26.7 C
Kuala Lumpur
Monday, July 28, 2025
Utama Blog Laman 114

Tiada mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Nepal Yeti Airlines

0

POKHARA: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Nepal menyusuri jurang yang dipenuhi serpihan pesawat pada Isnin untuk mencari mangsa yang terkorban dalam nahas penerbangan Nepal Yeti Airlines ATR 72, membawa 72 penumpang dan kru penerbangan di dalamnya. Harapan mangsa yang terselamat adalah tiada, menurut pegawai.

Yeti Airlines ATR 72 menjunam ke dalam gaung yang curam, hancur berkecai dan terbakar ketika menghampiri pusat bandar Pokhara pada pagi 15 Januari, dalam bencana penerbangan terburuk di Nepal sejak 1992.

Punca nahas masih belum dapat dipastikan tetapi video di media sosial, yang disahkan oleh AFP ESN, menunjukkan pesawat itu bergerak secara tiba-tiba dengan tajam ke kiri ketika ia menghampiri lapangan terbang Pokhara. Satu letupan yang kuat menyusul selepas itu. 

Tangkap Skrin / YouTube

Kotak hitam pesawat berkenaan telah disahkan ditemui pada 16 Januari, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN).

Nepal mempunyai rekod buruk dalam soal keselamatan udara, mengumumkan hari berkabung pada Isnin memperingati mangsa yang terkorban.

Pasukan tentera menggunakan tali dan beg pengusung untuk mengambil mayat dari jurang sedalam 300 meter (1,000 kaki) sehingga tengah malam dan usaha mencari dan menyelamat disambung semula pada Isnin, 16 Januari.

“Kami telah mengumpul 68 mayat setakat ini. Kami sedang mencari empat lagi mayat. Kami perlu meneruskan sehingga kami menemui kesemuanya,” kata pegawai kanan tempatan Tek Bahadur KC kepada AFP.

Gambar AFP

“Kami berdoa untuk keajaiban. Tetapi, harapan untuk mencari sesiapa yang masih hidup adalah tipis,” katanya.

Serpihan dari pesawat itu bertaburan di tapak nahas, termasuk sisa tempat duduk penumpang yang hancur dan badan pesawat yang berwarna putih.

Pasukan penyelamat telah bergegas ke lokasi sebaik nahas berlaku dan cuba memadamkan kebakaran yang marak dengan kepulan asap hitam tebal menutupi ruang.

Terdapat 15 warga asing dalam penerbangan itu, termasuk lima warga India, empat warga Rusia, dua warga Korea Selatan, dan seorang penumpang masing-masing dari Argentina, Australia, Perancis dan Ireland, kata jurucakap Yeti Airlines Sudarshan Bartaula kepada AFP.

Gambar AFP

Selebihnya adalah warga Nepal.

“Berita yang sangat menyedihkan dari Nepal apabila pesawat terhempas dengan ramai penumpang di dalamnya,” kata Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pada Isnin, sambil menambah kerajaannya sedang mencari maklumat mengenai warga Australia yang berada dalam penerbangan itu.

Pesawat ATR 72 dalam penerbangan dari Kathmandu dan tiba-tiba terjunam ke dalam gaung antara lapangan terbang antarabangsa Pokhara yang serba baharu dan lapangan terbang domestik lama sejurus sebelum 11:00 pagi (0515 GMT) pada Ahad, 15 Januari.

“Saya sedang berjalan apabila saya mendengar bunyi letupan kuat, seperti bom meletup,” kata saksi Arun Tamu, 44 tahun yang berada kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan menyiarkan video serpihan pesawat yang terbakar secara langsung di media sosial.

Gambar AFP

“Beberapa daripada kami bergegas untuk melihat sama ada kami boleh menyelamatkan sesiapa. Saya melihat sekurang-kurangnya dua wanita masih bernafas. Api semakin marak dan ia menyukarkan kami untuk mendekati lebih dekat,” kata bekas tentera itu kepada AFP.

“Kami menyatakan rasa simpati dan takziah ke atas semua individu yang terjejas dalam nahas ini,” kata pengeluar pesawat ATR yang berpangkalan di Perancis dalam satu kenyataan.

“Pakar ATR terlibat sepenuhnya untuk menyokong penyiasatan dan pelanggan,” katanya.

Industri udara Nepal telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membawa barangan dan orang awam di antara kawasan yang sukar dicapai, serta menerbangkan pendaki gunung warga asing.

Gambar Reuters

Sektor ini telah dibelenggu oleh keselamatan yang lemah akibat latihan dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi. Kesatuan Eropah telah mengenakan larangan semua syarikat penerbangan Nepal dari ruang udaranya atas sebab kebimbangan keselamatan.

Nepal juga mempunyai beberapa landasan terpencil dan paling rumit di dunia, yang diapit oleh puncak gunung dilitupi salji dengan pendekatan penerbangan yang menimbulkan cabaran buat setiap juruterbang.

