Apabila gempa bumi melanda pantai timur Taiwan pada pagi 3 April, sekumpulan jururawat berkata mereka “tidak mempunyai masa untuk takut.”
Rakaman video memaparkan ketika gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda sejurus sebelum pukul 8 pagi, empat jururawat berlari masuk ke dalam sebuah bilik di Pusat Jagaan Selepas Bersalin Ma Chérie di Taipei untuk melindungi lebih sedozen bayi baru lahir yang ditempatkan.
Berbanding bertindak melindungi diri sendiri, mereka tergesa-gesa bekerja keras untuk memindahkan semua inkubator ke tengah-tengah ruang supaya berada jauh dari dinding.
Mereka menahan dengan erat bersama-sama demi melindungi kesemua bayi itu ketika bilik bergegar dengan kuat akibat gempa.
“Apabila gempa bumi melanda, kami tidak mempunyai masa untuk takut, keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan bayi,” kata jururawat Aly kepada CNA.
Ketua jururawat Elaine juga mengimbau detik menakutkan apabila semua jururawat yang bertugas bertindak segera, dan berkata ia adalah sebahagian daripada naluri mereka untuk melindungi bayi yang baru lahir.
“Mereka yang bekerja dalam penjagaan kesihatan boleh berhubung,” katanya. “Semoga tindakan kami memberi inspirasi kepada orang lain untuk bertindak demi kebaikan.”
Rakaman CCTV yang tular itu merakam tindakan pantas jururawat ketika mereka memegang inkubator bayi yang baru lahir demi memastikan keselamatan si kecil di tengah-tengah gegaran.
Video itu menunjukkan adegan dramatik di unit bersalin ketika bangunan hospital mula bergegar dengan jururawat terbabit beraksi pantas bagai wira.
Keutamaan mereka adalah jelas, iaitu melindungi bayi baru lahir yang terdedah kepada bahaya.
Kelihatan mata mereka meliar ke arah tingkap berdekatan, sumber berpotensi serpihan terbang yang boleh membahayakan bayi.