26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 13, 2025
Utama Blog Laman 375

Getah pelapik berlipat jadi punca kereta hilang kawalan, rempuh kereta lain dan gerai tepi jalan

0

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan dan mungkin punca itu langsung tidak dijangka oleh orang ramai.

Seperti kejadian kemalangan yang melibatkan dua buah kereta dan tiga gerai makanan yang terletak di Jalan Taman Mesra, Kajang baru-baru ini.

Difahamkan bahawa sebuah kereta jenis Proton Saga didapati hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta lain dan gerai makanan di tempat kejadian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat, kemalangan itu berpunca daripada getah pelapik di bawah pedal minyak yang berlipat.

Kemalangan pada jam 3 petang itu turut mengakibatkan seorang peniaga cedera ringan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan susulan.

“Kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 58 tahun yang mahu keluar dari kawasan parkir tiba-tiba hilang kawalan kerana masalah brek lalu panik dan langgar sisi kiri depan kereta Honda City yang diparkir serta tiga gerai”.

“Wanita berusia 39 tahun yang juga pemandu Honda City itu turut mengesahkan pelapik getah itu berlipat selepas membuat pemeriksaan dalam kereta Proton Saga berkenaan”.

Dua pemandu lain walau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. Namun seorang peniaga melecur di belakang badan kerana terkena minyak panas.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sentiasa beringat bahawa benda yang terdapat di dalam kereta mahupun barangan yang diletakkan di dalamnya berpotensi untuk menjadi punca kemalangan.

Elakkan meletakkan botol minuman di bawah tempat duduk kerana ketika bergerak, ia berkemungkinan bergolek ke hadapan.

Selain itu, jika anda mempunyai tabiat membuka kasut sebelum memandu, pastikan kasut tersebut diletakkan di tempat yang bersesuaian.

Kenal pasti benda yang berkemungkinan mengganggu proses pemanduan anda kerana ia akan mengurangkan risiko kemalangan.

Bertindaklah dengan bijak demi keselamatan bersama.

Bentuk menyerupai karakter anime, hasil lobak merah petani Jepun ini curi perhatian warga maya

0

Jika ke pasar raya, pasti kita akan pilih sayuran yang segar, sempurna dan elok bukan? Jarang pula kita lihat bentuk sayuran yang aneh.

Baru-baru ini, terdapat seorang petani dengan nama akaun @buromasa0423 di Twitter yang berkongsi hasil unik lobak merah yang ditanamnya.

Menariknya, bentuk lobak merah itu kelihatan saling tak tumpah seperti karakter dalam babak anime, Jojo’s Bizarre Adventure.

Ini yang asal..

Dan ini pula foto selepas

Ia menyerupai watak Jotaro sehinggakan netizen mula mencipta ‘meme’ menggunakannya.

Bukan itu sahaja ya! Terdapat satu lagi lobak merah yang menyerupai karakter Kakashi dalam siri anime Naruto, yang sedang menggunakan tekniknya dalam membentuk bumi.

Malah menurut petani itu, hasil tanaman yang menjadi kegemarannya adalah lobak merah ini yang kelihatan seperti pasangan serasi..

Tambah petani ini, keunikan bentuk-bentuk sayuran ini jarang dilihat di pasar raya kerana pihak pasar raya mempunyai standard bentuk dan ukuran tertentu. Hanya yang normal sahaja dipilih.

Oleh kerana dia mempunyai koleksi bentuk sayuran yang lain daripada yang lain, maka petani tersebut turut mengabadikannya menerusi ilustrasi yang lucu.

Bukan sahaja berbudi pada tanah, malah petani ini turut menghargai nilai seni terhadap hasil tanamannya. Kreatif!

Pasangan cuba lari pemeriksaan hingga polis terpaksa berpaut pada kenderaan bergerak

0

Laman media sosial kecoh pada awal pagi 10 Mac baru-baru ini ekoran seorang anggota polis dilihat terpaksa berpaut di atas kereta jenis Perodua Alza.

Kejadian tersebut berlaku di tempat letak kereta restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi melakukan rondaan di kawasan berkenaan 10.30 malam”.

Anggota bertugas kemudiannya tersempak dengan kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan, diletakkan di tempat letak kereta dengan enjin dihidupkan.

Kereta itu dihampiri dan anggota polis cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke dalam serta mengetuk cermin kereta.

Pemandu lelaki dan penumpang wanita di dalam kereta itu kemudiannya cuba melarikan diri dan melanggar motosikal serta anggota yang berada di depan keretanya.

Mengelak dilanggar, anggota tersebut terpaksa berpaut di atas kereta bahagian hadapan yang kemudian bergerak hingga 150 meter berikutnya.

Dalam video yang tular, kelihatan banyak usaha dilakukan oleh anggota bertugas dibantu dengan orang awam yang cuba menghalang kereta itu daripada bergerak.

“Susulan itu, anggota terbabit mengalami cedera ringan dan motorsikal yang ditunggangnya dilaporkan rosak”, katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengesan suspek yang melarikan diri susulan anggota bertugas dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 19 dan 20 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.

Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Bandar Baru Bangi untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tonton video di sini.

Usahawan kosmetik didenda RM10,500, miliki produk tidak berdaftar KKM

0

Seorang usahawan kosmetik dikenakan denda berjumlah RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya selepas mengaku salah kerana tidak memiliki produk tidak berdaftar.

Keputusan itu dibuat selepas Fatin Amiera Zainal Abidin mengaku bersalah terhadap 5 tuduhan yang tidak mendaftarkan produk dan tanpa notifikasi dari Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun 2019.

Fatin didakwa kerana memiliki barang kosmetik tidak bernotifikasi membabitkan produk Amyera Beauty : Flawless Day Cream, My Secret Cleanser, Flawless Night Cream, Flawless Booster Cream dan Flawless Acne & White Black Head Cream.

Dia yang mewakili Syarikat Amyera Beauty telah membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret M Barath.

Kesalahan itu didakwa berlaku di premis milik Fatin, beralamat Amyera Beauty, Neo Damansara, Jalan PJU 8/1 Bandar Damansara Perdana, di sini, jam 11.30 pagi pada 19 Februari 2019.

Fatin didakwa mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan sama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda hingga RM 25,000 dan bagi kesalahan seterusnya hingga RM 50,000 mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

Manakala denda RM3,500 atau penjara dua bulan untuk pertuduhan kedua, sementara RM1,500 atau penjara sebulan untuk pertuduhan ketiga.

Kemudian sebanyak RM3,000 atau penjara dua bulan untuk pertuduhan keempat serta RM1,500 atau penjara sebulan untuk pertuduhan kelima.

Fatin Amiera kemudian membayar kesemua denda itu.

Suami setia rela ambil lesen menyelam, cari isteri hilang ketika tsunami 2011

0

Jepun sering dilanda bencana alam seperti gempa bumi dan disusuli dengan tsunami. Selain banyak fasiliti dan bangunan musnah, banyak nyawa turut terkorban dan ada juga yang hilang.

Itulah yang dihadapi oleh seorang lelaki, Yasuo Takamatsu apabila isteri kesayangan telah hilang tatkala tsunami membadai bandar Onagawa yang terletak di Miyagi.

Ekoran keinginan yang kuat untuk mencari isterinya, dua tahun selepas tragedi itu, lelaki berusia 64 tahun itu telah berjaya mendapatkan lesen menyelam.

Sehingga ke hari ini, Yasuo dilaporkan telah melakukan selaman sebanyak 470 kali, di mana selaman secara solo itu dilakukannya setiap minggu sejak 7 tahun lalu.

“Saya menyelam untuk isteri saya, seakan saya akan menjumpainya. Saya selalu fikir yang dia mungkin berada di kawasan yang berdekatan”.

“Baru-baru ini terdapat laporan yang menyatakan ada mayat yang ditemui, jadi saya rasa amat penting untuk saya teruskan pencarian tanpa putus asa”, tambahnya lagi.

Yasuo turut menyertai pihak berkuasa tempatan yang melakukan operasi pencarian dalam mencari sekitar 2,500 mayat yang masih belum ditemui, setiap sebulan sekali.

Menurutnya setakat ini, dia hanya menemui album, pakaian dan artifak namun ia semua bukanlah  milik isterinya.