Cuaca juga terkenal berubah-ubah dan sukar untuk diramalkan, terutamanya di kawasan pergunungan, di mana kabus tebal tiba-tiba boleh mengaburkan keseluruhan gunung daripada pandangan.

Kemalangan penerbangan maut terburuk di Nepal kali terakhir berlaku pada 1992, mengorbankan kesemua 167 penumpang pesawat Pakistan International Airlines apabila ia terhempas ketika menghampiri Kathmandu.

Pilihan Editor:

Abang tukang yang prihatin ini lompat tembok demi bantu jiran sebelah alih kain jemuran ketika hujan mula turun

0

Keadaan cuaca berubah-ubah pada hari ini amat mengelirukan, sehinggakan kita tidak tahu sama ada pakaian yang dicuci setiap hari boleh kering dan segar disinari cahaya matahari atau tidak, memandangkan hujan yang turun tidak menentu.

Bermakna, kita tidak boleh terleka atau terlepas pandang untuk menjaga pakaian yang telah dicuci setiap hari.

TikTok

Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok dari Thailand dikenali @littlemonster316 berkongsi rakaman CCTV di anjung rumahnya dalam platform itu. Video berdurasi 38 saat itu telah menjadi tular dengan tontonan lebih 5.5 juta dalam masa sehari.

Apa yang menarik perhatian, rakaman TikTok itu memaparkan seorang lelaki yang berbaju merah dalam keadaan yang pada mulanya mencurigakan, telah melompat dari dinding rumah sebelah ke rumah @littlemonster316 untuk membuat sesuatu.

TikTok

Selepas turun ke halaman depan rumah itu, dia bergerak menuju ke arah penyidai pakaian dan menariknya ke kawasan berbumbung.

Selepas itu, dia kemudian berdiri di tepi untuk melihat sama ada hujan masih bertempias mengena pakaian. Selepas mengesahkan perkara itu, dia menarik penyidai pakaian lebih jauh ke dalam anjung.

TikTok

Ingatkan hendak buat apa-apa yang berniat jahat, rupa-rupanya dia adalah kenalan jiran sebelah yang amat prihatin dan terlalu baik hati. 

Pemilik rumah itu dalam kapsyennya melahirkan rasa amat berterima kasih kepada lelaki ini. Dia juga menjelaskan dalam komennya bahawa lelaki itu bukan jirannya sebaliknya seorang tukang kayu yang bekerja untuk jirannya.

TikTok

Yang menarik perhatian ramai netizen dengan komen bahawa lelaki berbaju merah itu seorang yang sangat baik hati.

Seorang netizen berkata, “Saya mulanya fikir dia hendak mencuri sesuatu tetapi rupanya dia pergi untuk alihkan jemuran kerana hujan. Ini satu rahmat dan untung mendapat jiran prihatin macam ini.”

TikTok

Lelaki ini sememangnya seorang yang baik hati dan amat prihatin untuk memudahkan urusan orang lain.

Semoga abang tukang ini sentiasa dilindungi dan murah rezeki dengan kebaikan hatinya.

Pilihan Editor:

Guru selebriti jual kasut bundle dan air tin, dulu tidak mampu beli mainan anak walaupun harga RM19, kini bawa isteri beli emas

0

“Saya pernah menjadi seorang guru dengan rasa selesa sekadar cukup makan, dan saya tidak mampu beli mainan harga RM19 untuk anak. Demi memberikan kehidupan yang lebih baik buat isteri dan anak-anak, saya memutuskan untuk keluar dari zon selesa dan mula berkerja sambilan. Sekarang saya boleh bawa isteri masuk ke kedai emas, biar dia pilih barang kemas yang dia suka,” kongsi guru selebriti ini.

Pepatah “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” tepat menggambarkan perjalanan guru ini apabila beliau berkongsi kisah hidupnya yang bergelut mencari rezeki dan akhirnya memperoleh pendapatan selesa untuk keluarganya.

Guru selebriti Cikgu Mohd Fadli Salleh amat dikenali ekoran beliau lantang bersuara dan memberi teguran terhadap sukatan pelajaran dan dasar Kementerian Pendidikan yang tidak sesuai. Baru-baru ini beliau telah memuat naik satu hantaran panjang di Facebook pada 13 Januari, dengan perkongsian kisah hidupnya, sambil berharap dapat menggalakkan orang lain untuk bekerja keras ketika mencari rezeki.

Mohd Fadli Salleh / Facebook

Katanya, satu ketika dahulu beliau hanya seorang guru biasa dengan bergantung hidup sepenuhnya daripada gaji guru tahap diploma. Selepas bermuhasabah diri untuk memberikan kehidupan yang terbaik buat isteri dan anak-anaknya, beliau bertekad untuk mula melakukan perubahan.

“Saya nak kongsikan sedikit keburukan saya dulu. Saya seorang yang amat pemalas pada awalnya. Saya hanya fikir untuk bergantung hidup dengan gaji guru. Saya masih tidak bekerja sambilan pada masa itu, gaji cukup sekadar boleh hidup dan makan,” katanya.

“Sehinggalah anak pertama lahir, kos membesarkan anak ini memang tinggi, dan kemudian saya mahu memberikan anak yang terbaik, minum susu tepung mahal, menggunakan botol susu mahal, dan memakai lampin mahal, maklumlah anak pertama,” tulisnya.

Sebagai seorang bapa, beliau mahukan yang terbaik untuk anaknya. Tetapi mula berasa tertekan kerana wang tidak mencukupi.

Apabila anak sulung berumur 3 tahun, anak kedua pula lahir. Dengan dua orang anak, beban itu secara semula jadi menjadi lebih berat, lebih-lebih lagi tinggal di Kuala Lumpur yang memang kos sara hidup semakin tinggi dan sukar untuk Cikgu Fadli.

Mohd Fadli Salleh / Facebook

Cikgu Fadli terkenang pernah satu ketika, beliau langsung tidak mempunyai wang untuk membelikan mainan untuk anak-anaknya, malahan tidak dapat membawa isteri dan anak-anak melancong.

“Masa tu saya rasa sangat teruk, macam orang kalah, macam suami dan ayah yang tidak berguna,” katanya sedih.

Katanya, sebagai bapa, beliau tidak mampu untuk membeli mainan berharga RM19 untuk anaknya. Bukan itu sahaja, malahan tidak pernah membelikan kek hari jadi untuk isterinya.

Dedah Cikgu Fadli, gaji permulaan buat guru tahap diploma tidak sampai RM1,000, namun turut terbeban dengan pinjaman peribadi dan beberapa perbelanjaan untuk membuat membayar balik yang menjadi bebanan berat buat dirinya.

“Sejak itu, saya memberitahu diri saya untuk keluar dari zon selesa ini. Saya perlu melakukan segala yang termampu untuk memperbaiki diri dan nasib keluarga dari segi kewangan,” tulisnya.

Cikgu Fadli mula menjual air tin dan kasut bundle secara sambilan di Uptown Damansara untuk menambah pendapatan.

Walaupun keletihan dan kurang tidur, Cikgu Fadli berkata, dia tidak pernah meminta bantuan isteri kerana tahu itu adalah tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

“Saya berterusan begini selama bertahun-tahun. Tidak kira apa pekerjaan yang saya lakukan, saya mesti bertahan tidak kira betapa penatnya saya,” katanya.

Secara beransur-ansur, perubahan positif dalam peningkatan pendapatannya telah memberinya ketenangan fikiran, yang mana beliau mula boleh menyimpan untuk tabung kecemasan, menyimpan untuk hadiah isteri dan anak-anak, juga membuat simpanan untuk perjalanan percutian keluarga.

Mohd Fadli Salleh / Facebook

Akhirnya, pada tahun kesembilan perkahwinan, Cikgu Fadli berjaya membawa isterinya ke kedai emas buat pertama kali dan memintanya memilih emas yang diinginkannya. Ketika itu, isterinya begitu terharu sehingga menangis. Tahun itu juga merupakan pertama kali Cikgu Fadli membawa keluarganya melancong, dengan terbang ke Kundasang, Sabah.

“Punyalah seronok anak isteri, akhirnya dapat pergi bercuti,” tulisnya.

Cikgu Fadli berharap coretan kisah hidupnya ini dapat memberi sedikit semangat kepada orang lain terutama ketua keluarga yang sedang bergelut dalam kehidupan ketika ini.

“Teruskan dan rempuh apa sahaja. Isteri dan anak-anak itu tanggungjawab kita. InsyaAllah tiba masa yang tepat, Allah akan murahkan rezeki kita,” nasihatnya.

Pilihan Editor:

Wartawan ketawa terbahak-bahak kerana diusik oleh anak gajah

0

Tidak dapat menahan diri ketika sedang membuat liputan, seorang wartawan ketawa terbahak-bahak kerana diusik oleh anak gajah. Peristiwa itu dimuat naik oleh Enquirer – Cincinnati and Kentucky di laman sosial Facebook.

Facebook

Menerusi video tersebut, seorang wartawan lelaki dilihat sedang membuat liputan disatu kawasan yang dikelilingi beberapa ekor gajah.

Ketika sedang bercakap di hadapan kamera, seekor anak gajah dilihat mula mengusiknya. Pada mulanya, anak gajah itu menyentuh telinga lelaki tersebut dengan belalainya.

Walau bagaimanapun seakan tidak berasa terganggu dengan tindakan anak gajah itu, lelaki tersebut meneruskan liputannya.

Facebook

Kemudian, anak gajah itu menyentuh kepala wartawan berkenaan. Walaupun sudah mula berasa terganggu, namun dia tetap meneruskan kerjanya.

Facebook

Anak gajah itu nampaknya tidak berpuas hati kerana tidak dapat menarik perhatian lelaki itu. Lalu anak gajah itu mula menyentuh hidung wartawan itu.

