23.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 21, 2025
Utama Blog Laman 73

“Terima kasih borong semua,” Warga emas peniaga dadih terharu spontan peluk dan kucup dahi pelanggan pemurah, undang sebak ramai

0

Hati pasti terusik melihat golongan warga emas masih gigih bekerja demi pencarian rezeki yang halal. Tidak kira berapa pun usia kita, titik peluh yang halal sudah pasti akan memperolehi keberkatan.

Seorang usahawan dikenali Abang Naz berkongsi beliau berdepan situasi sama apabila terserempak dengan seorang peniaga warga emas di sebuah pasaraya di Selayang, Selangor.

AbangNaz/TikTok

Menerusi video tular di TikTok @abang_naz beberapa bulan lalu, peniaga yang dipanggil Tok Wan kelihatan sebak dan terus memeluk serta mengucup dahi Abang Naz yang telah memborong semua dadih jualannya.

“Pada hari tersebut, saya dalam perjalanan hendak makan di pasaraya berkenaan. Saya nampak pak cik tu sedang berniaga di kawasan parkir. Saya terdetik nak rakam video, nak tolong dia,” cerita Abang Naz kepada mStar.

AbangNaz/TikTok

“Saya nak beli tapi tiada wang tunai ketika itu. Jadi saya minta dia tunggu sekejap untuk saya pergi keluarkan wang. Lama juga saya masuk dalam pasaraya. Selepas 15 minit saya keluar, dia masih ada. Jadi saya terus borong semua dalam bakul.

“Saya bayar RM150. Pak cik tu menangis, terus saya pun sebak. Dia macam tak percaya, tak pernah orang beli banyak katanya. Tengok orang tua berniaga memang sedih. Sebab tu saya rasa nak sokong dia,” jelasnya.

AbangNaz/TikTok

Abang Naz turut mendedahkan pak cik itu turut bercerita tentang keretanya yang mengalami kerosakan.

Selepas kisah pak cik itu menjadi tular di platform media sosialnya, beberapa kenalannya tampil menghulurkan sumbangan untuk membaiki keretanya.

AbangNaz/TikTok

“Masa tu saya tanya dia, datang naik motor ke? Kemudian dia cerita kereta Proton miliknya rosak. Nak kena bayar RM800 untuk kereta yang rosak tu. Makin sedih apabila dengar macam tu.

“Pak cik tu ada anak, tapi dia memang suka berniaga. Saya kagum dengan semangatnya. Selepas balik, saya kongsi di media sosial tentang pak cik ni. Saya tanya, ada tak sesiapa yang nak memberi sumbangan?

AbangNaz/TikTok

“Kemudian ada seorang hamba Allah beri RM600. Selepas itu ada seorang lagi sumbang RM200. Jumlah dah cukup RM800, saya pergi jumpa pakcik tu untuk serahkan sumbangan berkenaan,” jelasnya.

Video TikTok yang telah membuat ramai rasa sebak dan terharu melihat reaksi spontan Tok Wan telah dibantu anak muda berhati mulia.

AbangNaz/TikTok

“Abang dah berjaya mengeluarkan air mata saya. Terus teringat ayah di kampung.”

“Waktu pak cik tu cium dahi dan peluk sebaknya rasa hati.”

“Bila pak cik tu peluk, saya dah mula menangis..”

Abang Naz berkongsi beliau sendiri turut beremosi apabila menonton semula rakaman berkenaan dan berharap usaha murninya dapat menjadi inspirasi kepada ramai yang lain.

AbangNaz/TikTok

Beliau menasihatkan untuk menyokong dan membantu peniaga sebegini apabila melihat tidak ramai pelanggan yang mahu membeli. “Pergilah sokong bantu walaupun kita tak nak beli atau tak lapar,” katanya.

“Pada saya, kita tak perlu tunggu kaya untuk bersedekah. Sepatutnya kita bersedekah sampai kaya, jangan tunggu kaya baru nak bersedekah,” pesannya tentang konsep bersedekah.

Tompok pula cuba menyusup ke Zoo Negara untuk tinggal di antara Capybara dan Oyen

0

Seluruh negara maklum dulu Oyen yang menyamarkan diri mengadun hidup di kalangan capybara di Zoo Negara kini sudah secara rasmi diiktiraf sebagai ahli zoo dan saudara spesies tikus itu.

Tetapi kini nampaknya tidak sangka pula ‘Oyen’ telah mendapat pesaing baru kerana seekor lagi kucing dikesan cuba hidup di kalangan capybara di kandang rasmi mereka.

