Seorang lelaki berusia 25 tahun difahamkan terpaksa melakukan 3 jenis pekerjaan untuk membeli komputer riba terpakai untuk dihadiahkan kepada isterinya.
Menurut laporan, Shahrul Amri yang berkahwin dengan Nurul Akma tahun lalu, berniat mahu memberi kejutan buat isterinya yang bekerja sebagai guru tadika.
Kata Shahrul, dia hanya mahu memudahkan urusan kerja isterinya memandangkan komputer riba merupakan keperluan untuk isterinya menyediakan bahan dan soalan peperiksaan.
Bahkan komputer riba juga sangat diperlukan bagi membolehkan kelas secara dalam talian dilakukan untuk murid-muridnya.
“Walaupun dia tidak pernah mengeluh atau meminta-minta, namun saya kasihan tengok kesulitannya”, kata Shahrul.
Isterinya juga difahamkan kadang kala terpaksa meminjam komputer riba milik sekolah untuk menyelesaikan tugasan.
Situasi ini sekaligus memberinya idea untuk menghadiahkan komputer riba.
Bagi merealisasikan niatnya itu, dia bertindak menyimpan sebahagian pendapatan sebagai juruteknik bioperubatan, penghantar makanan dan berniaga dalam talian sejak Disember tahun lalu.
Shahrul kemudian membeli komputer riba terpakai dengan harga RM900, sesuai dengan bajetnya. Dia kemudian dengan sengaja meletakkan peranti itu di bawah bantal di atas katil mereka.
“Pada hari itu, saya memaklumkan lewat menjemputnya di tempat kerja berbanding jam 6 petang pada kebiasaannya kerana ada kerja”.
“Sebenarnya selepas membeli komputer riba itu, saya pulang dulu ke rumah untuk menyembunyikan ia di bawah bantal dalam bilik kami”.
“Ketika sampai di rumah, saya memberitahunya ada kejutan istimewa dalam bilik sebelum dia menjumpai beg komputer riba itu di bawah bantal dan menangis apabila melihat apa yang ada”.
Shahrul masih berasa bangga kerana dapat membahagiakan isterinya walaupun dengan hanya menghadiahkan komputer riba terpakai.
Ini kerana menurutnya, kebahagiaan tidak boleh diukur dengan benda mahal. Cukup sekadar kita memahami dan dapat meringkan beban orang tersayang.
“Saya harap dengan adanya komputer riba itu dapat menaikkan lagi semangat isteri dalam berbakti kepada anak bangsa”, akhirinya.