Kesan tindakan anak gajah, wartawan itu tidak dapat menahan diri lalu ketawa terbahak-bahak.

Facebook

Anak gajah itu dilihat berpuas hati kerana akhirnya berjaya menarik perhatian lelaki berkenaan dan liputan terpaksa ditangguhkan.

Pilihan Editor:

Anggaran 900 juta dijangkiti di China, kajian melaporkan 60,000 kematian akibat COVID-19 pada bulan lalu

0

Kira-kira 900 juta rakyat dianggarkan dijangkiti COVID-19 dalam wabak terbaru di China, dengan hampir 80 peratus daripada mereka menghadapi simptom yang teruk, menurut kajian oleh Universiti Peking. Sementara itu, pegawai kesihatan China mengakui kira-kira 60,000 kematian berkaitan COVID-19 telah berlaku di hospital seluruh negara pada bulan lalu, berikutan tekanan antarabangsa untuk ketelusan dan data terkini.

Sehingga 11 Januari, 64 peratus daripada 1.4 bilion penduduk China—kira-kira 900 juta orang— telah dijangkiti COVID-19, lapor media China Economic Observer pada 13 Januari, memetik kajian terbaru daripada kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Ma Jingjing di Sekolah Pembangunan Kebangsaan, Universiti Peking.

Laporan itu menyatakan kadar jangkitan tertinggi untuk perkembangan semasa wabak adalah di tiga wilayah di barat China. Wilayah Gansu berada pada kedudukan tertinggi dengan kira-kira 91 peratus warganya yang dijangkiti, diikuti oleh wilayah Yunnan dengan kadar jangkitan 84 peratus dan wilayah Qinghai pada 80 peratus.

Keadaan hospital di Chongqing, China pada 23 Disember, 2022. (Gambar oleh Noel Celis /AFP/Getty Images)

Anggaran model kadar jangkitan dalam kajian itu dikira berdasarkan carian maklumat pada platform dalam talian untuk simptom yang berkaitan dengan jangkitan COVID-19, menurut Ma. Memandangkan kekurangan data rasmi, penulis menggunakan bilangan carian dalam talian untuk simptom seperti “demam” dan “batuk” sebagai petunjuk kadar jangkitan tempatan, katanya.

Kajian itu mungkin tidak melibatkan golongan yang lebih tua, kerana mereka tidak biasa mencari maklumat dalam talian, pengulas hal ehwal China Li Muyang menegaskan semasa rancangan bual bicaranya di NTD pada 13 Januari. Kadar jangkitan semula juga tidak mungkin diambil berdasarkan anggaran daripada kajian. Jumlah jangkitan sebenar di China mungkin lebih tinggi dari 900 juta, katanya.

Pemodelan dalam laporan itu juga meramalkan gelombang semasa jangkitan COVID-19 di seluruh China mencapai kemuncaknya pada 20 Disember 2022. Bagaimanapun, pakar lain percaya jangkitan mungkin terus meningkat ketika cuti Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba.

Gelombang COVID-19 di China yang  masih memuncak

Zeng Guang, bekas ketua Pusat Kawalan Penyakit China, berkata pada “Persidangan Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin COVID Shenzhou” pada 8 Januari, bahawa gelombang COVID-19 baru sahaja bermula mencapai kemuncaknya di beberapa tempat dan belum mencapai kemuncaknya di luar bandar China, menurut saluran media China, Caixin. Zeng menganggarkan kemuncak gelombang COVID-19 akan tiba antara Februari dan Mac, dan tempoh puncak bagi kes yang teruk akan lebih lama.

Zeng melahirkan kebimbangan mengenai keadaan di kawasan luar bandar China, di mana ramai warga luar bandar dijangka melakukan lawatan semasa cuti Tahun Baharu Cina. Beliau berkata terdapat sebilangan besar warga emas, golongan muda, rentan dan kurang upaya di kawasan luar bandar dengan infrastruktur dan keadaan perubatan di sana adalah daif.

Zhang Wenhong, pakar epidemiologi dan pengarah Pusat Perubatan China untuk Penyakit Berjangkit, berkata dalam kuliahnya pada tahun ini bahawa kadar jangkitan dalam gelombang kali ini adalah sangat tinggi.

Semasa Tahun Baharu Cina pada 23 Januari, kadar jangkitan negara mungkin mencapai 80 peratus, bermakna lebih 1.1 bilion orang akan dijangkiti, beliau menganggarkan.

Simptom teruk

Kumpulan penyelidik di Universiti Peking meninjau 11,443 pesakit COVID-19 dan 76 peratus daripada mereka melaporkan bahawa gejala mereka lebih teruk daripada selesema.

Laporan itu menyatakan kebanyakan individu yang dijangkiti yang ditemu bual mempunyai satu atau lebih gejala demam, batuk dan kahak, hidung tersumbat, hidung berair, sakit tekak, deria rasa dan bau yang berubah, dan cirit-birit. Simptom yang paling biasa ialah demam, dengan 82 peratus responden yang dijangkiti mengalami gejala tersebut, di mana 75 peratus daripadanya mengalami demam tinggi (38.5 darjah Celsius dan ke atas), dan 47 peratus mengalami demam berlarutan selama tiga hari atau lebih. 

Sebanyak 86 peratus daripada yang dijangkiti menggunakan ubat antipyretic.

Pesakit COVID-19 yang terpaksa berbaring di laluan jabatan kecemasan di Hospital Zhongshan di Shanghai, China pada 3 Januari 2023. (Gambar REUTERS)

Pada 13 Januari, laporan Universiti Peking menjadi item yang paling dicari di laman web China, mencetuskan perbincangan hangat.

“Bukankah yang dikatakan pakar sebelum ini mengatakan 90 peratus daripada yang dijangkiti adalah tidak bergejala?” seorang netizen dalam hantarannya. “Sekarang keluarkan dan jelaskan.”

“Saya demam. Seluruh badan saya sakit dan saya berasa lemah. Saya diberitahu ia adalah kes ringan,” seorang netizen berkata.

Satu hantaran mendedahkan, “Kesan selepas COVID-19 adalah sangat serius. Saya dijangkiti hampir sebulan yang lalu, dan saya masih lemah, dan saya sesak nafas apabila bergerak.”

Portal berita di China dalam talian utama seperti sina.com segera memadamkan artikel yang membincangkan kajian itu.

Hampir 60,000 kematian COVID-19 pada bulan lalu

Pada 14 Januari, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China akhirnya mengeluarkan laporan yang menggariskan 59,938 kematian berkaitan COVID-19 di hospital China dari 8 Disember 2022 hingga 12 Januari 2023.

Menurut pengumuman rasmi, angka itu adalah “melalui analisis,” dan bukannya “statistik.” Pendedahan jumlah itu dibuat berikutan kritikan antarabangsa yang meluas, termasuk dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap rejim komunis China kerana meremehkan tahap keterukan wabak dan kekurangan ketelusan.

Ia serta-merta menjadi topik yang paling dicari di baidu.com, yang setara Google. Ramai warga di China masih mempersoalkan ketepatan nombor rasmi ini.

Satu hantaran di media sosial, “Hospital merekodkan lebih daripada 50,000 kematian, tetapi terdapat banyak kematian di kawasan bandar dan luar bandar yang tidak berlaku semasa dimasukkan ke hospital dan tidak direkodkan!”

Seorang lagi netizen berkata, “Berapa banyak kematian di kawasan luar bandar yang tiada rekod di hospital? Ia sepatutnya berkali-kali ganda jumlah kematian berbanding hospital.”

Satu hantaran berbunyi, “Berapa ramai yang mati tanpa pergi ke hospital?”

Waris si mati berkumpul di luar rumah pengebumian di Shanghai, China pada 31 Disember 2022. (Gambar oleh Qilai Shen/Bloomberg)

Feng Chongyi, pakar dan profesor berkaitan China di Universiti Teknologi Sydney, memberitahu The Epoch Times pada 14 Januari bahawa Parti Komunis China (PKC) yang memerintah secara serius menyembunyikan kebenaran dan jumlah kematian sebenar COVID-19 yang mungkin lebih banyak daripada apa yang dilaporkan oleh Parti.

“Oleh kerana wartawan media asing pergi terus ke rumah pengebumian untuk melihat keadaan dan hantaran yang membanjiri media sosial menunjukkan begitu banyak mayat dan begitu banyak keranda di mana-mana, semua orang tahu Beijing sedang berbohong,” kata Feng.

“Hubungan antara WHO dan PKC juga sangat tegang, kerana WHO terus meminta China untuk mengeluarkan data sebenar. Rejim China berada dalam tekanan. Mereka kini membuat sedikit perubahan, walaupun ia melaporkan puluhan ribu lagi kematian, ia masih jauh berbanding realiti. Jumlah kematian sebenar berkemungkinan 10 kali ganda, 20 kali ganda, atau 30 kali ganda lebih banyak daripada data yang dikeluarkannya.”

Waris si mati berkumpul di luar rumah pengebumian di Shanghai, China pada 31 Disember 2022. (Gambar oleh Qilai Shen/Bloomberg)

Beliau menyatakan pegawai tertinggi PKC tahu benar dengan ramai rakyat telah meninggal dunia semasa wabak terbaru, tetapi mereka tidak berani mengakui kegagalan dasar negara.

“Walaupun dasar ‘Sifar-COVID’ Xi Jinping telah ditinggalkan, beliau tidak pernah keluar untuk menyatakan walau sepatah kata mengenainya, dan tidak juga menyatakan simpati walau sedikit pun terhadap rakyat atas penyakit dan kematian mereka. Beliau masih memuji pencapaiannya dalam menangani COVID,” kata Feng.

