31.2 C
Kuala Lumpur
Friday, August 1, 2025
Utama Blog Laman 104

Bila PM nyanyi lagu P. Ramlee ‘Azizah’ khas buat isteri tercinta

0

Bukan rahsia lagi apabila Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sekali-sekala menunjukkan bakatnya yang boleh menyanyi dengan baik, dan selalunya lagu itu ditujukan khas buat isteri tercinta, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Daily Express Online baru-baru ini berkongsi video terbaharu DSAI menyanyi untuk isterinya, dan kali ini dengan lagu Tan Sri P. Ramlee yang paling sesuai berjudul ‘Azizah’.

Daily Express Online / TikTok

Mereka menulis, “Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyanyi di sebuah acara semasa lawatan ke Sabah hari ini.”

Semasa lagu itu sedang dinyanyikan, Datuk Seri Dr Wan Azizah boleh dilihat menghulurkan sekuntum bunga ros merah yang cantik kepada DSAI, di mana beliau memegangnya sambil menyanyi.

Video itu nampaknya dirakam oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe yang memaparkan hubungan indah antara Perdana Menteri dan isterinya, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Adegan comel ini berlangsung semasa sesi makan malam bersama Perdana Menteri di Sabah pada 28 Februari lalu.

Daily Express Online / TikTok

Ramai yang telah berkongsi kekaguman mereka terhadap nyanyian DSAI serta hubungannya yang sangat manis bersama isterinya.

“Comelnya! Semoga PMX dan Puan Azizah selalu bergembira macam ni!”

“Manisnya suasana bila PMX menyanyi..”

Pilihan Editor:

Kasih seorang ibu yang memahami apabila anak perempuannya sedang diserang ‘anxiety’

0

Seorang ibu mendapat panggilan daripada anak perempuannya yang berkata dia sedang berasa gelisah di tahap yang teruk. Ketika sampai di hadapan rumahnya, ibu ini mendapati anaknya sedang berbaring memandang langit ketika hujan lebat.

Menyedari anak perempuannya itu sedang diserang penyakit gangguan kegelisahan melampau atau ‘anxiety disorder’, si ibu memandang anaknya dengan rasa simpati dan bertanya dengan lembut tanpa memarahinya.

Sejurus itu, ibu ini memegang erat tangan anak perempuannya dan dia turut berbaring bersamanya menikmati hujan lebat yang turun.

Facebook

Tidak diketahui apa yang dibualkan oleh kedua ibu dan anak ini di dalam hujan lebat itu, tetapi apa yang pasti kasih sayang seorang ibu yang memahami dan mendukung erat kesukaran yang sedang dialami anak perempuannya telah berjaya menyelamatkan keadaan.

Apabila gangguan kegelisahan itu reda dan hilang, mereka kembali meneruskan kehidupan dengan mengetahui penyakit itu akan menyerang lagi pada bila-bila masa.

Menurut HelloDoktor, ‘anxiety disorder’ merupakan sejenis penyakit mental yang boleh menyebabkan kesukaran untuk seseorang itu menjalani kehidupan secara normal.

Biasanya penyakit ini boleh menyebabkan anda berasa sesak nafas dan keletihan sepanjang masa. Jika tidak diubati, masalah ini boleh mengganggu kualiti kehidupan seseorang dan membuatkan mereka berasa tertekan kerana berasa gelisah sepanjang masa.

Facebook

Terdapat 10 tanda fizikal penyakit ‘anxiety disorder’

Apabila seseorang mula berasa gelisah, tindak balas melawan atau melarikan diri mereka akan diaktifkan. Ini merupakan satu respons badan yang akan berlaku secara automatik apabila seseorang itu berada di dalam bahaya. Tanda-tanda fizikal serangan ‘anxiety’ seperti berikut:

1. Jantung selalu berdebar.

2. Sering sesak nafas.

3. Rasa penat yang luar biasa sepanjang masa.

4. Sukar tidur malam.

5. Otot rasa kejang dan sakit.

6. Perut berasa tidak sedap.

7. Rasa loya dan mahu muntah selepas makan.

8. Tidak berhenti berpeluh.

9. Terlebih makan atau kurang selera makan.

10. Jari atau tangan menggigil.

Facebook

Berikut adalah 10 cara anda boleh melawan penyakit ‘anxiety’ secara umum:

1. Mendekatkan diri dengan Tuhan menurut ajaran agama masing-masing.

2. Menjauhi diri dengan orang yang bersikap negatif. Bersahabat dengan kawan yang berkualiti yang boleh membimbing anda dan tidak membuat anda berasa tertekan.

