Roti Canai merupakan antara hidangan Malaysia paling ikonik dan salah satu daya tarikan kulinari ialah proses pembuatannya.
Sehinggakan sesetengah restoran menggunakan kehebatan proses pembuatan roti canai untuk menarik pelanggan, terutamanya ketika melambung doh yang telah ditebar sebagai salah satu persembahan hiburan.
Namun, tidak semua persembahan roti canai ‘terbang’ itu berakhir dengan sukses seperti yang dirancang, seperti dalam video tular ini.
Dikongsi oleh @abgmadroticanai di TikTok, video itu menunjukkan seorang penebar roti canai cilik cuba mempamerkan kemahiran melambung doh yang telah ditebar di hadapan pelanggan.
Skil adik penebar roti canai ini telah membuat para pelanggan spontan terbuka mulut kerana berasa kagum.
Tanpa pula menyangka, tiba-tiba roti canai yang terbang itu mendarat di atas kepala seorang anak kecil, yang menyebabkan kedua-dua penebar roti canai dan si kecil terperanjat.
Adik ini kemudian dengan segera meminta maaf dengan comelnya kepada si kecil itu yang menangis serta turut memohon maaf kepada seluruh anggota keluarganya.
“Tak pe! Tak pe!” kata mereka yang ‘sporting’ memberinya semangat untuk meneruskan aksi menebar dan melambung roti canai itu.
Penebar roti canai cilik dikenali ‘Adik Terbang’ ini merupakan bintang TikTok dan kerap menunjukkan kemahirannya di Warung Abg Mad Roti Canai di Manjung, Perak.
Dalam ruangan komen video itu, ramai netizen berasa terhibur dengan aksi comelnya dan walaupun roti terbang telah gagal pada kali ini, kebanyakannya masih kagum dengan kemahiran Adik Terbang seperti yang ditunjukkan dalam video lain.
Seorang pengguna TikTok memberi komen yang dia kagum dengan sikap sopan dan budi pekerti tinggi Adik Terbang, apabila dia segera meminta maaf kepada si kecil itu sambil menenangkannya, serta tidak lupa meminta maaf kepada seluruh ahli keluarganya yang berada di warung itu.
“Bagus minta maaf kat adik kecil dengan keluarga dia.. Jadi kenangan lepas ini mesti akan jadi lagi lebih pro..”
“Hensem dan berbudi bahasa pula adik ni, pandai terbangkan roti canai tetapi lepas tu terkena adik kecil ini dan tahu segera minta maaf. Terbaik Adik Terbang!”
Bukan senang hendak tebar dan terbangkan doh roti canai, adik ini akan jadi pakar tebar roti canai di masa depan yang ramai orang akan cari. Teruskan usaha hingga berjaya Adik Terbang.
Pilihan Editor: