Pasti ramai yang sudah terbiasa mengeluarkan bahan makanan sejuk beku yang masih keras dari peti ais lalu membiarkan dalam singki semalaman sebelum memasaknya pada keesokan hari, dan cara ini adalah tidak betul.
Memang tujuannya adalah untuk melembutkan ayam, daging atau ikan terlebih dahulu supaya ia akan memudahkan cara anda memasaknya nanti.
Namun, cara ini boleh menyebabkan keracunan makanan bagi mereka yang mempunyai perut agak sensitif.

Baru-baru ini, doktor selebriti Dr. Malar berkongsi bagaimana lauk yang direndam di dalam singki boleh mengundang keracunan makanan dan ia telah mendapat perhatian netizen.
Menerusi perkongsian TikTok daripada @drmalarss, beliau memberitahu cara yang selama ini digunakan untuk melembutkan lauk dari peti ais sebenarnya adalah bahaya untuk kesihatan kita.

“Daging atau ayam yang lembut dan banyak air masuk, bila dia berada di luar pada suhu bilik terutamanya lebih dari empat jam boleh menyebabkan keracunan makanan,” jelasnya.
“Ayam yang lembut tu menjadi rumah atau pun pesta untuk kuman bakteria membiak dan beranak-pinak dekat situ,” tambahnya lagi.
“Antara kuman yang biasa melekat pada lauk itu adalah salmonella, E. coli dan banyak lagi. Sebab itu kadangkala anak kecil senang terkena cirit-birit walaupun tidak makan di kedai luar,” katanya.

Menurut Dr. Malar, cara yang betul untuk menyahbeku makanan sejuk beku ialah dengan salah satu yang berikut:
1.Memasukkannya ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk jangka masa tertentu.
2.Meletakkan makanan sejuk beku di bahagian ‘chiller’ semalaman sebelum memasak keesokan hari.
3.Merendam makanan sejuk beku dengan air yang dicampur garam atau sedikit cuka pada kadar singkat bagi mempercepatkan proses nyahbeku yang tidak melebihi empat jam.
Semoga perkongsian Dr. Malar memberi manfaat dan ingat jangan lagi merendam makanan daging ayam sejuk beku anda terlalu lama selepas mendapat info ini.
Pilihan Editor: