Premis perniagaan makanan dan minuman yang gagal memperoleh sijil A bagi kebersihan tandas mungkin tidak akan dibenarkan memperbaharui lesen.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan tersebut selaras dengan dasar BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi yang diperkenalkan kerajaan.
Dasar tersebut akan dilaksanakan secara tiga fasa bermula tahun depan.

“Untuk semua restoran makanan (F&B) bermula tahun depan di peringkat kawasan bandar raya semua wajib mendapat sijil A untuk tandas iaitu restoran, hotel, warung kopi, kedai mamak dan lain-lain.
“Jika tidak capai kebersihan sijil A maka pembaharuan lesen mungkin tidak dibenarkan. Kita akan ada garis panduan jelas mengenai perkara-perkara yang perlu dibuat,” kata Kor Ming.
Katanya, peringkat majlis perbandaran akan dikuatkuasakan bermula tahun 2025 dan peringkat majlis daerah pada tahun 2026.

Tambah Kor Ming berkata, sejumlah 18,000 tandas akan terlibat dalam dasar itu.
“Kita hendak pastikan dia mesti BMW selaras dasar KPKT. Ia akan meningkatkan imej negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak mahu ada lagi tandas berbau busuk, kurang senang hati, semua orang tahu.. Kita akan bekerjasama dengan pemegang taruh seperti persatuan-persatuan kedai dan penjaja,” kata Kor Ming.
Pada 4 Januari lalu, media melaporkan Kor Ming mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memastikan semua tandas awam bertaraf BMW.
Serentak itu, Kor Ming telah mengarahkan 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam.

Justeru, katanya, setiap tandas awam mesti bertaraf BMW sekali gus meningkatkan persepsi rakyat terhadap PBT.
Menurut Kor Ming, kebersihan tandas awam khususnya yang menjadi destinasi utama pelancongan adalah berkait rapat dengan imej negara.
Katanya, PBT di seluruh negara perlu melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut jadual supaya memastikan tandas awam di negara ini sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, berfungsi dengan baik dan teratur.
Pilihan Editor: