Pasti mereka yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur pernah terdengar nama ‘hon tenonet’ yang membingitkan telinga itu bukan?
Hon ‘berbunyi unik lain daripada yang lain’ yang sering digunakan oleh pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas di mana mereka akan membunyikan hon secara bernada dan berirama.
Yang sejak akhir-akhir ini telah menjadi trend semakin menjadi-jadi dalam kalangan pemandu bas dan lori, sekali gus telah mengganggu pengguna jalan raya yang lain, malahan penduduk sekitar berhampiran jalan raya dan lebuh raya juga.
Ekoran ia merupakan satu kesalahan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama di sekitar Selangor untuk menghentikan aktiviti tersebut.
Denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan akan dikenakan jika sabit kesalahan.
Menurut JPJ Negeri Selangor, penguatkuasaan terhadap kenderaan yang memasang ‘hon tenonet’ secara aksesori (retrofit) telah dikenakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu ‘memasang hon melebihi satu nada’.
Kesalahan yang boleh didenda hingga maksimum RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 6 bulan di bawah Seksyen 119(1) APJ 1987.
Selain itu, kenderaan yang memasang ‘hon tenonet’ ini juga telah diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).
Pemilik kenderaan perlu hadir untuk pemeriksaan di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan membuang semula hon tenonet yang dipasang dan Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.
Kompaun juga perlu dijelaskan atau kes dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
OPS HON MELEBIHI SATU NADA SHAH ALAM, SELANGOR: JPJ Negeri Selangor telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hon…
Posted by JPJ Negeri Selangor on Saturday, 6 March 2021