Seekor tapir mencuri tumpuan pada waktu awal pagi apabila haiwan itu terlepas kawalan dan bertindak melarikan diri dari Zoo Johor menuju ke pusat bandaraya Johor Bahru.
Video TikTok yang tular berdurasi 21 saat sempat dirakam pada minggu lalu apabila memaparkan anggota PERHILITAN dan APM dilihat mengejar seekor tapir bagi menyelamatkannya.
Tapir berkenaan terlepas dari Zoo Johor sebelum ditemui berkeliaran di Jalan Gertak Merah menuju Johor Bahru dalam kejadian pada 6 April.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang membuat rondaan Ops Prihatin bagi mengesan gelandangan, sebelum terserempak dengan tapir yang sedang berlari ke pusat bandar.
Anggota APM yang berkenaan kemudian menghubungi PERHILITAN bagi melakukan operasi penyelamatan bersama.
Insiden berkenaan berlaku sebelum sahur ketika anggota APM sedang membuat rondaan mengesan gelandangan untuk Ops Prihatin melalui laluan berkenaan.
Apabila ternampak kelibat seekor tapir yang sedang berlari menuju pusat bandar, anggota APM segera menghubungi PERHILITAN bagi tujuan penyelamatan selain mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Tapir berkenaan terlepas dari Zoo Johor yang terletak tidak jauh daripada lokasi ditemui.
“Anggota PERHILITAN dan APM akhirnya berjaya menangkap tapir berkenaan sebelum memindahkan semula ke Zoo Johor kira-kira jam 4 pagi, selepas kira-kira 40 minit dia melarikan diri,” kata jurucakap APM.