Sekatan terhadap pergerakan ekoran COVID-19 sedikit sebanyak membantutkan aktiviti harian kita semua.
Namun nampaknya pemberi pinjaman wang haram atau ceti haram di Singapura telah menemui cara terbaru untuk menggertak peminjamnya.
Seorang pengguna Facebook, Afzai Nizan pada 6 Mac lalu berkongsi beberapa foto menunjukkan penghantar makanan Foodpanda berkumpul di luar unit sebuah flat HDB di Bedok.
“Pesanan ‘prank’ Foodpanda lagi?”, tulis Afzai yang merupakan individu yang turut tinggal di bangunan flat yang sama.
Afzai menambah bahawa kesemua penghantar Foodpanda itu menunggu di luar rumah. Pemilik rumah pula berada di dalamnya dan tidak tahu menahu langsung mengenai pesanan terbabit.
Difahamkan bahawa sejumlah 8-10 orang penghantar Foodpanda menunggu di luar rumah yang sama, sambil membawa bungkusan makanan.
Pihak Polis Singapura walau bagaimanapun telah mengesahkan bahawa kejadian itu adalah kes gangguan yang disengajakan.
Siasatan awal mendapati penduduk flat terbabit menerima banyak pesanan daripada Foodpanda yang dibuat oleh pemberi pinjaman wang haram.
“Mereka yang dengan sengaja menyebabkan gangguan terhadap keamanan dan kedamaian masyarakat akan ditangkap dan ditangani secara tegas sesuai dengan undang-undang”, jelas polis.
Ternyata ini bukanlah kali pertama ceti haram sebegini menggunakan khidmat penghantaran makanan untuk mengganggu peminjam.
Menurut laporan, insiden yang sama pernah berlaku bulan lalu. Begitu juga pada April tahun 2020, di mana peminjam telah menerima pesanan makanan bernilai SGD800 (RM2,400) yang dihantar ceti haram.
Sementara itu, pihak Foodpanda Singapura juga menyedari akan trend sebegini dan telah melaksanakan sistem senarai hitam menerusi algoritma yang dianggap sebagai penipuan.
Syarikat itu juga memberi peringatan agar tidak menggunakan khidmat mereka secara salah serta meminta agar pengguna bertimbang rasa terhadap penghantar mereka yang bekerja keras.