Feng percaya kelewatan dan penyembunyian data sebenar dalam pusingan terbaru wabak COVID-19 China kali ini telah menghancurkan kredibiliti PKC.

Pilihan Editor:

Charles & Keith memberi jemputan istimewa kepada remaja yang dikecam kerana memperagakan beg keluaran mereka

0

Charles & Keith sejak akhir-akhir ini menjadi sebutan orang ramai ekoran daripada isu remaja dikecam kerana memperagakan dan menganggap beg keluaran mereka itu mewah. Zoe,17 menerima beg tersebut daripada ayahnya.

Zoe walau bagaimanapun tidak hanyut dengan kecaman segelintir warga siber terhadap dirinya. Walaupun masih muda, Zoe membalas kenyataan negatif tersebut dengan penuh berhemah. Malah baru-baru ini, dia berkongsi gambar dan video ayahnya yang jelas menunjukkan hubungan dua beranak itu sungguh akrab.

Sedar akan isu yang sedang hangat diperkatakan oleh warga siber, Charles & Keith mengambil peluang mendekati Zoe dan bapanya. Mereka telah memberi jemputan istimewa kepada remaja yang dikecam kerana memperagakan beg keluaran mereka itu.

Zoe dan bapanya telah dijemput untuk makan tengah hari, temu mesra dengan pengasas dan melawat sekitar ibu pejabat jenama tersebut. Dua beranak ini menerima undangan berharga itu dengan besar hati.

zoeaaleah

Berkongsi kegembiraan di media sosial Instagram miliknya, Zoe berkata mereka sangat teruja dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk mengenali lebih lanjut mengenai syarikat tersebut.

zoeaaleah

Zoe juga mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menyokongnya. Katanya, “tanpa anda, kami tidak mungkin berada di sini”.

Menurut jurucakap Charles & Keith kepada Marketing-Interactive, mereka begitu kagum dengan tindakan Zoe yang bijak mengawal situasi. Walau bagaimanapun, tidak kedengaran daripada mana-mana pihak sekiranya ada rancangan kerjasama antara Zoe dan Charles & Keith.

Selain itu, menerusi temu bual dengan Mothership, Zoe memberitahu bahawa dia sangat sukakan Singapura terutama makanan. Dia dan keluarganya telah menetap di sana selama hampir 13 tahun.

Ketika ditanya mengenai isu yang sedang dihadapinya, Zoe dengan tenang berkata, “Daripada ruang komen, banyak perkara yang saya belajar, walaupun mempunyai pengalaman hidup yang berbeza, namun tetap ada seseorang yang memahami. Anda tidak keseorangan.

“Kadang-kadang sukar untuk mengingati bahawa nilai itu subjektif dan perspektif kita mungkin tidak sentiasa selari – tetapi saya percaya kita harus sentiasa berusaha untuk menunjukkan belas kasihan dan saling memahami, serta menjadi contoh kebaikan dan kasih sayang di mana-mana sahaja kita berada”.

Selain daripada Charles & Keith, Takagi Ramen turut berasa berang dan sedih dengan apa yang menimpa remaja 17 tahun itu. Mereka menawarkan baucar makanan bernilai S$80 kepada Zoe dan ayahnya.

takagiramen

Zoe kemudiannya membawa ayah dan abangnya untuk menebus baucar makanan tersebut.

Zoe dilihat sangat gembira bersama keluarganya. Dia juga menyukai dan menikmati makanan daripada Takagi Ramen.

Walaupun ada pihak yang tidak senang dan menyakiti hati kita, ingatlah bahawa masih ada orang yang senang dengan kehadiran kita. Seperti yang Zoe katakan, “anda tidak keseorangan”.

Pilihan Editor:

Anjing merajuk di tingkat 10, abang bomba datang pujuk

0

Anjing merajuk di tingkat 10, abang bomba datang pujuk. Begitulah isi kandungan video yang tular dan menjadi bualan warga siber sejak Rabu lalu. Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia turut memuat naik video ahli bomba yang bertungkus lumus menyelamatkan anjing tersebut di Facebook mereka dengan kapsyen “Bukan senang nak pujuk ni.. Abg Bomba juga la kena bagi ayat manis”.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau menerima satu panggilan kecemasan pada jam 3.02 petang Rabu lalu daripada penduduk sebuah pangsapuri di sana. Setibanya di lokasi kejadian, mereka dimaklumkan bahawa terdapat seekor anjing berada di beranda tingkat 10 sejak pagi.

Seperti yang ditulis oleh Metro, menurut anggota bomba Leo Sana Anak Sandi, pada mulanya anjing berkenaan bertindak agresif mungkin kerana takut. Disebabkan itu Leo yang turut dibantu 10 anggota berusaha mendekati anjing tersebut dengan perlahan-lahan.

“Memandangkan ia sudah berada di situ dalam tempoh lama, saya kemudian meminta ihsan sedikit makanan daripada penduduk untuk diberikan kepadanya”.

