Pengunjung yang melawat Zoo Negara mencapai kapasiti maksimum 2,500 sehari dalam masa dua hari pertama sejak dibuka semula pada 5 Mac 2021.
Kapasiti maksimum 2,500 pengunjung Zoo Negara dalam sehari dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang.
Pengarah zoologi dan veterinari Zoo Negara, Dr Naim Ramli berkata, jumlah pengunjung telah direkodkan sejak zoo popular itu dibuka semula kepada orang awam sejak Jumaat, 5 Mac.
“Jumlah itu mencapai tahap maksimum yang ditetapkan oleh MKN, bukan hanya pada hari Jumaat tetapi juga pada keesokan harinya,” kata Dr Naim.
Tambah Dr Naim, sambutan luar biasa adalah ekoran diskaun 20 peratus yang ditawarkan oleh Zoo Negara kepada pengunjung.
“Sebelum ini, kami mengenakan bayaran masuk kepada pengunjung dewasa sebanyak RM45 dan RM18 untuk kanak-kanak. Tetapi baru-baru ini, kami memutuskan untuk memberi diskaun sebanyak 20 peratus pada hari Jumaat ketika pembukaan semula,” katanya.
Beliau berharap para pengunjung terutama kalangan ibu bapa terus mengunjungi Zoo Negara dengan membawa keluarga masing-masing selepas ia kini dibuka setiap hari.
Difahamkan, Zoo Negara menerima sumbangan lebih RM11 juta dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, badan sukarelawan dan beberapa individu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan untuk haiwan serta tanggungan kos operasi, yang dijangka bertahan sehingga April 2021.
Untuk menarik lebih ramai pengunjung, Zoo Negara kini turut membenarkan dengan had 70 hingga 90 pemancing sehari untuk mencuba nasib memancing di Tasik Tunku Abdul Rahman dengan syarat ditetapkan, yang bermula dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang setiap hari, dengan bayaran masuk RM35 seorang.
Baru-baru ini, seorang jurujual berketurunan India berusia 30 tahun dari Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Ng telah menjadi popular di jalanan selepas satu rakaman video menunjukkan kemahirannya menarik pelanggan dalam mempromosikan produknya.
Dilaporkan lelaki ini berjaya mempromosikan produk mop lantai dan menjualnya dengan laris dalam bahasa Mandarin dan dialek Hokkien yang fasih.
Ng secara semula jadi bertutur dalam bahasa Mandarin dengan begitu baik sehingga berjaya menarik ramai orang awam menjadi penonton dan kemudian bertukar pelanggan apabila sebanyak 388 mop telah berjaya dijual dalam masa 3 jam!
Menurut China Press, rakaman video itu telah dimuat naik oleh seorang netizen di Facebook. Dalam rakaman video Facebook Live tersebut, seorang jurujual India memperkenalkan produknya dengan menggunakan dialek Hokkien dan bahasa Mandarin yang sangat fasih.
Bahasa Cina dalam dialek Hokkien bukan sahaja lucu bahkan amat meyakinkan. Kata-kata yang digunakan bersama aksinya menunjukkan demonstrasi menggunakan mop itu untuk menarik bakal pembeli juga berjaya meraih perhatian.
“Ibu kita suka pergi ke pasar untuk membeli mop tradisional seperti ini. Ia akan tetap kekal selama 50 tahun lagi. 50 tahun lalu, orang India tidak boleh berbahasa Cina, tetapi kini orang India boleh berbahasa Cina. Dunia telah berubah, dan sudah tiba masanya untuk menerima perubahan. Tiba masa menukar mop anda juga!” posting dalam video tersebut yang telah dikongsi oleh lebih 1,600 netizen.
Ramai netizen tiba-tiba mempunyai keinginan untuk membeli, bahkan memuji kepetahannya berbahasa Mandarin semasa video siaran langsung itu dibuat. Pasti lebih ramai peminatnya selepas ini.
Dilaporkan jurujual India itu segera menjadi popular setelah video itu menjadi tular, malahan turut mendapat perhatian media. Ng berkata dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya yang berkahwin campur India dan Cina, sehingga mampu mahir bertutur dalam dialek Teochew dan Fujian. Dia juga tinggal bersama kakaknya dan abang ipar yang pernah bekerja di China bermula usia 13 tahun, yang turut mahir berbahasa Kantonis dan Mandarin.
