KUALA LUMPUR: Suspek yang melepaskan tembakan ke arah isterinya dan mencederakan seorang pengawal peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi 14 April mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek ditahan Februari lalu kerana melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, yang membuat dua laporan terhadapnya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2016 dan 2023.
Katanya, suspek turut mempunyai satu lagi rekod jenayah di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.
“Laporan berkaitan Seksyen 506 terbaharu adalah pada Disember lepas. Hasil laporan itu, suspek ditahan polis. Kami hantar kertas siasatan namun ada beberapa arahan lain perlu dilaksanakan. Mengambil iktibar insiden terakhir, isteri suspek telah menggaji pengawal peribadi” kata Shuhaily.
Beliau berkata, suspek mendapatkan pistol itu secara haram kerana tidak memiliki permit senjata api.
“Apa yang berlaku pagi tadi telah berlaku,” katanya dalam sidang media di KLIA, Sepang.
“Saya sarankan suspek supaya datang ke mana-mana balai dan serah diri secara aman. Jangan ikutkan amarah kita, ia akan memburukkan lagi keadaan.”
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, seorang pengawal peribadi cedera parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 1.30 pagi 14 April.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
Suspek yang dikenal pasti Hafizul Harawi, 38 tahun dipercayai sudah melarikan diri ke utara dan sedang diburu polis.
Shuhaily berkata, siasatan awal menunjukkan motif kejadian akibat masalah peribadi antara pasangan itu yang memiliki sebuah agensi pelancongan serta dikatakan dalam proses bercerai, dengan mangsa dipercayai di peringkat awal kehamilan.
Dalam kejadian awal pagi itu, suspek pada mulanya melempar mercun hingga mencederakan dua orang awam, sebelum menghampiri mangsa yang diiringi dua pengawal peribadi dan melepaskan dua tembakan pada jarak 3 hingga 4 meter.
Menurutnya, pengawal peribadi yang terkena tembakan di perut kini dalam keadaan kritikal.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.