@masyitaahmadshaza/TikTok

Kucing baharu, yang digelar ‘Tompok’ dengan bulu hitam, coklat dan putih itu dilihat sedang bertentang mata dengan si Oyen.

@masyitaahmadshaza/TikTok

Nampaknya cubaan dia untuk merampas kuasa di kawasan jajahan Oyen mungkin tidak semudah yang disangka.

Dikongsi oleh pengguna @masyitaahmadshaza di TikTok, video berdurasi 24 saat menunjukkan bagaimana Tompok cuba menyusup masuk ke dalam kandang capybara manakala Oyen melihat pesaing baharunya dengan renungan tajam.

@masyitaahmadshaza/TikTok

Sementara itu, kelihatan pemandangan damai di latar belakang yang menyaksikan capybara tidak peduli dengan apa yang berlaku lalu meneruskan kehidupan mereka seperti biasa adanya.

@masyitaahmadshaza/TikTok

Dalam ruangan komen video berkenaan, rata-rata pengguna TikTok terhibur dengan telatah dua ekor kucing itu, malah ada yang tertanya-tanya sama ada kandang Zoo Negara adalah untuk capybara atau tempat perlindungan kucing?

@masyitaahmadshaza/TikTok

Capybara juga pasti tertanya-tanya sama ada kandang itu rumah mereka atau untuk kucing kerana hari demi hari, semakin banyak kucing datang untuk tinggal di sana.

Nampaknya Zoo Negara kena tambah idea untuk sediakan kandang khas untuk kucinglah selepas ini, tempatkan pelbagai spesies kucing di situ. Comellah Zoo Negara!

“Saya juga mahu dibelai,” Kucing terbiar pandang sayu kucing peliharaan dari luar rumah, kesudahan lepas diselamatkan pemilik sentuh hati ramai

0

Tempatnya berada di dalam rumah untuk selama-lamanya! Seorang pemilik kucing mendapati sejak beberapa bulan, seekor kucing terbiar yang aneh sering datang melaporkan diri di hadapan pintu rumahnya.

Dia sering duduk dengan patuh di muka pintu sambil melihat kucing peliharaannya yang berada di dalam rumah, dengan renungan matanya yang kelihatan agak sunyi. 

@rescuecatmittens/TikTok

Pemilik ini tidak tertahan untuk membiar dan melihat kucing ini berkeliaran di luar rumahnya, jadi dia cuba memerangkapnya sehingga akhirnya berjaya. Mereka sekeluarga membuat keputusan untuk mengambilnya, supaya dia tidak lagi tinggal terabai berada di luar dengan terus tidak dipedulikan. 

Mereka memutuskan kucing ini layak untuk menikmati kehangatan dan belaian yang tidak pernah dimilikinya sebelum ini. Kesudahan menggembirakan yang telah menyentuh hati puluhan ribu warganet.

@rescuecatmittens/TikTok

Menerusi paparan video tersebut, kucing terbiar itu pada mulanya hanya duduk patuh di luar pintu, yang telah menarik perhatian tiga ekor kucing keluarga tersebut. 

Dengan pandangan yang sayu dan menyedihkan, dia seolah-olah berasa iri hati dengan kehidupan kucing peliharaan itu. 

@rescuecatmittens/TikTok

Difahamkan kucing berwarna hitam ini kelihatan tempang dan diselubungi kutu menyebabkan tuan rumah yang tidak tahan melihatnya terus berkeliaran dalam keadaan sakit, akhirnya memutuskan untuk mengambil kucing itu dengan menamakannya Mittens.

@rescuecatmittens/TikTok

Namun, apabila mereka membawa Mittens berjumpa doktor veterinar, mereka mendapati kucing hitam ini pernah ditembak dengan senjata BB. Walaupun Mittens telah dibawa ke dalam rumah, dia terus bersikap berwaspada dan penuh dengan kebimbangan. 

@rescuecatmittens/TikTok

Mittens selalu bersembunyi di sudut rumah seorang diri, bimbang tentang dia mungkin disakiti oleh mereka yang berniat jahat.

@rescuecatmittens/TikTok

Syukurlah, di bawah penjagaan rapi keluarga barunya, Mittens perlahan-lahan keluar daripada perasaan takutnya, dengan mula belajar mempercayai manusia, dan secara beransur-ansur menerima kucing lain menjadi kawannya.

