Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengadap pengasas dan pengerusi KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Chai Kee Kan di Istana Negara pada 3 April susulan isu penjualan stoking kalimah ‘Allah’.
Chai memohon ampun dan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong serta umat Islam keseluruhan atas kegagalannya membiarkan penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ di kedai serbaneka KK Super Mart.
Kecuaian pengurusan KK Super Mart telah mengakibatkan beberapa tangkapan dan menyebabkan tiga kedai KK Mart menjadi sasaran serangan ‘molotov cocktail’.
Dalam hantaran di Facebook, Yang di-Pertuan Agong menegaskan semua pihak termasuk KK Super Mart supaya lebih berhati-hati dengan produk yang dijual terutama barangan import bagi mengelak isu serupa tidak lagi berulang.
“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab, jangan pisang berbuah dua kali, dan saya harap ini kali terakhir saya perlu tegaskan perkara ini,” titah baginda sambil menambah tiada siapa yang harus mengambil kesempatan daripada isu itu atau menghasut rakyat.
Titah Yang di-Pertuan Agong muncul di tengah-tengah kontroversi berikutan kegagalan itu, termasuk boikot yang bertujuan untuk menghukum rangkaian kedai serbaneka berkenaan.
Ini termasuk hasutan berterusan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang menuntut KK Super Mart mempamerkan kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.
“Kami akan memberi pengajaran kepada mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook pada bulan lalu.
Di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat, majlis tertinggi UMNO pada 3 April, mengarahkan Akmal berhenti memainkan isu itu, lapor Berita Harian.
Pada 13 Mac lalu, tular satu gambar dimuat naik pengguna yang menunjukkan kalimah Allah tertera pada stoking yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, yang membangkitkan kemarahan umat Islam kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.
Yang di-Pertuan Agong turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka itu.