Menerusi video berkenaan, dapat dilihat ketika Leo menghulurkan makanan kepada anjing tersebut, haiwan itu mengalihkan pandangan ke arah dinding seolah-olah sedang merajuk.

Facebook

Telatah anjing itu sangat mencuit hati. Namun begitu menurut Leo, dia berusaha menyelamatkan anjing terbabit kerana bimbang ia kembali agresif.

Facebook

“Saya dan seorang lagi anggota pasukan kemudian menutup mata anjing menggunakan guni dan kain sebelum mengangkat haiwan itu.”

Menurut Leo, difahamkan haiwan itu adalah anjing liar yang berkeliaran di kawasan itu.

“Sebaik menurunkannya ke aras bawah, anjing berkenaan dilepaskan dan tidak pasti bagaimana ia boleh naik ke tingkat 10 bangunan berkenanaan”.

Seperti yang dinyatakan oleh Leo, ini bukanlah kali pertama dia dan pasukan menyelamatkan anjing. Namun dia tidak menyangka video berkenaan tular. Ia mungkin juga disebabkan telatah lucu haiwan tersebut.

Warga siber turut berasa tindakan anjing berkenaan yang seolah-olah merajuk itu lucu dan comel.

Mujurlah akhirnya anjing tersebut berjaya diselamatkan.

Terima kasih abang bomba!

Tonton video di sini.

Remaja dikecam gara-gara memperagakan beg pemberian ayahnya yang dianggap tidak mewah

0

Baru-baru ini tular di media sosial TikTok, seorang remaja dikecam gara-gara memperagakan beg pemberian ayahnya yang dianggap tidak mewah oleh segelintir warga siber.

@zohtaco menerima hadiah berupa sebuah beg jenama Charles & Keith daripada ayahnya. Seperti orang lain yang begitu teruja mendapat hadiah, @zohtaco juga begitu teruja dengan hadiah tersebut dan memperagakan beg baharunya di TikTok.

@zohtaco

Ramai warga siber yang turut bergembira untuknya. Masing-masing mengucapkan tahniah dan mengatakan dia anak yang bertuah. Ada juga yang mengatakan bahawa beg pertama mereka juga adalah keluaran jenama Charles & Keith. Mereka begitu berbangga dengannya.

Namun malangnya ada segelintir warga siber yang tidak senang dan mempertikaikan nilai beg tersebut yang didakwa tidaklah semahal dan semewah mana.

Menjawab komen negatif tersebut @zohtaco berkata, sebenarnya dia tidak selesa berbicara mengenai wang. Keluarganya bukanlah daripada kalangan mereka yang berada. Malah untuk membeli sesuatu barang baharu bukanlah semudah membeli barang keperluan yang lain.

Katanya lagi, ketika mula-mula berpindah ke Singapura, setiap kali melintasi kedai ibu bapanya hanya berkata ‘lain kali’, namun ‘lain kali’ itu tidak pernah kunjung tiba.

Menurut @zohtaco komen daripada warga siber itu menunjukkan betapa sombongnya orang tersebut dengan kekayaan yang dia miliki. “Mungkin bagi anda beg $80 itu mungkin tidak mewah.

“Bagi saya dan keluarga saya, ia sangat banyak. Dan saya sangat bersyukur yang ayah saya mampu mendapatkan satu untuk saya. Dia bekerja keras untuk mendapatkan duit itu.”

@zohtaco meluahkan rasa kecewanya kerana dia tidak percaya dia dibenci disebabkan sebuah beg yang dia begitu teruja menerimanya.

Daripada riak wajah remaja ini jelas menunjukkan bahawa dia sedang menahan air matanya daripada mengalir lebih laju.

Sesiapa pun yang berada disituasi seperti remaja itu pasti akan berasa sedih, kecewa dan sakit hati.

Jika anda tidak suka atau tidak setuju akan sesuatu perkara, usahlah berkata yang negatif. Jagalah kata-kata yang akan anda lontarkan kerana ada hati yang perlu dijaga.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Budak perempuan 9 tahun jumpa gigi jerung purba Megalodon di pantai Maryland

0

Pemburu fosil amatur bermimpi mencari fosil purba dan jarang ditemui. Seorang kanak-kanak perempuan membuktikan kewujudannya.

Molly Sampson berusia 9 tahun sedang dalam lawatan Hari Krismas ke Pantai Calvert di Maryland, Amerika Syarikat dan memberitahu ibunya dia mahu “mencari Meg”.

Mengharung paras air pantai setinggi lutut, itulah yang dia temui: gigi kepunyaan spesies jerung Otodus megalodon yang kini telah pupus.

Alicia Sampson /Facebook

Kurator muzium marin tempatan menyebutnya sebagai “penemuan sekali seumur hidup”.

Megalodon – bahasa Yunani purba untuk “gigi besar” – hidup di laut seluruh dunia sehingga dia pupus sekurang-kurangnya 3.5 juta tahun yang lalu.