@rescuecatmittens/TikTok

Malahan sudah boleh bermain seperti kucing biasa dan membiarkan orang lain membelainya. Perubahan dan penerimaan Mittens untuk menyesuaikan diri jelas telah menyentuh hati keluarga itu.

Pemilik Mittens yang juga pengguna TikTok @rescuecatmittens berkongsi cerita Mittens, yang mana videonya telah menarik ribuan pengguna lain untuk menonton perkembangannya, dengan rata-rata meninggalkan komen memuji:

@rescuecatmittens/TikTok

“Tuhan memberkati anda”

“Semua tahu anda penyayang untuk menerimanya..”

“Terima kasih kerana mengambilnya..”

“Gembira melihat dia menjadi ahli keluarga anda..”

“Anda seorang yang hebat!”

“Saya sangat terharu..”

Semoga Mittens yang bermuka sedih terus sihat dan gembira di bawah jagaan keluarga barunya.

Momen ‘wholesome’ bila streamer Twitch dedah kisah menyayat hati dengan penonton tular dalam sehari, kehidupannya berubah selepas itu

0

Seorang streamer Twitch kecil-kecilan dikenali UglyMoo4510 baru-baru ini meledak popularitinya selepas TikToker dan YouTuber KarveTV berkongsi detik menyayat hati yang menampilkannya meluah perasaan di saluran media sosialnya. 

Klip video pendek menunjukkan streamer DIY itu menangis selepas menceritakan kisah sedih tentang kehilangan rakan zaman kanak-kanaknya dan masalah kesihatan yang sedang dialaminya ketika Karve menggalakkannya untuk terus membuat kandungan sambil mendermakan AS$100 (RM455) bagi tujuan itu.

Facebook

Klip berdurasi satu minit itu telah menjadi tular di media sosial, terutamanya TikTok, Twitter, Facebook dan Instagram, di mana KarveTV menemuinya secara rawak dan menyiarkan video perbualan itu dengan kapsyen, “Dia sedang bergelut sangat..”

Sebelum klip itu mula mendapat perhatian di media sosial, UglyMoo4510 mempunyai purata kira-kira 10 penonton dan mempunyai kira-kira 150 pengikut. Walau bagaimanapun, dalam masa beberapa hari selepas itu, streamer itu telah menyaksikan peningkatan drastik jumlah tontonan dengan lebih 30,000 pengikut di Twitch, dengan purata kira-kira 300 penonton serentak pada penstriman terakhirnya.

Facebook

Ramai pengikut yang mahu menyelami kehidupan peribadinya selepas itu serta mahu memberinya semangat.

Walaupun bermula di Twitch pada tahun 2021, UglyMoo4510 masih agak kabur dengan jenis kandungan yang mahu ditonjolkan kepada para penontonnya. Tumpuan utama streamer kecil itu adalah pada bahagian Makers and Crafting Twitch kerana minatnya terhadap model plastik percetakan 3D. Satu lagi kemuncak penstriman paling popular ialah bersama kucing peliharaannya, Tigger yang dinamakan sempena watak kartun Winnie-the-Pooh.

Facebook

Lelaki pemalu ini ada memainkan World of Warcraft sekali-sekala, tetapi Twitch Tracker menyatakan dia tidak pernah bermain permainan itu secara siaran langsung tetapi mempunyai lebih 100 jam dalam genre Makers and Crafting. Nampaknya dia juga membuat cetakan 3D dan karya model plastik bagi membantu melegakan beberapa tekanan dan masalah kesihatannya.

Facebook

Dalam ciapan di Twitter pada 5 Jun sempena hari jadi ke-50 streamer itu, ramai yang mengucapkan tahniah kepadanya atas peningkatan populariti baru-baru ini. 

Video tular yang dikongsi oleh KarveTV yang popular itu, memaparkan UglyMoo4510 turut membuka butiran tertentu tentang masa lampaunya selepas dipuji mengenai tatunya.

Facebook

Lelaki ini berkongsi salah seorang rakan zaman kanak-kanaknya telah melukis tatu itu untuknya sebelum mengambil nyawanya sendiri tidak lama kemudian.

Dia kemudian mendedahkan rakan rapatnya itu pada dasarnya telah menyelamatkan nyawanya dan dia mengeluarkan air mata kerana tidak dapat melakukan perkara yang sama untuknya. 

Facebook

Selepas KarveTV menderma AS$100, UglyMoo4510 mengucapkan terima kasih kepadanya dan menyebut bagaimana sumbangannya itu akan dapat membantunya membeli ubat untuk penyakitnya.

Facebook

Kekuatan serta daya tahan yang ditunjukkan oleh lelaki ramah dan menyenangkan berusia 50 tahun itu telah memikat hati beribu-ribu pengikutnya di Twitch, yang telah membantunya mengembangkan salurannya untuk terus menjadi popular.

Facebook

Semoga UglyMoo4510 akan terus bersemangat untuk berkarya dan dapat memberi inspirasi kepada orang lain dalam mengatasi konflik kehidupan sambil menghiburkan mereka dengan kandungan menarik menerusi siaran langsungnya di Twitch.

Tonton video di sini.

Lelaki Perancis terkenal panjat pencakar langit maut selepas terjatuh bangunan

0

HONG KONG: Lelaki Perancis yang terkenal dengan aktiviti memanjat bangunan pencakar langit di seluruh dunia, maut pada 27 Julai lalu selepas terjatuh dari bangunan tinggi di Hong Kong.

Insiden berlaku ketika Remi Lucidi, 30, memanjat satu daripada bangunan kediaman di kompleks Menara Tregunter dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor SCMP.

Polis sedang menyiasat sama ada Lucidi maut ketika sedang ‘melakukan sukan ekstrem’.

Remi Lucidi terkenal memanjat bangunan pencakar langit seluruh dunia. (Gambar Remi Enigma / Instagram)

Sumber tidak dinamakan memberitahu akhbar Hong Kong, Lucidi kali terakhir dilihat pada jam 7.30 malam 27 Julai, apabila dia mengetuk cermin unit penthouse yang terletak di tingkat 68 Menara Tregunter.

Pembantu rumah di penthouse itu menghubungi polis untuk bantuan selepas melihat seorang lelaki di cermin tingkap.

Sumber berkata, besar kemungkinan Lucidi mengetuk tingkat itu untuk meminta tolong selepas terperangkap di luar penthouse.

Polis Hong Kong menemui kamera lasak Lucidi yang mengandungi pelbagai video sukan ekstrem dan kad identitinya di lokasi insiden.

Hantaran Instagram terbaharunya adalah enam hari lalu yang menunjukkan pemandangan Times Square di Hong Kong.

Lucidi dikatakan mendaftar masuk di Hotel Ashoka, Tsim Sha Tsui pada 17 Julai dan sepatutnya mendaftar keluar pada 30 Julai.

Menara Tregunter, Hong Kong. (Gambar Remi Enigma / Instagram)

Polis berkata, Lucidi tiba di Menara Tregunter kira-kira jam 6 petang 27 Julai dan memberitahu pengawal keselamatan yang dia mahu melawat rakannya yang tinggal di tingkat 40.

Lucidi dilapor sempat naik menggunakan lif sebelum pengawal keselamatan tersedar apabila penghuni yang didakwa rakan itu, tidak mengenalinya.

Lucidi dirakam kamera keselamatan keluar dari lif di tingkat 49 dan kemudian berada di tangga paling atas bangunan terbabit.

Kunci tingkat paling atas itu didapati terbuka, namun pengawal keselamatan gagal mengesan keberadaan Lucidi, yang kemudian ditemui maut di bahagian bawah bangunan.

Pensyarah langsung tidak menyesal ambil risiko jual rumah persaraan demi membiayai yuran universiti enam pelajarnya

0

Seorang pensyarah dari Singapura sudah tentu membuat satu pengorbanan besar dengan kebaikan hati besarnya apabila sanggup menjual rumah persaraan untuk mengumpul kira-kira RM514,000 (S$150,000) supaya beliau boleh menghantar enam pelajarnya menyambung pengajian di Australia.

Frankie Yee, 56, pertama kali bertemu enam pelajar antarabangsa dari Uzbekistan pada 2022 ketika mengajar mereka di sebuah universiti swasta di Singapura.

Yee mendapat tahu pelajar-pelajar tersebut adalah daripada keluarga miskin dan telah datang ke Singapura menyambung pengajian dengan tajaan biasiswa.

Frankie Yee (tengah) bersama lima daripada enam pelajar dari Uzbekistan yang dibantunya. (Gambar Shin Min Daily News)

Tetapi mereka masih perlu membayar 20 peratus daripada yuran pengajian, jadi pelajar itu bekerja setiap hari selama 10 jam selepas kelas di restoran atau hotel untuk mengumpul wang bagi membiayai pengajiannya mereka di Singapura, lapor Shin Min Daily News.

Pelajar yang bergelut itu kemudian memberitahu Yee dengan idea mereka untuk belajar di Australia dan bukannya di Singapura.

Bagi mengumpul dana yuran universiti mereka, Yee memutuskan untuk mengambil risiko dengan menjual rumah persaraannya di Genting, Malaysia dan mengumpul S$150,000 untuk menghantar enam pelajar itu belajar di Australia.

Jumlah itu hanya mencukupi untuk yuran pengajian dalam semester pertama, menurut anggaran Yee. Para pelajar berkenaan merancang untuk bekerja sambil belajar bagi membiayai baki pendidikan mereka.

Dua pelajar telah memulakan pengajian di Universiti Sydney, dan empat lagi sedang menunggu kemasukan ke Universiti Wollongong, kata Yee.

Yee berkongsi bahawa beliau bermotivasi untuk membantu pelajar terbabit kerana telah melihat semangat dan kesungguhan mereka untuk mendapatkan pendidikan terbaik walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dalam kehidupan.

Menyifatkan ini sebagai “peluang bertarung dalam hidup untuk memecahkan kitaran ganas kemiskinan”, Yee merasakan beliau bukan sahaja dapat membantu enam pemuda itu, tetapi juga masa depan mereka untuk generasi seterusnya.

Ketika ditanya Mave Mason dalam satu temu bual podcast, sama ada dirinya menyesal dengan keputusan ini, Yee segera menjawab yang beliau “tidak menyesal langsung”.

Dua orang pelajar telah menyambung pengajian di Universiti Sydney, Australia. (Gambar Shin Min Daily News)

“Walaupun akaun bank saya hampir tiada, tetapi memikirkan enam budak lelaki ini mempunyai masa depan yang lebih baik, saya rasa semuanya berbaloi,” katanya.

Para pelajar memberitahu Yee bahawa mereka akan memulangkan “apa sahaja yang anda telah berikan kepada kami” apabila mereka mampu.

Mereka juga berkata akan membeli semula rumah di Genting itu untuk Yee pada masa hadapan.

Sungguhpun begitu, Yee tidak mengharapkan kebaikannya itu dibalas.

“Satu-satunya harapan saya ialah mereka berenam itu boleh berjaya,” kata pensyarah ini.

“Duduk bersila makan atas lantai janji gembira,” ​​Suami isteri beli rumah baru tapi belum mampu beli perabot tunjuk teladan bahagia itu sederhana

0

Sebelum seseorang boleh membeli rumah idaman, mereka mestilah kena cukup menyimpan untuk melaksanakan impian memiliki rumah sendiri dengan segala kelengkapannya. 

Namun, idea pasangan ini jauh berbeza, kerana mereka percaya selagi ada wang, mereka boleh membeli rumah dahulu, dan perabot boleh ditambah kemudian.

Sin Chew Daily melaporkan satu pasangan suami isteri muda ini baru sahaja berpindah ke rumah milik mereka sendiri, dan wang yang disimpan hanya cukup untuk membayar wang pendahuluan untuk rumah idaman, dan mereka tidak mempunyai wang tambahan untuk membeli perabot. 

@supersyaf/TikTok

Disebabkan kekangan kewangan, pasangan itu mengambil keputusan untuk bertahan buat sementara waktu. Mereka belum dapat mengatur perabot di ruang makan, dan hanya duduk bersila di atas lantai di ruang tamu untuk makan nasi bungkus.

Walaupun rumah itu kosong dan lapang tiada apa-apa, namun kedua-duanya tidak terjejas sama sekali, sempoi berbual mesra sambil bergelak ketawa semasa makan.

Mereka melapik bahagian bawah dengan beg sampah hitam untuk mengelakkan makanan mengotorkan lantai, dan membungkus sisa makanan terus ke dalam beg plastik itu selepas makan.

@supersyaf/TikTok

Mereka merakam adegan lucu duduk bersila di atas lantai sambil makan dengan gembiranya dalam muat naik video @supersyaf di TikTok berkapsyen, “Apabila anda hanya mempunyai wang yang cukup untuk membeli rumah tetapi tiada wang lagi untuk membeli perabot..”

Rakaman TikTok yang segera menarik perhatian warganet dengan lebih 3.2 juta tontonan menyentuh hati.

Ramai yang merasakan walaupun adegan itu kelihatan sedikit menyedihkan, tetapi jelas kelihatan sentuhan dan aura kasih sayang antara mereka, yang mana itu sahaja yang lebih penting berbanding perkara kebendaan.

@supersyaf/TikTok

Janji mereka telah memiliki rumah sendiri yang selamat untuk diduduki. Biasalah apabila pasangan baru berkahwin akan membina mahligai kebahagiaan selangkah demi selangkah, sedikit demi sedikit.

Tidak mengapa rumah masih tiada perabot. Rasa bersyukur dengan apa yang ada dan hidup bersederhana itu tanda bahagia, sambil terus berusaha untuk kehidupan yang lebih baik.

Penganggur lelaki dan wanita di China berduyun ke Starbucks berpakaian kerja menatap komputer, berpura-pura mempunyai pekerjaan

0

Baru-baru ini, sebuah video yang dikeluarkan oleh “Sanlian Life Lab” menunjukkan kafe Starbucks sering dipenuhi oleh lelaki dan wanita China yang menganggur. Rakaman itu telah mencetuskan perbincangan hangat para warganet di China. 

Pada permulaan klip, ia menunjukkan bagaimana Starbucks pernah menjadi syurga buat pekerja yang membawa kerja mereka pulang bersama dan singgah ke kedai kopi terkenal itu untuk rehat minum kopi yang sangat diperlukan, sementara mereka menyelesaikan kerja pada hari itu. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, Starbucks telah dipenuhi dengan ‘orang menganggur yang berpura-pura pergi bekerja.’

Kebanyakan orang yang memenuhi Starbucks pada masa kini memakai pakaian kerja formal, membawa beg sekolah atau beg bimbit, dan bekerja menggunakan komputer mereka. Mereka berpura-pura bekerja dan menikmati penghawa dingin percuma sepanjang hari. 

Gambar Sanlian Life Lab

Sebahagian daripada mereka mengakui bimbang ahli keluarga akan mengetahui mereka menganggur, dan ada di antaranya mengatakan mereka tidak boleh bertolak ansur dengan pandangan orang tua jika sentiasa berada di rumah dan tidak berada di tempat kerja. Starbucks telah menjadi tempat selamat untuk individu yang tidak bekerja ini.

Video tersebut menceritakan tentang 3 jenis penganggur ini dengan lebih terperinci. Kebanyakan mereka akan memesan secawan kopi gaya Amerika bernilai AS$4.20 (RMB30). Bagi yang lain, mereka akan memesan jenis kopi yang lebih murah supaya mereka dapat menjimatkan wang. Akhir sekali, kerana kebanyakan mereka telah lama menganggur, mereka tidak akan memesan apa-apa dari Starbucks. Sebaliknya, mereka membawa termos mereka sendiri untuk diisi dengan air panas, dengan mengandaikan terdapat butiran kopi di dalamnya.

Gambar Sanlian Life Lab

James, yang bekerja di syarikat pengiklanan Shanghai selama 6 tahun, adalah salah seorang daripada mereka. Selepas ditamatkan perkhidmatan, dia pergi ke Starbucks lebih kerap berbanding sebelum ini. James mengaku pernah pergi ke Starbucks ketika masih bekerja kerana merasakan dirinya seorang ‘profesional muda bandar’ dan gemar berbincang perniagaan dengan beberapa pelanggan di kedai kopi itu. Baru-baru ini, James pergi ke Starbucks untuk menikmati secawan kopi yang menjadi ‘pilihan terakhir’ kebanyakan lelaki dan wanita yang menganggur.

Feng berusia 35 tahun dari Changsha telah menganggur selama 3 bulan. Dia tidak minum kopi. Selepas temu duga kerja, Feng terus ke Starbucks dan berada di situ sehingga petang sebelum pulang ke rumah. “Saya berasa kosong apabila saya pulang menganggur,” kata Feng. “Dan ibu bapa kamu akan memandang kamu dengan ‘mata sebegitu’. Di Starbucks, sekurang-kurangnya saya berasa selesa.”

Sanlian Life Lab mendakwa disebabkan ketidaktentuan jangkaan pasaran, lelaki dan wanita pertengahan umur yang menganggur di China telah meningkat. Kebanyakan lelaki dan wanita pertengahan umur yang kehilangan pekerjaan ini mendapati sukar untuk menempatkan diri mereka semula ke dalam pasaran pekerjaan. Dalam era persaingan yang sengit hari ini, dan kebanyakan syarikat lebih suka pekerja yang lebih muda, ia menjadi lebih sukar buat golongan pertengahan umur untuk mencari pekerjaan baharu semula.

Gambar Sanlian Life Lab

Insiden Starbucks sentiasa dipenuhi oleh lelaki dan wanita yang menganggur telah membangkitkan perbincangan hangat warganet China. Sebahagian daripada mereka memperkatakan tentang memberi perhatian kepada dilema pekerjaan. Sesetengah warganet juga mengkritik lelaki dan wanita yang menganggur kerana melarikan diri dari realiti dan tidak mahu berdepan dengan masalah pengangguran. Bagaimanapun, sesetengah warganet mendakwa lelaki dan wanita yang menganggur ini memahami mentaliti mereka sendiri dan percaya bahawa ini adalah cara untuk menenangkan diri dan mencari interaksi sosial, yang mungkin menemui peluang baru.

Banyak dilema pengangguran juga berlaku dalam kalangan golongan muda. Menurut tinjauan data, kadar pengangguran belia di China telah meningkat kepada 21.3% pada bulan Jun, yang merupakan rekod tertinggi. Selain itu, ahli YMCA China memilih untuk tinggal sepanjang hari di Starbucks, mencari keselesaan dan interaksi sesama mereka melalui aroma kopi dan suasana damai yang tidak dapat ditolak.

Harga barang dijangka meningkat sehingga 20 peratus pada bulan Ogos

0

Harga barangan dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang suku ketiga tahun ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Menurut Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan kepada Utusan Malaysia, pihaknya telah mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus dalam kos pengeluaran dan operasi di kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu.

Katanya, peningkatan kos tersebut disebabkan oleh kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang telah menyebabkan inflasi pada kadar yang tinggi.

Gambar Malay Mail

Untuk rekod, sejak Januari hingga Julai tahun ini, ringgit telah merosot daripada RM4.20 berbanding dolar AS kepada RM4.60. Peningkatan sebanyak 10 peratus ini terhadap kemerosotan ringgit berbanding dolar AS telah meningkatkan kos pengeluaran. Rantaian bekalan telah mengalami peningkatan kos dan akhirnya, ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna di rantaian terakhir bekalan. Akibatnya, pengguna akan mengalami kesan inflasi import apabila harga barangan meningkat.

Menurut Oxford Reference, inflasi import ditakrifkan sebagai inflasi yang disebabkan oleh kenaikan harga import. Kenaikan harga produk akhir yang diimport secara langsung akan mempengaruhi ukuran inflasi berasaskan perbelanjaan.

Nivas memberikan pandangan kenaikan harga barangan di peringkat pengguna akan bermula pada suku ketiga tahun ini dengan kadar 20 peratus.

Contohnya, jika sebelum ini anda perlu membayar RM100,000 untuk mengimport satu barang, kini anda perlu membayar antara RM120,000 hingga RM130,000 untuk mengimport barang yang sama. Akibatnya, harga barangan di peringkat pengguna juga akan meningkat. Nivas menunjukkan sebagai contoh, jika suatu produk sebelum ini dijual pada harga RM10, ia akan meningkat kepada harga RM12 hingga RM12.50 sekurang-kurangnya, dengan kenaikan 20 peratus itu.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, yang turut memaklumkan kenaikan harga barangan dijangka berlaku pada bulan Ogos dan September tahun ini.

Ameer menjangkakan kenaikan harga barangan pengguna antara lima hingga 10 peratus. Biasanya, produk yang diimport memerlukan masa untuk sampai ke negara ini. Oleh itu, beliau menjangkakan kenaikan harga barangan di peringkat pengguna mungkin akan bermula menjelang bulan Ogos atau September.

Beliau juga menyatakan kenaikan harga barangan juga disebabkan oleh peningkatan kos operasi dalam pelbagai sektor pengeluaran akibat daripada peningkatan kadar gaji minimum yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Kenaikan harga barangan peringkat pengguna ini tidak hanya dipengaruhi oleh faktor kelemahan ringgit berbanding dolar dan inflasi import, tetapi juga oleh peningkatan kos operasi dalam menjalankan perniagaan di Malaysia. Kos seperti gaji minimum dan bil utiliti yang meningkat, serta faktor lain yang turut memberi kesan kepada kenaikan harga barangan pengguna.

Kenaikan harga barang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, rakyat perlu bersedia mengurus kewangan dengan baik agar perbelanjaan lebih terjamin. Anda boleh ikuti tips kewangan perkongsian sistemguruonline.my seperti berikut:

1. Buat anggaran kewangan yang realistik:

Analisis perbelanjaan bulanan anda, termasuk keperluan asas, bil-bil dan perbelanjaan budi bicara. Buat perancangan kewangan yang melibatkan pengurusan perbelanjaan bulanan dengan bijak untuk mengenal pasti di mana anda boleh mengurangkan perbelanjaan dan mengalihkan lebih banyak wang kepada keperluan asas.

2. Menabung secara berkala:

Menabung adalah satu tabiat kewangan yang penting dalam menghadapi kenaikan harga barang. Asingkan pendapatan anda setiap bulan untuk simpanan. Ini dapat membantu anda membina dana kecemasan yang boleh digunakan ketika menghadapi kenaikan harga barang keperluan secara tiba-tiba. Dengan menabung secara berkala, anda juga boleh mencipta kestabilan kewangan untuk tempoh jangka panjang.

3. Beli dengan bijak:

Ketika membeli barang keperluan, penting untuk berbelanja dengan bijak. Bandingkan harga dari pelbagai kedai sebelum membuat keputusan. Ambil perhatian terhadap promosi atau diskaun yang mungkin ditawarkan. Selain itu, pertimbangkan untuk membeli dalam kuantiti yang lebih besar jika boleh, kerana ia lebih menjimatkan dan berpatutan untuk tempoh jangka masa panjang.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

4. Kurangkan pembaziran:

Periksa pola perbelanjaan anda dan kenal pasti jika anda boleh mengelak pembaziran. Contoh, kurangkan makan di luar, elakkan pembelian impulsif, atau hadkan langganan keahlian yang tidak digunakan. Dengan mengurangkan pembaziran, anda boleh menjimatkan lebih banyak wang untuk keperluan asas dalam menghadapi kenaikan harga barang.

5. Tingkatkan kemahiran kewangan:

Penting untuk meningkatkan pemahaman tentang kemahiran kewangan. Pelajari tentang pelaburan yang menguntungkan, kepelbagaian aset, dan strategi pengurusan risiko. Pendidikan kewangan yang baik dapat membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak dalam pengurusan kewangan.

6. Menjaga keseimbangan kewangan:

Pastikan anda menjaga keseimbangan kewangan. Jangan berbelanja melebihi kemampuan dan jangan terjerat dalam hutang yang tidak perlu. Tetapkan keutamaan perbelanjaan yang wajar dan bersesuaian dengan pendapatan anda. Dengan menjaga keseimbangan kewangan, anda akan lebih mudah mengatasi kenaikan harga barang disamping dapat mengekalkan kestabilan kewangan.

Diharap kita semua boleh berjimat cermat dalam perbelanjaan bermula sekarang.

Zack Idris meninggal dunia

0

KUALA LUMPUR: Bekas pelakon dan pengarah era 1990-an, Zack Idris menghembuskan nafas terakhir pada petang 28 Julai di Hospital Shah Alam pada usia 53 tahun. 

Bekas isterinya, Aliza Rafar berkata, Zack ditidurkan sejak malam 27 Julai selepas dikejarkan ke hospital akibat muntah dan pitam. 

“Tadi, saya pulang ke rumah dari hospital dan sampai sahaja di rumah, lebih kurang waktu Asar, saya dimaklumkan bahawa arwah sudah tiada. 

Gambar Berita Harian

“Berdasarkan apa yang saya faham, ia berkaitan dengan kandungan air dalam badan dan dia ada komplikasi jantung,” katanya kepada Harian Metro

Menurut Aliza, Zack atau nama sebenarnya Mohd Idris mengadu kepada anak-anaknya bahawa dia rasa lemah dan rasa tidak berdaya. 

“Arwah pernah menjalani pembedahan pada 13 tahun lalu. Semalam, dia rasa lemah dan tak berdaya. Katanya, rasa nak pitam. Jadi, dia berbaring. 

“Bila dia bangun untuk makan dan minum, dia muntah. Kemudian, kepalanya mula rasa pening. Jadi, anak ajak dia ke hospital. Bila sampai ke hospital, doktor maklumkan bahawa badannya dah teruk. 

“Jadi, dia terus dimasukkan ke zon merah kecemasan dan diberi bantuan oksigen seterusnya ditidurkan sejak malam semalam,” katanya. 

Zack dan Aliza pernah berumah tangga selama 18 tahun sebelum bercerai lapan tahun lalu. Perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata. 

Zack sebelum ini aktif sebagai pelakon dan pengarah, namun, bersara dari dunia seni dan banyak menghabiskan waktu untuk menjaga ibunya di kampung. 

Antara karya-karya yang membabitkan namanya adalah filem-filem seperti Johnny Bikin Filem, Penyair Malam, Syukur 21, Black Maria dan Cendol: Kepada Allah Aku Berserah selain teater Sultan Alauddin Riayat.