ANKARA – Gempa bumi dahsyat berukuran magnitud 7.8 yang melanda tengah Turki dan barat laut Syria kini telah mengorbankan lebih 4,300 orang, lapor CNN.
Angka kematian dijangka terus meningkat, dengan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di seluruh wilayah yang terjejas setelah gegaran yang kuat memusnahkan sekurang-kurangnya 5,606 bangunan, dengan masih ramai mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan.
Gempa bumi itu adalah paling kuat melanda wilayah berkenaan pada abad ini yang telah menggegarkan penduduk dari tempat tidur mereka pada kira-kira jam 4 pagi 6 Februari, yang turut dirasai sejauh Cyprus, Lubnan dan Israel.
Di Turki, sekurang-kurangnya 2,921 orang terbunuh dan lebih 15,800 yang lain cedera, menurut Penguasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD), Yunus Sezer.
Syria melaporkan sekurang-kurangnya 1,451 mangsa meninggal dunia. Menurut agensi berita SANA, 711 orang telah terkorban di wilayah Aleppo, Hama, Latakia, dan Tartus.
Pusat gempa dengan magnitud 7.8 itu berada 23 kilometer timur Nurdagi, di wilayah Gaziantep Turki, pada kedalaman 24.1 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) kepada CNN.
Beberapa siri gegaran susulan berlaku selepas itu dengan gempa terbesar berukuran magnitud 7.5, melanda Turki kira-kira sembilan jam selepas gempa awal, menurut USGS. Gempa susulan itu melanda sekitar 95 kilometer ke utara dari gegaran asal.
Gempa bumi dahsyat pada Isnin dipercayai paling kuat melanda Turki sejak tahun 1939, apabila gempa bumi dengan magnitud sama telah mengorbankan 30,000 mangsa dan mencederakan 100,000 yang lain, menurut USGS.
Pada tahun 1999, gegaran pada magnitud yang sama juga telah memusnahkan Izmit Turki dan mengorbankan lebih 17,000 mangsa.
Gegaran susulan yang kuat telah dirasai di bahagian selatan dan tengah Turki. Kira-kira 11 minit selepas gempa utama melanda, gegaran susulan dengan magnitud 6.7 melanda kira-kira 32 kilometer barat laut pusat gempa utama. Satu lagi gegaran susulan kuat dengan magnitud 5.6 berlaku 19 minit kemudian selepas gempa utama.
Gambar-gambar menunjukkan skala sebenar bencana itu pada waktu siang di Turki. Keseluruhan bangunan runtuh, dengan tiang logam bertaburan di seberang jalan, manakala pasukan mencari dan menyelamat berusaha mencari mangsa dari runtuhan bangunan dengan jentolak mula membersihkan serpihan.
“Saya tidak pernah rasa seperti ini selama 40 tahun dalam hidup. Kami bergoyang sangat kuat kira-kira tiga kali,” kata seorang penduduk bandar Gaziantep bernama Erdem.
Sebahagian istana era Rom di bandar Gaziantep telah musnah dan kebimbangan pihak berkuasa ialah dua gempa bumi yang kuat pada Isnin mungkin merosakkan monumen bersejarah lain yang tidak ternilai di kawasan yang kaya dengan warisan budaya di Turki dan Syria.
Ribut musim sejuk di wilayah itu memburukkan lagi bencana yang berlaku, menurut ahli meteorologi CNN.
Sementara itu, keadaan di Syria kelihatan lebih teruk. Lebih 4 juta orang bergantung kepada bantuan kemanusiaan di wilayah barat laut Syria di mana gempa bumi maut itu melanda, menurut Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Pasukan mencari dan menyelamat telah dihantar ke selatan negara itu, kata menteri dalam negeri Turki, Suleyman Soylu. AFAD berkata telah meminta bantuan antarabangsa melalui Pusat Penyelarasan Tindak Balas Kecemasan (ERCC).
Hampir 1,000 sukarelawan mencari dan menyelamat telah dikerahkan dari bandar terbesar Turki, Istanbul, bersama anjing pengesan, trak dan bantuan perubatan, menurut gabenornya, Ali Yerlikaya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengaktifkan rangkaian pasukan perubatan kecemasannya di kedua-dua negara untuk membantu mereka yang terjejas oleh gempa bumi, menurut ketua pengarah organisasi di Twitter.
Gabenor Gaziantep, Davut Gul, berkata di Twitter bahawa “gempa bumi dirasai dengan kuat di bandar kami,” dan menasihatkan orang ramai untuk menunggu di luar rumah mereka dan bertenang.
“Sila tunggu di luar tanpa rasa panik. Jangan gunakan kereta. Jangan bersesak-sesak di jalan-jalan utama. Jangan biarkan telefon sibuk,” katanya.
Wilayah Gaziantep mempunyai beberapa bandar kecil dan sederhana, dengan populasi pelarian yang besar, menurut felo Institut Brookings Asli Aydintasbas.
“Sesetengah kawasan ini agak daif. Ada yang lebih kaya di kawasan bandar tetapi bahagian lain yang nampaknya telah musnah, adalah kawasan penempatan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Video dari bandar Diyarbakir, ke timur laut Gaziantep, menunjukkan pekerja penyelamat berusaha menarik mangsa yang terselamat dari runtuhan bangunan.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, gempa itu dirasai di banyak tempat di negara itu dan beliau telah menghubungi gabenor lapan wilayah yang terjejas untuk mendapatkan maklumat dan situasi semasa serta usaha menyelamat.
“Saya mendoakan keselamatan semua rakyat yang terjejas akibat gempa bumi yang berlaku di Kahramanmaraş dan dirasai di banyak bahagian negara kita. Semua unit dalam negara berada dalam keadaan berjaga-jaga di bawah penyelarasan AFAD,” tulis Erdogan di Twitter.
Presiden Erdogan dalam ucapannya di televisyen berkata NATO, Kesatuan Eropah dan berpuluh-puluh negara lain telah menawarkan bantuan.
Sementara itu, lebih 10 pasukan mencari dan menyelamat dari Kesatuan Eropah (EU) telah digerakkan ke Turki, kata jurucakap Suruhanjaya Eropah.
Manakala Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Israel, Russia dan China turut telah bergerak menghantar bantuan segera dalam operasi mencari dan menyelamat di Turki.
Pilihan Editor: