24.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 20, 2025
Utama Blog Laman 72

Polis lepas 9 das tembakan untuk hentikan kenderaan penjenayah dalam insiden kejar-mengejar di Kepong

0

Pada pagi 7 Ogos, satu insiden kejar-mengejar berlaku di Kepong, Kuala Lumpur, apabila anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah Proton Wira untuk menghentikannya.

Kejadian berlaku selepas pemandu itu enggan berhenti untuk pemeriksaan.

Video kejadian yang dirakam dari sebuah bangunan tinggi berhampiran Laman Rimbunan, Jalan Kepong, telah tular di media sosial.

Twitter

Ramai netizen tertanya-tanya mengapa anggota polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengapa pemandunya terpaksa melarikan diri.

Berikut adalah lima perkara yang perlu anda ketahui:

1. Dua suspek berada dalam Proton Wira

Menurut New Straits Times, dua suspek berada di dalam kenderaan itu semasa kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian kejar-mengejar kereta itu bermula berhampiran pintasan Segambut di Taman Pusat Kepong pada 7.45 pagi 7 Ogos.

Anggota polis dari unit rondaan motosikal ibu pejabat polis daerah Sentul mengarahkan lelaki tempatan dalam kenderaan terbabit berhenti di pintasan, tetapi mereka memecut selepas dihampiri.

“Kedua-dua mereka tidak memberhentikan kenderaan sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong, apabila kereta itu merempuh salah seorang anggota polis ketika sedang mengundur dalam usaha untuk melarikan diri,” kata Mohd Shuhaily.

Twitter

2. Dua anggota polis melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kenderaan untuk mempertahankan diri dan keselamatan awam

Ketika mereka terperangkap dalam lalu lintas di Laman Rimbunan, dua anggota polis telah  turun dari motosikal mereka untuk menghalang suspek daripada melarikan diri, kata Mohd Shuhaily.

“Bagi memastikan keselamatan mereka, dua anggota polis itu terpaksa melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kereta menyebabkan kenderaan itu terbabas di Jalan Rimbunan, Jalan Kepong,” lapor Bernama yang memetik kenyataan Mohd Shuhaily.

Harian Metro melaporkan, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan juga demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

3. Seorang pegawai polis mengalami kecederaan di kaki

Menurut The Star, seorang daripada anggota polis itu cedera ringan apabila suspek mengundurkan kenderaannya dan melanggar motosikal anggota itu.

Akibatnya motosikal mengalami kerosakan dan suspek turut merosakkan beberapa kenderaan lain di lokasi kejadian.

Twitter

4. Selepas terperangkap dalam kesesakan, suspek melarikan diri dengan kedua-dua keluar meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke sebuah kawasan perumahan.

Mereka tidak berjaya ditangkap selepas 10 minit adegan kejar-mengejar yang mendebarkan.

“Pemeriksaan kenderaan itu menemui besi buruk yang mungkin dicuri. Kami tidak dapat mengenal pasti tujuan barangan ini pada masa ini,” dedah Mohd Shuhaily.

Bagi kenderaan itu sendiri, ia dimiliki oleh seorang wanita yang meminjamkannya kepada seorang lelaki lain. Bagaimanapun, Mohd Shuhaily berkata tidak dapat dipastikan sama ada mereka mempunyai sebarang kaitan dan penglibatan dengan suspek.

5. Polis sedang mengesan Ganesan Olakanathan untuk membantu siasatan

Gambar Harian Metro

Ekoran kejadian, polis sedang mencari seorang lelaki tempatan iaitu Ganesan Olakanathan, berusia 40 tahun bagi membantu siasatan. 

“Buat masa ini dia boleh bantu siasatan, dia bukan suspek kerana laporan forensik kami masih belum dapat,” kata Mohd Shuhaily.

“Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (bagi cubaan membunuh) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (kerana menggunakan kekerasan jenayah ke atas penjawat awam),” katanya.

Wanita maut selepas minum terlalu banyak air dalam masa 20 minit

0

Hanya kerana minum 1.8 liter air dalam tempoh 20 minit, seorang wanita dari Indiana, Amerika Syarikat telah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia.

Ibu kepada dua orang anak bernama Ashley Summers, 35 tahun sedang menikmati percutian hujung minggu di Tasik Freeman apabila memberitahu orang di sekelilingnya bahawa dia mengalami “dehidrasi, sakit kepala yang teruk, dan berasa haus seperti tidak minum air yang mencukupi”. 

Selepas meminum empat botol air dalam masa yang singkat, Ashley pulang ke rumah dan pengsan di garajnya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Menurut laporan Agensi, Ashley dikejarkan ke Hospital Universiti Kesihatan Arnett. Bagaimanapun, wanita itu tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia akibat ketoksikan air (hyponatremia).

“Ashley mengalami bengkak otak, mereka tidak tahu apa puncanya dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk menurunkannya dan ia kelihatan tidak baik. Dia tidak sedarkan diri sehingga kematiannya,” kata abang Ashley, Devon Miller. 

Gambar Agensi

Devon memberitahu kematiannya mengejutkan keluarga. “Apabila mereka bercakap mengenai ketoksikan air, ia bagai tidak percaya adakah pernah terjadi perkara sebegini?” katanya.

“Seseorang berkata dia minum empat botol air dalam masa 20 minit. Maksud saya, purata air botol adalah seperti 16 auns (setengah liter), jadi itu adalah 64 auns (1.8 liter) yang dia minum dalam tempoh 20 minit. Itu setengah gelen. Itulah yang anda sepatutnya minum dalam satu hari,” tambahnya, lapor The Independent.

Gambar Hiasan / Pixabay

Sementara itu, pakar toksikologi A.S Dr. Blake Froberg memaklumkan punca kematian yang jarang berlaku ini lebih berkemungkinan terjadi ketika musim panas atau jika seseorang bekerja di luar atau kerap bersenam.

“Ada perkara tertentu yang boleh membuat seseorang lebih berisiko untuknya, tetapi perkara keseluruhan yang berlaku adalah badan mempunyai terlalu banyak air dan natrium tidak mencukupi di dalam badan anda,” jelasnya.

Bagaimanapun, ini bukan kes kematian pertama akibat ketoksikan air. Ketoksikan air boleh menyebabkan sawan, kerosakan otak, koma, dan kematian, dalam kes yang serius seperti kes Ashley.

Bagaimana sentuhan lembut membuat kesunyian reda, tekanan darah menurun dan keradangan berkurangan

0

Sentuhan itu bukan sekadar bahasa cinta dan kasih sayang, malahan lebih jauh.

Penyelidikan terbaru yang diterbitkan baru-baru ini mendapati sentuhan fizikal adalah asas kesihatan optimum untuk tubuh badan dan minda. Ia mencetuskan tindak balas biokimia yang mengurangkan tekanan, meningkatkan imuniti, dan menggalakkan ikatan.

Bagaimana ia membantu tubuh badan

Sentuhan fizikal yang sederhana seperti pelukan, tepukan di belakang atau pegangan tangan mempunyai kesan anti-radang, menurut kajian terbaru dalam The Journals of Gerontology: Series B. Kajian mendapati sentuhan fizikal tersebut dikaitkan dengan penurunan tekanan darah dan kadar denyutan jantung. 

Dalam kajian lain, Tellington Touch menyatakan kaedah sentuhan lembut yang pada mulanya dibangunkan untuk menenangkan kuda, telah digunakan ke atas pesakit yang akan menjalani pengambilan darah. Menggunakan kaedah ini untuk mengurangkan tekanan darah dan denyutan jantung pesakit, ia telah menunjukkan bahawa sentuhan secara fizikal terbukti menenangkan tubuh badan.

“Sentuhan dengan tekanan sederhana merangsang reseptor tekanan di bawah kulit yang seterusnya memperlahankan sistem saraf dan pengeluaran hormon tekanan seperti kortisol, dan meningkatkan pembebasan serotonin, neurotransmitter di otak yang boleh mengawal rasa sakit,” jelas Tiffany Field, pemegang ijazah kedoktoran psikologi yang juga pengarah Touch Research Institute, University of Miami School of Medicine kepada The Epoch Times. 

Penurunan hormon tekanan memberi manifestasi dalam pelbagai cara untuk memajukan kesihatan, tambahnya.

Tekanan harian seperti menatap skrin, makanan yang diproses, pendedahan kepada medan elektromagnet, dan toksin meningkatkan tahap kortisol. Sentuhan ternyata mampu mengatasi beban moden ini secara langsung, menurut Field.

Gambar Hiasan / Pixabay

Bagaimana ia membantu minda

Sentuhan fizikal mempunyai manfaat kesihatan mental yang terkenal, menurut Dr. Gayle Myers, ahli internis yang pakar dalam perubatan integratif. “Sentuhan sangat menenangkan dan menyembuhkan,” katanya kepada The Epoch Times.

Sentuhan fizikal juga dikaitkan dengan tahap ‘oxytocin’ yang lebih tinggi. Oxytocin, sering dikenali sebagai “hormon cinta,” adalah neurotransmitter penting di mana fungsi utamanya adalah untuk menggalakkan ikatan sosial dan hubungan emosi.

Penyelidikan terkini telah menyokong fungsi ini. Satu kajian yang diterbitkan dalam Adaptive Human Behaviour and Physiology mendapati individu berasa kurang kesepian dan kebimbangan selepas mengalami sentuhan fizikal. “Ini adalah jalan penyelidikan yang memberangsangkan dari segi strategi untuk mengurangkan kesepian dan kesan negatifnya terhadap kesejahteraan psikologi dan fisiologi,” kata penulis.

Kajian lain melihat kekurangan sentuhan semasa pandemik COVID-19. Kekurangan sentuhan dikaitkan dengan lebih banyak kebimbangan dan kesunyian. Individu yang paling mendambakan sentuhan juga paling terjejas. Ini mendedahkan peranan penting yang dimainkan oleh sentuhan dalam menguruskan rasa kesusahan dan kesedihan.

Penemuan itu selari dengan apa yang Dr. Myers lihat dalam amalan klinikalnya. “Sentuhan penuh belas kasihan meyakinkan bahawa semuanya akan baik-baik belaka dan membantu mempromosikan pandangan masa depan yang lebih cerah,” katanya. Apabila dilucutkan sentuhan, kesihatan mental terjejas, buat kedua-dua pemberi dan penerima.

Gambar Hiasan / Pixabay

Bagaimana ia membentuk perkembangan kanak-kanak

Sentuhan kulit ke kulit yang lembut diketahui memberi manfaat kepada bayi baru lahir. Tetapi kajian menunjukkan sentuhan ibu bapa adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak selepas bayi.

Satu kajian pada 2020 mendapati kanak-kanak yang kurang sentuhan kasih sayang daripada ibu mereka lebih terdedah kepada kecacatan perkembangan saraf. Ini berdasarkan penyelidikan awal yang menunjukkan sentuhan ibu bapa berhubung kait dengan pengurusan tekanan yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak.

Dr. Myers, yang juga seorang pakar pediatrik, berkata beliau telah melihat kesan kebaikan sentuhan lembut dan kasih sayang dalam amalannya. “Saya telah merawat bayi dengan osteopati dalam bidang saraf kranial buat mereka yang tidak boleh menyusu dan gagal untuk berkembang maju,” katanya. Melalui sentuhan osteopatik yang lembut, bayi-bayi itu telah pulih. “Salah satu kegembiraan terbesar saya dalam bidang perubatan ialah melihat kanak-kanak itu menerima belaian, ikatan dengan ibu bapa mereka, berkembang, dan membesar menjadi anak yang sihat,” tambahnya.

Sentuhan mestilah dengan belas kasihan dan lembut

Faedah sentuhan fizikal adalah dengan jalan dua hala, ketika pemberi dan penerima dapat merasai perhubungan dan komuniti melalui pembebasan oxytocin, endorfin, dan dopamin serta peningkatan imuniti, menurut Dr. Myers.

Sentuhan itu, katanya, mestilah dengan kasih sayang, kebaikan hati, belas kasihan, dan kelembutan untuk manfaat kesihatan. “Jika sentuhan itu kasar, tidak peduli dan mekanikal, ia boleh menyebabkan tekanan dan tahap kebimbangan yang lebih tinggi,” kata Dr. Myers.

Anjing cerdik terima bagi pihak dan simpan elok-elok parcel tuannya yang tiada di rumah

0

Pasti ramai yang mempunyai haiwan peliharaan kucing dan anjing, dan memelihara haiwan itu bukan sekadar sebab dia comel.

Ada fungsi lain macam anjing yang bijak pandai ini, boleh diharap bila tuannya tiada di rumah.

Twitter

Perkara biasa apabila setiap hari akan ada parcel yang dihantar di depan rumah bila kita membeli barangan dalam talian.

Namun, jika pelanggan tiada di rumah pekerja penghantaran pasti akan hubungi terlebih dahulu ataupun meletakkan barang itu di dalam kawasan rumah jika dia sudah biasa kenal pelanggan dan pasti alamatnya.

Seorang pekerja penghantaran terkejut baru-baru ini apabila melihat kecerdikan anjing peliharaan pelanggannya yang menyimpan parcel dengan baik bagi pihak tuannya.

Twitter

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik, kelihatan pekerja penghantaran memberitahu melalui pesanan WhatsApp pada pelanggannya untuk menghantar barang yang dipesan.

Namun, difahamkan pelanggan itu tiada di rumah ketika barang dihantar. Dia kemudian meminta pekerja penghantaran tersebut untuk memberikan saja kepada anjingnya.

Walaupun pada permulaan pekerja tersebut seperti risau, tetapi pelanggan tersebut memberitahu anjingnya itu sudah dilatih untuk menyimpan parcel yang diterima.

Twitter

Situasi itu membuatkan pekerja tersebut terkejut melihat kebijaksanaan haiwan tersebut yang terus menggonggong dan menyimpan parcel itu elok-elok ke dalam sangkar.

Banyak fungsi rupanya membela anjing ni, tak perlu risaulah sebab dia jaga parcel tu dengan baik untuk tuannya.

Chef Wan dedah hidap kanser limfoma, berjanji akan kekal positif demi melawan penyakit

0

Chef selebriti ikonik Malaysia Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, mendedahkan beliau disahkan menghidap kanser limfoma.

Berkongsi berita itu dalam hantaran Instagram pada 3 Ogos, Chef Wan berkata beliau telah menjalani dua pusingan ujian elektrokardiogram (ECG) untuk mengesahkan keadaannya.

Limfoma ialah kanser sistem limfa, sekumpulan organ, saluran dan tisu yang melawan jangkitan dan mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan.

serinaredzuawan/Instagram

“Doktor memberitahu mengenai biopsi nodus limfa saya pada jam 3 petang semalam. Mereka terpaksa menjalankan dua kali ujian untuk mengesahkan keputusannya. Memang saya menghidap kanser limfoma.

“Saya kemudiannya dirujuk untuk berjumpa pakar onkologi dengan segera, yang menjelaskan semua langkah perlu yang perlu saya lalui untuk melawan ini,” tulisnya dalam hantaran itu.

Chef Wan yang berusia 65 tahun memilih untuk berkongsi dengan pengikut, pelbagai prosedur yang akan dilaluinya dalam beberapa hari mendatang untuk menentukan tahap kansernya.

Berdasarkan saiz sel kanser, doktor berkata kansernya mungkin di peringkat awal, sementara menunggu imbasan tomografi pelepasan positron (PET) untuk mengesahkannya.

_chefwan58/instagram

“Pada peringkat ini, peluang untuk sembuh biasanya 70% hingga 80%.

“Seterusnya pada pagi Isnin (7 Ogos), saya menjalani ujian sumsum tulang, kerana kanser Limfoma juga dikaitkan dengan sumsum tulang kita.

“Doktor juga akan memasukkan port kemo saya dan memulakan kemoterapi serta-merta selama 13 kitaran, bermakna 13 minggu,” tulisnya.

Sambil berkata beliau akan mula kehilangan rambutnya sebaik sahaja rawatan bermula.

Bagaimanapun, Chef Wan berkata beliau tidak sabar untuk memulakan rawatan kerana sudah dapat membayangkan “dirinya dalam rambut palsu berbeza yang hebat selepas rawatan itu”.

Chef Wan berkata beliau tidak sabar untuk menggegarkan gaya rambut Elvis Presley, M Daud Kilau, Samy Vellu, Liberace, dan ramai lagi.

“Saya akan alami adegan muntah terkenal Linda Blair dalam filem Exorcist dan juga cirit-birit yang tidak berkesudahan.

“Saya akan kelihatan buruk (sebelum) kelihatan lebih baik selepas itu,” tulisnya dalam hantaran jujur.

De.Wan 1958 by Chef Wan / Facebook

Chef Wan berkata beliau telah menerima takdirnya dengan hati yang terbuka dan akan terus kuat demi keluarga tercinta.

“Anak dan menantu saya terus menangis selepas mendapat tahu saya menghidap kanser. Tetapi beginilah hidup. Kita perlu jalani setiap cabaran satu demi satu dengan hati yang terbuka.