3. Tetapkan dalam pemikiran, “Saya tidak takut dan saya sentiasa sihat.”

4. Jangan berseorangan dan selalulah bergaul serta ceritakan masalah anda kepada mereka yang memahami. Apabila meluahkan segalanya, anda pasti berasa lega.

5. Lakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama orang terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan bagi mengelakkan anda terlalu banyak berfikir dan berasa cemas.

6. Jika anda mahukan tidur yang berkualiti, boleh ajak seseorang untuk menemani tidur anda.

7. Dapatkan nasihat dan bantuan pakar psikologi jika penyakit ‘anxiety’ anda sangat teruk.

8. Amalkan pemakanan yang sihat dan banyakkan meminum air.

9. Cabar diri anda untuk memecahkan rasa kegelisahan dan ketakutan yang bukan-bukan atau remeh-temeh.

10.Sentiasa dapatkan sokongan moral mental dan fizikal daripada ahli keluarga dan rakan-rakan serta mereka yang memahami ‘anxiety’ adalah penyakit yang tidak boleh dipulihkan dengan sepenuhnya.

Tonton video di sini.

Doktor kongsi nyahbeku daging ayam cara betul tanpa perlu merendam lama dalam singki bagi elak keracunan makanan

0

Pasti ramai yang sudah terbiasa mengeluarkan bahan makanan sejuk beku yang masih keras dari peti ais lalu membiarkan dalam singki semalaman sebelum memasaknya pada keesokan hari, dan cara ini adalah tidak betul.

Memang tujuannya adalah untuk melembutkan ayam, daging atau ikan terlebih dahulu supaya ia akan memudahkan cara anda memasaknya nanti.

Namun, cara ini boleh menyebabkan keracunan makanan bagi mereka yang mempunyai perut agak sensitif.

Gambar Hiasan / Pixabay

Baru-baru ini, doktor selebriti Dr. Malar berkongsi bagaimana lauk yang direndam di dalam singki boleh mengundang keracunan makanan dan ia telah mendapat perhatian netizen.

Menerusi perkongsian TikTok daripada @drmalarss, beliau memberitahu cara yang selama ini digunakan untuk melembutkan lauk dari peti ais sebenarnya adalah bahaya untuk kesihatan kita.

TikTok

“Daging atau ayam yang lembut dan banyak air masuk, bila dia berada di luar pada suhu bilik terutamanya lebih dari empat jam boleh menyebabkan keracunan makanan,” jelasnya.

“Ayam yang lembut tu menjadi rumah atau pun pesta untuk kuman bakteria membiak dan beranak-pinak dekat situ,” tambahnya lagi.

“Antara kuman yang biasa melekat pada lauk itu adalah salmonella, E. coli dan banyak lagi. Sebab itu kadangkala anak kecil senang terkena cirit-birit walaupun tidak makan di kedai luar,” katanya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Menurut Dr. Malar, cara yang betul untuk menyahbeku makanan sejuk beku ialah dengan salah satu yang berikut:

1.Memasukkannya ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk jangka masa tertentu.

2.Meletakkan makanan sejuk beku di bahagian ‘chiller’ semalaman sebelum memasak keesokan hari.

3.Merendam makanan sejuk beku dengan air yang dicampur garam atau sedikit cuka pada kadar singkat bagi mempercepatkan proses nyahbeku yang tidak melebihi empat jam.

Semoga perkongsian Dr. Malar memberi manfaat dan ingat jangan lagi merendam makanan daging ayam sejuk beku anda terlalu lama selepas mendapat info ini.

Pilihan Editor:

Pemuda disangka tidak waras ini rupanya terlebih ingat dan mengenang budi kaunselornya, buat hati jadi sebak

0

Perkongsian Nadia Hazmi yang secara kebetulan bertemu dengan kliennya buat pertama kali selepas 9 tahun berlalu telah membuat hati warganet menjadi sebak.

Sebelum itu, kisah seorang pemuda istimewa yang menjadi bekas penagih akibat dianiaya rakannya yang tidak bertanggungjawab telah menjadi tular. Ekoran itu, kisahnya yang dikongsi semula oleh Nadia telah mendapat perhatian dan ramai yang mengetahui pemuda istimewa itu tinggal di Bandar Baru Samariang di Kuching, Sarawak.

Nadia Hazmi yang menceritakan detik pertemuan itu menerusi Facebook merupakan seorang Kaunselor di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Kuching.

Facebook

Walaupun sudah 9 tahun lamanya tidak bertemu, namun pemuda itu yang bernama Azlan masih mengingati dengan jelas wajah kaunselornya.

“Bukan orang gila.. Dia mungkin ahli syurga,” Nadia memulakan hantarannya.

Nadia menceritakan kisahnya bertemu dengan Azlan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Baru Samariang, yang membuat ramai kalangan warganet menjadi sayu.

Nadia berkata, ketika ingin membeli kudap-kudapan di sebuah kedai serbaneka untuk anaknya, dirinya tiba-tiba disapa oleh seorang lelaki yang kelihatan tidak waras duduk di hadapan kedai tersebut sambil memegang mainan.

“Puan Nadia! Puan ingat saya tak? Kurus la puan sekarang, dulu puan mengandung masa jaga saya..” tegur lelaki itu.

Rasa terkejut apabila namanya dikenali, Nadia lalu menghampiri lelaki tersebut dan menanyakan bagaimana dia boleh mengenalinya. Apabila menghampirinya, terdapat beberapa orang sedang duduk di kedai makan berhampiran yang menegur Nadia “jangan hampiri lelaki itu dia gila”.

Facebook

Langsung tidak mempedulikan teguran mereka, Nadia kemudiannya bertanya kepada lelaki itu lalu dia mula memperkenalkan dirinya kepada Nadia, “Norazlan puan.. Puan jaga saya dulu masa saya dalam pengawasan..”

Mengimbau kembali, Nadia teringat itu adalah Azlan, klien istimewa yang dibawah jagaannya sembilan tahun yang lalu!

Wanita ini kemudiannya bertanya kepada Azlan mengapa dia duduk di hadapan kedai, di mana keluarganya dan kerja apa sekarang?

Azlan menjawab dengan wajah polos dan hati tulus ikhlas, kedua orang tuanya sudah meninggal dunia, rumahnya pula sudah tiada lagi dan kini dirinya tinggal di bawah tangga kedai. Dalam masa sama, Azlan menegaskan yang dia tidak lagi mengambil bahan larangan itu dan dia tidak akan mengganggu orang disekelilingnya.

Nadia meneruskan lagi pertanyaannya kepada Azlan, “Awak dah mandi dan gosok gigi tak? Dah makan? Macam mana nak dapat duit kalau tak kerja?” Sambil memeriksa kukunya memastikan dirinya terurus.

Azlan menjawab, “Baru lepas mandi puan, duduk-duduk je dekat sini, nanti ada rezeki adalah orang tolong bagi makan.”

Azlan kemudiannya mengajak untuk bergambar menggunakan telefon pintar Nadia agar tidak melupakannya, sambil Nadia bertanya lagi, “Ni apa yang awak genggam?”

Facebook

Azlan menjawab benda yang digenggam itu adalah mainan yang dibuatnya sendiri dan ia hiburan menemani dirinya tidak kira di mana dia berada.

Nadia yang mula berasa sebak berpesan kepada Azlan agar sentiasa berbuat baik, jangan mencuri, jangan mengganggu orang lain dan cuba mencari kerja apa yang termampu.

Meninggalkan Azlan dengan sedikit bekalan serta senyuman, Nadia tidak menyangka bertemu semula dengan klien istimewanya.

“Mungkin ahli syurga.. Kadang-kadang insan sebegini lebih mengenang budi dan jasa daripada yang lebih sempurna. Kita memang tidak selalu bertemu orang yang baik. Tetapi tetaplah jadi baik untuk setiap orang yang kita temui..” nasihat Nadia mengakhiri hantaran itu.

Pilihan Editor:

Dua kereta api di Greece bertembung, terkini 36 orang maut

0

Sebuah kereta api penumpang di Greece yang membawa beratus-ratus orang bertembung dengan kereta api kargo yang datang dari arah bertentangan awal pagi Rabu, 1 Mac 2023. Terkini, pertembungan pada kelajuan tinggi tersebut telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 orang maut.

