Pekerjaan sebagai pembantu rumah biasanya agak kurang dihargai, namun sumbangan mereka amat besar dan menjadi sebahagian daripada kebanyakan isi rumah di Malaysia.
Lama kelamaan, ‘kakak’ atau ‘bibik’ yang biasa mereka panggil mula menjadi sebahagian daripada ahli keluarga dan apabila tiba masanya untuk berpisah, ia boleh meruntun hati seluruh keluarga jika mereka sudah biasa hidup serasi dan harmoni.
Seorang wanita baru-baru ini berkongsi di Facebook yang menunjukkan contoh ikatan kekeluargaan itu dalam satu muat naik video perpisahan penuh emosi antara ahli keluarganya dengan pembantu rumah mereka yang telah berkhidmat selama enam tahun.
“Terima kasih atas kerja keras selama enam tahun yang kamu dedikasikan untuk keluarga kami. Kini kamu akan keluar untuk mencari kebahagiaan sendiri. Saya doakan yang terbaik untuk kamu pada masa hadapan. Saya sangat berat hati untuk melepaskan kamu pergi,” wanita itu menulis.
“Kamu menjaga anak saya sejak dia lahir sehinggalah masuk sekolah rendah pada tahun ini. Terima kasih kerana melayan anak saya seperti anak kamu sendiri. Terima kasih kerana menggemukkan kami sejak enam tahun lalu dengan makanan kamu yang lazat,” tambahnya.
Dalam video itu, wanita berkenaan, ibunya, bersama tiga orang anaknya boleh dilihat amat bersedih ketika mengucapkan selamat tinggal kepada pembantu rumah kesayangan mereka, dengan kesemuanya dalam tangisan.
Pembantu rumah itu memeluk cium seorang demi seorang dalam ahli keluarga itu sambil meminta maaf dengan air mata yang mengalir di pipi.
Anak-anak itu dilihat menangis teresak-esak dan akhirnya meraung kerana berasa amat sedih dengan pemergian bekas pembantu rumah mereka yang sebelum ini dilayan seperti ibu sendiri.
Pembantu rumah itu kemudian mendukung anak perempuan yang bongsu, menciumnya buat kali terakhir, sebelum meninggalkan rumah bekas majikannya.
Dan tiga anak itu sayu ketika memandangnya beredar pergi, sungguh dalam keadaan berduka.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: