Seluruh negara maklum dulu Oyen yang menyamarkan diri mengadun hidup di kalangan capybara di Zoo Negara kini sudah secara rasmi diiktiraf sebagai ahli zoo dan saudara spesies tikus itu.
Tetapi kini nampaknya tidak sangka pula ‘Oyen’ telah mendapat pesaing baru kerana seekor lagi kucing dikesan cuba hidup di kalangan capybara di kandang rasmi mereka.
Kucing baharu, yang digelar ‘Tompok’ dengan bulu hitam, coklat dan putih itu dilihat sedang bertentang mata dengan si Oyen.
Nampaknya cubaan dia untuk merampas kuasa di kawasan jajahan Oyen mungkin tidak semudah yang disangka.
Dikongsi oleh pengguna @masyitaahmadshaza di TikTok, video berdurasi 24 saat menunjukkan bagaimana Tompok cuba menyusup masuk ke dalam kandang capybara manakala Oyen melihat pesaing baharunya dengan renungan tajam.
Sementara itu, kelihatan pemandangan damai di latar belakang yang menyaksikan capybara tidak peduli dengan apa yang berlaku lalu meneruskan kehidupan mereka seperti biasa adanya.
Dalam ruangan komen video berkenaan, rata-rata pengguna TikTok terhibur dengan telatah dua ekor kucing itu, malah ada yang tertanya-tanya sama ada kandang Zoo Negara adalah untuk capybara atau tempat perlindungan kucing?
Capybara juga pasti tertanya-tanya sama ada kandang itu rumah mereka atau untuk kucing kerana hari demi hari, semakin banyak kucing datang untuk tinggal di sana.
Nampaknya Zoo Negara kena tambah idea untuk sediakan kandang khas untuk kucinglah selepas ini, tempatkan pelbagai spesies kucing di situ. Comellah Zoo Negara!