“Saya perlu kuat dan sihat, kerana saya juga perlu menjaga ramai orang.

“Insyallah, Allah akan menjaga saya,” kata cef selebriti yang memiliki sembilan restoran di seluruh negara itu.

Chef Wan turut memberitahu pengikut dan rakan-rakan supaya tidak bimbang dengan keadaannya.

“Kepada semua, jangan risau. Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat,” akhirinya dalam hantaran itu.

Nenek beri air masak untuk cucu baru lahir sampai bibir naik biru sebab ibunya kurang susu badan

0

Setiap ibu mahu melihat bayinya yang baru lahir berada dalam keadaan sihat sejahtera tanpa banyak ragam.

Namun, adakala ibu baru melahirkan berasa sedih apabila mengetahui dirinya tidak mampu untuk memberikan susu badan yang secukupnya kepada bayi. 

Biasanya sebagai alternatif dengan saranan doktor, susu formula bayi yang sesuai akan diberikan dengan sukatan dan cara yang betul.

TikTok

Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok yang memaparkan seorang bayi terseksa kerana diberi air masak oleh neneknya telah mencuri tumpuan para netizen di Indonesia.

Bayi ini baru beberapa hari lahir, tetapi neneknya sudah memberi minum air masak sampai bibir anak kecil itu menjadi biru.

Menerusi video berkenaan, kelihatan bayi itu agak terseksa dan menangis tanpa henti. Bibirnya juga kelihatan biru. 

Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila dia diberi minum air masak oleh neneknya kerana ibunya kurang susu badan.

Perkara itu membuatkan bayi itu sesak nafas dan terpaksa dimasukkan ke wad ICU selama 16 hari. 

Doktor mengatakan air yang diminum telah memasuki ke bahagian paru-paru.

TikTok

Ingat bayi tidak boleh sewenang-wenangnya diberi minum air masak. Mungkin boleh tetapi dalam kuantiti yang sangat kecil sekadar untuk membasahkan bibirnya.

Sebaiknya ibu bapa menjaga sendiri anak mereka dengan baik dan memberikan bayi ini dengan susu formula yang disyorkan oleh doktor, sekiranya ibu didapati kekurangan susu badan.

Semoga bayi itu cepat sembuh.

Pemilik ubah guna kulit durian jadi sikat kucing dan haiwan peliharaan itu suka

0

Jangan buang kulit durian yang berduri itu setelah anda selesai makan durian kerana ia mungkin berguna jika anda pemilik kucing.

Beberapa video yang tular baru-baru ini menunjukkan pemilik kucing memberus bulu anak kucing mereka dengan kulit durian.

Bukan sahaja ia dapat menghilangkan bulu yang luruh, tetapi kucing-kucing ini seolah-olah menikmati urutan badan setiap saat.

Mathilda Z/Instagram

Dalam video yang dikongsi oleh Mathilda Z di laman Instagram @meowed, seekor kucing dilihat berguling gembira ketika bulunya disikat dengan kulit durian.

Pemilik mendedahkan banyak bulu yang terlerai dari kucing itu sambil menggunakan kulit durian itu untuk menyikatnya.

Mathilda Z/Instagram

Satu lagi rakaman video menunjukkan seekor kucing dalam keadaan gembira apabila pemiliknya mengurut pipinya dengan dua kulit durian.

China Daily Hong Kong / Facebook

Kucing ini sangat suka bila dia disikat dan diurut pada masa yang sama.

Video itu, yang dikongsi oleh China Daily Hong Kong di Facebook tahun lalu, telah ditonton lebih 3.4 juta kali.

China Daily Hong Kong / Facebook

Sementara itu, pengguna TikTok @petsmeowwoof, berkongsi video haiwan peliharaan dan detik-detik comel mereka, yang turut menyiarkan video seorang pemilik yang membelai kucing mereka dengan kulit durian.

@petsmeowwoof / TikTok

Walaupun kucing mengambil masa beberapa saat untuk mengetahui apa yang berlaku, kucing itu tidak lama kemudian memalingkan mukanya ke arah pemilik untuk terus meminta dirinya disikat.

@petsmeowwoof / TikTok

Jika anda mempunyai kucing yang lebih suka merapikan diri sendirian, berus berbentuk durian ini mungkin alternatif yang baik jika anda dan kucing tidak sukakan bau durian.

Ia boleh dilekatkan pada sisi almari atau dinding pada ketinggian yang selesa untuk dicapai oleh kucing anda, dan membolehkan dia merapikan diri pada bila-bila masa.

Gambar Shopee

Sikat durian ini ada dijual di Shopee. Tak mahal bawah RM12 je..

Jangan berhenti kenderaan melebihi garisan putih, pengguna jalan raya boleh didenda atau penjara

0

Pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak memberhentikan kenderaan melebihi garisan putih kerana mereka yang melanggar peraturan boleh didenda dan penjara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, Op Garisan Putih antara yang telah dilaksanakan menerusi Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas di seluruh negara.

Menurutnya, salah satu daripada operasi yang dijalankan ialah Kaedah 38 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN166/1959) iaitu tidak boleh memberhentikan kenderaan di lintasan.

@JSPTPDRM/Facebook

“Ia menyatakan bahawa pemandu kenderaan tidak boleh menyebabkan kenderaan atau mana-mana bahagian kenderaannya berhenti di dalam kawasan lintasan melainkan sama ada dia dilarang daripada bergerak oleh keadaan yang diluar kawalannya atau jika perlu baginya untuk berhenti bagi mengelakkan kemalangan.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya.

Mohd Nasri berkata, pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak berhenti melebihi garisan putih kerana perbuatan ini adalah salah satu punca berlakunya kesesakan jalan raya selain mengundang kemalangan dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

@JSPTPDRM/Facebook

“Pastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi,” ujarnya.

Pada 28 Julai, JSPT Bukit Aman memaklumkan pelaksanaan enam operasi khas bagi mendidik dan pertingkat kesedaran kepada pengguna jalan raya, meliputi Op Lampu Isyarat Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Halangan Lalu Lintas, Op Garisan Putih, Op Parkir Haram dan kempen Op Didik.

Pempengaruh vegan meninggal dunia selepas bertahan dengan diet makan buah eksotik Malaysia

0

Pempengaruh Vegan, Zhanna Samsonova atau Zhanna D’Art dilaporkan meninggal dunia disyaki akibat kebuluran kerana mengamalkan diet vegan dengan hanya memakan buah eksotik di Malaysia.

Menurut New York Post, warga Rusia berusia 39 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 21 Julai lalu selepas mendapatkan rawatan perubatan semasa lawatan di Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, punca kematian rasmi Zhanna masih belum diketahui.

Gambar New York Post

Difahamkan melalui rakannya, sebelum kejadian Zhanna kelihatan tidak bermaya dan sangat letih.

“Beberapa bulan lalu, di Sri Lanka, dia sudah kelihatan letih dengan kaki bengkak.

“Mereka menghantarnya pulang untuk mendapatkan rawatan namun dia melarikan diri. Apabila saya melihatnya di Phuket, saya berasa takut,” kata rakan itu yang tidak mahu dikenali.

Jelas sumber itu lagi, mereka berulang kali mengingatkan Zhanna untuk mendapatkan rawatan, tetapi ia sudah terlambat.

Gambar New York Post

“Saya tinggal satu tingkat di atas rumahnya dan setiap hari saya takut melihat badannya yang tidak bermaya pada waktu pagi.

“Saya juga telah meyakinkannya untuk mendapatkan rawatan tetapi dia sudah terlambat untuk mendapatkannya,” katanya.

Sementara itu, seorang rakannya mendakwa sejak tujuh tahun lalu, pempengaruh itu hanya makan buah eksotik Malaysia iaitu nangka dan durian, serta beberapa buah lain.

“Saya melihat badan dan fikiran berubah setiap hari. Saya suka diri saya yang baru dan tidak pernah beralih kepada tabiat dahulu,” kata Zhanna sambil menerangkan rejimen pemakanannya yang ketat.

Gambar New York Post

Pempengaruh itu berkata rejimen makanan mentahnya diilhamkan selepas melihat rakan yang kelihatan jauh lebih tua daripada usia mereka, disebabkan diet makanan ringan yang diamalkan mereka.

Zhanna yang aktif menggunakan media sosial, menyebarkan kepada pengikutnya tentang amalan diet mentahnya.

“Saya makan makanan yang mudah, walaupun saya mempunyai banyak pengalaman sebagai tukang masak makanan mentah.

“Saya suka mencipta resipi saya sendiri dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk makan dengan lebih sihat,” katanya.

Gambar New York Post

Diet makanan mentah boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan termasuk penurunan berat badan, kesihatan jantung yang lebih baik dan risiko diabetes yang lebih rendah.

Namun begitu menurut Healthline, terdapat kelemahan pada rejimen tersebut terutamanya apabila diet tidak dirancang dengan baik.

Ini termasuk kekurangan kalsium dan Vitamin D, yang diperlukan untuk tulang yang kuat.

Sekiranya diamalkan tanpa rancangan, ia boleh membawa kepada tahap B12 yang tidak optimum, di mana boleh menyebabkan anemia, kerosakan sistem saraf, ketidaksuburan dan seterusnya penyakit jantung.

Peguam imbas kisah menyentuh hati ibu curi kotak pensel untuk hadiah anak dapat No.1, pengakhiran ikatan tidak dijangka

0

Seorang peguam jenayah yang dikenali sebagai Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkongsi sebuah kisah menyentuh hati menerusi video tular yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini.

Menerusi video berkenaan, Ahmad Zaharil mendedahkan, beliau pernah berdepan dengan satu momen manis ketika usianya sekitar 30-an, yang pada akhirnya menyebabkan dirinya mengalirkan air mata.

@amzaharil/TikTok

“Sekitar tahun 1998, saya bertemu dengan seorang wanita berbangsa India bergari diiringi polis dalam mahkamah. Saya tanya dia, apa masalahnya? Dia menjawab yang dia mencuri satu kotak pensel untuk dijadikan hadiah kepada anaknya yang dapat nombor satu. Katanya, harga kotak pensel itu sekitar RM18.

“Jadi, saya beritahu majistret mohon mahu pergi berjumpa dengan guru besar anak wanita itu. Sesampai di sekolah, guru besar telah membuktikan yang anak wanita itu tadi benar-benar dapat nombor satu,” katanya.

Menurut Ahmad Zaharil, guru besar berkenaan bersetuju untuk memberi keterangan kepada mahkamah mengenai isu tersebut.

“Selepas mendengar, majistret memberi hukuman berkelakuan baik terhadap wanita itu. Sebelum beredar, saya beri sedikit duit kepada wanita itu. Saya pun sudah lupa berapa yang saya beri.

“Tapi beberapa individu lain turut menyumbang dan saya rasa adalah dalam RM200 untuk dia berbelanja,” katanya.

Masa berlalu, Ahmad Zahiril tidak menyangka yang beliau akhirnya ‘kembali’ ke kisah lampaunya membantu ibu yang ditangkap kerana mencuri kotak pensel itu.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

“Suatu hari, saya duduk di kantin… ada seorang peguam ni asyik perhatikan saya. Keesokan harinya pun dia sekali lagi asyik tengok saya sambil tersenyum. Pada hari ketiga, dia datang berjumpa saya.

“Dia tanya saya ni Encik Ahmad ke? Saya jawab ya. Kemudian dia kata emaknya kirim salam. Katanya, mungkin saya tidak ingat… tapi dia adalah kanak-kanak yang mahukan kotak pensel suatu ketika dahulu. Dan kanak-kanak itu sudah menjadi peguam sekarang.

Sebaik sahaja mengetahuinya, Ahmad Zaharil dan peguam muda itu berpelukan.

“Berjurai air mata saya. Saya tak tahu apa yang patut saya lakukan… Itu menjadi kenangan yang saya takkan lupakan sampai saya mati,” katanya dalam video itu.

“Saya hampir pengsan apabila dia memberitahu dirinya siapa. Ia sangat menyentuh hati dan salah satu detik paling gembira dalam hidup saya. Kami terus berhubungan dan melawat ibunya, yang kini berusia 76 tahun.

Gambar The Star

“Sejak itu, kami menjadi rapat. Dia seperti anak saya. Kami akan melawat satu sama lain semasa Deepavali dan Hari Raya,” kata Ahmad Zaharil mengulas lanjut mengenai video itu kepada The Star.

Semasa menceritakan pertemuan dengan ibu peguam muda itu pada 1998, Ahmad Zaharil berkata, “Saya membantu kerana dia adalah rakyat Malaysia.”

“Di Malaysia, walaupun latar belakang kita berbeza, perbezaan itu adalah kecil, tetapi kita mempunyai banyak persamaan. Kita boleh hidup dalam suasana harmoni sebagai satu keluarga besar,” kata Ahmad Zaharil yang sudah 31 tahun berkhidmat sebagai peguam.