Sebelum kembali ke Singapura, Ng bekerja sebagai penjual mesin jahit di Thailand dan Vietnam selama dua tahun, dan mempelajari bahasa tempatan. Ng akhirnya berjaya menguasai dialek Hakka, Kantonis, Inggeris, Thai, Hindi, Vietnam, Teochew, Hokkien, Fuzhou dan Melayu serta beberapa dialek Cina lain sehingga 16 bahasa kesemuanya, yang semestinya telah dipuji oleh netizen sebagai genius bahasa.
Ng berkata dia tidak rasa menjadi popular selepas video itu tiba-tiba tular, cukup sekadar menjadi orang biasa yang menumpukan perhatian kepada jualan. Ng berharap setelah pandemik berakhir, dia akan dapat pergi ke Taiwan atau Jepun untuk mempelajari lebih banyak bahasa.
Ramai netizen yang terkejut dengan standard bahasa Mandarin dan Hokkien lelaki India itu setelah melihat rakaman video berkenaan. Mereka memberi komen:
“Bahasa Mandarinnya lebih baik daripada saya.”
“Oh Tuhan, Hokkien dia sangat baik, kalah saya.”
Sambil ada netizen yang mengaku mereka berbangsa Cina tetapi tidak fasih menggunakan dialek sendiri dengan menulis, “Maafkan saya, dialek Hokkien saya yang sebenarnya tidak ada.”
Ada pula netizen yang menulis tiba-tiba jadi teringin dan tertarik untuk membeli mop itu setelah mendengar Ng berbahasa dan melihatnya.
“Dekat mana ni? Mop itu macam bagus. Bagaimana saya boleh membelinya?”
“Dia pasti menghasilkan banyak wang kalau membuat lebih banyak video siaran langsung macam ini.”
Walaupun video berkenaan tidak mendedahkan lokasi di mana lelaki India itu menjual mop ini, menurut netizen yang meninggalkan pesanan di bahagian posting Facebook Live itu berkata, mereka sering mendengar lelaki India menjual mop dalam bahasa Mandarin di sepanjang jalan di Bedok.
Kejujuran merupakan sikap terpuji yang sangat dituntut oleh semua agama dan amat membanggakan jika ia dapat dididik semenjak kecil.
Itulah sikap yang ditonjolkan oleh seorang budak perempuan berusia 7 tahun baru-baru ini apabila dia terjumpa wang kertas RM1 di lantai sebuah pusat beli belah.
Wang kertas tersebut dijumpai di lantai Sunway Pyramid dan budak terbabit kemudian mengambilnya untuk diberikan ke kaunter pertanyaan.
Dia berharap agar wang tersebut dapat dipulangkan kembali ke pemilik asalnya. Staf pusat beli belah terbabit kemudian berkongsi perkara itu di Facebook kerana rasa bangga dengannya.
Today, Lion would like to share a heartwarming story… 🦁✋🏼
At 1.30pm, a 7-year-old girl came to our Concierge Counter to…
“Kejujuran dan integriti yang dimilikinya ternyata menyentuh hati warga Lion”.
Bagi menghargai kejujuran budak tersebut, pihak Sunway Pyramid kemudian memberi hadiah berupa buku dan set mewarna. Ia turut diberikan kepada abang budak tersebut.
“Terima kasih adik di atas kebaikan yang ditonjolkan pada usia yang masih lagi kecil!”, akhiri perkongsian di Facebook berkenaan.
Syabas kepada kanak-kanak tersebut dan juga ibu bapanya kerana berjaya menerapkan satu nilai yang amat berharga dalam diri anak mereka.
Pada waktu ini, rampasan kuasa oleh tentera yang berlaku di Myanmar sejak 1 Februari lalu telah mendapat perhatian seluruh dunia dan dalam masa yang sama membangkitkan kemarahan penduduk di negara itu yang tidak henti-henti melakukan tunjuk perasaan.
Salah seorang daripada penunjuk perasaan, Paing Takhon, yang merupakan seorang model dan pelakon tempatan bagaimanapun telah menarik perhatian ramai selepas berita pemburuannya oleh pasukan keselamatan tersebar di media sosial.
Paing Takhon sebelum ini pernah berkongsi gambarnya di media sosial yang menunjukkan dia sedang melakukan tunjuk perasaan dan kiriman tersebut telah menjadi tular.
Disebabkan oleh tindakannya yang berkongsi kiriman itu, dilaporkan dia kini sedang diburu oleh pasukan keselamatan dan berita mengenai pencariannya itu telah menggemparkan ramai penduduk di negara itu.
Pelakon itu kemudiannya telah bertindak untuk meminta pertolongan daripada pemimpin-pemimpin di dunia melalui sebuah kiriman di laman Facebooknya pada Khamis lalu, 5 Mac.
“Saya dengan tulus meminta kepada semua anggota PBB, tolong ambil tindakan. Tolong bertindak terhadap peristiwa tragis ini. Tolong minta kepada mereka untuk segera membebaskan orang-orang (yang ditahan),” tulis Paing Takhon dalam kirimannya.
Seorang lelaki berusia 25 tahun difahamkan terpaksa melakukan 3 jenis pekerjaan untuk membeli komputer riba terpakai untuk dihadiahkan kepada isterinya.
Menurut laporan, Shahrul Amri yang berkahwin dengan Nurul Akma tahun lalu, berniat mahu memberi kejutan buat isterinya yang bekerja sebagai guru tadika.
Kata Shahrul, dia hanya mahu memudahkan urusan kerja isterinya memandangkan komputer riba merupakan keperluan untuk isterinya menyediakan bahan dan soalan peperiksaan.
Bagi merealisasikan niatnya itu, dia bertindak menyimpan sebahagian pendapatan sebagai juruteknik bioperubatan, penghantar makanan dan berniaga dalam talian sejak Disember tahun lalu.
Shahrul kemudian membeli komputer riba terpakai dengan harga RM900, sesuai dengan bajetnya. Dia kemudian dengan sengaja meletakkan peranti itu di bawah bantal di atas katil mereka.
“Ketika sampai di rumah, saya memberitahunya ada kejutan istimewa dalam bilik sebelum dia menjumpai beg komputer riba itu di bawah bantal dan menangis apabila melihat apa yang ada”.
Shahrul masih berasa bangga kerana dapat membahagiakan isterinya walaupun dengan hanya menghadiahkan komputer riba terpakai.
Sekatan terhadap pergerakan ekoran COVID-19 sedikit sebanyak membantutkan aktiviti harian kita semua.
Namun nampaknya pemberi pinjaman wang haram atau ceti haram di Singapura telah menemui cara terbaru untuk menggertak peminjamnya.
Seorang pengguna Facebook, Afzai Nizan pada 6 Mac lalu berkongsi beberapa foto menunjukkan penghantar makanan Foodpanda berkumpul di luar unit sebuah flat HDB di Bedok.
“Pesanan ‘prank’ Foodpanda lagi?”, tulis Afzai yang merupakan individu yang turut tinggal di bangunan flat yang sama.
Afzai menambah bahawa kesemua penghantar Foodpanda itu menunggu di luar rumah. Pemilik rumah pula berada di dalamnya dan tidak tahu menahu langsung mengenai pesanan terbabit.
Difahamkan bahawa sejumlah 8-10 orang penghantar Foodpanda menunggu di luar rumah yang sama, sambil membawa bungkusan makanan.
Pihak Polis Singapura walau bagaimanapun telah mengesahkan bahawa kejadian itu adalah kes gangguan yang disengajakan.
Siasatan awal mendapati penduduk flat terbabit menerima banyak pesanan daripada Foodpanda yang dibuat oleh pemberi pinjaman wang haram.
“Mereka yang dengan sengaja menyebabkan gangguan terhadap keamanan dan kedamaian masyarakat akan ditangkap dan ditangani secara tegas sesuai dengan undang-undang”, jelas polis.
Ternyata ini bukanlah kali pertama ceti haram sebegini menggunakan khidmat penghantaran makanan untuk mengganggu peminjam.
Menurut laporan, insiden yang sama pernah berlaku bulan lalu. Begitu juga pada April tahun 2020, di mana peminjam telah menerima pesanan makanan bernilai SGD800 (RM2,400) yang dihantar ceti haram.
Sementara itu, pihak Foodpanda Singapura juga menyedari akan trend sebegini dan telah melaksanakan sistem senarai hitam menerusi algoritma yang dianggap sebagai penipuan.
Syarikat itu juga memberi peringatan agar tidak menggunakan khidmat mereka secara salah serta meminta agar pengguna bertimbang rasa terhadap penghantar mereka yang bekerja keras.
Pasti mereka yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur pernah terdengar nama ‘hon tenonet’ yang membingitkan telinga itu bukan?
Hon ‘berbunyi unik lain daripada yang lain’ yang sering digunakan oleh pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas di mana mereka akan membunyikan hon secara bernada dan berirama.
Yang sejak akhir-akhir ini telah menjadi trend semakin menjadi-jadi dalam kalangan pemandu bas dan lori, sekali gus telah mengganggu pengguna jalan raya yang lain, malahan penduduk sekitar berhampiran jalan raya dan lebuh raya juga.
Ekoran ia merupakan satu kesalahan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama di sekitar Selangor untuk menghentikan aktiviti tersebut.
Denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan akan dikenakan jika sabit kesalahan.
Menurut JPJ Negeri Selangor, penguatkuasaan terhadap kenderaan yang memasang ‘hon tenonet’ secara aksesori (retrofit) telah dikenakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu ‘memasang hon melebihi satu nada’.
Kesalahan yang boleh didenda hingga maksimum RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 6 bulan di bawah Seksyen 119(1) APJ 1987.
Selain itu, kenderaan yang memasang ‘hon tenonet’ ini juga telah diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).
Pemilik kenderaan perlu hadir untuk pemeriksaan di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan membuang semula hon tenonet yang dipasang dan Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.
Kompaun juga perlu dijelaskan atau kes dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
OPS HON MELEBIHI SATU NADA
SHAH ALAM, SELANGOR: JPJ Negeri Selangor telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hon…
Berikutan penularan produk racun mahkluk perosak baru-baru ini yang didakwa mampu membunuh banyak nyamuk dalam masa yang singkat, laman Public Health Malaysia melalui laman Facebooknya telah memberi peringatan kepada orang ramai untuk berhenti menggunakan produk berkenaan atas alasan kesan sampingan yang berupaya untuk memudaratkan kesihatan pengguna.
Menerusi kiriman yang dimuatnaik pada petang 8 Mac, produk ubat nyamuk itu didapati tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) Malaysia dan didakwa mungkin mengandungi bahan beracun yang berbahaya untuk kesihatan manusia khususnya kanak-kanak.
“Ubat nyamuk Zenden Micro-Smoke yang diimport dari China contohnya dikesan mengandungi bahan Class 1A carcinogen yang boleh menyebabkan penyakit barah.
Begitu juga dengan Tian Hong Mosquitos Coil, Lengen Mocro-Smoke 12 Hours, Jianbao Mosquito Coil yang masih dijual secara berleluasa di laman e-dagang Shopee.”
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak memperjudikan kesihatan diri dan keluarga masing-masing dengan menggunakan produk racun serangga yang berpotensi untuk memudaratkan kesihatan.
Manakala, berdasarkan Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974, mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tersebut akan didakwa dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam cadangan memperkenalkan kursus khas pasca perkahwinan buat pasangan suami isteri baru, dalam usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sebelum ini, hanya kursus pra-perkahwinan yang menjadi syarat bagi bakal pengantin lelaki dan perempuan beragama Islam yang ingin berkahwin, lapor Bernama.
Datuk Seri Rina Harun mencadangkan agar kursus pasca perkahwinan diadakan dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan secara lebih serius, terutama di dalam bimbingan kemahiran keibubapaan kepada pasangan yang telah berkahwin.
Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata, “Setelah berkahwin, tiada lagi kursus yang diperlukan. Dengan itu, kementerian memandang serius masalah pengukuhan institusi keluarga, di mana kursus pasca perkahwinan akan merangkumi kemahiran keibubapaan.”
Datuk Seri Rina Harun berkata kementeriannya kini sedang mempertimbangkan sama ada akan menjadikan kursus pasca perkahwinan sebagai wajib untuk semua kaum di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat @RinaMohdHarun berucap merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri hari ini.@KPWKMpic.twitter.com/Smb7NTDwqQ
Menteri KPWKM itu berkata demikian kepada wartawan mengenai cadangan kursus pasca-perkahwinanan buat pasangan suami isteri baru ini semasa upacara perasmian Program Pemerkasaan Wanita pada 6 Mac 2021 yang diadakan sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah.
Dalam acara yang sama, Datuk Seri Rina Harun juga memaklumkan bahawa kementeriannya kini sedang bekerjasama dengan sektor swasta dalam mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini, khusus buat wanita.