Jepun sering dilanda bencana alam seperti gempa bumi dan disusuli dengan tsunami. Selain banyak fasiliti dan bangunan musnah, banyak nyawa turut terkorban dan ada juga yang hilang.
Itulah yang dihadapi oleh seorang lelaki, Yasuo Takamatsu apabila isteri kesayangan telah hilang tatkala tsunami membadai bandar Onagawa yang terletak di Miyagi.
Ekoran keinginan yang kuat untuk mencari isterinya, dua tahun selepas tragedi itu, lelaki berusia 64 tahun itu telah berjaya mendapatkan lesen menyelam.
Sehingga ke hari ini, Yasuo dilaporkan telah melakukan selaman sebanyak 470 kali, di mana selaman secara solo itu dilakukannya setiap minggu sejak 7 tahun lalu.
“Saya menyelam untuk isteri saya, seakan saya akan menjumpainya. Saya selalu fikir yang dia mungkin berada di kawasan yang berdekatan”.
“Baru-baru ini terdapat laporan yang menyatakan ada mayat yang ditemui, jadi saya rasa amat penting untuk saya teruskan pencarian tanpa putus asa”, tambahnya lagi.
Yasuo turut menyertai pihak berkuasa tempatan yang melakukan operasi pencarian dalam mencari sekitar 2,500 mayat yang masih belum ditemui, setiap sebulan sekali.
Menurutnya setakat ini, dia hanya menemui album, pakaian dan artifak namun ia semua bukanlah milik isterinya.
Bercerita mengenai mesej terakhir yang dikirimkan oleh si isteri, Yasuo mengatakan isterinya ada bertanya, “Adakah kamu baik sahaja? Saya mahu pulang”, tulis isterinya.
“Jadi saya pasti dia masih mahu pulang ke rumah. Saya mahu bawa dia pulang”, ujar Yasuo.
Katanya, selagi tubuhnya masih boleh bergerak, dia akan terus menyelam untuk mencari isterinya. Semoga Yasuo akan menjumpai isterinya..