Pengunjung yang melawat Zoo Negara mencapai kapasiti maksimum 2,500 sehari dalam masa dua hari pertama sejak dibuka semula pada 5 Mac 2021.
Kapasiti maksimum 2,500 pengunjung Zoo Negara dalam sehari dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang.
Pengarah zoologi dan veterinari Zoo Negara, Dr Naim Ramli berkata, jumlah pengunjung telah direkodkan sejak zoo popular itu dibuka semula kepada orang awam sejak Jumaat, 5 Mac.
“Jumlah itu mencapai tahap maksimum yang ditetapkan oleh MKN, bukan hanya pada hari Jumaat tetapi juga pada keesokan harinya,” kata Dr Naim.
Tambah Dr Naim, sambutan luar biasa adalah ekoran diskaun 20 peratus yang ditawarkan oleh Zoo Negara kepada pengunjung.
“Sebelum ini, kami mengenakan bayaran masuk kepada pengunjung dewasa sebanyak RM45 dan RM18 untuk kanak-kanak. Tetapi baru-baru ini, kami memutuskan untuk memberi diskaun sebanyak 20 peratus pada hari Jumaat ketika pembukaan semula,” katanya.
Beliau berharap para pengunjung terutama kalangan ibu bapa terus mengunjungi Zoo Negara dengan membawa keluarga masing-masing selepas ia kini dibuka setiap hari.
Difahamkan, Zoo Negara menerima sumbangan lebih RM11 juta dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, badan sukarelawan dan beberapa individu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan untuk haiwan serta tanggungan kos operasi, yang dijangka bertahan sehingga April 2021.
Untuk menarik lebih ramai pengunjung, Zoo Negara kini turut membenarkan dengan had 70 hingga 90 pemancing sehari untuk mencuba nasib memancing di Tasik Tunku Abdul Rahman dengan syarat ditetapkan, yang bermula dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang setiap hari, dengan bayaran masuk RM35 seorang.