Musim panas yang melanda negara pada ketika ini menyebabkan suhu yang sangat tinggi dicatatkan di beberapa daerah dalam negara sehingga ada antaranya yang mencecah sehingga 37 darjah celcius.
Disebabkan itu, seorang wanita yang tinggal di Bukau Beaufort, Sabah, Fatasha Nadia, melalui laman Facebooknya telah berkongsi satu eksperimen kecil yang dilakukannya iaitu “percubaan memasak telur di bawah matahari” yang secara tidak sengaja telah menarik perhatian ramai warganet kerana ia secara tidak langsung telah membuktikan suhu yang sangat tinggi yang melanda negara pada masa ini.

Menurut kiriman Fatasha, dia memulakan eksperimennya itu pada jam 1.00 petang dengan meletakkan sedikit minyak dalam kuali di bawah terik cahaya matahari.
Kemudian setelah 10 minit berlalu, Fatasha telah memecahkan sebiji telur ke dalam kuali berkenaan.
Seterusnya 10 minit kemudian, Fatasha telah melakukan pemeriksaan kali pertama. Pada masa ini, keadaan telur masih lagi belum menunjukkan perubahan yang ketara.

Selang 30 minit seterusnya iaitu pada jam 1.50 petang, menerusi pemeriksaan yang kedua, dapat dilihat bahawa keadaan telur sudah mula berubah, dengan keadaan kuning telur yang mula mengeras, dan bahagian putih telur yang mula bertukar warna daripada jernih kepada warna putih.

Pemeriksaan kali ke-3 pada jam 2.15 petang pula seterusnya menunjukkan keadaan telur yang semakin mengeras dan kelihatan mulai masak.

Kemudian pada jam 2.45 petang, untuk pemeriksaan eksperimen kali yang ke-4, dapat dilihat keadaan telur itu telah hampir masak.

Pada jam 3.30 petang, iaitu selepas tiga jam setengah telur itu ‘digoreng’ di bawah cahaya matahari, Fatasha akhirnya memutuskan untuk menamatkan eksperimennya di situ dan menerusi gambar yang dimuatnaik, dapat dilihat bahawa kedua-dua bahagian telur iaitu bahagian kuning dan putihnya telahpun masak.

Memang menarik betul eksperimen yang dilakukan Fatasha ini. Tetapi dalam masa yang sama eksperimen ini juga boleh membuatkan kita berasa sedikit bimbang kerana hal ini membuktikan bahawa cuaca pada masa ini benar-benar panas!
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih sehingga lebih daripada 2,300 perkongsian, 837 reaksi dan 460 komen dari warganet yang berkongsi pelbagai pendapat mereka tentang eksperimen ini.


Dalam kita berseronok meraikan hasil eksperimen kecil yang boleh dikatakan berjaya ini, jangan pula kita lupa untuk terus menjaga kesihatan ya!
Pilihan Editor: