Berikutan penularan produk racun mahkluk perosak baru-baru ini yang didakwa mampu membunuh banyak nyamuk dalam masa yang singkat, laman Public Health Malaysia melalui laman Facebooknya telah memberi peringatan kepada orang ramai untuk berhenti menggunakan produk berkenaan atas alasan kesan sampingan yang berupaya untuk memudaratkan kesihatan pengguna.
Menerusi kiriman yang dimuatnaik pada petang 8 Mac, produk ubat nyamuk itu didapati tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) Malaysia dan didakwa mungkin mengandungi bahan beracun yang berbahaya untuk kesihatan manusia khususnya kanak-kanak.
“Ubat nyamuk Zenden Micro-Smoke yang diimport dari China contohnya dikesan mengandungi bahan Class 1A carcinogen yang boleh menyebabkan penyakit barah.
Begitu juga dengan Tian Hong Mosquitos Coil, Lengen Mocro-Smoke 12 Hours, Jianbao Mosquito Coil yang masih dijual secara berleluasa di laman e-dagang Shopee.”
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak memperjudikan kesihatan diri dan keluarga masing-masing dengan menggunakan produk racun serangga yang berpotensi untuk memudaratkan kesihatan.
Manakala, berdasarkan Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974, mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tersebut akan didakwa dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.