Charles & Keith sejak akhir-akhir ini menjadi sebutan orang ramai ekoran daripada isu remaja dikecam kerana memperagakan dan menganggap beg keluaran mereka itu mewah. Zoe,17 menerima beg tersebut daripada ayahnya.
Zoe walau bagaimanapun tidak hanyut dengan kecaman segelintir warga siber terhadap dirinya. Walaupun masih muda, Zoe membalas kenyataan negatif tersebut dengan penuh berhemah. Malah baru-baru ini, dia berkongsi gambar dan video ayahnya yang jelas menunjukkan hubungan dua beranak itu sungguh akrab.
Sedar akan isu yang sedang hangat diperkatakan oleh warga siber, Charles & Keith mengambil peluang mendekati Zoe dan bapanya. Mereka telah memberi jemputan istimewa kepada remaja yang dikecam kerana memperagakan beg keluaran mereka itu.
Zoe dan bapanya telah dijemput untuk makan tengah hari, temu mesra dengan pengasas dan melawat sekitar ibu pejabat jenama tersebut. Dua beranak ini menerima undangan berharga itu dengan besar hati.

Berkongsi kegembiraan di media sosial Instagram miliknya, Zoe berkata mereka sangat teruja dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk mengenali lebih lanjut mengenai syarikat tersebut.

Zoe juga mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menyokongnya. Katanya, “tanpa anda, kami tidak mungkin berada di sini”.
Menurut jurucakap Charles & Keith kepada Marketing-Interactive, mereka begitu kagum dengan tindakan Zoe yang bijak mengawal situasi. Walau bagaimanapun, tidak kedengaran daripada mana-mana pihak sekiranya ada rancangan kerjasama antara Zoe dan Charles & Keith.
Selain itu, menerusi temu bual dengan Mothership, Zoe memberitahu bahawa dia sangat sukakan Singapura terutama makanan. Dia dan keluarganya telah menetap di sana selama hampir 13 tahun.
Ketika ditanya mengenai isu yang sedang dihadapinya, Zoe dengan tenang berkata, “Daripada ruang komen, banyak perkara yang saya belajar, walaupun mempunyai pengalaman hidup yang berbeza, namun tetap ada seseorang yang memahami. Anda tidak keseorangan.

“Kadang-kadang sukar untuk mengingati bahawa nilai itu subjektif dan perspektif kita mungkin tidak sentiasa selari – tetapi saya percaya kita harus sentiasa berusaha untuk menunjukkan belas kasihan dan saling memahami, serta menjadi contoh kebaikan dan kasih sayang di mana-mana sahaja kita berada”.
Selain daripada Charles & Keith, Takagi Ramen turut berasa berang dan sedih dengan apa yang menimpa remaja 17 tahun itu. Mereka menawarkan baucar makanan bernilai S$80 kepada Zoe dan ayahnya.

Zoe kemudiannya membawa ayah dan abangnya untuk menebus baucar makanan tersebut.

Zoe dilihat sangat gembira bersama keluarganya. Dia juga menyukai dan menikmati makanan daripada Takagi Ramen.

Walaupun ada pihak yang tidak senang dan menyakiti hati kita, ingatlah bahawa masih ada orang yang senang dengan kehadiran kita. Seperti yang Zoe katakan, “anda tidak keseorangan”.
Pilihan Editor: