32.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 20, 2025
Utama Blog Laman 38

Motosikal hanyut dibawa arus deras banjir kilat berhampiran Tol Rawang

0

Hujan lebat pada sebelah petang dan awal malam di Lembah Klang pada 28 Mac telah mengakibatkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.

Dalam insiden banjir kilat yang berlaku berhampiran Tol Rawang di Selangor, rakaman video tular memaparkan sebuah motosikal telah hanyut akibat dibawa arus deras banjir.

Facebook

Video yang dirakam orang awam di lokasi berkenaan menunjukkan beberapa penunggang motosikal cuba meredah air banjir menyebabkan salah seorang daripadanya kehilangan motosikal setelah dihanyutkan arus deras.

Facebook

Banjir kilat selama kira-kira dua jam itu telah mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk di Tol Rawang dan semua jalan menuju ke kawasan berkenaan yang ditenggelami air.

Facebook

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula 29 Mac dan berterusan sehingga bulan Mei.

Facebook

Fasa itu menyaksikan negara bakal menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazim membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Kejadian ini akan berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.

Keadaan cuaca ini akan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

METMalaysia menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

Video di bawah:

Jambatan Baltimore runtuh, enam orang dianggap maut

0

BALTIMORE: Jambatan Francis Scott Key di Baltimore runtuh pada Selasa, 26 Mac 2024 pukul 1 pagi waktu tempatan dengan enam orang dianggap maut.

Reuters

Memetik laporan oleh Reuters, kejadian berpunca apabila sebuah kapal kargo bernama Dali dipercayai kehilangan kuasa telah melanggar salah satu tiang jambatan tersebut ketika melewati Sungai Patapsco.

Akibat pelanggaran itu, sebahagian kapal meletup dan mengeluarkan api manakala bekalan elektrik terputus menyebabkan semua lampu di jambatan terpadam.

Tidak lama kemudian, sebahagian besar jambatan jatuh terjunam ke dalam sungai apabila kapal berkenaan melanggar pilon jambatan tersebut.

Laporan awal polis mengatakan bahawa tiada petunjuk insiden berkenaan dikaitkan dengan keganasan.

Sementara itu Gabenor Maryland, Wes Moore berkata tiada isu berkaitan struktur jambatan yang dikenal pasti. Namun menurut jurutera, reka bentuk jambatan Baltimore itu menyumbang kepada keruntuhannya.

Reuters

Ketika kejadian berlaku, jambatan tersebut sedang dibaiki. Lapan orang pekerja jatuh pada ketinggian 56 meter ke dalam sungai di mana suhu sungai pada ketika itu ialah 8 darjah Celsius.

Menurut kajian bagi Federal Aviation Administration, suhu tersebut adalah had yang memungkinkan seseorang manusia terselamat sekiranya jatuh ke dalam air.

Polis negeri Maryland berkata enam orang pekerja yang hilang tersebut dianggap telah meninggal dunia. Manakala dua orang lagi berjaya diselamatkan dengan seorang tidak cedera manakala seorang lagi cedera parah.

Operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan kira-kira 18 jam selepas kemalangan itu, kata Pejabat Penjaga Pantai Amerika Syarikat dan Polis Negeri Maryland.

Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan yang semakin berbahaya di dalam air yang gelap dipenuhi serpihan runtuhan jambatan selain air yang sangat sejuk.

Reuters

Kolonel Polis Negeri Roland Butler berkata, pihak berkuasa berharap untuk menghantar penyelam dalam usaha mendapatkan semula mayat pekerja selepas matahari terbit pada hari Rabu.

Sejurus dilaporkan kemalangan tersebut, pihak berkuasa tempatan segera menyekat kenderaan lain daripada menggunakan jambatan berkenaan.

Dalam pada itu, dilaporkan juga kapal kargo Dali turut melabuhkan sauhnya bagi mengelakkan sebarang pelanggaran lain.

Kapal Dali yang membawa muatan sebanyak 4,679 kontena dilaporkan dalam perjalanan ke Sri Lanka. Semua 22 kru termasuk dua pengemudi kapal tidak mengalami sebarang kecederaan, kata pengurus kapal, Synergy Marine Group.

Pemilik berdaftar kapal bendera Singapura itu adalah Grace Ocean Pte Ltd. Kapal Dali berukuran 289 meter bersamaan panjang tiga buah padang bola sepak dari hujung ke hujung.

Difahamkan, kapal yang sama pernah terlibat dalam kemalangan di Pelabuhan Antwerp, Belgium pada tahun 2016. Kapal tersebut didapati melanggar bagan ketika cuba keluar dari terminal kontena Laut Utara.

Pemeriksaan seterusnya pada Jun 2023 yang dilakukan di San Antonio, Chila mendapati kapal tersebut mempunyai kekurangan “propulsion and auxiliary machinery”.

Jambatan Francis Scott Key merupakan salah satu daripada tiga cara untuk melintasi Pelabuhan Baltimore dengan 31,000 kenderaan menggunakan jambatan tersebut setiap hari atau 11.3 juta kenderaan setahun.

Jambatan yang mempunyai empat lorong lebar dan berada pada kedudukan 56 meter dari atas sungai itu dibuka pada tahun 1977 dan dinamakan sempena pengarang Star-Spangled Banner.

Reuters

Aktiviti di Pelabuhan Baltimore ditangguhkan lantaran insiden pelanggaran kapal kargo terhadap jambatan tersebut.

Menurut pakar, penutupan Pelabuhan Baltimore boleh menyebabkan kesesakan dan meningkatkan kelewatan penghantaran dan kos di sepanjang pantai Timur.

Biarpun aliran kontena ke Baltimore berkemungkinan dialihkan ke pelabuhan yang lebih besar, tindakan itu akan memberi impak besar dalam penghantaran kereta, arang batu dan gula.

Menurut Pentadbiran Pelabuhan maryland, Pelabuhan Baltimore merupakan pelabuhan Amerika Syarikat yang paling sibuk bagi penghantaran kereta dengan sekurang-kurangnya 750,000 kenderaan dihantar pada tahun 2023.

Pada tahun 2023 juga, Pelabuhan Baltimore merupakan pelabuhan kedua paling sibuk bagi eksport arang batu selain mesin pertanian dan pembinaan serta produk pertanian seperti gula dan garam.

Biden dalam satu kenyataan berjanji akan melawat Baltimore secepat mungkin dan berkata beliau ingin kerajaan persekutuan membayar kos untuk membina semula jambatan itu.

“Saya pergi ke sana, dan pasti, ia sudah tiada, seluruh jambatan itu hanya seperti, tidak ada apa-apa di sana,” Kata Jayme Krause, 32, saksi yang melihat kemalangan itu kepada Reuters.

Air Kelapa: Rahsia semula jadi mengatasi risiko strok haba!

0

Air kelapa merupakan minuman yang tidak hanya menyegarkan tetapi mengandungi rahsia semula jadi mengatasi risiko strok haba!

KKM

Air kelapa mengandungi elektrolit semula jadi seperti kalium, natrium dan magnesium.

Selain itu, air kelapa mengandungi kandungan kalori yang rendah namun kaya dengan vitamin, mineral dan asid amino yang penting untuk tubuh kita. Sebagai contoh, setiap 100ml air kelapa mengandungi kira-kira 22kcal tenaga, 5.6g karbohidrat, tanpa serat, protein atau lemak.

Manfaat air kelapa:

  1. Membantu menurunkan kolestrol.
  2. Membantu mengawal tekanan darah tinggi.
  3. Membantu membuang toksin melalui air kencing.
  4. Tinggi kandungan antioksidan.
  5. Rendah kalori.
  6. Membekalkan penghidratan dan elektrolit.
  7. Membantu mengawal suhu badan.
  8. Baik untuk kesihatan kulit.

Air kelapa juga membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan, menjadikannya pilihan yang baik selepas bersenam atau pada hari yang panas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di Facebook menyarankan orang ramai agar minum minuman yang dikatakan “penyejuk badan” ini.

Dalam pada itu, KKM turut mengingatkan orang ramai supaya elakkan daripada menambah gula ke dalam minuman tersebut agar lebih memberi manfaat kepada tubuh badan.

KKM juga telah mengeluarkan info grafik mengenai panduan kekal sihat ketika cuaca panas di bulan Ramadan menerusi hantaran di Facebook.

KKM

Panduan kekal sihat ketika cuaca panas di bulan Ramadan:

  1. Memakai topi / payung untuk melindungi daripada pancaran haba terus ke badan.
  2. Menggunakan kipas / penghawa dingin bagi menyejukkan badan.
  3. Mengekalkan hidrasi dengan minum air yang cukup dari waktu berbuka hingga bersahur.
  4. Memakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar.
  5. Mengehadkan masa di luar bangunan dan aktiviti fizikal luar.
  6. Tidak duduk di dalam kenderaan tertutup ketika penyaman udara tidak dihidupkan.
  7. Kurangkan minum minuman berkafein dan bergula.

Gelombang Haba adalah satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang agak panas.

Di Malaysia, Gelombang Haba ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian melebihi 37°C untuk tiga hari berturut-turut.

KKM mengingatkan orang awam untuk mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan perkembangan keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

MetMalaysia dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan bahawa fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac 2024 dan berterusan sehingga Mei 2024.

MetMalaysia

Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang telah bermula sejak 11 November 2023.

Semasa fasa peralihan monsun, kejadian ribut petir lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.

Sementara itu, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

Tiada bonus Aidilfitri untuk penjawat awam

0

KUANTAN: Tiada bonus Aidilfitri disediakan untuk penjawat awam pada tahun ini menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kosmo!

Hal ini dikatakan demikian berikutan pemberian insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam berjumlah RM2,000 yang diluluskan sebelum ini.

Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah menikmati manfaat insentif awal berkenaan.

“Kita baru luluskan RM2,000 dan ini lebih dari tahun sudah dan akan datang skim persaraan naikkan gaji.”

“Jadi kita akan lihat dari konteks itulah,” Kata Anwar selepas melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Mahkota Square.

Pada 15 Mac lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara sempena Aidilfitri.

Presidennya, Dr Adnan Mat berkata, pihaknya merayu supaya kerajaan pimpinan Anwar mengekalkan tradisi bantuan khas kerajaan sejak 10 tahun lalu.

Anwar walau bagaimanapun bertegas mengatakan bahawa pemberian insentif RM2,000 dan kenaikan gaji untuk skim persaraan merupakan berita terlalu baik untuk penjawat awam tahun ini.

Berkenaan isi penangguhan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) melibatkan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri Sarawak pula, perkara itu akan dijelaskan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada minggu hadapan.

“Saya sempat berbincang dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau telah memberikan beberapa kebimbangan dan pelbagai persoalan dibangkitkan.”

“Saya telah meminta Menteri Ekonomi untuk meneliti perkara ini dan menjelaskan kepada jemaah menteri minggu hadapan,” Katanya.

-Laporan Kosmo!

Kate Middleton tampil sahkan menghidap kanser, sedang jalani kemoterapi

0

Spekulasi mengenai ketidakhadiran Kate Middleton dari tugas awam terjawab apabila Princess of Wales mengesahkan sedang menjalani kemoterapi pencegahan susulan keputusan ujian yang diambil selepas menjalani pembedahan perut mendedahkan terdapat kehadiran kanser.

Kate, isteri pewaris takhta Britain, Putera William berusia 42 tahun, menyifatkan penemuan kanser itu sebagai “satu kejutan besar”.

Berita itu datang sebagai tamparan kesihatan baru kepada keluarga diraja Britain di mana Raja Charles III juga sedang menjalani rawatan kanser.

Tangkap Skrin / BBC

Kate menghabiskan dua minggu di hospital pada Januari selepas menjalani pembedahan di perut.

Bagaimanapun Kate berkata, ujian berikutnya telah mendedahkan kanser telah ditemui.

Jelas Kate menerusi mesej video, beliau kini berada dalam peringkat awal rawatan kemoterapi pencegahan selepas nasihat pasukan perubatan.

Menjelas lebih lanjut, Kate berkata, beliau dan Putera William telah melakukan segala yang mampu untuk memproses dan menguruskan perkara itu secara peribadi demi keluarga muda mereka.

Pada masa sama, Kate menjelaskan beliau dan William mahukan privasi mengenai kanser sehingga anak-anak mereka, Putera George, 10 tahun, Puteri Charlotte, 8 tahun, dan Putera Louis, 5 tahun, memulakan cuti sekolah yang bermula pada Jumaat.

Katanya, apa yang penting adalah untuk menjelaskan segala-galanya kepada anak-anak mereka dan meyakinkan bahawa beliau berada dalam keadaan baik.

Kate tidak pernah muncul di acara awam sejak beliau menyertai ahli keluarga diraja yang lain di gereja pada Hari Krismas tahun lalu.

Gambar oleh Yui Mok / WPA POOL / Getty

Bagaimanapun, video yang dirakam pada Sabtu lalu oleh orang awam yang diterbitkan oleh akhbar Sun menunjukkan Kate kelihatan sihat, berjalan dan membawa beg membeli-belah bersama suaminya di sebuah kedai ladang di Windsor, berhampiran rumah mereka.

Kate dalam video itu memohon orang awam untuk memahami dan memberikan masa, ruang dan privasi untuknya menyelesaikan rawatan dengan fokus kini adalah untuk memulihkan kesihatannya.

Kate adalah rakyat biasa pertama yang berkahwin dengan seorang putera raja yang bakal menaiki takhta Britain dalam tempoh lebih 350 tahun.

Dalam satu kenyataan, Raja Charles III dikhabarkan sangat bangga dengan Kate kerana keberaniannya membuat pengakuan mengenai kanser yang dihidapinya.

Baginda berkata akan kekal meneruskan hubungan paling rapat dengan menantunya itu.

Charles dan isterinya Camilla “akan terus memberikan kasih sayang dan sokongan mereka kepada seisi keluarga dalam mengharungi detik-detik yang sukar ini.”

Kate berkahwin dengan Putera William pada 2011 dan sejak itu telah menjadi salah seorang kerabat diraja paling popular.

Tanngkap Skrin / BBC

Sejak Januari, ketidakhadiran Kate dari tugas awam telah menyebabkan khabar angin tersebar tentang situasi kesihatan dan perkahwinannya dengan Putera William.

Khabar angin bertambah buruk selepas gambar yang dikongsi William dan Kate di media sosial pada Hari Ibu kemudiannya ditarik balik oleh agensi berita global kerana dikhuatiri telah disunting.

Kate kemudian mengeluarkan kenyataan di media sosial, memohon maaf atas kekeliruan yang disebabkan oleh gambar itu.

Pelajar ditemui maut di asrama kolej vokasional, 13 penghuni ditahan polis

0

Seorang pelajar lelaki ditemui maut di bilik asrama, dipercayai dibelasah rakan dalam kejadian di sebuah kolej vokasional, di Lahad Datu, Sabah pada awal pagi 22 Mac.

Mangsa Muhd Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas, pada 6.50 pagi.

Gambar PDRM

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Bertindak di atas laporan polis yang dibuat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.

Gambar PDRM

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di tingkat dua bangunan asrama lelaki kolej berkenaan dan kejadian benar berlaku berikutan penemuan satu mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik asrama kolej itu,” katanya dalam kenyataan media pada 22 Mac.

Menurutnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

“Pihak polis mengenal pasti punca kejadian mungkin perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.

“Seterusnya mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.

Gambar PDRM

Susulan kejadian, pihak polis telah menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun bagi membantu siasatan manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Dr Rohan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara telus dan terperinci dalam pelbagai sudut.

Makan malam bertukar tragedi cederakan tujuh beranak bila alat memasak ‘steamboat’ meletup

0

Makan malam tujuh beranak bertukar tragedi apabila dapur gas mudah alih untuk memasak ‘steamboat’ meletup dalam kejadian di sebuah restoran di Temerloh pada 9 Mac lalu.

Mangsa, Noraini Abdullah, 53, berkata, kejadian jam 7 petang itu berlaku sekelip mata ketika dia bersama suaminya, Ayob Harun, 59, dan empat anak mereka, Fatin Nabilah, 29, Arif Fauzan, 26, Arif Fahmi, 23, Arif Fahin, 21 serta menantunya iaitu suami kepada Fatin, Azrul Fazrin Asri, 28, sedang menjamu selera.

Facebook

Menurutnya, sebelum itu mereka terdengar bunyi letupan sebelum dapur gas melambung.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, kami tidak sempat mengelak dan semua terkena percikan api daripada dapur gas.

“Kami kemudiannya pergi ke klinik berhampiran mendapatkan rawatan awal sebelum pulang ke rumah di Bera,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.



Facebook

Noraini berkata, keesokan harinya mereka sekeluarga sekali lagi mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Triang sebelum diminta merujuk ke pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

“Keadaan suami dan anak kedua iaitu Arif Fauzan paling teruk melecur kerana membabitkan bahagian muka dan tangan.

Facebook

“Empat hari kami sekeluarga ditempatkan di wad dan sekarang ini kami berada di hospital swasta untuk pemeriksaan susulan,” katanya.



Tambahnya, mereka sekeluarga pernah datang ke restoran itu sebelum ini untuk menjamu selera dan tidak menyangka kemalangan berkenaan boleh berlaku.

Facebook

“Pemilik restoran ada berjumpa dengan kami dan memohon maaf,” kata Noraini.

“Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan kami berharap insiden sebegini tidak akan berulang lagi,” jelasnya.

Peluang saksi tengah hari ‘tanpa bayang’ di Putrajaya, Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Mac

0

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkongsi peristiwa ekuinoks yang akan berlaku pada minggu ini.

Melaluinya, matahari akan berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa pada sepanjang hari, membawa kepada peristiwa yang dinamakan ekuinoks.

Pada tahun ini, peristiwa ekuinoks akan berlaku pada Rabu, 20 Mac 2024.

PlanetariumNegara / X

Ketika hari berkenaan, seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang, iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.

Bagi beberapa kawasan yang benar-benar di atas garisan Khatulistiwa, ia turut membawa kepada peristiwa waktu tengah hari ‘tanpa bayang’.

Di Malaysia, waktu tengah hari tanpa bayang dijangka akan berlaku sedikit lewat selepas ekuinoks, iaitu pada 27 Mac 2024 di Putrajaya, dan 28 Mac 2024 di Kuala Lumpur serta bandaraya lain seperti jadual di bawah:

PlanetariumNegara / X

Apa itu ekuinoks?

Fenomena ekuinoks dijangka berlaku di negara ini sekitar 20, 21 Mac dan 23 September.

Ekuinoks merupakan satu fenomena astronomi apabila kedudukan matahari sejajar dengan Garisan Khatulistiwa. Ia menjadikan bumi dan matahari berada pada jarak paling dekat dalam sistem solar.

Gambar timeanddate.com

Pertukaran posisi matahari dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan menyebabkan suhu bumi meningkat selain jangka masa siang dan malam menjadi sama iaitu 12 jam.

Bagi fenomena ekuinoks di Malaysia, kebiasaan suhu dijangka antara 30 dan 35 darjah Celsius.

Starship terputus hubungan ketika patah balik ke Bumi

0

Starship terputus hubungan dan musnah ketika dalam perjalanan patah balik ke Bumi selepas hampir menyempurnakan ujian penerbangan ketiganya.

Twitter

Pada 14 Mac lalu, Starship berjaya diterbangkan ke angkasa dari Starbase iaitu pangkalan SpaceX yang terletak di Selatan Texas.

Walau bagaimanapun, selepas 50 minit mengelilingi orbit, roket terbesar dan terhebat pernah dicipta itu musnah ketika dalam perjalanan balik iaitu sebaik sahaja memasuki atmosfera Bumi.

Starship berkenaan sepatutnya mendarat secara belly-flop di Lautan Hindi. Namun terputus hubungan dan dipercayai terdisintegrasi dan jatuh ke laut.

“Kapal tersebut hilang. Jadi, tiada pendaratan air hari ini.”

“Namun sekali lagi, ia sangat luar biasa untuk melihat apa yang telah kita capai kali ini,” Kata Dan Huot dari SpaceX.

“SpaceX telah jauh berjalan,” Kata Elon Musk pengasas SpaceX.

SPACE

Dalam pada itu, NASA memuji kejayaan Starship milik SpaceX yang dikatakan mencapai “beberapa kepentingan utama” dalam perancangan menghantar angkasawan ke bulan pada masa akan datang.

Namun begitu, Nasa menyatakan masih banyak lagi “kerja” yang harus dilakukan.

“Dengan setiap ujian penerbangan, SpaceX cuba mencapai objektif yang semakin mencabar agar Starship mempelajari sebanyak mungkin demi pembangunan sistem misi masa depan,” Kata Lisa Watson-Morgan, pengurus program sistem pendaratan manusia (HLS) di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall NASA di Alabama dalam satu kenyataan.

“Kebolehan menguji sistem dan proses utama … membolehkan kedua-dua NASA dan SpaceX mengumpul data penting yang diperlukan untuk pembangunan berterusan HLS Starship,” Tambah Watson-Morgan.

Starship adalah pembekal HLS yang diberi tugas oleh NASA untuk mendaratkan angkasawan di bulan bagi program Artemis 3, yang kini dijadualkan untuk dilancarkan tidak lebih awal dari September 2026.

Dalam ujian penerbangan ketiga itu juga, SpaceX telah cuba untuk memindahkan bahan api di angkasa dari satu tangki Starship ke tangki yang lain. SpaceX dan NASA akan mengkaji data penerbangan dalam beberapa minggu lagi untuk melihat sejauh mana keberhasilannya.

Bahan api tersebut ialah cryogenic (telalu sejuk), dan jurutera mahu memastikan kestabilan Starship di angkasa tidak terjejas disebabkan operasi yang dilakukan, menurut NASA.

Kata agensi itu lagi, jurutera juga akan cuba melakukan pemindahan sebaik mungkin dengan memeriksa “pergerakan cecair di dalam tangki”.

Ini bertujuan untuk memastikan enjin Raptor (Starship) menerima keadaan bahan api yang diperlukan untuk menyokong penyalaan semula di orbit.

theguardian

Walaupun begitu, semasa penerbangan ujian Starship tersebut, jurutera terpaksa menggugurkan “penyalaan semula yang dirancang di orbit dengan satu enjin Raptor,”

SpaceX berjanji untuk melakukan penerbangan pantas Starship tidak lama lagi, dengan empat daripadanya setinggi 400 kaki (122 meter) telah dibina sebelumya untuk digunakan pada ujian akan datang.

Siva Bharadvaj, seorang jurutera operasi angkasa di Space X berkata semasa siaran pelancaran, salah satu daripada kapal angkasa itu telah menjalani ujian api statik sebelum ini.

Walau bagaimanapun, NASA telah menyatakan bahawa mereka mahu kejayaan berulang sebelum menempatkan angkasawan dalam Starship.

Pada Januari lalu, pelancaran Artemis 3 ditunda ke September 2026, kira-kira setahun selepas sasaran asal disebabkan kelajuan pembangunan Starship yang tidak memberangsangkan selain terdapat beberapa isu teknikal dengan kapal angkasa krew Orion NASA dan hal-hal lain.

Pada Jun 2023, pegawai agensi Jim Free mengatakan bahawa SpaceX perlu menyiapkan “sejumlah besar pelancaran” sebelum aktiviti program Artemis.

Dalam pada itu, NASA juga telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan tentang kelajuan pembangunan Starship dalam beberapa bulan yang lepas.

SpaceX bukanlah satu-satunya pengeluar HLS. Blue Origin juga mendapat kontrak NASA bagi perkhidmatan pendaratan bulan berawak.

Pada mulanya SpaceX secara tidak dijangka dipilih sebagai pemenang tunggal pada 2021 bagi kontrak HLS, setelah NASA berjanji untuk memilih beberapa pengeluar.

Kemudian, pada Oktober 2021, Senat Amerika Syarikat mengarahkan NASA untuk memilih syarikat kedia, dan agensi akhirnya memilik Blue Origin bagi sistem pendaratan Blue Moonnya.

Pelancong dari Korea terpegun melihat roti tisu

0

Baru-baru ini tular video pelancong dari Korea terpegun melihat roti tisu sebaik sahaja makanan yang dipesan sampai ke meja mereka.

YouTube

Lima orang pelancong dari Korea ini sedang menikmati pengembaraan mereka di Malaysia. Mereka memulakan pagi itu dengan mencari sarapan.

Ketika sedang berjalan-jalan, mereka terlihat sebuah restoran yang kelihatan menarik. Mereka dapat merasakan restoran itu menghidangkan makanan tempatan.

Memandangkan masing-masing kelaparan, mereka terus masuk restoran mamak tersebut, mencari meja kosong dan duduk.

Salah seorang daripada mereka memanggil pelayan dan bertanyakan kepada pelayan apakah makanan yang dicadangkan untuk mereka cuba.

Pelayan mengatakan bahawa roti tisu adalah makanan terbaik sambil menunjukkan menu kepada pelancong dari Korea berkenaan.

YouTube

Selepas melihat menu, mereka memesan lima keping roti tisu, tomyam, nasi, minuman lassi, jus nanas dan coca-cola.

Sebelum menulis pesanan, pelayan bertanyakan kepada pelanggan adakah benar mereka mahukan lima keping roti tisu.

Tanpa berfikir panjang, pelanggan mengesahkan pesanan tersebut. Mereka menanti pesanan sampai sambil berborak mengenai aktiviti yang akan dilakukan pada hari itu.

Tidak berapa lama kemudian, makanan yang dipesan pun siap dan pelayan mula menghantar pesanan minuman dan makanan tersebut ke meja mereka.

Namun sebaik sahaja melihat roti tisu yang dibawakan oleh pelayan, kelima-lima orang pelancong itu terdiam dan ternganga.

YouTube

“Apa ini?” Kata salah seorang pelancong.

“Betulkah awak pesan lima roti tisu?” Kata seorang pelancong yang lain.

Masing-masing kelihatan terpegun dan tidak menyangka roti tisu setinggi itu. Mereka mengira roti tisu itu kecil seperti gambar dalam panduan menu. Sebab itulah mereka memesan satu roti tisu untuk setiap orang.

YouTube

Masing-masing sibuk menguruskan roti tisu masing-masing. Dua pelancong bertopi menghidu roti tisu dan menjangkakan makanan itu enak menerusi keharuman baunya.

Pelancong berkaca mata berbaju kemeja-T putih cuba untuk menghidu roti tisu namun tiba-tiba roti tisu itu berderai. Dia kelihatan begitu terkejut dengan insiden tersebut.

Memandangkan roti tisunya sudah pun berderai, pelancong itu terus merasai sedikit roti tisu tersebut.

“Sedapnya!” Kata pelancong lelaki itu.

YouTube

Sebaik sahaja mendengarkan kata-kata rakannya, pelancong yang lain pun turut mencuba roti tisu masing-masing.

“Yelah, sedap!” Kata mereka bersetuju dengan keenakan roti tisu tersebut.

Tanpa menghiraukan pelanggan tempatan yang mengambil foto kerana menyaksikan adegan yang mencuit hati tersebut, pelancong berlima ini terus makan roti tisu mereka.

YouTube

Biarpun pada awalnya terkejut melihat rupa bentuk roti tisu tidak seperti yang digambarkan, mereka tidak melatah atau menyalahkan mana-mana pihak.

Mereka semakin selesa dengan keadaan roti tisu yang panjang, rangup dan lazat itu. Mereka menikmati roti tisu dengan begitu berselera sekali.

Dalam pada itu, mereka mengatakan bahawa tomyam yang dipesan itu juga enak rasanya. Kesimpulannya, mereka berpuas hati dengan hidangan di restoran mamak tersebut.

Selepas membuat bayaran, mereka meneruskan perjalanan mengembara sekitar Kuala Lumpur. Pasti kenangan di restoran mamak itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.