Siapa yang tidak kecewa apabila kereta yang baru dibeli dua bulan mengalami kegagalan brek berkali-kali dan situasi itu benar-benar membahayakan nyawa pemiliknya.
Pemilik kereta Chery Omoda 5 dikenali Jc Jess kecewa dalam keluhan menyatakan kebimbangannya apabila kereta baru yang dibelinya sejak 2 bulan lalu mengalami kegagalan brek berkali-kali yang mengundang bahaya kepada nyawanya.
“Bilakah saya akan dapat memandu dalam keadaan tenang?” keluhnya.
Jc Jess menyiarkan video tular di Facebook mengenai insiden itu dengan mendedahkan dia memandu kereta barunya selama dua bulan, tetapi telah mengalami kegagalan brek selama beberapa kali dengan perjalanan kenderaan baru mencecah lebih 3,000 kilometer, yang membuatnya berasa sangat kecewa.
Dalam videonya, Jc Jess ternyata amat tertekan sambil menunjukkan semasa kereta sedang dipandu, dia menekan brek dan keretanya tidak berhenti, membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta itu.
Jc Jess telah beberapa kali membangkitkan masalah brek itu kepada Pusat Servis Chery Malaysia dan sebaik sahaja mengambil keretanya dan memandu di atas jalan raya, masalah brek berkenaan masih gagal diperbaiki menyebabkan dia berasa ketakutan dan kecewa.
Katanya, dalam tempoh 2 bulan, kereta baharu itu telah dihantar ke pusat servis untuk dibaiki sebanyak 7 kali.
“Saya hampir kehilangan nyawa! Ini adalah masalah yang sangat serius. Berapa banyak perjalanan yang perlu saya tempuhi sebelum masalah kegagalan brek benar-benar dapat diselesaikan?
Adakah anda tahu betapa bahayanya memandu kereta dengan brek yang tidak berfungsi? Ini telah mengancam nyawa saya dengan serius,” katanya.
Hantarannya telah menarik perhatian warganet yang berkata mereka juga menemui masalah dengan kereta baharu mereka.
“Baru-baru ini, kereta baharu pelbagai jenama nampaknya menghadapi masalah..”
“Saya fikir hanya kereta keluaran dalam negara yang akan menghadapi masalah, tetapi sekarang kereta keluaran luar negara pun penuh dengan masalah.”
Isu serius Omoda 5 berkenaan telah menerima maklum balas Chery Malaysia selepas Naib Presiden Chery Malaysia Lee Wen Hsiang mengeluarkan satu kenyataan berhubung satu video tular dimuat naik Jc Jess yang mendakwa isu brek keretanya tidak ditangani secara berkesan dan ‘hampir meragut nyawanya’.
Pihak Chery Malaysia dalam kenyataan di Facebook berkata mereka mengambil perkara ini dengan sangat serius dan keselamatan para pelanggan adalah satu keutamaan.
Kata mereka, Chery Malaysia telah berhubung dengan pelanggan terlibat sejak 6 April untuk menangani masalah tersebut dan telah menawarkan sebuah kereta bagi kegunaan sementara kepadanya.
Mereka turut menekankan untuk komited dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini, serta berazam untuk memastikan bahawa semua kenderaannya memenuhi standard keselamatan tertinggi.