BBC

Dalam kejadian yang berlaku berhampiran dengan bandar Tempe itu, beberapa gerabak tergelincir dari landasan dan sekurang-kurangnya tiga gerabak terbakar. Pasukan penyelamat menerangi lokasi kejadian dengan lampu sorot untuk mencari mangsa yang terselamat.

Stergios Minenis, 28 antara mangsa yang terselamat berkata, “Kami mendengar bunyi dentuman yang kuat.”

Menurut Minenis lagi, semasa perlanggaran berlaku, mereka berguling-guling di dalam gerabak sehingga gerabak berhenti terseret keluar daripada landasan.

“Keadaan menjadi huru-hara selama 10, 15 saat. Tingkap pecah, kabel tergantung, orang terguling-guling, menjerit dan terperangkap.”

Mangsa nahas difahamkan merangkak keluar melalui tingkap dan cermin yang pecah demi menyelamatkan diri.

Menurut salah seorang mangsa yang trauma dengan kejadian yang mengerikan itu, “tingkap tiba-tiba meletup” dan “orang menjerit dan ketakutan”.

“Mujurlah kami berjaya membuka pintu dan melarikan diri secepatnya. Ada mangsa di gerabak lain yang tidak dapat keluar, dan satu gerabak lain terbakar.”

Kata mereka lagi, mereka menggunakan badan dan beg pakaian untuk memecahkan tingkap dan melarikan diri daripada serpihan kereta api yang terbakar.

“Proses pemindahan sedang berjalan dan diuruskan dalam suasana yang sukar kerana perlanggaran yang dahsyat berlaku antara dua buah kereta api,” kata Vassilis Varthakoyiannis, jurucakap perkhidmatan bomba Greece.

Para penyelamat memakai topi berlampu bekerja di dalam asap tebal, menarik kepingan metal daripada gerabak untuk mencari mangsa yang terperangkap. Manakala yang lain melakukan pencarian di sekitar padang dengan menggunakan lampu picit sambil memeriksa di bawah runtuhan kereta api.

Penumpang yang mengalami kecederaan kecil atau tiada kecederaan di hantar ke Thessaloniki yang terletak 130 kilometer ke arah utara dengan menaiki bas. Polis mengambil nama mereka sebaik sahaja mereka tiba untuk menjejaki penumpang yang hilang.

AP

Angelos Tsiamouras, salah seorang penumpang memberitahu media tempatan, perlanggaran yang berlaku itu bagai gempa bumi.

Penumpang lain bernama Lazos memberitahu akhbar Protothema pengalaman itu cukup “memeranjatkan.”

“Saya tidak cedera tetapi berlumuran darah mangsa lain yang berdekatan dengan saya,” kata Lazos.

AP

Kereta api penumpang itu dalam perjalanan dari Athens ke bandar utara Thessaloniki ketika ia bertemmbung dengan kereta api kargo yang lain, menyebabkan bahagian hadapan kereta api tersebut terbakar.

Kejadian tersebut disifatkan sebagai kemalangan yang melibatkan kereta api paling teruk pernah berlaku di Greece.

AP

Kira-kira 60 orang tercedera dengan kebanyakannya orang muda yang kembali ke Thessaloniki selepas bercuti.

Lebih kurang 150 anggota bomba dan 30 ambulans dikejarkan ke lokasi nahas, selain kren digunakan untuk mengangkat dan mengeluarkan serpihan kereta api yang hancur teruk.

Kostas Agorastos, gabenor wilayah memberitahu televisyen kendalian kerajaan bahawa kejadian tersebut adalah “pelanggaran yang sangat kuat”.

“Ini malam yang mengerikan… Sukar untuk menggambarkan suasana itu.”

AP

Menurut Agorastos lagi, empat gerabak pertama kereta api penumpang tergelincir, dan dua gerabak pertama terbakar dan “hampir musnah sepenuhnya”. “Mereka memandu dengan laju dan seorang (pemandu) tidak tahu ada kereta api lain yang akan datang.”

Rakaman susulan pertembungan dua kereta api itu menyaksikan kepulan asap tebal keluar daripada gerabak yang tergelincir.

Menurut jurucakap bomba Vassilis Varthakoyiannis kepada pemberita, penyelamat mengalami kesukaran untuk bergerak dan melakukan pencarian mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan kereta api tersebut.

“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini sepanjang hidup saya. Ia tragis. Lima jam kemudian, kami menemui mayat,” kata seorang penyelmat yang keletihan yang muncul disebalik serpihan kereta api.

AP

“Kami sedang melalui tragedi. Kami menarik keluar orang hidup, yang cedera … ada yang mati. Kami akan berada di sini sepanjang malam, sehingga kami selesai, sehingga kami menjumpai orang terakhir,” kata seorang lagi pekerja penyelamat sukarela kepada ERT penyiar negeri dalam komen yang dipetik oelh Reuters.

Menurut media tempatan, siasatan telah dijalankan namun punca sebenar nahas masih belum diketahui.

Kerajaan telah mengisytiharkan tiga hari berkabung susulan kejadian tragis itu.

Pilihan Editor:

Penghantar makanan kelihatan di puncak Gunung Kinabalu dengan uniform Foodpanda menarik perhatian

0

Di sebalik semua perkara yang perlu dilalui oleh pekerja penghantaran makanan ketika berurusan dengan pelanggan, perlu diingat mereka juga adalah insan yang layak untuk menikmati kegembiraan dengan sewajarnya.

Maka tidak hairanlah jika mereka itu yang bersikap sempoi sehingga boleh sampai ke kemuncak Gunung Kinabalu.

TikTok

Satu rakaman video TikTok baru-baru ini memaparkan kelibat abang Foodpanda berlari-lari di puncak Gunung Kinabalu dan semua pendaki yang melihatnya agak terkejut sambil tersenyum.

Dalam video itu, seorang pemuda penghantar makanan lengkap berpakaian uniform Foodpanda dan turut membawa bersama kotak makanan ikonik syarikat penghantaran makanan terkenal itu semasa dia berlari menuruni cerun curam Gunung Kinabalu.

TikTok

Video yang pada mulanya dikongsi oleh pengguna lain menjadi tular dan berjaya menarik perhatian empunya badan sendiri yang telah berkongsi pengalamannya mendaki Gunung Kinabalu dengan berpakaian Foodpanda.

TikTok

Pemuda ini yang dikenali @nasirsabara94 itu turut berkongsi gambar-gambar yang diambilnya semasa berada di puncak Gunung Kinabalu dengan memakai uniform Foodpanda.

TikTok

Walaupun netizen membuat jenaka tentang bagaimana seseorang mungkin memesan makanan hingga ke puncak dan dia yang menghantar, Nasir sendiri telah menjelaskan yang dia tidak bertugas pada masa itu dan hanya memakai seragam Foodpanda ketika mendaki Gunung Kinabalu sekadar suka-suka untuk bergambar kenangan.

“Sebelum naik Kinabalu saya sudah training jogging hari-hari. Pada masa ini saya tidak bertugas, saja-saja naik Kinabalu,” terangnya sempoi.

Pilihan Editor:

Remaja perempuan dari Sichuan larikan diri selepas ibu bapa menjualnya untuk kahwin paksa dengan harga RM170K

0

Seorang gadis berusia 16 tahun menjadi tajuk utama negara China selepas remaja itu melarikan diri secara dramatik daripada menjadi mangsa kahwin paksa selepas ibu bapa menjualnya kepada keluarga lain demi wang.

Remaja itu diheret keluar dari asrama tempatnya bekerja di wilayah selatan Guangdong dan dipaksa masuk ke dalam kereta oleh pengantin lelaki dan keluarganya pada awal bulan ini.

Gadis berkenaan berjaya melarikan diri tidak lama kemudian selepas tiba di stesen servis kenderaan di wilayah autonomi Guangxi Zhuang, di mana dia memberitahu pekerja di sana, “Ibu bapa menjual saya kepada mereka,” sebelum mereka menghubungi polis untuknya.

Gambar The Paper

Ibu bapa gadis itu telah menjualnya pada harga AS$38,000 (RM170,088) kepada seorang lelaki di kampung asal mereka yang berniat untuk mengahwininya tanpa persetujuan.

Akibatnya, gadis itu telah melarikan diri dari rumahnya di barat daya wilayah Sichuan dan bekerja sebagai pekerja asing di sebuah kilang di Guangdong.

Lelaki itu dan beberapa ahli keluarga kemudiannya telah mencari gadis berkenaan yang akhirnya menemuinya sedang bekerja di sebuah kilang lalu mengheretnya keluar dari asrama dan memaksanya masuk ke dalam kereta, untuk membawanya pulang kembali ke Sichuan, kira-kira 1,500km jauh dari Guangdong.