Membesar sehingga lebih daripada 66 kaki (20 meter) panjang, spesies itu bukan sahaja jerung terbesar di dunia, tetapi salah satu ikan terbesar yang pernah wujud.

Gambar BBC

Gigi yang ditemui Molly sepanjang 5 inci (13cm) yang sebesar tangannya, menurut ibunya Alicia Sampson, yang berkongsi berita penemuan itu di Facebook.

Alicia dalam hantarannya berkata anak perempuannya, Molly dan Natalie, ingin “mencari gigi jerung seperti profesional” dan telah meminta set pakaian peranduk dada sebagai hadiah Krismas.

Sebaik sahaja menerima hadiah itu dan menghabiskan sarapan pada pagi Krismas, mereka menuju ke pantai Calvert Cliffs yang berdekatan yang dipantau suaminya Bruce, katanya kepada CBS.

“Molly memberitahu saya dia sedang mengharung air sedalam lutut apabila dia melihatnya dan terjun ke dalam untuk mendapatkannya,” kata Alicia mengenai penemuan anak perempuannya. “Katanya tangan habis semua basah, tetapi ia sangat berbaloi.”

Suaminya telah memburu fosil di kawasan itu sejak dia masih kanak-kanak, dan Molly sendiri telah menemui lebih 400 gigi yang jauh lebih kecil, katanya, tetapi mereka tidak pernah menemui gigi yang begitu besar.

Alicia Sampson /Facebook

“Dia sentiasa mahu mencari ‘Meg’, tetapi atas sebab macam mana pun, dia menyatakannya kena mencarinya pada pagi Krismas,” kata Alicia.

Keluarga Sampson membawa gigi itu ke Muzium Marin Calvert, dan jabatan paleontologi mengesahkan identiti jerung purba berkenaan dan mengucapkan tahniah kepada “ahli paleontologi masa depan” itu di Facebook.

“Orang ramai tidak sepatutnya memberi tanggapan yang gigi seperti ini adalah biasa di sepanjang Calvert Cliffs,” kata Stephen Godfrey, kurator paleontologi muzium itu.

“Dan dia tidak perlu menggali ke dalam tebing untuk mencari gigi itu, ia berada di dalam air,” kata mereka.

Pilihan Editor:

Bapa penyayang berkhemah di luar hospital untuk berada dekat dengan anaknya yang menghidap tumor otak

0

Kasih sayang seorang ibu tiada batasan tetapi kasih sayang seorang bapa tidak akan pernah dilupakan. Baru-baru ini, satu hantaran dalam kumpulan Facebook Family Camping Malaysia menggambarkan sejauh mana seorang bapa boleh pergi untuk meluahkan perasaan kasih sayangnya terhadap keluarga.

Walaupun orang ramai kebanyakannya berkhemah di tepi pantai atau sungai, bapa penyayang ini mengambil keputusan untuk berkhemah di luar hospital di Ipoh supaya dia dapat berada dekat dengan isteri dan anak lelakinya.

Anak bongsunya yang baru berusia 8 tahun dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas disahkan menghidap tumor otak. Bapa ini yang dikenali Adi, meletakkan kenderaan Proton Satria miliknya di tempat letak kereta di luar hospital dan memasang kanopi panjang di belakang keretanya supaya dia boleh tidur di situ.

Facebook

Adi berkata permulaan 2023 adalah sukar buat dirinya setelah anaknya didiagnos dengan tumor otak pada 3 Januari. Pembedahan berjalan dengan lancar dan anaknya kini berada dalam keadaan stabil tetapi pengawasan dalam memastikan tahap kesihatannya kekal baik masih diperlukan. 

Anak lelakinya ditemani isterinya di wad, dan Adi memutuskan untuk tidur di dalam Proton Satria supaya dia dapat berehat dengan mudah, dan berjalan ke hospital dengan lebih mudah apabila doktor memanggilnya.

“Selain kekangan kewangan, saya lebih mudah berada di hospital apabila doktor memanggil saya kerana tempat letak kereta boleh menjadi isu di sini,” tambah Adi.

Katanya, dia enggan berjauhan dengan keluarga pada masa sukar ini, justeru mengambil keputusan untuk berkhemah di luar hospital. Adi, yang merupakan bapa kepada 3 orang anak berkata, 2 lagi anaknya sedang dijaga oleh saudara mara buat masa ini.

Facebook

Adi juga memberitahu mujurlah dia tidak menerima sebarang aduan mengenai ada orang berkhemah di tempat letak kereta.

“Tempat saya tidak mengganggu aliran lalu lintas di hospital kerana kereta saya diparkir di hujung jalan,” katanya.

Adi mendedahkan yang dia berasal dari Sungkai, Perak, di mana rumahnya akan mengambil masa kira-kira sejam untuk dia memandu pulang dari hospital.

Didoakan Adi sekeluarga diberikan kekuatan dalam mengharungi dugaan ini dengan segala urusan dipermudahkan, dan semoga Allah memberkati anda dan keluarga dengan hikmahNya.

Pilihan Editor: