Seorang usahawan kosmetik dikenakan denda berjumlah RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya selepas mengaku salah kerana tidak memiliki produk tidak berdaftar.
Keputusan itu dibuat selepas Fatin Amiera Zainal Abidin mengaku bersalah terhadap 5 tuduhan yang tidak mendaftarkan produk dan tanpa notifikasi dari Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun 2019.
Fatin didakwa kerana memiliki barang kosmetik tidak bernotifikasi membabitkan produk Amyera Beauty : Flawless Day Cream, My Secret Cleanser, Flawless Night Cream, Flawless Booster Cream dan Flawless Acne & White Black Head Cream.
Dia yang mewakili Syarikat Amyera Beauty telah membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret M Barath.
Kesalahan itu didakwa berlaku di premis milik Fatin, beralamat Amyera Beauty, Neo Damansara, Jalan PJU 8/1 Bandar Damansara Perdana, di sini, jam 11.30 pagi pada 19 Februari 2019.
Fatin didakwa mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan sama.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda hingga RM 25,000 dan bagi kesalahan seterusnya hingga RM 50,000 mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.
Manakala denda RM3,500 atau penjara dua bulan untuk pertuduhan kedua, sementara RM1,500 atau penjara sebulan untuk pertuduhan ketiga.
Kemudian sebanyak RM3,000 atau penjara dua bulan untuk pertuduhan keempat serta RM1,500 atau penjara sebulan untuk pertuduhan kelima.
Fatin Amiera kemudian membayar kesemua denda itu.