Baru-baru ini, video beberapa ekor gajah ‘sesat’ di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor menjadi tular apabila haiwan liar itu memasuki kawasan perumahan sehingga ada melanggar pagar rumah beberapa penduduk.
Difahamkan ia merupakan kejadian berulang kali melibatkan beberapa ekor gajah yang memasuki kawasan perumahan berkenaan.
Satu video yang tular beberapa hari lalu memaparkan seekor gajah telah memasuki perkarangan sebuah rumah dengan meja dan kerusi yang telah disusun untuk satu keraian.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan Semangat 21, Taman Sri Lambak yang telah menggemparkan para penghuni kediaman berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dalam satu kenyataan berkata pihak mereka telah mula mengambil tindakan untuk menangkap gajah-gajah berkenaan, berikutan aduan penduduk taman perumahan terbabit.
Pada 9 Mei, seekor gajah dewasa dipercayai daripada kumpulan gajah yang memasuki kawasan perumahan di daerah Kluang telah ditangkap.
Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata gajah jantan itu ditangkap di satu kawasan di daerah berkenaan setelah mendapat aduan awam berhubung kehadiran mamalia berkenaan.
Beliau berkata gajah itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya yang baru-baru ini memasuki kawasan Taman Sri Lambak, Kluang, sehingga meresahkan penduduk di taman perumahan tersebut.
“Kita telah berjaya menangkap gajah berkenaan dan telah dilepaskan di dalam hutan berdekatan tetapi jauh daripada kawasan berpopulasi manusia,” katanya ketika dihubungi media.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang R. Vidyananthan berterima kasih kepada pihak Perhilitan kerana berjaya menangkap gajah sesat yang didakwa ditangkap berdekatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kluang.
“Perhilitan menggunakan dua ekor gajah denak untuk membantu menangkap gajah tersebut. Ini adalah berita baik kepada penduduk di kawasan ini,” katanya menerusi satu hantaran video di TikTok.
Hasil pemerhatian, tanaman penduduk yang boleh dijadikan makanan antara tarikan utama kumpulan gajah tersebut bertandang ke taman perumahan terbabit.
Pilihan Editor: