakai kasut keselamatan dan sarung tangan.
Mereka juga menggunakan jaring untuk mengaut sampah sarap. Dengan menggunakan jaring juga, sampah sarap tersebut lebih mudah dikumpulkan dan kerja-kerja pembersihan menjadi lebih cepat.
Menerusi video tersebut, kelihatan ada sampah sarap yang sukar ditarik keluar menunjukkan ia telah lama berada di dalam longkang tersebut. Sampah plastik terutamanya memang tidak akan terurai biarpun sudah bertahun-tahun terbenam di dalam sungai.
Beginilah hasil selepas mereka melakukan kerja-kerja pembersihan.
Mungkin tidaklah bersih sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya mereka telah mengurangkan jumlah sampah sarap di dalam longkang tersebut.
Pencemaran sungai berpunca daripada kotornya longkang dan kotornya longkang berpunca daripada sikap masyarakat yang membuang sampah di dalam sungai.
Tidak dinafikan memang terdapat masyarakat yang menjadikan longkang, sungai sebagai tapak pembuangan sampah. Mungkin mereka berasa ‘tidak apa’ jika membuang sampah di dalam sungai kerana berpendapat, air yang mengalir itu akan menghanyutkan sampah tersebut.
Namun, sedarkah anda longkang yang tersumbat boleh mengakibatkan banjir?
Apabila longkang tersumbat, air hujan tidak dapat mengalir. Jika hujan masih turun, air yang bertakung itu akan bertambah banyak dan akhirnya mengakibatkan banjir.
Oleh itu, janganlah buang sampah di dalam longkang.
Seorang bekas pegawai polis telah menembak mati sekurang-kurangnya 37 orang di sebuah taska sebelum menembak anak kandung, isteri dan dirinya sendiri. Kejadian tidak berperikemanusiaan itu berlaku pada Khamis, 06 Oktober 2022 di wilayah Nong Bua Lamphu, Thailand. Menurut polis, kanak-kanak dan guru ditembak dan ditikam dengan pisau sebelum penyerang tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian.
Sekurang-kurangnya 23 orang kanak-kanak yang menjadi mangsa tembakan tersebut berusia seawal dua tahun dipercayai sedang tidur ketika kejadian berlaku.
Nanticha Panchum, guru besar taska tersebut berkata lelaki itu pernah menghantar anaknya ke taska itu namun sudah sebulan kanak-kanak itu tidak dihantar ke sana.
Katanya lagi, lelaki tersebut dilihat sebagai seorang yang penyayang walaupun adakalanya agak cerewet. Disebabkan itu, motif sebenar lelaki tersebut menyerang penghuni taska adalah tidak diketahui.
Menurut Puan Panchum yang juga merupakan saksi kejadian, kebiasaannya 92 orang kanak-kanak dihantar ke taska namun pada hari kejadian ngeri itu berlaku, hanya 24 orang sahaja yang hadir disebabkan hari hujan dan bas sekolah rosak.
“Penembak tersebut datang ke taska pada waktu makan tengah hari dan mula menembak empat atau lima orang guru,” kata pegawai tempatan, Jidapa Boonsom, yang bekerja berhampiran dengan taska tersebut. Salah seorang guru yang menjadi korban ialah wanita mengandung lapan bulan.
Menurut Jidapa, pada mulanya mereka menyangka bunyi yang didengari itu adalah bunyi bunga api sambil menambah penyerang terbabit cuba menerobos masuk sebuah bilik berkunci yang menempatkan kanak-kanak yang sedang tidur.
Saksi lain berkata, ketika melarikan diri dari taska dengan memandu kenderaan jenis Toyota berwarna putih, penyerang tersebut melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai sehingga ada yang cedera.
Terkejut dengan berita kejadian tersebut, Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha menyifatkan kejadian tersebut sebagai “satu kejadian yang mengejutkan”. Beliau mengarahkan polis tempatan untuk segera menyiasat punca serangan tersebut.
Polis menamakan penyerang tersebut sebagai Panya Kamrab, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang pernah menjadi sarjan polis. Dia digantung kerja kerana terlibat dengan penggunaan dadah pada Januari, dan kemudian dibuang kerja pada Jun. Difahamkan Panya hadir di mahkamah pada pagi Khamis atas pertuduhan berkaitan penggunaan dadah dan kemungkinan penjualan methamphetamine. Keputusan itu dijadualkan disampaikan pada hari Jumaat.
“Selepas memeriksa lokasi jenayah, kami mendapati penyerang tersebut cuba untuk memecah masuk dan dia menggunakan pisau sebagai senjata utama untuk membunuh sejumlah kanak-kanak,” kata Ketua Polis Damrongsak Kittiprapat.
Menurut polis, sekembalinya Panya ke rumah, dia membunuh anak kandung dan isterinya sebelum membunuh dirinya sendiri.
“Kemudian dia keluar dan mula membunuh sesiapa sahaja yang berselisih dengannya disepanjang perjalanan sama ada menggunakan pisau atau pistol sehingga dia tiba di rumah. Kami mengepung rumahnya dan kemudian mendapati dia telah pun membunuh dirinya.”
Kejadian tembakan secara besar-besaran di Thailand sangat jarang berlaku walaupun kadar pemilikan senjata api agak tinggi di sana.
Seorang doktor yang dahulu mempromosikan vaksin COVID-19 kini menyeru pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia untuk menghentikan sementara pentadbiran dua vaksin COVID-19 yang paling banyak digunakan, dengan mengatakan manfaat daripada vaksin mungkin tidak melebihi risiko.
“Terdapat lebih daripada mencukupi bukti -saya akan mengatakan bukti itu amat menggalakkan-untuk menghentikan sementara pemberian vaksin,” kata Dr. Aseem Malhotra, pakar kardiologi dan perubatan berasaskan bukti dari Britain, kepada The Epoch Times.
Satu kertas kajian daripada Dr. Malhotra yang memperincikan bukti telah diterbitkan pada 26 September.
Dr. Aseem Malhotra (Gambar ihsan Dr. Aseem Malhotra)
Antara petikan tersebut ialah analisis semula ujian klinikal Pfizer dan Moderna yang baru-baru ini menyimpulkan bahawa peserta percubaan yang divaksin mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kejadian buruk yang serius. Yang mana beliau menggelar kajian itu sebagai “smoking gun”.
Dr. Malhotra juga menekankan kekurangan pengurangan kematian atau penyakit teruk dalam ujian, yang diselesaikan pada 2020.
Dengan mengambil kira kadar kematian dan angka lain sejak itu, bilangan orang yang perlu diberi vaksin untuk mencegah satu kematian COVID-19 adalah antara 93,000 untuk individu berusia 18–29 hingga 230 untuk individu berusia 80 tahun ke atas, menurut analisis data keselamatan dan keberkesanan United Kingdom oleh Pasukan Penasihat dan Pemulihan Kesihatan negara itu.
Penulis juga menyatakan bahawa kesan sampingan yang serius telah dikesan selepas ujian, seperti myocarditis, satu bentuk keradangan jantung.
Secara keseluruhan, melihat kepada faedah dan kelemahan mutlak vaksin, sudah tiba masanya untuk menghentikan penggunaannya dan membenarkan pihak berkuasa dan pakar lain untuk memeriksa data dengan teliti bagi tujuan melihat sama ada vaksin itu harus digunakan semula, menurut Dr. Malhotra.
Pfizer dan Moderna tidak membalas permintaan untuk memberi komen.
Pembalikan pendapat
Dr. Malhotra menerima siri utama Pfizer pada Januari 2021. Beliau menjadi promoter vaksin, malah muncul dalam rancangan “Good Morning Britain” untuk menasihati pengarah filem India Gurinder Chadha untuk mendapatkan vaksin itu. Chadha berbuat demikian tidak lama kemudian.
Dr. Malhotra berkata beliau mula menggali semula data vaksin selepas kematian bapanya, Dr. Kailash Chand, yang mengalami serangan jantung di rumah kira-kira enam bulan selepas menerima vaksin Pfizer.
Bedah siasat menunjukkan dua arteri utama Dr. Chand tersumbat teruk, walaupun Dr. Malhotra menyifatkan bapanya sebagai seorang yang cergas dan tidak mempunyai sebarang masalah jantung yang ketara.
Dr. Malhotra mula membaca tentang isu pasca vaksinasi, termasuk kajian abstrak dalam jurnal ‘Circulation’yang mengenal pasti risiko serangan jantung yang lebih tinggi berikutan vaksinasi dengan vaksin Pfizer dan Moderna dan kajian dari negara Nordic yang mengenal pasti risiko myocarditis yang lebih tinggi.
Dr. Malhotra mula mempercayai bahawa kematian bapanya dikaitkan dengan vaksin itu.
“Saya sentiasa mendekati perubatan dan sains dengan ketidakpastian kerana perkara sentiasa berubah. Dan maklumat yang saya ada pada masa itu berbeza sama sekali dengan maklumat yang saya ada sekarang,” kata Dr. Malhotra kepada The Epoch Times. “Dan sebenarnya, ia adalah tugas dan tanggungjawab saya kerana maklumat telah berubah untuk bertindak atas maklumat itu. Dan itulah yang saya lakukan.”
Respons terhadap kritikan
Selepas kertas baru diterbitkan, pengkritik menekankan Dr. Malhotra adalah ahli lembaga ‘Journal of Insulin Resistance’.
Beliau mengakui kedudukan itu tetapi berkata artikel itu melalui proses semakan rakan sejawat bebas dan beliau tidak mempunyai pautan atau kaitan kewangan kepada jurnal itu.
Doktor ini menggalakkan orang awam melihat sejarah penerbitannya, yang termasuk artikel dalam British Medical Journal dan Journal of the American Medical Association.
Menurutnya, beliau memilih untuk menyerahkan kertas itu kepada jurnal insulin atas beberapa sebab, termasuk ia “salah satu daripada beberapa jurnal yang tidak mengambil wang daripada industri farmaseutikal.”
“Saya tidak fikir ada kesahihan untuk mempersoalkan integriti karya itu. Orang ramai boleh berhujah saya mempunyai tahap kecenderungan intelektual yang berat sebelah. Kita semua mempunyai berat sebelah intelektual, tetapi pastinya tiada berat sebelah dari segi kewangan untuk saya,” katanya.
Doktor sedang menyediakan vaksin Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi di Halifax, England pada 31 Julai 2021. (Gambar oleh Ian Forsyth/Getty Images)
Kertas kajian menerima sokongan
Para saintis terkemuka berkata kertas baharu itu adalah penting.
“Kami percaya sepenuhnya bahawa vaksin adalah salah satu penemuan hebat dalam bidang perubatan yang telah meningkatkan jangka hayat secara dramatik, bagaimanapun, vaksin genetik mRNA adalah berbeza, kerana penilaian keselamatan jangka panjang adalah kurang tetapi wajib untuk memastikan keselamatan awam,” Presiden Persatuan Pembedahan Vaskular Antarabangsa, Sherif Sultan berkata dalam satu kenyataan.
Sultan juga menyatakan penemuan itu “menimbulkan kebimbangan mengenai kesan sampingan kardiovaskular yang tidak dapat dikesan yang disebabkan oleh vaksin dan menggariskan hubungan sebab akibat yang telah ditetapkan antara vaksin dan myocarditis, penyebab kerap serangan jantung yang tidak dijangka ke atas individu muda.”
Dr. Jay Bhattacharya, seorang profesor perubatan dan epidemiologi di Universiti Stanford, berkata Dr. Malhotra “membuat satu kes yang baik bahawa terdapat kepelbagaian yang besar merentas kumpulan usia dan keadaan komorbid lain dalam manfaat yang dijangkakan dan profil jangkaan terhadap kesan sampingan vaksin” dan “mendapati walaupun terdapat kes untuk orang yang lebih tua untuk mengambil vaksin kerana faedahnya mungkin melebihi bahaya yang dijangkakan, yang mungkin tidak berlaku untuk orang yang lebih muda.”
Dr. Campbell Murdoch, penasihat Royal College of General Practitioners, berkata kajian itu “menggambarkan pelbagai kegagalan sistemik dalam penyediaan ubat berasaskan bukti yang selamat dan berkesan” dan keadaan itu menyebabkan “mustahil bagi pesakit dan orang ramai untuk membuat pilihan dengan makluman tentang apa yang terbaik untuk kesihatan dan kehidupan mereka.”
Beberapa orang lain mengkritik kertas itu, termasuk Dr. Victoria Male, seorang pakar imunologi di Imperial College London.
Dr. Male menulis di Twitter, jadual dalam kertas yang menggariskan bilangan individu dalam setiap kumpulan umur yang dianggarkan memerlukan vaksinasi untuk mencegah kematian COVID-19 “adalah cukup memihak kepada vaksinasi.”
Keganasan yang berlaku ketika perlawanan bola sepak Liga 1 antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan di Jawa Timur, Indonesia dilaporkan secara rasmi meragut nyawa 125 penyokong dan penonton bola sepak termasuk anggota polis setakat ini, dalam tragedi yang berlaku pada malam 1 Oktober.
Kekacauan tercetus berikutan kemenangan 3-2 Persebaya Surabaya, yang membawa kepada pencerobohan padang oleh ribuan penyokong Arema FC, di Stadium Kanjuruhan di Malang.
Rempuhan itu menyebabkan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan kemaraan orang ramai, dengan beberapa pemain Arema FC masih berada di padang ketika pencerobohan dan rusuhan mula berlaku.
Para penyokong dilihat berada dalam keadaan huru-hara selepas pasukan polis melepaskan gas pemedih mata dan ramai membawa rakan mereka yang tidak sedarkan diri keluar dari padang.
Menjadi rusuhan bola sepak terburuk di Asia dan kedua terburuk di dunia selepas tragedi di Lima, Peru pada 24 Mei 1964 yang mengorbankan 328 penonton bola sepak.
Kira-kira 300 telah dikejarkan ke hospital, tetapi ramai yang meninggal dunia dalam perjalanan atau ketika menerima rawatan.
Menurut Ketua Polis Jawa Timur, 180 dilaporkan cedera yang kebanyakannya dalam keadaan parah, dengan mangsa seawal usia lima tahun dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan.
Mengaitkan kematian dengan “kesesakan, dihimpit, dipijak dan sesak nafas” ketika berada di dalam stadium itu, yang hanya mampu memuatkan 38,000 penonton, tetapi menyaksikan 42,000 tiket perlawanan dikeluarkan, dan dikatakan kapasiti penonton adalah kira-kira 53,000 orang pada perlawanan berlangsung.
Menurut bekas jurulatih pasukan futsal kebangsaan Indonesia, Justinus Lhaksana, ini bukan insiden yang pertama kali buat Indonesia:
Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian.
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan mangsa yang terkorban dalam kejadian rusuhan bola sepak bukan berpunca daripada pergaduhan antara penyokong.
Mangsa yang terkorban dipercayai sesak nafas, terhimpit serta dipijak ketika para penyokong cuba untuk keluar dari stadium berkenaan. PSSI telah menyerahkan laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung insiden berkenaan.
Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menilai standard keselamatan pada perlawanan bola sepak, dan semua perlawanan Liga 1 ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, untuk siasatan menyeluruh dilakukan bagi mencari punca sebenar insiden.
Satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan betapa seorang remaja lelaki ketagihan menggunakan telefon pintar sehingga tergamak membuat kekacauan di dalam rumah ibunya sendiri.
Hari ini, semakin ramai orang yang ketagihan menggunakan telefon pintar tanpa mengira usia. Terutamanya selepas telefon pintar dan internet tersedia untuk semua yang mana jika seseorang terlalu asyik, masa boleh terbuang begitu sahaja selama berjam-jam lamanya.
Terdapat beberapa manfaat menggunakan telefon pintar. Namun begitu, pada masa sama terdapat beberapa kelemahan, kerana ia bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian, malahan memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental.
Terutama kepada kanak-kanak dan remaja, masalah menjadi cepat marah adalah tinggi. Antara sebab mengapa kanak-kanak tidak boleh dibiarkan membiasakan diri dengan bermain telefon pintar tanpa had.
Satu video yang tular menunjukkan sebuah rumah hampir musnah seperti baru dilanda gempa bumi apabila seorang remaja berusia 15 tahun mengamuk selepas ibunya mengambil telefon pintar daripada tangannya.
Dia tidak teragak-agak tanpa fikir telah membuat kekacauan di dalam rumahnya sendiri. Nampaknya semua harta benda yang dibeli ibunya di dalam rumah itu telah musnah sama sekali.
Dapat dilihat dalam video itu semua barang berselerak di dalam dapur. Remaja berusia 15 tahun itu bukan sahaja memecahkan perabot malah turut memecahkan cermin dan almari di bilik tidur. Selain itu, dia juga mencipta huru-hara dengan memecahkan tingkap kaca di ruang tamu, merosakkan televisyen dan semua bilik air dipecahkannya.
Jika seseorang tidak mengetahui cerita sebenar, mereka mungkin mengandaikan sedang melihat video pasca kejadian gempa bumi.
Namun, realitinya remaja kurang matang ini telah menyebabkan kerugian beribu-ribu dolar di pihak ibunya yang telah merampas telefon pintarnya.
Jika anda menonton video secara keseluruhan dan reaksi sedih ibu ini, anda akan memahami tahap ketagihan menggunakan telefon pintar yang mampu dicapai oleh kanak-kanak dan remaja, sehingga menjadi membahayakan.
Dari dapur, ruang tamu sehingga ke bilik air dan bilik tidur, semuanya telah dimusnahkan. Menunjukkan betapa dahsyatnya ketagihan telefon pintar melanda anak muda.
Perkara tidak mengejutkan jika ia juga boleh berlaku kepada orang dewasa tanpa disedari. Ini merupakan satu penyakit.
Adegan kemusnahan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa mendidik generasi hari ini untuk belajar mengawal emosi dan tindakan mereka untuk melarikan diri dari ketagihan telefon pintar.
Vandalisme di dalam rumah sendiri boleh berlaku hanya berpunca daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berasa tidak puas hati lalu marah dan mengamuk kerana ibunya mengambil telefon pintar.
Pada suatu hari seorang lelaki lingkungan umur warga emas datang bertemu dengan Doktor Samhan. Pakcik tersebut mahu Dr Samhan menolongnya yang dijangkiti kayap ular. Katanya jika kayap ular tersebut bersambung, dia akan meninggal dunia. Namun kata Dr Samhan, kayap ular jika bersambung akan membawa maut itu hanyalah mitos.
Menurut pengakuan pakcik itu, semasa kecil dahulu dia pernah dijangkiti cacar air (chicken pox). Daripada situlah Dr Samhan menerangkan bahawa virus yang menyebabkan cacar air itu jugalah yang menyebabkan berlakunya kayap (herpes zoster). Bagaimana ini terjadi?
Kata Dr Samhan, kayap ular disebabkan oleh Varicella Zoster Virus (VSV) iaitu virus sama yang menyebabkan cacar air (chicken pox). Oleh itu, jika sesiapa yang pernah dijangkiti cacar air berisiko mendapat jangkitan kayap ular.
Ini kerana, selepas pesakit pulih daripada jangkitan cacar air dan tidak dirawat dengan sempurna, virus yang sama akan terus hidup dan berbaki yang kemudiannya memasuki sistem saraf pesakit dan tidak aktif selama bertahun-tahun.
Akhirnya, apabila daya tahan bekas pesakit cacar air ini menjadi lemah semula, virus ini akan menjadi kembali aktif dan bergerak sepanjang laluan saraf pada kulit dan menyebabkan lepuhan dan kayap.
Menurut Dr Samhan lagi, pegerakan sepanjang saraf ini ibarat ular yang membelit, sebab itu dinamakan kayap ular.
Walaubagaimana pun, mustahil bagi kayap ular ini bersambung.
Ini kerana, kayap ini biasanya akan menyerang satu saraf (dermatome) pada suatu bahagian badan sahaja. Setiap akar saraf mempunyai dua set yang sama untuk memberikan deria sentuhan di kedua-dua belah kiri dan kanan bahagian badan.
Maka, apabila virus tersebut menjadi aktif semula, kayap ular hanya terjadi di sebelah kiri atau kanan sesuatu bahagian kecil badan sahaja, bergantung di saraf mana letak duduknya virus tersebut. Oleh yang demikian, agak mustahil untuk kayap ular itu mengelilingi badan kita.
Kayap biasanya melibatkan dada dan muka. Terdapat segolongan kecil pesakit mungkin mengalami kayap ular di lebih dari satu bahagian badan tetapi tidak mungkin di kiri dan kanan secara serentak. Ia tidak akan bersambung. Itu semua mitos!
Kata Dr Samhan lagi, sehingga kini tiada rawatan yang berkesan sepenuhnya untuk merawat kayap ular. Rawatan yang ada hanya mampu memendekkan jangka masa penyakit dan mengelakkan komplikasi.
Antara ubat yang biasa dipreskripsi oleh doktor ialah:
Anti-viral: seperti Acyclovir. Ubat ini penting untuk mengurangkan kesakitan dan memendekkan tempoh penyakit.
Ubat tahan sakit: seperti NSAIDs untuk membantu pesakit menangani rasa sakit yang ditanggung.
Krim antibiotik: sekiranya berlaku jangkitan bakteria pada kayap tersebut.
Selepas mendengar penerangan doktor dengan begitu teliti, pakcik tersebut menceritakan tentang jirannya yang meninggal dunia yang dikatakan akibat kayap bersambung. Namun dia tidak melihat kayap pada pesakit tersebut.
Membalas pada pakcik tersebut, Dr Samhan berkata, “dia meninggal mungkin sebab lain, kebetulan pula ada kayap.”
Kata Dr Samhan lagi, ramai yang menyangka jika kayap bersambung akan meninggal dunia. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa rokok lebih bahaya daripada kayap. Dia menjeling rokok yang sedikit terkeluar daripada poket baju pakcik tersebut. Pakcik tersebut membalas, “betul, doktor”, sambil menolak rokok masuk ke dalam poket dan tersengih.
“Pakcik datang hari ini sebab apa?”
“Doktor tolong pakcik, pakcik ada kayap ular. Kalau kayap ini bersambung, mati pakcik”, sambil selak bajunya.
“Pakcik pernah kena chicken pox masa kecil dulu?Atau ada orang panggil cacar air.Yang kulit jadi gelembung lepas itu jadi parut” pic.twitter.com/PrR1ju2pqm