Seorang pengguna Facebook wanita dikenali A.Kindness Family yang berasal dari Thailand baru-baru ini menyiarkan hantaran menyayat hati yang berkongsi kisah rawatannya selepas disahkan menghidap kanser.
Bagaimanapun, wanita itu memuat naik hantaran pada 31 Januari bahawa doktornya memberitahu yang dia hanya mempunyai masa tiga hari lagi untuk hidup.
Bersama hantaran sedih itu adalah muat naik gambarnya dengan wajah tersenyum, “Hello semua, hari ini saya ingin memberitahu anda satu berita baik. Doktor baru sahaja menghubungi saya dan memberitahu saya ada masa dalam 3 hari lagi. Saya akan pergi ke planet baharu, pada hari Selasa, hati saya telah berhenti bekerja, dan suami akan bersedia untuk pengebumian saya.”
Wanita ini memberitahu saudara mara dan rakan-rakannya supaya memakai pakaian yang ceria, cerah dan berwarna-warni ketika menghadiri pengebumiannya.
“Saya berharap untuk melihat semua orang gembira. Jangan bersedih kerana saya pergi ke planet lain untuk memulakan hidup baru. Saya bersedia untuk berada di bintang baharu ini. Mulakan hidup baru,” tulisnya.
Wanita ini mengulangi sekali lagi, pada hari pengebumiannya dia berharap semua orang akan gembira, dan kehidupan mesti penuh dengan kebahagiaan dan kegembiraan. Dia telah dijaga oleh keluarga dan kawan baiknya, jadi tiada rasa penyesalan.
Dari lubuk hatinya, wanita ini mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan mereka yang memberikan limpahan kasih sayang dan penjagaan dengan tulus ikhlas.
Katanya pada setiap saat dalam kehidupan, wanita ini berasa sangat gembira, dan telah mengusahakan segala yang terbaik dan termampu olehnya, justeru tidak pernah berasa menyesal kerana dia akan terus mengembara ke alam seterusnya.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada ibu kerana memberikan saya kehidupan, dan suami tersayang serta anak perempuan saya yang cantik, yang sentiasa menjaga saya. Selepas ini, anak saya akan membesar menjadi lebih cantik daripada ibunya. Saya mendoakan semua orang dapat menjaga diri masing-masing dengan baik. Jangan lupa hadir ke pengebumian saya,” tulisnya dengan nada ceria dan positif.
Rata-rata netizen berasa sedih dalam komen mereka tetapi memuji sikap tabah dan kuat hati wanita ini apabila berhadapan dengan segala-galanya, dan mendoakan perjalanan yang lancar ke alam baharu untuk memulakan kehidupan baru.
Pilihan Editor: