Laman media sosial kecoh pada awal pagi 10 Mac baru-baru ini ekoran seorang anggota polis dilihat terpaksa berpaut di atas kereta jenis Perodua Alza.
Kejadian tersebut berlaku di tempat letak kereta restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi melakukan rondaan di kawasan berkenaan 10.30 malam”.
Anggota bertugas kemudiannya tersempak dengan kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan, diletakkan di tempat letak kereta dengan enjin dihidupkan.
Kereta itu dihampiri dan anggota polis cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke dalam serta mengetuk cermin kereta.
Pemandu lelaki dan penumpang wanita di dalam kereta itu kemudiannya cuba melarikan diri dan melanggar motosikal serta anggota yang berada di depan keretanya.
Sukan Star TV/Facebook
Mengelak dilanggar, anggota tersebut terpaksa berpaut di atas kereta bahagian hadapan yang kemudian bergerak hingga 150 meter berikutnya.
Dalam video yang tular, kelihatan banyak usaha dilakukan oleh anggota bertugas dibantu dengan orang awam yang cuba menghalang kereta itu daripada bergerak.
“Susulan itu, anggota terbabit mengalami cedera ringan dan motorsikal yang ditunggangnya dilaporkan rosak”, katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengesan suspek yang melarikan diri susulan anggota bertugas dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 19 dan 20 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.
Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Bandar Baru Bangi untuk siasatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tonton video di sini.