Apabila mereka berhenti berehat di stesen servis kereta di lebuh raya, gadis itu menggunakan peluang itu untuk melarikan diri sekali lagi, memberitahu penculiknya yang dia perlu menggunakan tandas. Dia kemudian meminta pekerja stesen membantunya untuk menghubungi polis.

Tiga hari kemudian, bapa dan abang gadis itu tiba di daerah tersebut untuk mengambilnya. Pegawai hal ehwal sivil tempatan dan wanita memujuk keluarganya untuk menggugurkan idea perkahwinan paksa itu kerana ia menyalahi undang-undang. Pegawai yang berkenaan juga memberikan bimbingan psikologi sebelum keluarganya membawa gadis itu pulang ke Sichuan.

Gambar The Paper

“Sekiranya tidak bertemu kamu, saya tidak akan tahu apa yang akan berlaku kepada saya. Saya sangat berterima kasih,” kata remaja malang berkenaan kepada pekerja stesen servis itu.

Umur sah minimum untuk berkahwin di China ialah 22 tahun untuk lelaki dan 20 tahun untuk wanita. Walaupun begitu, tidak jelas sama ada penculiknya atau ahli keluarga yang menjualnya telah ditahan pihak berkuasa atau mungkin bakal berhadapan hukuman undang-undang.

Kekurangan butiran mengenai apa-apa tindakan yang akan diambil dan fakta remaja perempuan itu dibenarkan kembali kepada pangkuan keluarga yang telah menjualnya sejak mula insiden berlaku menyebabkan ramai netizen negara itu bimbang tentang keselamatannya.

“Saya bimbang keluarganya akan mengawalnya dengan lebih teliti. Jadi, lebih sukar buatnya untuk melarikan diri jika perkara terjadi lagi,” tulis seorang pengguna Weibo.

“Apabila dia melaporkannya kepada polis, harapannya adalah untuk dapat diselamatkan daripada nasib malang dan mengelak pulang ke rumah,” komen seorang lagi.

Gambar The Paper

Perkahwinan yang diatur secara paksa demi mendapatkan wang tunai, atau menetapkan harga pengantin perempuan masih berlaku di China yang biasanya ditemui di beberapa wilayah terutamanya kawasan pedalaman dan terpencil, di mana idea feudal tentang perkahwinan, jantina dan persetujuan masih berterusan.

Jika idea perkahwinan paksa ini berlaku dan aduan diterima daripada mangsa, pihak polis biasanya menjadi orang tengah antara keluarga daripada menahan sesiapa yang terlibat atau meneruskan pertuduhan jenayah.

Pilihan Editor:

Cikgu ini amat disayangi semua anak murid, salam peluk cium macam ibu sendiri

0

Peranan guru adalah penting dalam membentuk generasi masa hadapan kerana seorang guru berkewajiban mendidik anak bangsa menjadi insan berguna yang mampu memberi jasa bakti kepada masyarakat.

Prinsip ini dipegang Gaithiry Chandra Segaran, 28 tahun, yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, Kuala Lumpur dan sudah berkhidmat di sekolah berkenaan selama hampir tiga tahun.

Gambar mStar

Melalui satu video tular di TikTok, Gaithiry dilihat dikerumuni anak muridnya yang mahu bersalaman dan memeluk cium, malahan ada yang bergurau dengan ‘cekik mesra’ sehingga ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia hubungan anak murid-guru yang akrab ini.

“Sebagai seorang guru, hubungan dua hala antara anak murid dengan kita sangat penting. Kita tak boleh biar hanya guru sahaja yang bercakap dan anak murid kena mendengar sepanjang masa.

Instagram

“Kalau nak jadikan proses pengajaran dan pembelajaran itu menarik, pertama sekali kita kena pastikan anak murid itu selesa untuk berbual dengan kita.

“Sejak kecil lagi cita-cita saya memang hendak  jadi seorang guru, saya suka kerjaya ini dan sayang anak murid saya,” kata Gaithiry kepada mStar.

Instagram

Gaithiry yang merupakan guru kelas tahun satu memberitahu beliau perlu belajar untuk mendekati anak muridnya memandangkan mereka masih baharu di alam persekolahan.

“Saya dipertanggungjawabkan mengajar empat kelas untuk subjek Bahasa Melayu dan Matematik dengan setiap bilik darjah ada 40 lebih anak murid.

“Jadi apabila kita mengajar murid umur tujuh tahun ni, kita kena tahu macam mana nak tangani dan berkomunikasi dengan mereka.

“Saya cuba kenali mereka dengan lebih dekat, maka dari situ kita boleh jadi rapat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” kata Gaithiry yang merupakan guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Ulu Kinta, Perak.

Instagram

Guru ini memuji kesemua anak muridnya yang sentiasa berkelakuan baik.

“Saya memang kagum melihat anak murid saya, mereka ini walaupun umur baru tujuh tahun tapi sudah tahu macam mana nak menghormati cikgu-cikgu dan orang yang lebih tua dari mereka.

“Saya tak boleh cari apa-apa kelemahan dalam diri mereka. Mereka dengar apa yang kita cakap. Tak melawan. Dari segi sikap memang A+.

“Tapi seperti biasa la… sebab mereka masih kanak-kanak, ada juga kenakalan tu dan ada yang manja.

“Kita sebagai seorang guru kena tahu macam mana hendak kawal mereka dengan cara yang sepatutnya,” ujar Gaithiry.

Menyentuh mengenai kaedah pengajaran pula, Gaithiry berkata perkara paling utama baginya adalah untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang menyeronokkan.

Instagram

“Dalam kelas saya ni ada berpuluh-puluh murid, ada yang diakui bijak, cepat tangkap apa yang diajar dan ada juga yang memerlukan perhatian lebih daripada guru.

“Tapi pokok pangkalnya, kita sebagai guru kena cuba untuk tarik minat murid dalam kelas itu, jadikan suasana seronok. Bila kita dah dapat tangkap mereka punya perhatian, barulah mereka akan fokus.

“Contohnya untuk subjek Matematik, murid pun tahu subjek ini bosan dan susah. Jadi saya sebagai seorang guru kena ada daya usaha, bukan hanya masuk kelas, bawa ‘marker’ dan menulis di papan putih

“Sebab itu dalam video TikTok boleh tengok saya bawa bahan bantu mengajar dalam kelas untuk berinteraksi dengan murid. Saya akan buat aktiviti supaya minda mereka berada dalam kelas itu,” terang Gaithiry.

Gaithiry juga sedar disebabkan usahanya untuk mendekati anak murid, dia kini mendapat tempat istimewa di hati mereka.

Instagram

“Saya sebagai seorang India memang kagum bila anak murid semua datang berebut untuk bersalam dengan saya, rasa macam persekitaran baru.

“Yang paling teruja bila dekat mana pun anak murid jumpa saya, mereka akan datang hendak peluk saya. Sampai guru-guru lain pun ada yang cemburu.

“Mereka bertanya mengapa anak murid ni semua asyik nak peluk Cikgu Gaya je. Perkara macam ni la yang buatkan saya semangat datang sekolah mengajar,” kata Gaithiry.

Walaupun begitu, Gaithiry tidak menafikan video tular yang dikongsikannya mendapat kecaman sesetengah warga maya kerana dikatakan mendedahkan wajah anak muridnya.

“Jadi saya nak beritahu kepada mereka di luar sana, ibu bapa anak murid memang benarkan saya untuk buat video macam itu walaupun nampak wajah anak mereka.

Instagram

“Mereka sangat menyokong. Dulu video saya pun ada masuk ‘for you page’ (fyp), ibu bapa cakap ia okay kalau video itu berniat baik. Lain la kalau video itu saya pukul anak orang ke dan sebagainya.

“Pihak ibu bapa pun tak ada masalah dengan perkara ini. Jadi sepatutnya tiada isu juga tentang video ini. Video itu cuma menunjukkan anak murid memberikan kasih sayang kepada gurunya.

“Tujuan saya muat naik video dekat TikTok tu pun sebab nak dijadikan sebagai inspirasi kepada yang lain. Jadikan pembakar semangat kepada mereka. Supaya jangan takut untuk menceburi bidang perguruan,” kata Cikgu Gaithiry kesayangan semua anak murid ini.

Pilihan Editor:

Bunuh ngeri model Abby Choi kerana pertikaian wang, tiga tangkapan dilakukan polis Hong Kong

0

Polis Hong Kong telah membuat tiga tangkapan kerana membunuh dan mengerat model berusia 28 tahun selepas pertikaian kewangan dengan keluarga bekas suaminya, kata pihak berkuasa pada Sabtu, 25 Februari.

Sebahagian mayat pempengaruh terkenal Abby Choi, yang minggu lalu muncul di muka depan majalah fesyen digital L’Officiel Monaco, ditemui di sebuah rumah kampung yang didirikan sebagai tapak penyembelihan, kata polis.

“Kami masih mencari kepala,” kata Penguasa Alan Chung kepada media, selepas mendedahkan bahawa anggota badan seorang wanita telah ditemui di dalam peti sejuk.

Tangkap Skrin Instagram Abby Choi

Rumah itu dilengkapi dengan gergaji elektrik dan pengisar daging yang telah digunakan untuk mengisar daging manusia, kata Chung.

“Dua periuk rebusan dipercayai mengandungi tisu manusia” ditinggalkan di tempat kejadian, tambahnya.

Bapa, ibu dan abang kepada bekas suami Choi, yang masih bebas telah ditangkap dan akan menghadapi tuduhan membunuh, tambahnya.

“Kami percaya mangsa dan keluarga bekas suaminya mempunyai banyak pertikaian kewangan melibatkan jumlah yang besar.

“Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya, yang menjadi motif untuk pembunuhan,” kata Chung.

The Star/Facebook

Choi pertama kali dilaporkan hilang pada hari Rabu, 22 Februari.

Dia didakwa kali terakhir dilihat oleh abang bekas suaminya, yang juga bekerja sebagai pemandunya. Polis berkata, keluarga itu sebelum ini berbohong untuk mengelirukan penyiasat.

Rumah kampung itu telah disewa baru-baru ini dan tidak dilengkapi perabot, yang menguatkan motif bahawa ia dibina bagi tujuan membuang dan melupuskan mayat Choi, tambah Penguasa Alan Chung.

Pilihan Editor:

Pasangan pengantin baru terima kejutan seumur hidup bila Agong perkenan bertemu mereka sebagai tetamu istimewa

0

Pasangan pengantin baru sudah pasti dilayan bagai raja sehari dalam majlis perkahwinan mereka, tetapi bagaimana jika Raja sebenar, Ketua Utama Negara secara kebetulan berada dalam majlis itu?

Pengantin baru Dakshayni Kumaresan dan suaminya mendapati diri berada dalam situasi bagai tidak percaya pada ketika mereka menuju ke dewan besar di Shangri-la KL untuk majlis resepsi perkahwinan.

@nextchapter_my/Instagram

Lengkap cantik berpakaian pengantin, pasangan itu sedang dalam perjalanan memasuki ‘grand ballroom’ apabila jurugambar pengantin, Andy menghalang mereka.

Secara kebetulan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut berada di hotel ketika itu dan telah berkenan bertemu dengan Dakshayni dan suaminya.

@nextchapter_my/Instagram

“Baginda melihat motosikal Harley Davidson yang ayah dan bapa saudara saya sediakan untuk majlis perkahwinan dan kakitangan hotel telah menjelaskan kepadanya bahawa ia adalah untuk perkahwinan kami,” kata Dakshayni kepada media tentang bagaimana pertemuan itu berlaku tanpa dirancang.

@nextchapter_my/Instagram

Menurut Dakshayni, dia dan suaminya, Sangharganesh Palanivelloo sempat berbual mesra dengan Seri Paduka Baginda, puteranya, Putera Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan puterinya, Tengku Puteri Iman Afzan.

@nextchapter_my/Instagram

“Mereka bertanya tentang umur kami, pekerjaan kami dan dari mana kami berasal. Mereka juga berjabat tangan dan mengucapkan tahniah atas perkahwinan kami,” Dakshayni mengimbas kembali, sambil menambah Agong dan anak-anaknya sangat mesra, mengambil berat dan peramah.

“Kami berasa sangat gembira dan bertuah. Saya mempunyai ‘butterfly in the stomach’. Kami tidak dapat menahan rasa gementar apabila mendengar Agong perkenan bertemu kami. Ia adalah hadiah paling istimewa yang berlaku pada hari perkahwinan kami,” katanya.

@nextchapter_my/Instagram

Selepas Agong beredar, pembantunya menghampiri kakak Dakshayni untuk bertanyakan nama dan nombor telefon mereka. Agong telah menghantar hadiah perkahwinan buat pasangan pengantin baru yang bertuah ini.

“Satu peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. Sampai sekarang saya tak boleh ‘move on’,” kata Dakshayni kepada mStar.

Pilihan Editor: