Seorang wanita dari Kudlu, India dilaporkan telah dibelasah oleh suaminya hanya kerana mengingatkan suspek untuk membayar yuran persekolahan anak sulung mereka.
Menurut Bangalore Mirror, dalam insiden yang berlaku di Kudlu, mangsa yang berusia 39 tahun dilaporkan telah dipukul secara teruk dengan kerusi dan rak perkakas dapur oleh suaminya.
Lelaki berkenaan yang berang dengan permintaan isterinya meminta bayaran yuran sekolah terus menyerang wanita itu dan menuduh mangsa sebagai punca keluarga mereka dilanda musibah kewangan.
Anak sulung mereka yang sedang mengikuti kelas dalam talian datang membantu ibunya, namun ditampar dengan kuat sebanyak tiga kali sebelum dihalau oleh bapanya.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dilaporkan pengsan di rumah sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Doktor yang merawat mangsa membuat laporan polis selepas mendapati wujud tanda-tanda berlaku penderaan domestik.
Kes disiasat atas tuduhan menyerang menggunakan senjata berbahaya, mengancam dan menggugat keamanan.
Bagaimanapun suspek masih belum ditahan.
Pasangan berkenaan dikatakan telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai dua anak berusia sembilan dan tujuh tahun.