Seorang walker Foodpanda yang berjalan kaki demi menghantar makanan buat pelanggan di Kota Kinabalu, Sabah, mengundang sebak kalangan netizen selepas rakaman video menunjukkan dia gigih mencari rezeki menjadi tular.
Video itu telah menarik perhatian aktivis kebajikan terkenal, Adrian Edy yang segera menjejakinya untuk menyampaikan sumbangan pada 2 Februari lalu.
Ketika dihubungi mStar, Edy sempat bercerita mengenai detik pertemuannya dengan walker Foodpanda berkenaan.
“Minggu lepas dia berjalan kaki hantar makanan untuk pelanggan ke sebuah hotel. Pelanggan terkejut lihat dia berjalan kaki sebab jarak restoran agak jauh, dalam enam ke tujuh kilometer.
“Pelanggan rakam video dia sedang berjalan sebab rasa kasihan. Selepas video tular, ramai tag saya supaya cari dia. Akhirnya dapat jumpa dia selepas seminggu video jadi tular.
“Namanya Khairudin atau Khai, berumur 23 tahun, asal dari Semporna, tapi sekarang kerja di Kota Kinabalu,” kata Edy kepada mStar.
“Tapi dia kata bagi basikal saja. Sebab dia tak tahu lagi bila nak ambil lesen. Kata Khai lagi, nak buat lesen pun mahal.
“Duitnya banyak dihantar untuk ibu setiap minggu. Lebih sayu, dia sebenarnya sedang simpan duit hendak beli basikal. Tapi duit tu belum cukup lagi.
“Jadi, setiap hari dia jalan kaki untuk bekerja dari 8 pagi sampai 9 malam. Kalau lokasi tu jauh sangat, dia terpaksa pesan Grab pula untuk naik kereta ke rumah pelanggan,” dedah Edy.
Biarpun sudah dapat mengagak hadiah yang bakal diterimanya, Khai tetap terkejut dan beremosi ketika Edy menyelak kain biru yang menutupi sebuah basikal baharu untuknya.
“Saya sengaja sembunyikan basikal di sebalik kain tu. Bila dia buka, terus berubah air muka. Memang sedih sebab sudah lama dia nak beli cuma tak mampu lagi. Nampak dia betul-betul bersyukur.
“Kemudian bila saya hulur duit belanja sikit, terus dia menangis. Lebih sayu, lepas dapat basikal dia terus sambung kerja, pergi hantar makanan pelanggan.
“Petang tu dia WhatsApp saya, dia kata sekarang lebih cepat hantar pesanan sebab sudah ada basikal,” kata Edy.
Orang kata ‘kembar’ pelakon Hollywood Vin Diesel ada berapa orang dalam dunia ini, dalam tujuh tidak silap.
Pernah tular pada tahun lalu apabila seorang lelaki warga Thailand dan seorang lagi dari Indonesia dikatakan mempunyai wajah yang hampir serupa dengan pelakon popular filem Fast and Furious itu.
Wiki/Fandom
Mulanya sekali pandang memang ada iras, tetapi baru-baru ini tular sebuah video di media sosial Malaysia yang memaparkan seorang lelaki mirip Vin Diesel yang lebih mirip dan Malaysia memang ‘win’!
Paparan video berkenaan memaparkan lelaki itu yang memandu kereta Toyota Avanza sedang berborak dengan seorang rider Foodpanda, dan ia telah menarik perhatian warga maya.
Tidak sangka Dominic Toretto santai bawa Avanza di Malaysia dan dia fasih berbahasa Malaysia.
Kelibat ‘Dominic Toretto’ di Malaysia ini bukan pertama kali pernah tular, kerana sebelum ini seorang pengguna Facebook dikenali Razif Rameli pernah berkongsi gambar lelaki ini sedang membeli ikan baung di sebuah kedai.
Difahamkan menerusi komen warga maya, lelaki mirip Vin Diesel ini berasal dari Pakistan yang telah berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di Kulai, Johor.
Bertuahlah lelaki ini wajah seiras dan susuk badannya yang sasa tambah serupa Vin Diesel menjadikan dia popular secara percuma tanpa perlu bersusah payah berlakon aksi.
Bolehkah kucing makan sayur-sayuran, atau patutkah anda mengelakkannya dalam diet kucing kesayangan anda? Kucing adalah karnivor, jadi pelan pemakanan mereka perlu terdiri daripada daging dan tidak boleh melebihi daripada yang lain.
Memandangkan sayur-sayuran kebanyakannya serat dan karbohidrat, ia sebenarnya tidak sesuai dari segi pemakanan kucing, yang memerlukan terutamanya protein dan lemak dalam diet mereka.
Sebab mengapa kucing tidak boleh menjadi vegan, tetapi si comel yang ini amat gemar makan sayur-sayuran sehingga sanggup berlari untuk mendapatkannya.
Ada sayur-sayuran yang selamat sebagai makanan kucing jika dia suka memakannya, kerana ia boleh membantu penghadaman dan pergerakan usus, jadi tidak mengapa ia menjadi snek sekali-sekala, seperti:
Brokoli yang menyokong pergerakan usus yang sihat dan meredakan perut yang sakit, tetapi perlu dimasak dan biarkan ia sejuk. Brokoli yang dikukus perlahan-lahan mengekalkan jumlah nutrien tertinggi dan menjadikannya lembut. Tetapi hanya sekali-sekala kerana ia boleh menyebabkan cirit-birit.
Labu kecil yang dimasak mungkin membantu si comel yang mengalami sembelit. Masukkan labu dalam diet kucing anda yang mempunyai perut sensitif dan selalu senak.
Labu mesti dimasak sebelum dihidangkan. Keluarkan semua biji kerana ia boleh mengganggu saluran pernafasan kucing dan menyebabkannya tercekik.
Potong sayuran ini menjadi kepingan kecil atau sediakan puri labu dan tambahkannya bersama makanan kucing dari semasa ke semasa jika mereka menyukainya.
Keledek adalah sumber serat yang tinggi dan bersesuaian dengan perut kucing untuk kesihatan pencernaan yang optimum. Ia juga membantu membuang ‘hairball’ kucing anda.
Selain itu, kucing anda boleh dihidangkan dengan kacang pis, timun, lobak merah, asparagus, kentang, jagung, bayam dan daun salad dalam kuantiti yang sedikit dan ia perlu dimasak kecuali timun. Kesemua sayuran ini tidak lebih bagi tujuan membekalkan serat serta membantu sistem penghadaman si comel.
Sayur-sayuran yang kucing tidak boleh makan
Menurut Untamed, sesetengah sayur-sayuran sangat toksik kepada kucing sehingga jumlah yang paling kecil boleh menyebabkan keracunan yang teruk dan kematian. Jika kucing anda telah termakan sayur-sayuran berikut, hubungi doktor haiwan dengan segera.
Bawang putih
Bawang putih adalah sayuran allium yang paling toksik kerana ia boleh memusnahkan sel darah merah kucing anda. Mengambil walaupun seulas bawang putih boleh menyebabkan anemia hemolitik dan gastroenteritis yang teruk. Jika keadaan ini tidak dirawat dengan segera, hasilnya boleh menyebabkan kerosakan organ yang teruk sehingga membawa kematian.
Tomato
Tomato mengandungi solanin, racun perosak semulajadi yang sangat toksik kepada kucing. Memasaknya pun tidak boleh mengurangkan solanin ke paras selamat, jadi kucing tidak boleh memakan tomato. Anda juga harus mengelakkan sos dan sup yang mengandungi tomato.
Bawang besar
Bawang sangat beracun kepada kucing dalam sebarang bentuk sama ada dalam keadaan mentah, masak dan serbuk. Bawang menyerang sel darah merah kucing dan memecahkannya, berpotensi mengakibatkan kematian jika si comel tidak dirawat dengan segera.
Selain sayuran-sayuran selamat di atas, kucing anda boleh memakan buah-buahan berikut tetapi dalam kuantiti yang sedikit:
Strawberi untuk si comel tetapi berhati-hati agar tidak berlebihan. Kadar gula yang tinggi dalam strawberi boleh menyebabkan diabetes. Buang batang dan daun sebelum menghidangkannya.
Pisang adalah makanan yang selamat jika dihidangkan dalam jumlah yang sedikit. Kebanyakan kucing akan menolaknya kerana mereka tidak dapat merasa manis, dan aromanya tidak begitu menarik untuk mereka.
Epal yang batang dan bijinya telah dibuang sebelum dihidangkan. Jangan lupa potong buah epal menjadi kepingan kecil.
Tembikai merah tanpa biji untuk si comel. Terlalu banyak tembikai boleh menyebabkan kucing anda kembung perut, jadi pastikan tidak memberinya makan secara berlebihan.
Buah beri selamat untuk dimakan oleh kucing. Ia tinggi dengan antioksidan dan serat, jadi sesetengah doktor haiwan mengatakan buah beri boleh membantu kucing menurunkan berat badan. Jika anda memutuskan untuk memberikannya sebagai hidangan, pastikan buah-buahan itu kepada kepingan bersaiz gigitan sebelum menghidangkannya.
Mangga pada saiz kiub kecil daging tetapi elakkan kulit dan bijinya. Memandangkan kucing tidak suka rasa manis, mereka mungkin tidak akan menyukai mangga. Namun, jika kucing anda menggemari buah ini, berikan dalam jumlah yang sedikit.
Nanas boleh dihidangkan kepada kucing anda jika ia segar. Elakkan nanas dalam tin kerana ia sering dibungkus dengan sirap manis dan pengawet. Berhati-hati untuk mengeluarkan semua daun, duri, dan kulitnya sebelum memberi makan nanas kepada kucing anda.
Tembikai susu agak rendah kalori, jadi ia mungkin bagus untuk kucing yang perlu menurunkan berat badan. Sesetengah kucing mendapati tembikai susu tidak dapat dilawan kerana baunya menyerupai aroma protein daging. Hidangkan buah ini dalam kiub bersaiz kecil sekali-sekala sahaja.
Jadi, makanan kucing anda kebanyakannya perlu terdiri daripada protein haiwan kerana ia mengandungi asid amino penting, seperti taurin dan arginin, yang penting untuk penglihatan yang baik, penghadaman yang lancar, daya tahan otot jantung, dan imuniti yang cekap. Protein haiwan juga menyediakan kalori yang diperlukan kucing untuk membekalkan tenaga.
Seorang tukang cuci yang bekerja di pusat dialisis menjual tanahnya dan membelanjakan RM80,000 untuk membeli 2 mesin dialisis buah pinggang untuk pusat dialisis itu.
Tukang cuci dengan nama Kalipulizan atau panggilannya ‘Kali’ membelanjakan duit menjual tanahnya dengan membeli 2 mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang yang memerlukan.
Izhar Azimat yang dilantik sebagai ejen jual beli tanah Kali berkongsi di Facebook yang serta-merta membangkitkan perbincangan hangat di kalangan warganet.
Izhar mendedahkan Kali tidak mempunyai kereta, dan dia hanya menunggang motosikal ke tempat kerja dan menjalankan urusan hariannya.
Pada tahun lalu, Kali telah melantik Izhar sebagai ejen untuk menjalankan proses jual beli tanah miliknya. Selepas selesai menjualnya, Izhar bertanya kepadanya, “Apa yang mahu dilakukan dengan wang itu selepas berjaya jual tanah?”
Kali menjawab dia akan menggunakannya untuk buat belanja, dan dia ingin membeli 2 mesin dialisis buah pinggang dan mewakafkan kepada pusat dialisis tempat dia bekerja.
Susulan itu, Kali memang membeli 2 mesin dialisis buah pinggang dan Izhar berkongsi gambarnya bersama mesin itu. “Berapa harga dua mesin ni untuk wakaf?” tanya Izhar.
Kali menjawab, “RM80,000”.
Izhar sangat terharu dengan kebaikan hati Kali sambil berkata, “Sekarang dia masih bekerja sebagai cleaner di pusat dialisis itu.”
“Namanya Kali dan dia adalah ‘orang’,” tulis Izhar.
Malang tidak berbau apabila seorang pemuda kehilangan barangan berharga miliknya yang baru ditinggalkan di dalam kereta apabila penjenayah disangka licik mencurinya.
Kejadian berlaku pada 27 Januari lalu, apabila Arvin Tharan meletakkan keretanya di SS14, Subang Jaya untuk ke restoran berhampiran.
Apabila kembali ke keretanya kira-kira jam 9:10 malam, Arvin menyedari cermin belakang sebelah kiri telah diceroboh, dan begnya yang mengandungi barangan berharga iaitu Macbook Pro, iPad dan jam pintar di dalamnya telah hilang.
Dalam hantarannya di Facebook, Arvin Tharan berkongsi:
“Saya mengambil sedikit masa untuk menghadam perkara ini. Kemudian bertanya di sekeliling untuk mencari kamera CCTV tetapi tidak ada yang menunjukkan ke arah kereta saya.”
Jadi apa yang Arvin lakukan? Pemuda ini dengan pantas telah mengaktifkan fungsi “Find My Device” pada telefon pintarnya, mengunci kesemua perantinya yang lain dan mula menjejaki pencuri itu.
“Saya dirompak di SS14, dan peranti itu dikesan sedang berada di suatu tempat di Sri Petaling,” tulisnya.
Tanpa membuang masa, Arvin bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. Pihak polis ketika itu sudah bersedia untuk membantu. Bagaimanapun, mereka meminta Arvin mencari sendiri pencuri itu terlebih dahulu kerana dia mungkin boleh mengesan kelibat anggota polis.
Lokasi yang tepat menemukan penjenayah itu apabila Arvin tiba ke sebuah kopitiam di Sri Petaling, di mana di situ dia berpura-pura mencari makanan untuk dibeli.
“Akhirnya, saya jumpa lelaki itu dengan jam tangan saya. Untuk memastikan ia milik saya, saya menghampiri mereka lebih dekat tetapi berlagak seolah-olah saya membuat pesanan makanan berhampiran tempat mereka duduk,” katanya.
Sebaik sahaja Arvin berjaya memastikan peranti itu adalah miliknya, dia segera keluar dari kopitiam dan memanggil anggota polis. Di sinilah tindakan pantas bermula.
Pencuri itu sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya yang kemudian terpinga-pinga tidak mengetahui apa yang sedang berlaku apabila tiba-tiba dia dicekup.
Salah seorang anggota polis terus menggarinya di tempat kejadian dan bertanya sama ada dia mempunyai rakan kongsi jenayah, dan lelaki itu mengaku, “Saya buat satu orang..”
Lelaki itu telah berjaya diberkas PDRM dalam masa sejam.
Menurut Arvin, lelaki itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan dia mungkin berdepan hukuman penjara sehingga 6 bulan jika sabit kesalahan atas pertuduhannya. Berkat tindakan pantas PDRM dan fungsi ‘Find My Device’, Arvin berjaya mendapatkan semula semua barangan berharga miliknya.
“Saya mendapatkan semula Macbook Pro, iPad dan jam pintar saya. Peranti ini boleh dijejaki selagi ia dicas,” katanya dalam hantaran itu.
Arvin turut berkata lelaki itu sedang cuba menjual jam pintar kepada rakan-rakannya dan mereka tidak tahu menahu tentang aktiviti jenayah yang dilakukannya.
Lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod jenayah lampau, menurut PDRM.
“Jangan bercakap perkara sembarangan selepas anda keluar, atau anda akan menghadapi masalah nanti.” Bekas banduan dikenali He yang dibebaskan dari Penjara No. 2 Beijing pada akhir Disember tahun lalu, yang sebelum ini menjalankan perniagaan di China, baru-baru ini mendedahkan kepada The Epoch Times.
Menurutnya, wabak COVID-19 menular di penjara dan pihak berkuasa menyembunyikannya dan dia telah diberi amaran dari penjara bahawa ‘masalah’ akan menantinya jika dia ‘bercakap sembarangan’ selepas dibebaskan.
He yang berasal dari Malaysia dan menjalankan perniagaan di Beijing, telah menjalani hukuman penjara selama beberapa tahun di Penjara No. 2 Beijing. Dia dibebaskan pada 20 Disember 2022 lalu dan menyaksikan sendiri penularan wabak COVID-19 di penjara.
He berkata wabak itu berlaku pada akhir November selepas pertukaran syif pegawai penjara, yang biasa dilakukan pada setiap dua hingga tiga minggu. “Sekumpulan lagi pegawai penjara masuk, dan pegawai itu membawa masuk virus dari luar. Tiga hari kemudian pada 3 dan 4 Disember, dalam masa kira-kira 6 hari, hampir semua di penjara telah dijangkiti,” katanya.
Para pesakit memenuhi jabatan kecemasan di Hospital Beijing, China pada 3 Januari, 2023. (Gambar oleh Jade GAO / AFP / Getty Images)
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa penjara berbohong kepada banduan bahawa ia adalah “demam selesema” dan “tidak mengakui ia adalah COVID-19, dan tidak mengaku ia dibawa masuk oleh pegawai penjara.”
Penjara No. 2 Beijing yang terletak di Daerah Chaoyang, Beijing, menempatkan tahanan dan banduan lelaki dari negara asing, Hong Kong, Macau dan Taiwan, serta melaksanakan “pendidikan dalam penjara” untuk banduan baharu sebelum mereka dipindahkan ke penjara lain. Ia adalah transit untuk banduan baru.
He sepatutnya menamatkan hukuman pada 11 Disember 2022, tetapi dia mengalami gejala dijangkiti COVID-19 pada 9 Disember, “tetapi mereka (pengawal penjara) berbohong kepada saya dan berkata, tidak mengapa, ia hanya selsema.” Setelah He dibebaskan, keluarganya turut menyediakan tiket kapal terbang untuknya, tetapi tanpa menyangka, sebaik sahaja melangkah keluar dari kawasan penjara, He terus dipindahkan ke asrama polis bersenjata untuk terus menyekat kebebasannya. “Tidak beritahu dan tidak melepaskan saya. Saya bertanya mengapa tidak melepaskan saya, dan mereka berkata saya masih positif.” Di sana, He dikawal sehingga 20 Disember sebelum dibebaskan.
He berkata pihak berkuasa penjara menyembunyikan wabak berlaku dan tidak membenarkan banduan mempunyai hak untuk mengetahui, jadi tidak menghairankan apabila kematian turut disembunyikan. “Kami tidak diberitahu dengan jelas apabila kami sakit, tetapi sekurang-kurangnya beritahu kami tentang mereka yang mati” Dianggarkan kematian akibat wabak itu “sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus, anggaran paling konservatif, yang mana adalah sama dengan keadaan di luar.”
Selepas wabak itu merebak, pihak penjara mengasingkan banduan, menjadikan banduan lebih sukar untuk mengetahui keadaan masing-masing. “Dapur dan kilang digunakan untuk kuarantin. Tidak diketahui di mana satu sama lain diasingkan, dan semua tugas dilakukan dalam kotak hitam; jika simptom banduan itu lebih teruk, mereka akan dikatakan “menghidap selsema yang serius dan perlu dihantar ke tempat lain”, dan tidak ada cara untuk mengetahui sama ada dia telah meninggal dunia atau sebaliknya, jadi adalah mustahil untuk mengetahui jumlah kematian itu sekarang.”
Sebelum He dibebaskan, pihak penjara memberi amaran kepadanya supaya tidak mendedahkan keadaan di penjara dan situasi wabak yang berlaku. Mereka memberi amaran: “Jangan bercakap sembarangan selepas anda keluar, anda akan menghadapi masalah apabila kembali ke China; jangan fikir jika anda bercakap yang bukan-bukan di luar, kami tidak akan menemui anda.”
“Semakin mereka tidak membenarkan saya bersuara, lebih lagi saya mahu bersuara,” kata He. Sebelum dipenjarakan, He masih mempunyai ilusi tentang parti komunis, jika tidak dia tidak akan pergi ke Beijing untuk berniaga, tetapi selepas dipenjarakan selama beberapa tahun, dia “melihat wajah sebenar Parti Komunis China”. “Saya akan menjadi individu yang anti-Parti Komunis China dengan standard tinggi di sepanjang hayat saya,” katanya.
“Propaganda di penjara adalah anti-Amerika, membenci orang Amerika, dan menyebarkan cerita bahawa virus itu dibawa masuk oleh Amerika Syarikat; ia menggabungkan cuci otak politik dengan pengurangan hukuman, walaupun dasar pengurangan hukuman tidak lagi berkuatkuasa selepas 2019; tidak dibenarkan berkata ia salah kamu; banduan asing dipaksa menyanyikan lagu komunis seperti ‘Tiada China baru tanpa Parti Komunis’, orang asing yang tidak faham bahasa Cina pun terpaksa menyanyi, jika tidak mereka akan menerima pelbagai alasan untuk dikenakan hukuman,” jelas He.
He berkata selain menahan banduan lelaki warga asing, Hong Kong, Macau dan Taiwan, Penjara No. 2 Beijing juga merupakan stesen pemindahan buat banduan. Mereka yang akan dipindahkan ke penjara lain mesti terlebih dahulu “menerima pendidikan dalam penjara” di Penjara No. 2 selama dua atau tiga hari dalam sebulan, jadi pengamal Falun Gong yang dijatuhkan hukuman juga datang ke penjara ini terlebih dahulu. Selepas wabak merebak di penjara, banduan amat bimbang tentang siapa yang dijangkiti. “Ia merebak di kalangan banduan, dan Falun Gong jarang dijangkiti,” kata He.
Bagaimana He mengetahuinya? Katanya: “Kerana di hospital penjara, anda akan bertemu banduan dari penjara lain. Pengamal Falun Gong biasanya tidak pergi ke hospital, tetapi orang yang ditahan bersama mereka akan mendedahkan maklumat, siapa dijangkiti dan siapa yang tidak, dan kami memberi perhatian kepadanya. Khabar angin di kalangan tahanan: Falun Gong baik-baik saja.”
Lebih-lebih lagi, He dipenjarakan di dalam sel kecil selama sebulan pada Julai 2022, dan dia mempunyai hubungan langsung dengan pengamal Falun Gong yang dipenjarakan di dalam sel kecil itu. “Mereka berkata, ‘Saya baik-baik saja’, dan mereka yang memberitahu saya ‘Saya baik-baik saja’ semuanya adalah Falun Gong. Jadi saya percaya,” katanya.
He mendedahkan oleh kerana pengamal Falun Gong tidak mudah mengalah dan sentiasa mempertahankan kepercayaan mereka, keadaan di penjara lebih sukar berbanding banduan biasa. Mereka diseksa dengan sangat teruk, mereka dilarang minum air dan mandi, mereka tidak dibenarkan melihat matahari, dan mereka dikurung di dalam bilik kecil dan gelap.”
“Falun Gong ditahan, seorang di bawah pengawasan, dan seorang lagi dalam tahanan bersendirian – ini lebih serius, kerana mereka tidak mahu bekerjasama dan enggan mengalah, Parti Komunis tidak mempunyai cara untuk Falun Gong meninggalkan kepercayaan mereka, jadi mereka menggunakan kaedah ini untuk meletakkan tekanan psikologi kepada tahanan. Mental mereka diseksa kepada keadaan yang paling menyakitkan,” katanya.
Walaupun pengamal Falun Gong berada dalam situasi yang paling sukar, mereka jarang dijangkiti penyakit atau jika dijangkiti hanya mempunyai simptom ringan, dan mereka menasihatkan banduan di penjara untuk kembali ke jalan benar dan ke arah kebaikan serta mengingati “Falun Dafa adalah baik.”
He berkata, “Kami tidak dapat memahami perkara ini (merujuk kepada fakta bahawa pengamal Falun Gong jarang dijangkiti), tetapi saya fikir ia mesti ada kaitan dengan kepercayaan mereka. Jelas sekali bahawa ini orang yang berlatih dan orang yang mengamalkannya. Mereka sering memberitahu kami: ‘Falun Dafa adalah baik, Sejati-Baik-Sabar adalah baik’, apabila kami bertemu mereka, inilah yang akan sentiasa dikatakan kepada kami. Mereka juga akan menasihatkan kami untuk bersikap baik, dan saya secara peribadi mengagumi mereka.”
Sambil memakan roti dan pau dengan jenama tidak terkenal dan tidak biasa, mungkin anda pernah bertanya dalam diri, tepung dan bahan apa yang peniaga ini guna? Kenapa roti nampak terlebih putih dan lembut dia lain macam?
Umum sudah lama menyedari sesetengah jenama tepung gandum yang berada di pasaran menggunakan peluntur untuk memutihkan tepung dan ia terbukti boleh memudaratkan kesihatan pengguna secara perlahan-lahan tanpa disedari.
Bahan kimia yang biasa digunakan oleh pengimport tepung gandum untuk memutihkan kembali bekalan tepung yang disimpan lama seperti benzoyl peroxide, calcium peroxide, nitrogen dioxide dan klorin. Ini akan menyebabkan semua nutrisi semula jadi hilang ketika dalam proses pemutihan itu.
Justeru, hari ini ramai pengguna yang sudah bijak memilih jenama tepung gandum yang diperkaya dengan zat nutrisi dan yang penting tanpa bahan pemutih, seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Namun, terdapat satu lagi bahan berbahaya berkemungkinan diletak oleh pembuat roti untuk memutih atau mencantikkan roti dan pau.
Baru-baru ini tular semula perkongsian oleh beberapa pengguna Facebook yang memuat naik hantaran asal #chefgarang yang menasihatkan agar penggemar roti berhati-hati apabila memakan roti dan pau yang terlebih putih.
Dari semalam hendak dikatakan pasal *benda* HARAM ni…
Kenapa chefgarang cakap benda ni yang agak kasar??
Semalam berkesempatan ke beberapa kedai menjual bahan-bahan bakeri.. ketika sedang asyik membelek barang-barang… sempat menegur BAKER yang mengambil benda HARAM ni..
Chefgarang tanya… buat produk apa ye?… bakeri saya buat roti untuk…….
Chefgarang tanya lagi…letak TITANIUM DIOXIDE????????? dengan ekspresi yang mengerut muka.
Aaah…saya belajar untuk letak putihkan dan haluskan roti.. kalau buat sandwich loaf..memang nampak beza..
Chefgarang: masukkan ni dalam resepi roti berapa banyak?????
Kalau saya beritahu..habislah RAHSIA saya …
Chefgarang: RAHSIA???maksudnya RAHSIA MEMBUNUH ORANG SECARA PERLAHAN- LAHAN.. tau tak TITANIUM DIOXIDE tu boleh menyebabkan KANSER???? tau tak TITANIUM DIOXIDE merupakan bahan pemutih yang tersangat berkuasa???
Sesiapa sahaja yang membuat roti menggunakan ‘bread improver’ juga dinasihatkan supaya bertanggungjawab untuk mengambil tahu apa yang digunakan di dalam bahan tersebut!!!!!!
Yang makan roti itu kebarangkalian anak saya, keluarga saya, kawan-kawan saya, saudara mara saya…
Adalah berdosa jika Chefgarang tidak memberitahu kepada semua..
Terima kasih ChefGarang untuk info tersangat berguna dan bermanfaat yang sudah diulang maklum selama bertahun-tahun lamanya.
Kita semua bertanggungjawab untuk mengingatkan kembali kepada mereka yang mungkin telah terlupa cakna bahan-bahan dalam menghasilkan roti yang sihat dan selamat untuk dimakan.
Akhir bulan lalu, seorang budak lelaki dari Bangladesh berusia 15 tahun ditemukan dalam kontena sebuah kapal tangki yang berlabuh di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor.
New Straits Times melaporkan semasa memunggah penghantaran dari kapal itu pada malam 17 Januari, pihak berkuasa Pelabuhan Barat dilaporkan mendengar bunyi dentuman dari dalam salah satu kontena dan mendapati seorang remaja terperangkap di dalamnya.
Setelah dibebas dan diselamatkan, budak lelaki itu segera berjalan keluar, dalam keadaan terpinga-pinga serta keliru dengan tidak mengetahui di mana dia berada.
Seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Klang, malam semalam.
Kanak-kanak ini dipercayai terperangkap 6 hari dalam kontena sebelum diselamatkan. pic.twitter.com/XHQbu55rdG
Budak lelaki itu didapati berada dalam keadaan lemah dan mengalami demam panas.
Pihak berkuasa cuba mendapatkan beberapa butiran mengenai identitinya. Oleh kerana masalah pemahaman bahasa, mereka hanya dapat mengenali namanya sahaja iaitu Fahim.
Fahim dipercayai terperangkap dalam kontena dari kapal tangki yang berlayar meninggalkan Pelabuhan Chittagong, Bangladesh pada Khamis, 12 Januari.
Ini bermakna Fahim tidak makan dan minum selama enam hari berturut-turut.
Pihak berkuasa Pelabuhan Klang membekalkan Fahim yang berusia 15 tahun dengan beberapa makanan, air, dan persalinan pakaian bersih sebelum dia dihantar ke hospital dengan ambulans untuk pemeriksaan lanjut.
Remaja itu dimasukkan ke Hospital Klang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan seterusnya proses dokumentasi.
Pada mulanya, pihak berkuasa bimbang Fahim adalah mangsa pemerdagangan manusia dan dihantar ke Malaysia oleh sindiket tertentu.
Bagaimanapun, menurut India Times dan laporan beberapa media Malaysia, remaja berusia 15 tahun itu berkata sebelum insiden, dia bermain sorok-sorok dengan rakan-rakannya dan bersembunyi di dalam salah satu kontena di dermaga Pelabuhan Chittagong, yang menyebabkan dia terkunci dirinya sendiri secara tidak sengaja.
Dia dilaporkan tertidur dan tidak menyedari kontena itu telah dibawa oleh kapal berkenaan berlayar dari pantai negaranya menuju ke Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan kepada Bernama mendedahkan siasatan mengesahkan Fahim bukan mangsa pemerdagangan manusia dan dibawa ke Malaysia secara tidak sengaja.
“Pihak berkuasa telah buat siasatan dan mereka dapati tiada unsur pemerdagangan manusia. Keseluruhan proses untuk memastikan dia sihat dan menghantarnya pulang mengikut saluran undang-undang telah dilakukan. Itu sahaja,” kata Saifuddin.
Memang agak mustahil haiwan pemangsa berlainan spesies boleh menjadi kawan. Namun, persahabatan unik antara beruang, singa dan harimau ini sungguh memberi inspirasi. Kesetiaan mereka bersahabat selama 15 tahun itu sungguh mengagumkan. Hingga ke akhir hayat, trio ini tetap bersama. Trio tersebut dikenali sebagai BLT (bear, lion, tiger) yang mana Baloo si beruang hitam Amerika, Leo singa Afrika dan Shere Khan harimau Bengal.
Kisah persahabatan itu bermula apabila ketiga-tiga haiwan berkenaan dihantar ke zoo Noahs Ark pada tahun 2001 oleh Jabatan Sumber Asli Georgia. Dalam serbuan dadah ke atas sebuah rumah di Atlanta, polis menemukan haiwan-haiwan tersebut di ruang bawah tanah rumah itu.
Semua haiwan ketika ditemui masih kecil dan berada dalam keadaan yang menyedihkan serta tahap kesihatan yang buruk. Memandangkan ketiga-tiganya mengalami kecederaan fizikal dan mental yang serius, mereka tidak dilepaskan ke hidupan liar sebaliknya dijaga dengan rapi di zoo. Sejak itu, trio ini hidup seperti saudara sendiri dan tidak pernah berpisah.
Menurut Diane penolong pengarah zoo Noahs Ark, Baloo dan Shere sangat rapat. “Mereka sering bangun awal, manakala Leo pula suka menghabiskan masanya dengan tidur.
“Agak menakjubkan apabila melihat beruang Amerika meletakkan lengannya pada harimau Bengal dan harimau itu bermanja dengan beruang seperti seekor kucing peliharaan.
“Apabila Leo bangun tidur, mereka bertiga akan bermain sepanjang hari sebelum masing-masing mengambil makanan.”
Sungguh aneh sekali melihat tingkah laku tiga haiwan pemangsa bermain dan bersantai bersama-sama. Walhal yang sebenarnya mereka boleh membunuh antara satu sama lain.
“Mereka makan, tidur dan bermain bersama,” kata Jama Hedgecoth, pengasas zoo Noahs Ark.
“Memandangkan mereka merasakan mereka bersaudara, mereka akan berbaring di atas satu sama lain untuk menghangatkan badan dan untuk berkasih sayang.
“Dalam hubungan ini Share Khan agak pendiam namun Baloo, beruang yang sangat pandai memainkan peranan sering membuatkan Shere berasa selesa dan selamat.
Leo 2001 – 2016
Namun pada 11 Ogos 2016, Leo meninggalkan trio BLT buat selama-lamanya. Ketika pembedahan dijalankan, pakar veterinar mendapati lebih 80% hati Leo sudah rosak. Para penjaga memberikan perhatian lebih kepada Baloo dan Shere Khan agar mereka tidak begitu terkesan dengan kehilangan saudara mereka, Leo. Leo dikebumikan di tepi rumah khas kegemaran trio tersebut.
Semasa dibawa ke zoo Noahs Ark, Shere sangat kurus dan kurang zat makanan. Namun begitu, selepas dirawat Shere kembali sihat dan aktif, berat badannya pun bertambah.
Jika diperhatikan antara trio ini, Shere lah yang paling nakal kerana suka sangat menerkam Leo dan Baloo. Biarpun begitu, Shere dilihat sangat penyayang. Ia suka memanjakan Leo dan Baloo dengan cara menggosokkan kepalanya pada mereka.
Keakraban trio ini memang dicemburui sehinggalah pada musim luruh tahun 2014, Shere didiagnosis menghidap penyakit cakera intervertebral. Umurnya tidak panjang. Pada tahun 2018, Shere pula meninggal dunia dan disemadikan di sebelah Leo. Tinggal lah Baloo bersendirian di sana.
Baloo
Sebelum bertubuh sasa dan berbulu hitam lebat, keadaan Baloo ketika ditemui polis dahulu sangat menyedihkan. Abah-abah yang dipakaikan padanya sudah tertanam dalam badannya. Manakan tidak, semakin beruang Amerika itu membesar abah-abah tersebut langsung tidak dilonggarkan apatah lagi ditanggalkan. Akibatnya, daging yang tumbuh telah menenggelamkan abah-abah tersebut.
Selepas diselamatkan, Baloo menjalani pembedahan bagi mengeluarkan abah-abah berkenaan dan merawat lukanya yang dalam dan telah dijangkiti. Ketika menjalani sesi pembedahan itulah kali pertama Baloo berpisah daripada Leo dan Shere. Menyedari akan ketiadaan Baloo, Leo dan Shere dikatakan serba gelisah. Sebaik sahaja Baloo sembuh, ia kembali ke pangkuan Leo dan Shere. Mereka hidup gembira tanpa sebarang pertelingkahan dan ikatan persahabatan mereka semakin erat.
Walaupun telah kehilangan Leo dan Shere yang disayangi, Baloo tetap hidup dengan gembiranya. Pada Julai 2021, Baloo meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-20 disamping haiwan dan penjaga-penjaga yang lain.
Bertahun-tahun Marie Kondo mengajar kita cara mengemas rumah dan memastikan hanya barangan yang membuatkan kita gembira sahaja yang perlu disimpan. Namun selepas memiliki tiga orang anak, bintang Netflix kini selesa membiarkan rumahnya bersepah. Apa sudah jadi?
Baru-baru ini dalam satu webinar bersama The Washington Post, Kondo mengaku bahawa dia tidak lagi mengemas rumahnya setiap masa. Dia yang ketika itu melancarkan buku baharunya yang bertajuk Marie Kondo’s Kurashi at Home: How to Organize Your Space and Achieve Your Ideal Life menyedari bahawa ada perkara yang lebih penting dalam hidupnya sekarang berbanding mengemas rumah iaitu masa bersama dengan anak-anak di rumah.
“Rumah saya memang bersepah, tetapi pada peringkat kehidupan saya sekarang ini, itulah cara terbaik saya habiskan masa saya” kata wanita beranak tiga ini dalam webinar tersebut.
Kondo memiliki tiga orang anak bersama suaminya Takumi Kawahara. Dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
“Sehingga kini, saya masih pengemas profesional, jadi saya buat yang terbaik untuk memastikan rumah saya kemas sepanjang masa. Saya biarkan rumah bersepah tapi masih dalam keadaan baik. Kini saya sedar apa yang penting bagi saya ialah keseronokan menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah.”
Namun begitu, bukanlah bermaksud yang Kondo sudah tidak berpegang pada prinsip “cara hidup” Jepun atau kurashi. Cuma berbanding mengemas rumah, kini Kondo mengalihkan fokus kepada ‘mengemas’ hidupnya sendiri.
Kondo terkenal dengan kaedah mengatur dan mengemas rumah iaitu KonMari Method. Kaedah itu juga mengajar orang ramai untuk menyimpan barangan yang hanya mendatangkan kegembiraan kepada diri sendiri.
Sembilan buah buku telah dihasilkan oleh Kondo sepanjang kerjayanya. Buku pertamanya yang bertajuk “The Life-Changing Magic of Tidying Up” telah diterjemahkan ke dalam 44 bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Rusia dan lain-lain. Buku tersebut telah pun terjual lebih 13 juta salinan ke seluruh dunia.
Rancangan realiti televisyen pertamanya bertajuk “Tidying Up With Marie Kondo” bersama Netflix menjadi tular. Menerusi rancangan itu juga, Kondo memperoleh tujuh pencalonan anugerah berprestij antarbangsa seperti Anugerah Emmy.
Pengajaran daripada kisah ini ialah bagi ibu bapa di luar sana, usah gusar jika rumah anda bersepah sementelah anak sedang membesar. Mereka memang akan menyepahkan rumah dengan mainan dan kain baju baik yang sudah berlipat ataupun belum. Penat jadinya jika anda sibuk mengemas rumah manakala anak-anak berterusan menyepahi rumah.
Oleh itu, pilih waktu yang sesuai untuk mengemas rumah dan mungkin boleh sahaja anda mengajak anak-anak membantu anda mengemas rumah.
Selain buku tulisan Marie Kondo, anda boleh pelajari cara menguruskan rumah daripada penulis tempatan, seperti Dr.Hani Mynis. Dr. Hani juga menulis 10 tips kekalkan kekemasan rumah dalam buku bertajuk ‘Urus Rumah With Hani’.