Bercerita mengenai mesej terakhir yang dikirimkan oleh si isteri, Yasuo mengatakan isterinya ada bertanya, “Adakah kamu baik sahaja? Saya mahu pulang”, tulis isterinya.

“Jadi saya pasti dia masih mahu pulang ke rumah. Saya mahu bawa dia pulang”, ujar Yasuo.

Katanya, selagi tubuhnya masih boleh bergerak, dia akan terus menyelam untuk mencari isterinya. Semoga Yasuo akan menjumpai isterinya..

Tindakan rakam kereta terbalik ekoran kemalangan bawa padah, individu disaman polis

0

Penggunaan telefon bimbit adalah satu kemestian pada zaman kini dan ramai di antara kita yang tidak akan berenggang dengannya, tidak kira di mana-mana sahaja.

Mungkin ada yang terlupa bahawa penggunaan telefon bimbit semasa sedang memandu merupakan satu kesalahan.

Seperti apa yang ditunjukkan menerusi video di sini.

Dalam video terbabit, kita dapati bahawa terdapat individu yang sedang memandu bertindak telah merakam satu kejadian kemalangan.

“Terbalik geng”, katanya yang seperti mahu menerangkan keadaaan kereta yang terlibat kemalangan tersebut menerusi video yang dirakamkannya.

Beberapa saat kemudian, ketika keretanya bergerak melalui kawasan itu, anggota polis telah memberhentikannya.

“Saman dia, main handphone. Parking tepi”, arah anggota polis tersebut. Individu itu tidak mampu mengelak, hanya mengikuti sahaja..

Ingat ya, bermula 6 Julai tahun lalu, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu dikategorikan sebagai saman yang tidak boleh dikompaun.

Kes perlu diselesaikan di mahkamah. Jika sabit kesalahan, hukuman denda hingga RM1,000 atau penjara tidak lebih 3 bulan.

Seorang wanita teruk dibelasah suami hanya kerana mengingatkan untuk membayar yuran sekolah anak

0

Seorang wanita dari Kudlu, India dilaporkan telah dibelasah oleh suaminya hanya kerana mengingatkan suspek untuk membayar yuran persekolahan anak sulung mereka.

Menurut Bangalore Mirror, dalam insiden yang berlaku di Kudlu, mangsa yang berusia 39 tahun dilaporkan telah dipukul secara teruk dengan kerusi dan rak perkakas dapur oleh suaminya.

Lelaki berkenaan yang berang dengan permintaan isterinya meminta bayaran yuran sekolah terus menyerang wanita itu dan menuduh mangsa sebagai punca keluarga mereka dilanda musibah kewangan.

Sekadar Gambar Hiasan / Unsplash

Anak sulung mereka yang sedang mengikuti kelas dalam talian datang membantu ibunya, namun ditampar dengan kuat sebanyak tiga kali sebelum dihalau oleh bapanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dilaporkan pengsan di rumah sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Doktor yang merawat mangsa membuat laporan polis selepas mendapati wujud tanda-tanda berlaku penderaan domestik.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Kes disiasat atas tuduhan menyerang menggunakan senjata berbahaya, mengancam dan menggugat keamanan.

Bagaimanapun suspek masih belum ditahan.

Pasangan berkenaan dikatakan telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai dua anak berusia sembilan dan tujuh tahun.

“Kenapa pula tidak boleh masuk?” Lelaki kantoi menyamar wanita demi dapat diskaun separuh harga masuk taman hiburan sempena Hari Wanita Sedunia

0

Bersempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, sebuah taman hiburan di Xi’an, Wilayah Shaanxi di China menawarkan diskaun separuh harga kepada semua pengunjung wanita. Dan seorang lelaki telah mengambil kesempatan dengan berpakaian sebagai wanita dalam usaha mendapatkan diskaun yang sama.

Oriental Daily melaporkan lelaki itu memakai rambut panjang palsu, gincu, topi dan jaket labuh lalu beratur untuk memasuki taman hiburan. Namun, salah seorang kakitangan yang bertugas dengan cekap memerhatikan ‘wanita pelik’ itu lantas menahannya daripada memasuki taman hiburan tersebut.

CT Want

Tanpa disangka, lelaki itu menjadi marah dan mula berteriak, “Kenapa kamu tidak benarkan saya masuk? Bagaimana kamu boleh buktikan saya bukan wanita? “

CT Want

Lelaki ini meneriak pertanyaan itu kepada umum dan ketika sedang cuba menanggalkan topi, dia tertarik rambut palsu yang dipakainya pada masa yang sama, lalu telah memalukan dirinya sendiri.

CT Want

Rakaman video mengenai kejadian itu menjadi tular, yang menarik perhatian ramai netizen, dengan ada antara mereka yang mempersoalkan apakah kejadian itu hanya aksi publisiti untuk merancakkan sambutan ke taman hiburan.

Namun, pada 8 Mac, pengurusan taman mengatakan bahawa lelaki itu akhirnya mengaku bahawa dia memang seorang lelaki yang berpakaian dan menyamar seperti wanita.

CT Want

Memandangkan keseluruhan insiden itu dapat digunakan sebagai satu pengajaran atau teladan yang baik kepada awam, taman hiburan tersebut telah mengambil peluang ini dengan meminta lelaki itu untuk melakonkan semula video ulang tayang PSA (public service announcement), bagi tujuan mengingatkan kepada umum supaya jangan sesekali bersikap tamak.

Sebagai ganjaran, pihak pengurusan taman hiburan berkenaan menawarkan lelaki itu diskaun kemasukan dengan bayaran separuh harga yang dia dambakan dan mereka berterima kasih kepadanya kerana telah memberikan kerjasama.

Zoo Negara capai kapasiti maksimum 2,500 pengunjung setelah dua hari dibuka semula

0

Pengunjung yang melawat Zoo Negara mencapai kapasiti maksimum 2,500 sehari dalam masa dua hari pertama sejak dibuka semula pada 5 Mac 2021.

Kapasiti maksimum 2,500 pengunjung Zoo Negara dalam sehari dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang.

Zoo Negara Malaysia / Facebook

Pengarah zoologi dan veterinari Zoo Negara, Dr Naim Ramli berkata, jumlah pengunjung telah direkodkan sejak zoo popular itu dibuka semula kepada orang awam sejak Jumaat, 5 Mac.

“Jumlah itu mencapai tahap maksimum yang ditetapkan oleh MKN, bukan hanya pada hari Jumaat tetapi juga pada keesokan harinya,” kata Dr Naim.

Tambah Dr Naim, sambutan luar biasa adalah ekoran diskaun 20 peratus yang ditawarkan oleh Zoo Negara kepada pengunjung.

Zoo Negara Malaysia / Facebook

“Sebelum ini, kami mengenakan bayaran masuk kepada pengunjung dewasa sebanyak RM45 dan RM18 untuk kanak-kanak. Tetapi baru-baru ini, kami memutuskan untuk memberi diskaun sebanyak 20 peratus pada hari Jumaat ketika pembukaan semula,” katanya.

Beliau berharap para pengunjung terutama kalangan ibu bapa terus mengunjungi Zoo Negara dengan membawa keluarga masing-masing selepas ia kini dibuka setiap hari.

Difahamkan, Zoo Negara menerima sumbangan lebih RM11 juta dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, badan sukarelawan dan beberapa individu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan untuk haiwan serta tanggungan kos operasi, yang dijangka bertahan sehingga April 2021.

Zoo Negara Malaysia / Facebook

Untuk menarik lebih ramai pengunjung, Zoo Negara kini turut membenarkan dengan had 70 hingga 90 pemancing sehari untuk mencuba nasib memancing di Tasik Tunku Abdul Rahman dengan syarat ditetapkan, yang bermula dari  jam 9 pagi hingga 3.30 petang setiap hari, dengan bayaran masuk RM35 seorang.

Jurujual keturunan India ini berjaya jual 388 mop dalam masa 3 jam guna bahasa Mandarin amat fasih, pesonakan ramai pelanggannya

0

Baru-baru ini, seorang jurujual berketurunan India berusia 30 tahun dari Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Ng telah menjadi popular di jalanan selepas satu rakaman video menunjukkan kemahirannya menarik pelanggan dalam mempromosikan produknya.

Dilaporkan lelaki ini berjaya mempromosikan produk mop lantai dan menjualnya dengan laris dalam bahasa Mandarin dan dialek Hokkien yang fasih. 

Ng secara semula jadi bertutur dalam bahasa Mandarin dengan begitu baik sehingga berjaya menarik ramai orang awam menjadi penonton dan kemudian bertukar pelanggan apabila sebanyak 388 mop telah berjaya dijual dalam masa 3 jam!

Menurut China Press, rakaman video itu telah dimuat naik oleh seorang netizen di Facebook. Dalam rakaman video Facebook Live tersebut, seorang jurujual India memperkenalkan produknya dengan menggunakan dialek Hokkien dan bahasa Mandarin yang sangat fasih. 

Bahasa Cina dalam dialek Hokkien bukan sahaja lucu bahkan amat meyakinkan. Kata-kata yang digunakan bersama aksinya menunjukkan demonstrasi menggunakan mop itu untuk menarik bakal pembeli juga berjaya meraih perhatian.

Facebook

“Ibu kita suka pergi ke pasar untuk membeli mop tradisional seperti ini. Ia akan tetap kekal selama 50 tahun lagi. 50 tahun lalu, orang India tidak boleh berbahasa Cina, tetapi kini orang India boleh berbahasa Cina. Dunia telah berubah, dan sudah tiba masanya untuk menerima perubahan. Tiba masa menukar mop anda juga!” posting dalam video tersebut yang telah dikongsi oleh lebih 1,600 netizen.

Ramai netizen tiba-tiba mempunyai keinginan untuk membeli, bahkan memuji kepetahannya berbahasa Mandarin semasa video siaran langsung itu dibuat. Pasti lebih ramai peminatnya selepas ini.

Facebook

Dilaporkan jurujual India itu segera menjadi popular setelah video itu menjadi tular, malahan turut mendapat perhatian media. Ng berkata dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya yang berkahwin campur India dan Cina, sehingga mampu mahir bertutur dalam dialek Teochew dan Fujian. Dia juga tinggal bersama kakaknya dan abang ipar yang pernah bekerja di China bermula usia 13 tahun, yang turut mahir berbahasa Kantonis dan Mandarin.

Sebelum kembali ke Singapura, Ng bekerja sebagai penjual mesin jahit di Thailand dan Vietnam selama dua tahun, dan mempelajari bahasa tempatan. Ng akhirnya berjaya menguasai dialek Hakka, Kantonis, Inggeris, Thai, Hindi, Vietnam, Teochew, Hokkien, Fuzhou dan Melayu serta beberapa dialek Cina lain sehingga 16 bahasa kesemuanya, yang semestinya telah dipuji oleh netizen sebagai genius bahasa.

Ng berkata dia tidak rasa menjadi popular selepas video itu tiba-tiba tular, cukup sekadar menjadi orang biasa yang menumpukan perhatian kepada jualan. Ng berharap setelah pandemik berakhir, dia akan dapat pergi ke Taiwan atau Jepun untuk mempelajari lebih banyak bahasa.

Facebook

Ramai netizen yang terkejut dengan standard bahasa Mandarin dan Hokkien lelaki India itu setelah melihat rakaman video berkenaan. Mereka memberi komen:

“Bahasa Mandarinnya lebih baik daripada saya.”

“Oh Tuhan, Hokkien dia sangat baik, kalah saya.” 

Sambil ada netizen yang mengaku mereka berbangsa Cina tetapi tidak fasih menggunakan dialek sendiri dengan menulis, “Maafkan saya, dialek Hokkien saya yang sebenarnya tidak ada.” 

Ada pula netizen yang menulis tiba-tiba jadi teringin dan tertarik untuk membeli mop itu setelah mendengar Ng berbahasa dan melihatnya.

“Dekat mana ni? Mop itu macam bagus. Bagaimana saya boleh membelinya?”

“Dia pasti menghasilkan banyak wang kalau membuat lebih banyak video siaran langsung macam ini.”

Facebook

Walaupun video berkenaan tidak mendedahkan lokasi di mana lelaki India itu menjual mop ini, menurut netizen yang meninggalkan pesanan di bahagian posting Facebook Live itu berkata, mereka sering mendengar lelaki India menjual mop dalam bahasa Mandarin di sepanjang jalan di Bedok.

Tonton video di sini.