Gambaran peta Malaysia sekitar 21,000 tahun lalu ini menunjukkan bentuk asal sebuah daratan besar yang dikenali sebagai Pentas Sunda.
Pada waktu itu, Pentas Sunda atau Sundaland merupakan sebuah daratan besar yang menyatukan Burma (Myanmar), Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Semenanjung Malaysia, Borneo dan Singapura menerusi daratan seluas lebih 3.2 juta kilometer persegi.
Namun, apabila berlakunya kecairan air batu pada peringkat akhir Zaman Holosen di Asia Tenggara, sungai dan tasik mula terbentuk sehingga menenggelamkan Pentas Sunda.
Kesan fizikal pada rupa bentuk bumi itu jugalah yang dapat dilihat pada hari ini. Contohnya di bahagian barat daya Laut China Selatan dan Laut Jawa terbentuk.
Selat Sunda di antara pulau Sumatera dan Jawa, dan Selat Bali di antara pulau Jawa dan Bali terbentuk sekitar 10,000 tahun lalu. Selat ini menghubungkan Laut Jawa dengan Lautan Hindi dan memisahkan pulau Jawa dari Tanah Besar Asia.
Laut China Selatan dan Laut Jawa terhubung sekitar 9,000 tahun yang lalu, memisahkan pulau Kalimantan dari Tanah Besar Asia. Selat Melaka di antara pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia terbuka sekitar 8,000 tahun lalu menghubungkan Laut China Selatan dan Lautan Hindi dan memisahkan pulau Sumatera dari Semenanjung Malaysia di Tanah Besar Asia.
Kedudukan Malaysia yang strategik di Pentas Sunda telah menyebabkan ia menjadi pusat perdagangan dan budaya sejak zaman dahulu.
Menurut Dhani Irwanto, penulis buku Sundaland: Tracing the Cradle of Civilizations, nama “Sundaland” pertama kali dicadangkan oleh Van Bemmelan pada tahun 1949, diikuti oleh Katili (1975), Hamilton (1979) dan Hutchison (1989), untuk menggambarkan teras benua Asia Tenggara yang membentuk bahagian selatan plat Eurasia.
Di kawasan-kawasan yang lebih panas di dunia, iklim maksimum semasa glasier terakhir adalah lebih sejuk dan hampir di mana-mana sahaja kawasan menjadi kering.
Walaupun suhu udara tidak banyak berubah dari musim ke musim atau dari satu kawasan ke kawasan yang lain, namun suhu yang lebih sejuk mendominasi di ketinggian yang lebih tinggi.
Sundaland mempunyai kira-kira 25,000 spesies tumbuhan yang berbeza. Sebanyak 15,000 daripadanya adalah endemik di kawasan itu dan tidak boleh dijumpai di mana-mana pun. Antara tumbuhan unik yang masih boleh ditemui pada hari ini ialah Rafflesia.
Sementara itu, sejumlah 173 daripada 381 spesies mamalia yang berasal dari Sundaland telah endemik di kawasan ini. Manakala 146 daripada 771 spesies burung juga telah endemik di kawasan tersebut.
Buku bertajuk Sundaland: Tracing the Cradle of Civilizations ini boleh dibaca atau dimuat turun melalui Google Books, Google Play atau dibeli terus di Amazon.
Tonton perubahan Pentas Sunda hingga membentuk Malaysia hari ini menerusi video berikut.