Cuaca panas hari ini membuat ramai yang menjadi kreatif untuk membuat rumah atau bilik masing-masing menjadi sejuk khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki penyaman udara sempurna.
Seorang pelajar UniKL kampus Lumut berkongsi menerusi video yang tular di TikTok yang dia hanya perlu menggunakan kipas elektrik, kotak Styrofoam (kotak ais), kiub ais, dua botol plastik dan garam untuk menghasilkan “penyaman udara” atau “pendingin hawa” buatan sendiri (DIY).

Mula-mula, pelajar bernama Daniel itu menebuk lubang pada penutup Styrofoam, dan kemudian menembusi dua lubang lagi pada sisi kotak Styrofoam.
Selepas itu, Daniel menabur garam ke dalam kotak Styrofoam yang telah dimasukkan ketulan ais di dalamnya.

Seterusnya, Daniel memotong dua botol plastik kepada separuh, memasukkannya ke dalam lubang di sisi Styrofoam, dan menutup kotak itu semula dengan penutupnya.
Akhirnya, Daniel menghalakan kipas elektrik ke arah lubang masuk penutup bekas itu dan menghidupkan kipas. Pengudaraan angin sejuk yang datang dari dua lubang yang keluar daripada kotak itu dapat dirasakan sensasi nyamannya.
Daniel berkata “penyaman udara” DIY ini boleh bertahan selama dua hingga tiga jam, dan tempoh masa bergantung kepada bilangan ketulan ais yang diletakkan di dalam kotak itu.

Pelajar ini berkata berkata cuaca panas baru-baru ini menyukarkan dia dan rakan sebiliknya untuk tidur, jadi dia mendapat idea untuk membuat “penyaman udara” yang menyejukkan lagi mampu milik.
“Selepas percubaan ini berjaya, kami merancang untuk menggunakan ais kering kerana ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk mencair,” katanya.

Daniel mendedahkan dia hanya membelanjakan RM17 untuk kotak styrofoam, RM10 untuk ais dan RM3 untuk sebungkus garam.
“Penyaman udara ini hanya berharga RM30, dan ia menyelesaikan masalah kita yang terlalu panas untuk tidur lena,” katanya.
Video TikTok itu telah mendapat perhatian netizen dengan hampir 2 juta tontonan.
Pilihan Editor: