33.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 16, 2025
Utama Blog Laman 115

Bayi empat bulan koma, pengasuh taska direman

0

KUALA TERENGGANU: Tiga orang pengasuh sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di sini ditahan selepas dipercayai mendera hingga menyebabkan bayi empat bulan koma.

BH

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tiga orang suspek tersebut merupakan wanita berusia antara 22 hingga 33 tahun. Mereka ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di premis berkenaan pada petang 9 Januari 2023.

Menurut Datuk Rohaimi, tangkapan tersebut dilakukan selepas polis menerima satu laporan berhubung kejadian. Laporan tersebut dibuat sendiri oleh bapa mangsa yang berusia 29 tahun di IPD Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

“Berdasarkan laporan, bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan mendapati, berlaku pendarahan dalam otak selain keretakan pada tempurung kepala bayi berkenaan.

“Susulan itu, tiga suspek terbabit ketika dipanggil memberi keterangan menafikan kejadian itu tetapi keterangan mereka meragukan.

“Bagaimanapun, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan mendapati suspek memukul kepala mangsa dengan tangan.

“Kesan daripada perbuatan itu, mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan berlaku keretakan pada tempurung kepala.

Menurutnya lagi, bayi empat bulan itu mengalami kecederaan yang serius dan masih koma. Dia dirawat di unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Datuk Rohaimi mengeluarkan kenyataan tersebut pada Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu Januari 2023 di Perkarangan IPK Terengganu.

Semua suspek terbabit ditahan reman selama enam hari bermula 10 Januari dan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pilihan Editor:

Remy Ishak tolong ambilkan gambar pengunjung Tasik Cermin

0

Swafoto adalah cara untuk merakam gambar bagi mengabadikan kenangan bersama sesiapa dan di mana sahaja secara sendiri. Namun hasilnya kadang-kadang tidaklah begitu memuaskan. Jadi, kita akan meminta bantuan orang lain untuk ambilkan gambar kita. Dan itulah yang dilakukan oleh sepasang pengunjung Tasik Cermin. Mereka menyapa dan meminta bantuan lelaki berbaju kuning untuk merakam gambar mereka. Menariknya, pasangan ini langsung tidak menyedari bahawa jurugambar misteri itu ialah Remy Ishak, pelakon popular Malaysia.

@roseezza

Perkara tersebut dikongsi sendiri oleh @roseezza yang singgah di Tasik Cermin bersama suaminya, Remy Ishak. Ketika itu ada sepasang pengunjung tasik tersebut meminta suaminya yang berbaju kuning untuk merakam gambar mereka berdua.

Menurut @roseezza, pasangan tersebut langsung tidak menyedari bahawa lelaki berbaju kuning itu ialah Remy Ishak. Ini kerana ketika itu suaminya memakai pelitup muka.

@roseezza

Ujar @roseezza di TikToknya, suaminya begitu beria-ia merakam gambar pasangan itu sambil meminta mereka beralih ke posisi lain bagi mendapatkan gambar yang lebih cantik.

@roseezza berharap agar pasangan tersebut berpuas hati dengan hasil tangkapan gambar oleh suaminya itu.

Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita yang dimaksudkan oleh @roseezza itu. Katanya, dia dan pasangannya memang tidak perasan bahawa jurugambar tersebut ialah Remy Ishak, pelakon popular Malaysia.

@roseezza

Warga siber yang lain turut mengatakan bahawa mereka juga tidak dapat mengecam jurugambar yang memakai pelitup muka itu ialah Remy Ishak.

Pasti peristiwa ini akan menjadi kenangan terindah dalam hidup pasangan tersebut. Ini kerana bukan calang-calang orang yang membantu mereka merakam gambar.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Bekas akauntan hampir putus asa menjaja apam balik gara-gara pernah pengsan di dapur

0

Seorang bekas akauntan hampir putus asa menjaja apam balik gara-gara pernah pengsan di dapur. Walaupun berdepan dengan cabaran seperti kepanasan dapur, dia lebih gembira kerana telah bebas daripada tekanan pekerjaan terdahulu iaitu sebagai akauntan. Selain itu, pujian daripada pelanggan ulangan yang berpuas hati dengan apam balik yang dibuatnya membuatkan dia semakin bersemangat untuk berniaga.

Selepas menamatkan pengajian Diploma Perakaunan, Li Yihua, 29 bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di Singapura. Dalam satu temu bual bersama Xinming Daily, dia berkata,”Walaupun kehidupan 9-5 itu sangat stabil, namun ia tidak berubah yang membuatkan saya tertekan.”

Menurut Li Yihua ketika bekerja sebagai akauntan dahulu, dia berdepan dengan tekanan mental yang berganda pada hujung bulan dan hujung tahun. Berbanding dengan hanya duduk di pejabat, dia percaya dia mampu mencari rezeki dengan caranya tersendiri. Akhirnya selepas bekerja selama tujuh tahun Li Yihua meletakkan jawatan.

Dua tahun lalu, bekas akauntan ini menyertai Program Pembangunan Penjaja (HDP) yang dibangunkan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dan SkillsFuture Singapura (SSG) untuk belajar memasak. Di sana, Li Yihua belajar membuat apam balik.

NEA

Semasa dalam tempoh percubaan, dia pernah pengsan sekurang-kurangnya dua kali kerana tidak tahan dengan kepanasan tiga dapur di kedainya. “Saya berpeluh daripada kepala hingga ke kaki, dan saya kehilangan banyak air hingga saya tidak perlu ke tandas pada hari itu.”

Walaupun begitu, Li Yihua tetap meneruskan perniagaannya. Dia sedikit pun tidak berfikir untuk berhenti.

“Dari awal hingga akhir, jika anda sudah memutuskan untuk masuk ke dalam industri ini, anda mesti berusaha sedaya upaya dan tidak mudah mengalah.”

Li Yihua yang menetap di Woodlands, bangun pada pukul 4 pagi dan keluar pada pukul 5 pagi untuk membuat persediaan membuka kedai kopinya yang terletak di Tao Payoh Lane 4.

Li Yihua mengaku bahawa selepas menjalani sendiri kehidupan sebagai penjaja barulah dia tahu pekerjaan itu tidak mudah. Setiap hari dia perlu bangun seawal pagi, pulang ke rumah pada waktu petang dan kemudian menyediakan bahan-bahan untuk keesokan harinya.

Walaupun secara fizikal pekerjaan tersebut lebih memenatkan namun dia lebih bahagia.

Hampir setiap hari Liang Junmei, 65 ibu kepada Li Yihua membantu anak perempuannya itu di kedai. Dia berkata, “Pekerjaan lama dan pekerjaan kini adalah ‘satu sejuk dan satu panas’, walaupun sukar, kami tetap menyokongnya. Jika anda mengalah dengan mudah, tiadalah generasi baharu dalam industri ini.”

Kata Li Yihua kepada Xinming Daily lagi, ketika mula-mula berniaga dahulu, hasil pendapatannya tidaklah begitu lumayan. Kadang-kadang dia terfikir untuk bekerja di pejabat semula kerana lebih selesa dan waktu kerja yang fleksibel.

Namun lama-kelamaan, pendapatannya semakin bertambah. Mereka juga mempunyai sejumlah pelanggan ulangan yang begitu gemarkan apam balik mereka. Pujian pelanggannya sedikit sebanyak memberikan motivasi buat dirinya untuk terus berusaha memajukan perniagaannya.

Sepanjang mengendalikan perniagaan apam balik tersebut Li Yihua pernah tidak berehat selama seminggu. Dia kemudiannya memutuskan untuk tidak berniaga pada setiap hari Sabtu dan menggunakan masa tersebut untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.

Pilihan Editor:

Semangat kesukanan menyentuh hati daripada pasukan bola sepak remaja memujuk lawan yang sebak

0

Menjadi adat dalam sukan, pasti terdapat pasukan yang kalah dan menang. Walaupun setiap pasukan telah berkerja keras dan mempamerkan aksi cemerlang demi mencapai kemenangan, namun nasib tidak memihak seperti yang mereka inginkan.

Seperti pasukan bola sepak lelaki bawah 12 tahun dari Jepun ini, yang tidak dapat menahan kesedihan selepas tewas kepada rakan-rakan mereka dari Sepanyol.

Facebook

Namun, pasukan bola sepak lelaki berusia bawah 12 tahun dari Sepanyol ini bukan sahaja mempunyai masa depan yang cerah di atas padang dengan menjadi juara, malahan di dalam kehidupan kerana menunjukkan sikap belas kasihan dan timbang rasa yang tinggi.

Facebook

Mempamerkan semangat kesukanan yang menyentuh perasaan selepas menewaskan kelab Jepun, Omiya Ardija dalam kejohanan bola sepak bawah 12 tahun, pasukan remaja Infantil B Barcelona turut berusaha keras untuk menenang dan menghiburkan lawan mereka yang sebak.

Facebook

Skuad Barcelona sedang meraikan kemenangan 1-0 dalam kejohanan bola sepak remaja dunia di Tokyo apabila menyedari pemain junior Jepun berasa amat kecewa kerana mereka tewas di hadapan penyokong sendiri.

Facebook

Bermula dengan barisan jabat tangan selepas tamat perlawanan yang hebat tetapi bertukar kesedihan, para pemain remaja dari Barcelona ini menawarkan pelukan dan kata-kata semangat kepada rakan-rakan Jepun mereka.

Facebook

Selepas menerima suntikan semangat untuk berusaha lebih keras lagi di masa hadapan, tanpa ada rasa malu dan kecewa, pasukan Omiya Ardija mula menerima kekalahan itu. 

Facebook

Jelas menunjukkan pemain remaja dari Sepanyol ini bakal menjadi bintang bola sepak bertaraf dunia pada masa hadapan dengan kemahiran yang ditunjukkan bersama semangat kesukanan tinggi yang mereka pamerkan.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Jangan tolak bakul kecil apabila diberi pekerja ketika membeli-belah di Watsons, sebab sebenar terbongkar

0

Bagi yang suka pergi ke Watsons, anda akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam di dalam untuk melihat-lihat dan seterusnya membeli-belah.

Sama ada anda perasan atau tidak, sebaik memasuki Watsons, seorang pekerja akan segera menyerahkan bakul kecil. Sesetengah pelanggan mungkin hanya mahu masuk dan membeli barang yang mungkin tidak banyak, jadi mereka akan menolak.

Gambar Watsons Malaysia

Anda fikir mereka agaknya bimbang tiba-tiba pelanggan akan membeli terlalu banyak barang dan sukar untuk dibawa? Tetapi sebenarnya, ada sebab lain.

Terdahulu, seorang warganet yang dipercayai salah seorang pekerja Watsons telah berkongsi ‘rahsia’ ini di Twitter. Warganet terbabit mendedahkan jika anda melihat seorang pekerja memberi bakul kecil itu, maka tolong jangan menolaknya, kerana itu adalah KPI yang mereka perlu penuhi.

Gambar Watsons Malaysia

“Jika anda masuk ke Watsons, sila jangan menolak untuk mengambil bakul yang kami berikan, kerana ia berkaitan dengan KPI kami. Walaupun anda hanya membeli satu barang, kami sangat gembira kerana anda mengambil bakul itu daripada kami,” jelasnya dalam ciapan itu.

Twitter

Ia bertujuan bagi membolehkan sistem mengesan jumlah bakul yang digunakan oleh pelanggan dalam sehari. Jangan risau kerana ketika anda mengimbas semasa pembayaran, tiada caj tambahan akan dikenakan.

Twitter

Dia juga secara bergurau meminta warganet dan pelanggan Watsons tidak melakukan perkara pelik, apabila dengan sengaja mengambil bakul yang banyak untuk ‘checkout’, kerana setiap bakul dengan pembelian hanya satu resit dikira, dan bakul-bakul yang diambil juga akan diimbas.

Twitter

Akhirnya, warganet ini juga mendedahkan walaupun ini adalah permintaan syarikat, tidak mengapa jika pelanggan benar-benar tidak mahu mengambilnya, dan dia juga tidak akan memaksa, hanya sekadar memberi saranan.

Twitter

Ciapan itu telah menyedarkan ramai warganet yang hanya mengetahuinya hari ini, bahkan ada yang meminta maaf untuknya!

Twitter

Jadi inilah sebabnya, sekarang semua orang sudah tahu dan faham.

Pilihan Editor:

Kerajaan Perpaduan tidak mungkin iktiraf LGBT, sekular & komunis

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak mungkin mengiktiraf golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual & transgender), konsep negara sekular & ideologis komunis.

BH

Anwar melontarkan kenyataan tersebut dalam program Naratif Khas bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada malam 7 Januari lalu. Katanya, ada pihak tertentu yang membangkitkan perkara tersebut dan cuba menyebarkan perkara tidak benar.

“Kadang orang politik ini dia kata umpama kalau Anwar jadi perdana menteri maka habis Islam dan sekular akan bertapak, LGBT disahkan, orang komunis bertapak.

“Ini igauan siang hari. Tentunya tidak berlaku dan insya-Allah di bawah kuasa pentadbiran saya perkara ini tidak mungkin berlaku,” katanya.

Anwar berkata sedemikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang menyifatkannya sebagai pemimpin yang menjalankan pemerintahan berbentuk diktator.

Dalam pada itu, Anwar berkata perjanjian persefahaman kerja sama antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan diadakan bukan kerana pentadbirannya tidak kukuh tetapi kerana majoriti yang diperoleh ketika itu terlalu kecil.

Untuk membuktikan sokongan, Anwar sendiri telah membawa Usul Undi Percaya pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang lalu sementelah selepas pihak pembangkang mempersoalkan keabsahannya.

Hasil usulan Undi Percaya yang dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada hari pertama persidangan tersebut, Anwar mendapat dokongan kuat dengan lebih suara bersetuju.

Selain daripada itu, Anwar berkata tindakan saman yang diambilnya terhadap beberapa individu adalah perlu sekiranya dirasakan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya agak melampau. Katanya lagi, jika kewibawaan dan kredibilitinya sebagai pemimpin tercabar, pemfitnah harus diajar bahawa kebebasan ini bukan kebebasan untuk fitnah.

“Apatah lagi kalau kita pakai payung agama, kemudian kita fitnah, kita buat qazaf, saya minta tok guru mereka, ustaz mereka ajar mereka dahulu sebelum ajar orang-orang lain,” katanya.

Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, Anwar telah menyaman beberapa individu termasuk Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Myhyiddin Yassin kerana mendakwa pemimpin itu memfitnah dan membuat tuduhan palsu terhadapnya.

Pilihan Editor:

PDRM tawar diskaun saman trafik sehingga 50 peratus bermula 10 hingga 12 Januari

0

Berita baik buat rakyat Malaysia yang mempunyai saman trafik tertunggak dan masih belum membayarnya. 

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menawarkan pengurangan kadar saman trafik sehingga 50 peratus bermula 10 hingga 12 Januari ini di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, JSPT KL berkata, tawaran tersebut diberikan pada tarikh yang ditetapkan sahaja, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

JSPT KL / Facebook

Selain itu, individu yang ingin mendapatkan tawaran diskaun tidak boleh membuat pembayaran melalui laman web MYEG dan harus hadir secara fizikal ke balai trafik berkenaan.

“Bayaran atas talian hanya melalui aplikasi mybayarsaman dan OKS (orang kena saman) perlu hadir bagi mendapatkan barcode diskaun mybayarsaman.

