Siapa yang tidak kecewa apabila kereta yang baru dibeli dua bulan mengalami kegagalan brek berkali-kali dan situasi itu benar-benar membahayakan nyawa pemiliknya.
Pemilik kereta Chery Omoda 5 dikenali Jc Jess kecewa dalam keluhan menyatakan kebimbangannya apabila kereta baru yang dibelinya sejak 2 bulan lalu mengalami kegagalan brek berkali-kali yang mengundang bahaya kepada nyawanya.
“Bilakah saya akan dapat memandu dalam keadaan tenang?” keluhnya.
Jc Jess menyiarkan video tular di Facebook mengenai insiden itu dengan mendedahkan dia memandu kereta barunya selama dua bulan, tetapi telah mengalami kegagalan brek selama beberapa kali dengan perjalanan kenderaan baru mencecah lebih 3,000 kilometer, yang membuatnya berasa sangat kecewa.
Dalam videonya, Jc Jess ternyata amat tertekan sambil menunjukkan semasa kereta sedang dipandu, dia menekan brek dan keretanya tidak berhenti, membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta itu.
Jc Jess telah beberapa kali membangkitkan masalah brek itu kepada Pusat Servis Chery Malaysia dan sebaik sahaja mengambil keretanya dan memandu di atas jalan raya, masalah brek berkenaan masih gagal diperbaiki menyebabkan dia berasa ketakutan dan kecewa.
Katanya, dalam tempoh 2 bulan, kereta baharu itu telah dihantar ke pusat servis untuk dibaiki sebanyak 7 kali.
“Saya hampir kehilangan nyawa! Ini adalah masalah yang sangat serius. Berapa banyak perjalanan yang perlu saya tempuhi sebelum masalah kegagalan brek benar-benar dapat diselesaikan?
Adakah anda tahu betapa bahayanya memandu kereta dengan brek yang tidak berfungsi? Ini telah mengancam nyawa saya dengan serius,” katanya.
Hantarannya telah menarik perhatian warganet yang berkata mereka juga menemui masalah dengan kereta baharu mereka.
“Baru-baru ini, kereta baharu pelbagai jenama nampaknya menghadapi masalah..”
“Saya fikir hanya kereta keluaran dalam negara yang akan menghadapi masalah, tetapi sekarang kereta keluaran luar negara pun penuh dengan masalah.”
Isu serius Omoda 5 berkenaan telah menerima maklum balas Chery Malaysia selepas Naib Presiden Chery Malaysia Lee Wen Hsiang mengeluarkan satu kenyataan berhubung satu video tular dimuat naik Jc Jess yang mendakwa isu brek keretanya tidak ditangani secara berkesan dan ‘hampir meragut nyawanya’.
Pihak Chery Malaysia dalam kenyataan di Facebook berkata mereka mengambil perkara ini dengan sangat serius dan keselamatan para pelanggan adalah satu keutamaan.
Kata mereka, Chery Malaysia telah berhubung dengan pelanggan terlibat sejak 6 April untuk menangani masalah tersebut dan telah menawarkan sebuah kereta bagi kegunaan sementara kepadanya.
Mereka turut menekankan untuk komited dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini, serta berazam untuk memastikan bahawa semua kenderaannya memenuhi standard keselamatan tertinggi.
HUALIEN: Helikopter penyelamat Taiwan melakukan beberapa siri penerbangan bagi menyelamatkan ratusan pelancong yang terkandas selama beberapa hari di kawasan pergunungan akibat gempa bumi besar yang menyebabkan jalan terputus dan terowong tersekat.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan lebih 1,100 cedera akibat gempa bumi gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang melanda pulau itu pada Rabu, 3 April dengan kod bangunan ketat dan tahap kesiapsiagaan bencana meluas sebagai langkah mengelakkan malapetaka lebih besar.
Gambar AFP
Gempa bumi itu mengakibatkan runtuhan tanah besar yang menghalang terowong dan jalan berliku yang merentasi pulau dari timur ke barat dan juga lebuh raya pantai dari utara ke selatan yang terdiri daripada tebing curam.
Hualien, pusat gempa sekitar 100 kilometer di selatan ibu kota Taipei digegarkan lebih 400 gegaran susulan, termasuk satu gempa berukuran 5.2 pada skala Ritcher pada pagi 6 April.
Bagaimanapun helikopter dari Kor Perkhidmatan Lintas Udara Kebangsaan terbang ke kawasan terputus berhampiran Taman Negara Taroko untuk membawa keluar pelancong yang terkandas ke tempat selamat.
Gambar AFP
Dalam pada itu, kakitangan AFP menyaksikan penerbangan pertama membawa 12 orang dan penerbangan lain dengan 16 orang yang dipindahkan ke tempat selamat.
“Keutamaan diberikan kepada individu berusia, tidak berdaya, wanita, kanak-kanak, dan orang yang mempunyai penyakit kronik.
“Walaupun semua orang keletihan selepas turun gunung, mereka masih mengukir senyuman,” menurut kenyataan yang disiarkan ET Today.
Gambar AFP
Terdapat pesawat lain membawa orang ramai dari hotel mewah Silks Place, di mana lebih 400 pelancong dan kakitangan terkandas.
“Gegaran susulan berlaku dalam skala besar dan serius,” kata seorang paderi yang hanya dikenali sebagai Zhou kepada media tempatan.
Gambar AFP
Pasukan penyelamat turut menurunkan kotak makanan dan bekalan kepada sekumpulan pelajar, guru dan penduduk di sebuah sekolah rendah yang tidak dapat diakses.
Di tempat lain, jurutera bertungkus lumus sepanjang masa untuk mengalihkan bongkah batu besar dari jalan dan pintu masuk terowong.
Gambar AFP
“Pasukan penyelamat tidak menunjukkan mereka lelah,” kata Naib Presiden Taiwan yang dipilih, Hsiao Bi-khim menggambarkan mereka sebagai ‘wira sebenar Taiwan yang berdaya tahan’.
Gempa hari yang berlaku pada 3 April adalah paling serius di Taiwan sejak gegaran berukuran 7.6 pada skala Richter melanda pulau itu pada 1999.
Angka kematian ketika itu jauh lebih tinggi dengan 2,400 orang terbunuh dalam bencana alam paling maut dalam sejarah pulau itu.
Gambar AFP
Peraturan yang lebih ketat termasuk keperluan seismik yang dipertingkatkan dalam kod bangunannya dan kesiapsiagaan bencana awam yang meluas berjaya menghalang malapetaka lebih serius kali ini.
Laporan awal oleh Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Gempa Kebangsaan yang dikeluarkan pada 5 April memaklumkan, 84 bangunan ‘rosak teruk’ akibat gempa itu dengan kebanyakannya terletak di daerah Hualien.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengadap pengasas dan pengerusi KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Chai Kee Kan di Istana Negara pada 3 April susulan isu penjualan stoking kalimah ‘Allah’.
Chai memohon ampun dan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong serta umat Islam keseluruhan atas kegagalannya membiarkan penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ di kedai serbaneka KK Super Mart.
Kecuaian pengurusan KK Super Mart telah mengakibatkan beberapa tangkapan dan menyebabkan tiga kedai KK Mart menjadi sasaran serangan ‘molotov cocktail’.
Dalam hantaran di Facebook, Yang di-Pertuan Agong menegaskan semua pihak termasuk KK Super Mart supaya lebih berhati-hati dengan produk yang dijual terutama barangan import bagi mengelak isu serupa tidak lagi berulang.
“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab, jangan pisang berbuah dua kali, dan saya harap ini kali terakhir saya perlu tegaskan perkara ini,” titah baginda sambil menambah tiada siapa yang harus mengambil kesempatan daripada isu itu atau menghasut rakyat.
Titah Yang di-Pertuan Agong muncul di tengah-tengah kontroversi berikutan kegagalan itu, termasuk boikot yang bertujuan untuk menghukum rangkaian kedai serbaneka berkenaan.
Gambar ihsan Firdaus Wong / Facebook
Ini termasuk hasutan berterusan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang menuntut KK Super Mart mempamerkan kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.
“Kami akan memberi pengajaran kepada mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook pada bulan lalu.
Di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat, majlis tertinggi UMNO pada 3 April, mengarahkan Akmal berhenti memainkan isu itu, lapor Berita Harian.
Gambar The Star
Pada 13 Mac lalu, tular satu gambar dimuat naik pengguna yang menunjukkan kalimah Allah tertera pada stoking yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, yang membangkitkan kemarahan umat Islam kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.
Yang di-Pertuan Agong turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka itu.
TAIPEI: Kejadian keracunan makanan di rangkaian restoran Malaysia, Polam Kopitiam di Taipei dipercayai berpunca daripada Asid Bongkrekik.
Beberapa pelanggan dilaporkan mengalami keracunan makanan setelah makan kuetiau goreng Penang dan bihun.
Pakar perubatan mengesyaki asid bongkrekik iaitu sejenis toksin menjadi punca keracunan makanan tersebut.
Penyimpanan tidak betul produk beras dan perendaman berpanjangan kulat hitam yang tidak diselia dengan betul dikatakan menyebabkan asid bongkrekik terbentuk.
Pusat Keselamatan Makanan Hong Kong sebelum ini menekankan kes keracunan makananan yang berpunca daripada asid bongkrekik berlaku pada tahun 2019 di Tanah Besar China dan Indonesia.
Berdasarkan laporan, makanan yang tercemar termasuklah cendawan telinga awan, kelapa dan jagung yang diperam.
Biro Hal Ehwal Bandaraya di Macau turut berkongsi artikel pendidikan yang menekankan bahawa asid bongkrekik boleh ditemui dalam produk bijirin yang rosak, kulat hitam, dan produk berasaskan kanji.
Difahamkan bahawa kemungkinan pembentukan asid bongkrekik terjadi ketika merendam kulat hitam secara singkat dalam persekitaran bersih. Namun jika direndam melebihi tempoh yang sepatutnya dibimbangi akan menyebabkan pembentukan bakteria patogen.
Terdahulu, berita tempatan melaporkan pemilik Polam Kopitiam memohon maaf atas insiden yang mencetuskan panik dalam kalangan pelanggan serta dua individu maut akibat keracunan makanan.
Walau bagaimanapun, pemilik kopitiam terbabit tidak bercakap selepas disoal oleh pendakwa pada Jumaat dan hanya dua kali tunduk sebagai tanda memohon maaf.
Pihak peguam mengatakan bahawa kliennya telah memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.
Menurut peguam, pemilik kopitiam telah meminta tukang masak untuk menyediakan hidangan bihun yang dipercayai menjadi punya keracunan makanan.
Hidangan tersebut seterusnya dihidangkan di hadapan pegawai kesihatan Bandar Taipei ketika mereka menjalankan pemeriksaan di restoran cawangan Daerah Xinyi pada 24 Mac lalu.
Ibu bapa pemilik kopitiam berkenaan makan hidangan yang sama di restoran yang sama antara 19 hingga 24 Mac yang pada waktu itu terdapat beberapa pelanggan yang jatuh sakit selepas makan di restoran terbabit.
Pemilik perniagaan, pengurus rangkaian restoran dan tukang masak dilarang meninggalkan negara selepas disoal siasat oleh polis dan pendakwa dan memberi keterangan pada Rabu.
Menurut Kementerian Kesihatan tempatan, sejumlah 21 orang pelanggan mengalami keracunan makanan termasuk dua orang maut selepas makan hidangan yang sama.
Dua orang lelaki yang maut serta enam orang lain masih dirawat di hospital berikutan kecederaan teruk yang dipercayai berpunca daripada asid bongkrekik.
Selain itu, tiga orang pelanggan mengalami cirit-birit atau loya tidak mendapatkan rawatan, sementara 10 orang yang lain kembali ke rumah masing-masing selepas dirawat.
Pihak pendakwa berkata kes disiasat atas tuduhan melanggar Akta Pengurusan Keselamatan dan Kebersihanan Makanan, dengan kematian disebabkan oleh kecuaian.
TOKYO: Gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud melanda timur Taiwan sejurus sebelum pukul 9 pagi Rabu, 3 April 2024.
Gempa bumi kuat telah menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan untuk pulau-pulau di selatan Jepun, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Pusat Kajian Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu mempunyai magnitud 7.4 dengan pusat gempa adalah 18 kilometer ke selatan Bandar Hualien di Taiwan pada kedalaman 34.8 kilometer.
Los Angeles Times
Ombak tsunami setinggi tiga meter dijangka tercetus serta-merta di pulau-pulau terpencil Jepun berhampiran Taiwan, termasuk Pulau Miyakojima, tambah agensi itu.
“Sila berpindah!” kata siaran dikeluarkan penyiar kebangsaan, NHK.
“Tsunami akan tiba. Sila berpindah dengan segera.
“Jangan berhenti. Jangan berpatah balik,” kata seorang penyampai NHK.
Filipina turut memberi amaran “gelombang tsunami tinggi” dan menggesa pemindahan kawasan pantai di seluruh negara.
“Orang ramai di kawasan pantai di wilayah berkaitan adalah amat dinasihatkan supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi atau bergerak lebih jauh ke pedalaman,” kata Institut Seismologi Filipina.
Gempa bumi yang melanda timur Taiwan pada pagi Rabu adalah “terkuat dalam 25 tahun”, kata pengarah Pusat Seismologi Taipei.
“Gempa bumi hampir dengan daratan dan ia cetek. Ia dirasai di seluruh Taiwan dan pulau-pulau luar pesisir… ia adalah yang paling kuat dalam 25 tahun sejak gempa bumi (1999),” kata Wu Chien-fu kepada pemberita, merujuk kepada gempa bumi pada September 1999 dengan magnitud 7.6 yang mengorbankan 2,400 orang.
🇹🇼 BREAKING! An earthquake with a magnitude of 7.5 has occurred near Taiwan, with a tsunami threat declared for the Japanese southern islands of Okinawa and Miyako.
Additionally, less than 15 minutes later, a powerful earthquake with a magnitude of 6.6 struck near Taiwan, as… pic.twitter.com/Hc0O88ixqI
NEW DELHI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Punjab, India dilaporkan maut selepas memakan kek yang dibeli dalam talian untuk sambutan hari lahirnya.
Datuk mangsa, Harban Lal berkata, cucunya, Manvi dan adiknya serta seluruh keluarganya telah jatuh sakit selepas memakan kek itu yang ditempah dalam talian dari sebuah kedai kek terletak di Patiala.
Gambar X
Beberapa jam sebelum kematian tragis itu, terdapat rakaman memotong kek oleh Manvi sempena hari lahirnya yang ke-10 tahun telah tersebar di media sosial.
Lal berkata, keluarga itu menempah kek pada jam 6 petang (waktu tempatan) dan Manvi memotong kek itu pada jam 7 malam, 24 Mac lalu.
Menjelang jam 10 malam, seluruh keluarga itu jatuh sakit dan muntah, manakala Manvi mengadu mulutnya kering dan kerap meminta air sebelum tidur.
Keesokan paginya keadaan Manvi semakin teruk dan keluarganya membawa kanak-kanak itu ke hospital.
Beberapa jam selepas itu doktor mengesahkan Manvi meninggal dunia pada hari yang sama.
Gambar Agensi
Keluarga Manvi mendakwa kek coklat ditempah dari kedai itu mungkin tercemar atau beracun.
Justeru, mereka membuat laporan polis terhadap kedai tersebut dan pihak berkuasa mengesahkan bahawa mereka sedang melakukan siasatan lanjut.
“Bedah siasat telah dijalankan dan sampel kek itu telah dihantar untuk diuji. Kami sedang menunggu laporan tersebut,” kata polis.
Dalam kemas kini terbaru PADU berkata, rakyat Malaysia yang tidak mengemas kini data dalam PADU akan didaftarkan secara automatik dengan mengambil maklumat asas mereka.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata maklumat lebih lengkap diperlukan walaupun pelbagai agensi kerajaan telah mengumpul data asas rakyat Malaysia.
“Dalam sistem PADU, kami mempunyai data untuk kira-kira 30 juta rakyat Malaysia.
“Namun, ini hanya data asas mereka, yang kami kumpul daripada pelbagai agensi. Apa yang kita perlukan ialah data ‘dinamik’,” katanya.
Pangkalan Data Utama (PADU)
Data yang disimpan dalam sistem PADU akan memudahkan Jabatan Perangkaan menganalisis data, menjalankan bancian dan mengagihkan bantuan kerajaan. Ini juga akan membantu kerajaan mewujudkan dasar yang lebih sesuai dengan keperluan rakyat.
Jabatan Perangkaan memberi jaminan bahawa reka bentuk PADU adalah yang terbaik di samping selamat dan berkesan.
Menurut mereka, PADU bukan sahaja berfungsi sebagai medium pengemaskinian data tetapi juga melaksanakan pelbagai fungsi analisis utama, melangkaui transaksi dan kemas kini data.
“Tahniah kepada semua rakyat Malaysia yang telah berjaya mengemas kini maklumat mereka dalam PADU sehingga 11:59 malam pada 31 Mac 2024.”
Hantaran PADU di Facebook itu memaklumkan bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mengemas kini pada tarikh tutup, data pentadbiran daripada pelbagai agensi akan digunakan terlebih dahulu dalam proses penganalisisan.
Media sebelum ini melaporkan persoalan pelbagai individu, yang menyatakan kebimbangan mengenai kredibiliti PADU, khususnya mengenai isu data peribadi.
Dalam masa lebih seminggu, Shen Yun Performing Arts menerima tiga “ancaman bom”, menjadi sasaran utama rejim Komunis China untuk persembahannya “China Sebelum Komunisme.”
Selain ancaman bom palsu, dua bas persiaran Shen Yun telah dirosakkan dalam usaha untuk menyebabkan kemalangan jalan raya yang serius.
Insiden ini adalah yang terbaru dalam kempen sabotaj Parti Komunis China yang semakin meningkat terhadap syarikat seni persembahan berkenaan yang berpangkalan di New York.
Persembahan Shen Yun Performing Arts di David H. Koch Theater di Lincoln Center , New York pada 11 Januari 2015. (Gambar oleh Dai Bing/The Epoch Times)
Shen Yun telah menjadi kekuatan budaya global, mengekspresikan budaya tradisional Cina melalui seni persembahan, menggegarkan asas kawalan Beijing terhadap naratif budaya China.
Ancaman bom pertama ditujukan di ibu pejabat Shen Yun di bahagian utara New York pada 18 Mac, di mana akaun e-mel dengan nama pengguna Cina telah menghantar ancaman: “Saya meletakkan bom kawalan jauh di Kuil Longquan.” The Epoch Times memperolehi salinan e-mel ini.
Kuil Longquan ialah pangkalan latihan untuk Rombongan Seni Persembahan Shen Yun, serta beberapa kuil gaya Dinasti Tang.
Seorang wakil dari Shen Yun Performing Arts memberitahu The Epoch Times bahawa FBI sedang menyiasat perkara itu.
Dua lagi ancaman telah dihantar ke panggung teater untuk persembahan akan datang, termasuk satu ancaman kepada teater di California pada 22 Mac ketika Shen Yun bersedia untuk persembahan hujung minggu.
“Kami telah meletakkan banyak bom secara rawak di teater. Jika anda tidak mahu kami meletupkannya, sila batal dan tolak persembahan Shen Yun Performing Arts di sini dengan segera!” kata e-mel itu kepada pengurusan teater.
Menurut e-mel yang diperolehi The Epoch Times, nama pengirim adalah nama keluarga Cina, dan subjek e-mel itu dibaca dalam bahasa Inggeris: “Teater telah dibom.” E-mel ancaman ini memaparkan nama pengirim yang berbeza daripada yang pertama.
“Jika persembahan bermula dengan jayanya, kami akan meletupkan bom ini secara langsung!!!” kata e-mel itu. Dilampirkan pada e-mel itu adalah imej dua bom. Imej yang telah disiarkan dalam talian sebelum ini.
Kakitangan teater mengosongkan tempat itu selepas menerima e-mel ancaman bom, dan penguatkuasa undang-undang tempatan menghantar skuad bom dan anjing pengesan K-9 untuk melakukan pencarian, tetapi tidak menemui apa-apa.
Jurucakap Jabatan Polis Santa Barbara memberitahu The Epoch Times bahawa ancaman bom itu “tidak berasas.”
“Sebagai langkah berjaga-jaga, penguatkuasa undang-undang memeriksa teater sepanjang hujung minggu dan tidak menemui sebarang jenis bahan letupan,” kata jurucakap berkenaan.
Jurucakap itu berkata kes dan maklumat “telah diajukan kepada FBI untuk siasatan lanjut.”
Ancaman ketiga berlaku pada hujung minggu yang sama di teater Vancouver, dengan persembahan tidak terjejas oleh insiden itu.
Jurucakap Jabatan Polis Vancouver memberitahu The Epoch Times, “Saya boleh mengesahkan bahawa ancaman bom diterima di teater pada petang Sabtu. Selepas siasatan dilakukan, didapati ancaman adalah palsu.”
Timbalan Pengarah Shen Yun New World Art Troupe, Chen Ying berkata: “Shen Yun menunjukkan kepada dunia tentang budaya Cina sebenar sebelum PKC merampas kuasa. Ia luas, mendalam, megah, dan menakjubkan. Ia juga menunjukkan visi yang menarik: tanpa PKC, China tidak akan pernah sama. Betapa indahnya untuk dihidupkan semula.
“Ini adalah perkara terakhir yang ingin dilihat oleh Parti Komunis China dengan jelas di pentas seluruh dunia, jadi sejak 15 tahun lalu, mereka telah menggunakan pelbagai cara untuk menghalang Shen Yun.
“Sudah tentu, kami mengambil kira ancaman ini dengan sangat serius dan memastikan pihak berkuasa dan penguatkuasaan undang-undang terlibat. Tetapi saya fikir ia juga penting untuk menyedari bahawa e-mel (ancaman) ini adalah usaha terakhir rejim untuk menyembunyikan kebenaran. Lebih penting lagi, mereka tidak akan berjaya,” katanya.
Bas persiaran dirosakkan
Pada 15 Mac, tayar dua bas persiaran Shen Yun telah ditoreh di Costa Mesa, California.
Modus operandi adalah sama seperti sebelum ini: hanya dipotong separuh daripada getah supaya tayar tidak kempis, tetapi apabila bas memandu di lebuh raya, tayar akan pecah, yang mungkin menyebabkan kemalangan jalan raya yang serius.
Laporan polis dari Jabatan Polis Costa Mesa memperincikan, “Terdapat potongan kira-kira 7 inci di dinding sisi tayar.”
Tayar bas persiaran Shen Yun telah ditoreh . (Gambar ihsan Shen Yun Security)
“Kerosakan itu kelihatan seperti torehan baru pada getah,” menurut laporan polis.
Oleh kerana insiden serupa kerosakan tayar pada bas pelancongan telah berlaku di bahagian lain di Amerika Syarikat dan Kanada, Shen Yun Performing Arts terpaksa menghantar anggota keselamatan untuk menjaga bas mereka pada waktu siang dan malam.
Di Costa Mesa, bas persiaran Shen Yun telah dibawa ke bengkel tempatan untuk penyelenggaraan rutin. Hanya selepas mengambil bas itu barulah didapati terdapat torehan pada tayar.
Laporan polis menyatakan Shen Yun Performing Arts “mengesyaki bahawa Parti Komunis China telah menghantar orang untuk mengikuti bas” ke pusat perkhidmatan dan “sengaja merosakkan bas semasa ia tidak dijaga.”
Polis masih menyiasat kejadian itu.
Tayar bas persiaran Shen Yun telah ditoreh . (Gambar ihsan Shen Yun Security)
PKC takut kepada Shen Yun
Trevor Loudon, pakar penyusupan komunis Barat, sebelum ini memberitahu The Epoch Times bahawa Parti Komunis China menganggap Shen Yun “sangat berbahaya” kerana ia komited untuk menghidupkan semula dan memaparkan budaya tradisional Cina.
“Apa yang mereka (Parti Komunis China) ingin katakan ialah China adalah budaya sosialis.” katanya.
Selama bertahun-tahun, populariti Shen Yun telah berkembang pesat, dan ia kini dipersembahkan di 200 bandar di seluruh dunia, dengan jumlah penonton melebihi sejuta orang setiap tahun. Persembahan Shen Yun menerima pujian daripada penonton teater di seluruh dunia. Pelakon Cate Blanchett menggelar persembahan Shen Yun sebagai “cantik”, manakala pengarang dan penceramah motivasi Tony Robbins menyifatkan persembahan itu sebagai “mengagumkan.”
Sebelum tiba di Amerika Syarikat, ramai artis Shen Yun telah dianiaya oleh Parti Komunis China di China kerana kepercayaan mereka terhadap Falun Gong.
Falun Gong ialah amalan kerohanian Cina purba yang berpegang pada prinsip “Sejati, Baik, Sabar”, mengamalkan latihan yang menenangkan, dan mencari sublimasi kerohanian.
Gambar oleh Noel Celis / AFP / Getty Images
Pada tahun 1999, bekas pemimpin PKC Jiang Zemin melancarkan penganiayaan terhadap kumpulan Falun Gong kerana tinjauan kerajaan China menganggarkan 70 hingga 100 juta orang mengamalkan Falun Gong, jumlah yang melebihi bilangan ahli PKC pada masa itu.
Penyokong hak asasi manusia menganggarkan berjuta-juta pengamal Falun Gong telah ditangkap secara salah, diculik, diseksa dan juga dianiaya sehingga mati di bawah rejim komunis China.
Untuk menakut-nakutkan artis Shen Yun, polis PKC mengganggu keluarga mereka di China, malah beberapa ahli keluarga artis itu dipenjarakan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedutaan dan konsulat Parti Komunis China di seluruh dunia telah menghantar surat ke pengurusan teater dengan meminta mereka menghentikan persembahan Shen Yun. Tetapi segala langkah ini sebahagian besarnya tidak berjaya.
“Pertama, mereka mengancam kerajaan untuk tidak membenarkan Shen Yun membuat persembahan. Apabila ini tidak benar-benar berkesan, mereka mula mengancam teater. Apabila ini tidak juga berkesan, mereka menoreh tayar bas kami,” kata Chen Ying.
Tayar bas persiaran Shen Yun telah ditoreh . (Gambar ihsan Shen Yun Security)
“Apabila itu tidak menghalang kami, mereka memulakan kempen fitnah dalam talian dan menghantar e-mel panik kepada pengurusan teater. Kini, mereka semakin jahat, menghantar e-mel ‘ancaman bom’ pula,” sambungnya.
Akhbar The Epoch Times baru-baru ini melaporkan sebagai tambahan kepada siri ancaman bom, artis Shen Yun juga terganggu dengan artikel fitnah yang ditulis dalam The New York Times terhadap Shen Yun.
Larry Liu, Timbalan Pengarah Pusat Maklumat Falun Dafa (FDIC), sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang menjejaki dan memantau penganiayaan Falun Gong, berkata menerbitkan artikel untuk menyerang Shen Yun dalam akhbar utama Amerika Syarikat akan memberi manfaat kepada usaha propaganda Parti Komunis China.
The New York Times mempunyai pejabat di China dan walaupun mengalami kemerosotan, mereka telah menumpukan tenaga yang besar untuk mengekal dan mengembangkan perniagaannya di sana dan memasuki pasaran media China.
SUBANG JAYA: Polis menembak mati lima penjenayah dipercayai aktif dalam lebih 50 kes samun dan rompak bersenjata di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lalu.
Suspek berusia antara 25 dan 30 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki kereta Perodua Axia oleh sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Persiaran Harmoni, Putra Heights, pada jam 11.30 malam 29 Mac.
Ketika diarah berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek yang juga warga tempatan memecut laju sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
Pasukan polis yang terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama pegawai JSJ kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur, cuba mengepung kereta berkenaan sebelum suspek merempuh bahagian belakang kenderaan polis.
Pada masa sama, suspek terus melepaskan tembakan, menyebabkan polis bertindak membalas tembakan demi mempertahankan diri.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek ditemui meninggal dunia di tempat kejadian, dan polis turut menemukan serta merampas dua senjata api yang digunakan suspek bersama parang serta pelbagai peralatan untuk kegiatan samun dan pecah rumah.
Sumber mendedahkan semua suspek mempunyai rekod dikehendaki polis atas kesalahan samun bersenjata api dan rekod jenayah lampau.
“Suspek dilaporkan aktif melakukan rompakan wang tunai dari van syarikat penghantaran, kilang, dan rumah individu yang menyimpan wang tunai serta barang kemas di kawasan sekitar Shah Alam, Puchong, Klang, Subang Jaya, Kajang, dan Sentul.
“Suspek juga didapati mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka,” menurut sumber.
Polis percaya ketika mereka ditahan, kesemua suspek mempunyai rancangan untuk melakukan jenayah samun dan rompakan bersenjata.
Dalam sidang media pada 30 Mac, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan lima perompak bersenjata yang ditembak mati dipercayai anggota “Geng Ninja Van”, kerana sentiasa menyasarkan premis perkhidmatan kurier dan peti keselamatan.
“Kumpulan ini kita gelar geng ‘Ninja Van’ kerana mereka gemar samun premis Ninja Van, kalau tidak silap ada 16 kes samun pejabat Ninja Van yang mana peti simpanan tunai menjadi sasaran mereka,” katanya.
Menurut Hussein, kumpulan itu berkemungkinan mempunyai orang dalam yang membocorkan maklumat mengenai peti keselamatan syarikat kurier berkenaan.
Siasatan mendapati kumpulan samun ganas dan rompakan bersenjata itu sudah aktif sejak 2022 dan polis percaya kumpulan ini juga mempunyai anggota melebihi lima orang.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (kiri) ketika Sidang Media Ketua Polis Selangor pada 30 Mac 2024. (Gambar Scoop)
“Setiap kali samun dilakukan mereka memakai topeng muka. Mereka juga licik dan membuat risikan dan intipan terlebih dahulu di lokasi sasaran sebelum menyamun. Ini kumpulan perompak yang ganas, pada bila-bila masa boleh cederakan mangsa,” katanya.
Tambah Hussein, polis percaya semua suspek tiada pekerjaan tetap selain siasatan lanjut turut dilakukan sama ada pembabitan dengan kongsi gelap.
Katanya, polis percaya suspek menetap dalam kawasan sekitar Klang dan menjalankan kerja samun di sekitar daerah itu selain Puchong, Bukit Jalil dan Cheras.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah setakat ini telah berjaya memadamkan lebih 97 peratus kawasan yang terbakar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Kota Kinabalu.
Kebakaran yang memasuki hari kelima itu setakat ini berjaya dikawal, namun pasukan bomba masih berusaha untuk memastikan api dipadam sepenuhnya.
Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda berkata, secara keseluruhan 97.25 peratus daripada 45.7 hektar kawasan yang terbakar meliputi tempat pembuangan tayar terpakai sudah dipadamkan.
“Daripada empat sektor yang dibahagikan, sektor D telah dipadamkan sepenuhnya, sektor A dan C sebanyak 95 peratus api dipadamkan dan sektor B tinggal satu peratus lagi belum dipadamkan.
“Operasi itu dikendalikan oleh 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah,” katanya.
Abdul Razak berkata, usaha pemadaman giat dilakukan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa.
Sementara itu, dalam perkongsian Facebook rasmi JBPM Sabah memaklumkan, pasukan bomba masih berjuang untuk memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut.
“Kami masih berjuang di sini,” tulis hantaran tersebut yang turut meraih simpati daripada warganet.