Mayat seorang pesakit Orang Asli yang dilaporkan hilang ketika menerima rawatan di Hospital Selayang sejak 1 Mac lalu, telah dijumpai.
L Angah, lelaki berusia 79 tahun yang hilang pada 3 Mac lalu ditemui tersangkut pada paip tingkat 6 di hospital tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, mayatnya dijumpai oleh seorang juruteknik yang menerima aduan bau busuk oleh kakitangan hospital.
Dia kemudian memeriksa bilik itu dan mendapati ada tangan terkulai. Sebaik sahaja naik ke tingkat 6, mayat lelaki berkenaan ditemui di deretan paip.
Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan bagi membantu mengeluarkan mayat warga emas itu yang tersepit di celah paip tersebut.
“Punca kematian masih dalam siasatan dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh daripada tingkat atas dan tersangkut di celah paip tempat kejadian”, katanya.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Selayang untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.