“Pembayaran boleh dibuat dengan menggunakan tunai atau kad debit atau kad kredit. Tetapi admin menggalakkan pembayaran secara tunai untuk mengelakkan masalah semasa pembayaran,” katanya.

Tawaran diskaun itu tidak dihadkan untuk saman di Kuala Lumpur sahaja, tetapi sah untuk semua saman dari seluruh Malaysia.

Selain itu, tawaran diskaun ini layak untuk saman yang dikeluarkan di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja dan tidak melibatkan saman agensi-agensi lain.

Bagaimanapun, diskaun tersebut tidak diberikan kepada 9 jenis kesalahan iaitu kesalahan tidak boleh kompaun, kesalahan status perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, kesalahan pengubahsuaian ekzos, kesalahan memotong secara bahaya (potong Q), kemalangan, kesalahan memotong di garisan berkembar, kesalahan lorong kecemasan dan kesalahan jalan semasa lampu isyarat merah.

“Orang awam yang ingin melakukan pembayaran perlu membuat semakan saman terlebih dahulu kemudian pindaan saman dan seterusnya pembayaran saman,” jelas JSPT KL.

Pilihan Editor:

Kemudahan anggota Kabinet, peruntukan kereta boleh dibatalkan untuk menjimatkan wang negara: PM Anwar

0

Khabar angin kononnya Kerajaan Perpaduan sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan atau mengurangkan pencen pesara termasuk bekas anggota Kabinet adalah tidak munasabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana perkara itu membabitkan isu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian melaporkan Perdana Menteri menjelaskan cadangan pemansuhan atau pengurangan pencen anggota Kabinet perlu diteliti dan dirujuk semua pihak.

“Pencen bekas anggota Kabinet… pencen ini seperti yang diketahui adalah peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Twitter

“Ada khabar angin mengatakan Kerajaan Perpaduan akan mempertimbangkan untuk memansuhkan pencen (pesara) atau mengurangkannya, itu tidak munasabah kerana isu ini adalah perkara di bawah Perlembagaan dan perlu diteliti serta dirujuk semua pihak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya langkah lain boleh diambil pada ketika ini termasuk membatalkan kemudahan biasa dan peruntukan kereta untuk anggota Kabinet kerana ia melibatkan pentadbiran dan bukannya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini dibangkitkan selepas bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkongsi kerajaan boleh menjimatkan antara RM100 juta hingga RM150 juta dalam perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.

Beliau berkata, berdasarkan sistem semasa negara dan bilangan bekas anggota Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen ialah RM100 juta hingga RM150 juta setahun.

Tambah Noor Amin, pihak terbabit tidak sepatutnya diberi pencen kerana ia dibayar berdasarkan sistem eksekutif, bukannya legislatif, dan cukup sekadar mengambil gratuiti yang lumayan.

Pilihan Editor:

Berani anak kucing ini acah mulut buaya untuk meragut makanan, detik 8 saat buat ramai berpeluh sejuk

0

Gerun apabila membayangkan daya gigitan buaya itu sangat kuat. Sekali menggigit mangsanya dengan kuat, dia tidak akan melepaskannya dengan mudah. ​​Menjadi mimpi ngeri buat haiwan mangsa yang hidup di alam liar. 

Buaya itu mampu menakutkan sesiapa sahaja tidak kira haiwan spesies lain apatah lagi manusia. Tetapi, dalam satu video yang menjadi tular di China, seekor kucing tidak takut dengan buaya rupanya.

Weibo

Rakaman video itu memaparkan seekor anak kucing dengan berani tidak mengendahkan taring tajam dan mulut besar buaya, tanpa ada rasa takut terus meragut makanan dari mulut buaya itu dengan sifat ingin tahunya.

Kemudian si comel segera berpaling dan pergi dengan megah dan selamba. Mereka yang memerhatikan aksi itu terus menjerit, “Berderau darah saya!”

Weibo

Seorang netizen dari China berkongsi video berdurasi 8 saat yang menunjukkan anak kucing itu perlahan-lahan menghampiri seekor buaya yang sedang berehat di atas tanah, mata kucing itu tertumpu kepada makanan di dalam mulut buaya, melihat buaya itu tidak bertindak balas ketika dia begitu dekat untuk mengacah dan mencapai makanan.

Weibo

Dengan berani si comel memasukkan kaki ke dalam mulut buaya yang separuh terbuka, mengheret keluar cebisan daging yang belum ditelan, dan dengan gembira mengambil makanan itu lantas pergi secara selamba. 

Anak kucing yang tidak takut dan mungkin tidak terfikir yang dia boleh menjadi “makanan ringan” sang buaya, asalkan dapat memuaskan rasa ingin tahunya dan tidak lagi berlapar.

Weibo

Selepas video itu tular, ramai yang meninggalkan komen apabila mereka terkejut melihat anak kucing berani sungguh merampas makanan buaya yang dilihat bergerak-gerak dan sedar dengan kehadiran si bulus:

“Saya berpeluh sejuk..”

“Kucing yang berani..”

“Beraninya dia merampas makanan buaya…”

“Ini bukan permainan tarik gigi buaya..”

“Daging itu penuh dengan air liur buaya.”

Weibo

Kagum melihat tiada haiwan seberani kucing yang berjaya mengacah mulut buaya dengan kakinya, dan dapat merampas makanan pula dengan sifat tak tahu malunya.

Pilihan Editor:

JPJ tambah kiosk untuk kurangkan kesesakan urusan kaunter, Menteri Pengangkutan terus usahakan perkhidmatan ‘online’ tidak lama lagi

0

Pada 5 Januari, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengadakan lawatan mengejut ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dan meninjau keadaan operasi di sana.

Jika anda ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, selepas ini anda mungkin TIDAK perlu lagi menghabiskan masa berjam-jam untuk menunggu dan berbaris bagi tujuan itu.

Anthony Loke Siew Fook / Facebook

Dalam hantaran Facebook Anthony Loke, beliau mendedahkan pusat JPJ dan cawangan di seluruh negara telah menambah beberapa kiosk yang membolehkan pengunjung memperbaharui dokumen mereka. Kiosk kini dipasang untuk mengurangkan kesesakan orang ramai di kaunter.

Anthony Loke mengumumkan waktu operasi untuk kiosk akan dilanjutkan selepas waktu pejabat. Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang dan boleh berurusan dengan JPJ untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen mereka yang tamat tempoh dengan menggunakan kiosk yang disediakan.

Anthony Loke Siew Fook / Facebook

Melangkah dalam talian, ke era digitalisasi JPJ

Anthony Loke membuat pengumuman mengenai penambahbaikan selanjutnya. Beliau berkata pendigitalan JPJ bukan sahaja berakhir dengan pemasangan lebih banyak kiosk tetapi rakyat Malaysia boleh mengharapkan perkhidmatan dalam talian tidak lama lagi.

Anthony Loke Siew Fook / Facebook

“Bayangkan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan melalui aplikasi pada telefon pintar anda. Cepat dan mudah bukan? Ya, JPJ sedang mengusahakannya,” Anthony memberi jaminan kepada rakyat.

Pemasangan kiosk dan perkhidmatan dalam talian yang akan tersedia tidak lama lagi akan mengurangkan barisan para pengguna untuk urusan di kaunter.

Anthony Loke Siew Fook / Facebook

Ia juga akan menjimatkan lebih banyak masa kerana proses penting bertambah mudah dan boleh segera dilakukan dengan hanya beberapa klik pada skrin anda menggunakan peranti.

Pengumumannya bukan sahaja memberi kejutan, malahan ramai warganet yang memuji Menteri Pengangkutan ini atas usaha dan kerja keras serta perubahan demi perubahan yang beliau janjikan pasti akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Pilihan Editor: