25.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 14, 2025
Utama Blog Laman 363

Taktik seludup dadah dengan cara yang tidak disangka-sangka, hati-hati semua!

0

Hari ini terlalu banyak taktik yang sering digunakan oleh penjenayah untuk menyeludup dadah masuk ke sesuatu tempat. Terkadang kita sendiri tidak terfikir taktik tersebut digunakan semata-mata untuk mengaburi mata orang ramai terutama pihak berkuasa.

Salah satu lagi taktik menyeludup dadah terbongkar. Percaya atau tidak dengan menggunakan sebuah kad ucapan, dadah boleh diseludup! Apa yang paling tidak sangka kuantiti dadah yang diletakkan di dalam kad tersebut juga banyak. Memang tidak terfikir langsung!

Sekali lihat nampak seperti kad ucapan biasa, tiada yang tidak kena…

Kad bercorak tersebut mula dibuka satu-persatu…

Akhirnya sebuah plastik dadah ditemukan!

Video tersebut telah dimuat naik ke laman Facebook oleh seorang netizen, Nyi Nyi Han dengan kapsyen, ‘jangan menolong orang lain membawa barang semasa anda pergi ke luar negara, walaupun kad jemputan atau album gambar yang indah’.

Status tersebut telah menerima pelbagai reaksi pengguna Facebook dan telah dikongsi lebih daripada 12,000 kali.

Jadi, kepada anda semua di luar sana, hati-hati apabila menerima sesuatu daripada orang yang tidak dikenali kerana penjenayah hari ini memang banyak akal untuk menipu.

Hujan meteor atau serpihan roket? Penduduk Washington dakwa melihat cahaya misteri di langit pada malam Khamis lalu

0

Baru-baru gempar di media sosial apabila beberapa orang memuat naik video yang dirakam menunjukkan seperti ada suatu cahaya di langit. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di kawasan Pasifik Barat Laut Amerika Syarikat pada malam Khamis lalu. Beberapa orang penduduk telah merakam kejadian tersebut dan memuat naik ke laman Twitter.

Ada antara netizen yang berpendapat bahawa cahaya tersebut berpunca daripada serpihan roket kerana berlakunya pelancaran roket angkasa baru-baru ini.

“Objek terang yang dilaporkan di langit adalah puing-puing dari roket Falcon 9 ke-2 yang tidak berjaya membuat pembakaran deorbit,” tulis laman web Perkhidmatan Cuaca Nasional (NSW) di Seattle.

Kenyataan NWS merujuk kepada tweet oleh Jonathan McDowell, pakar astrofizik di Harvard-Smithsonian Center for Astrophysics, yang menyatakan bahawa cahaya tersebut sebenarnya berpunca daripada serpihan roket yang memasuki atmosfera bumi.

Menurut McDowell lagi, pelancaran Starlink pada 4 Mac lalu gagal membuat ‘pembakaran deorbit’ dan kini masuk semula ke bumi setelah 22 hari berada di orbit. Kemasukannya kembali dapat dilihat di kawasan Seattle pada sekitar 0400 UTC pada 26 Mac.

Selain itu, SpaceX pula melaporkan bahawa fasa pertama Falcon 9 telah mendarat pada hari Rabu di kawasan luar pesisir Florida.

“Pada hari Rabu, 24 Mac pukul 4:28 EDT, SpaceX melancarkan 60 satelit Starlink dari Space Launch Complex 40 (SLC-40) di Cape Canaveral Space Force Station di Florida,” tulis SpaceX di laman web mereka.

“Ini adalah pelancaran dan pendaratan keenam Falcon 9 fasa pada pertama ini, yang sebelumnya menyokong pelancaran GPS-III Space Vehicle 03, Turksat 5A, dan tiga misi Starlink. Separuh daripada pelancaran Falcon 9 menyokong misi Sentinel-6A dan yang lain menyokong misi Starlink sebelumnya.”

Cahaya pertama dilihat sekitar jam 9 malam dan tiada kesan yang berlaku di kawasan sekitar. Selain di Seattle, cahaya aneh tersebut turut dapat dilihat di sekitar Oregon dan Victoria, B.C.

Pemain Selangor II digantung 1 perlawanan kerana tunjuk simbol sokong protes anti-kerajaan di Myanmar

0

Seorang pemain bola sepak untuk pasukan Selangor II dalam M-League, Hein Htet Aung telah digantung satu perlawanan kerana menunjukkan simbol berbaur politik ketika perlawanan.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Jawatankuasa Disiplin FAM mendapati tindakan pemain dari Myanmar yang berusia 19 tahun itu sebagai ‘tidak bersemangat sukan’.

Dia difahamkan telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) dengan kelakuan itu semasa menentang PDRM FC pada 6 Mac lalu.

Selangor FC/Twitter

Sehubungan itu, Hein tidak dibenarkan untuk menyertai perlawanan seterusnya iaitu perlawanan menentang Perak FC II yang dijadualkan pada 2 April.

Dia juga turut diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat jika didapati mengulangi kesalahan yang sama.

Hein Htet Aung didapati menunjukkan hormat tiga jari iaitu simbol atau ‘three-fingered salute’ iaitu simbol yang digunakan masyarakat dalam menentang rejim autoritarian di Asia Tenggara.

Twitter

Simbol tersebut lazimnya digunakan oleh puak penunjuk perasaan yang memprotes tampuk pemerintahan Myanmar yang diambil alih oleh tentera.

Keputusan penggantungan Hein menyaksikan banyak sokongan diterimanya daripada aktivis dan pergerakan belia rentas sempadan, Milk Tea Alliance.

Milk Tea Alliance Malaysia turut menzahirkan kekecewaan atas hukuman yang diterima Hein susulan insiden itu.

@MYmilkteh/Twitter

Dalam pada itu, wartawan Myanmar ada menulis bahawa Hein akur dengan keputusan dan hukuman yang diterimanya kerana melanggar kod etika bola sepak.

 “Namun saya lakukannya dengan etika kemanusiaan”, ujar Hein.

Menginspirasikan Jabal Rahmah sebagai tema, pelamin perkahwinan Neelofa turut dihiasi dengan empat tan bunga segar

0

Rasanya satu Malaysia teruja dengan perkahwinan yang ditunggu-tunggu tahun ini. Perkahwinan siapa lagi kalau bukan perkahwinan artis popular tanah air, Neelofa yang juga merupakan usahawan berjaya.

Pagi semalam detik yang ditunggu akhirnya tiba apabila Neelofa selamat diijab kabul dengan pasangannya, PU Riz. Majlis serba indah dan penuh gemilang itu telah berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

neelofa/Instagram

Antara perkara yang paling menarik sepanjang majlis pastinya apabila melihat sahaja keindahan luar biasa pelamin mereka. Bagi yang tidak tahu, pelamin tersebut diinspirasikan daripada Jabal Rahmah, yang merupakan tempat pertemuan semula antara Adam dan Hawa setelah terpisah ratusan lamanya.

neelofa/Instagram

Selain mengambil Jabal Rahmah sebagai inspirasi, pelamin perkahwinan mereka juga dikatakan menggunakan empat tan bunga segar!

neelofa/Instagram

Terdapat tujuh jenis bunga berwarna putih yang menjadi pilihan dan antaranya ialah mawar, orkid dan ‘baby breath’.

Dengan menggunakan khidmat pakar perunding perkahwinan, Reka Teemor, pelamin tersebut dikatakan mengambil masa sekitar satu bulan untuk disiapkan.

Sempena Hari Polis, dua ekor anjing terlatih diberi anugerah atas pencapaian membantu polis selesaikan kes berprofil tinggi

0

Sempena Hari Polis ke-214, dua ekor anjing baka German Shepherd dari Unit K9 Johor telah diberikan anugerah kerana berjaya menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi.

Menurut New Straits Times, anjing jantan berusia tiga tahun, Mailo dan Barny, itu telah membantu pasukan polis dalam mencari mayat, menyiasat kes rompakan dan mencari orang hilang.

Pada 25 Mac, Mailo dan Barny diberikan pingat Jasamu Dikenang oleh ketua polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam sidang media, Ayob memberitahu Malay Mail bahawa anjing-anjing itu telah berkhidmat dengan kontinjen polis Johor sejak dua tahun yang lalu, dan telah banyak memberi sumbangan kepada kontinjen mereka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara keseluruhan.

Kosmo!

Anugerah tersebut diterima oleh pelatih mereka, L / KPL K Thiru dan L / KPL Calvin Maluni, yang lemudian meletakkan pingat pada leher Mailo dan Barny.

Antara kejayaan yang dicapai oleh Mailo dan Barny ialah apabila mereka dapat mengesan mayat seorang wanita berusia 38 tahun di Kota Tinggi yang dibunuh oleh suaminya pada awal bulan ini.

Yahoo! News

Ayob memberitahu Kosmo!, “Mailo dan Barny juga berjaya membantu kami menyelesaikan kes pembunuhan seorang pesara polis, Su Kim Chiang, 57, dengan penemuan mayat yang dikebumikan di ‘kubur’ di Kahang Selatan, Kluang tahun lalu.”

Pelatih Barny, Calvin, mengatakan bahawa ini adalah anugerah pertama mereka sejak dia mula melatih Barny pada tahun 2019.

Polis Johor (Facebook)

Menurut New Straits Times, Calvin mengatakan, “Kami memulakan latihan pada November 2019. Dia (Barny) ramah dan suka dimanjakan pada waktu lapang … tetapi di tempat kerja dia garang.”

Sementara itu, Mailo digambarkan sebagai seekor anjing yang sangat bekerjasama semasa bekerja.

Polis Johor (Facebook)

“Melatih Mailo tidaklah sukar kerana suka dimanjakan dan patuh. Anjing tersebut juga menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan,” beritahu Thiru pula.

Mereka adalah antara 139 penerima Anugerah Ketua Polis Johor, yang disampaikan semasa Majlis Perhimpunan Hari Polis yang diadakan di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Polis Johor (Facebook)

Selain itu seramai 27 pegawai dan anggota polis telah diberikan Anugerah Integriti dari Ketua Polis Negara (IGP).

PDRM tawar diskaun 50 peratus bagi kompaun saman trafik sehingga 11 April jika guna aplikasi MyBayar Saman

0

Rakyat Malaysia yang mempunyai saman kompaun trafik PDRM kini boleh menikmati tawaran diskaun sehingga 50 peratus sehingga 11 April sekiranya membayar saman trafik menggunakan portal dan aplikasi MyBayar Saman.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan portal dalam talian dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman pada 25 Mac 2021, dan Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan diskaun sehingga 50 peratus untuk kompaun saman trafik bermula 25 Mac hingga 11 April bagi mereka yang menggunakan portal dan aplikasi MyBayar Saman.

JSPTPDRM/Facebook

“Menerusi aplikasi ini orang awam tidak perlu bersesak di kaunter bayaran sedia ada seperti sebelum ini dan mudah melakukan pembayaran saman secara dalam talian,” katanya ketika melancarkan sistem bayaran saman MyBayar Saman di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

PDRM berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus kutipan saman trafik menerusi pembayaran automatik sepenuhnya menjelang tahun 2022. 

Pengguna hanya perlu mendaftar di portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my atau muat turun aplikasi MyBayar Saman di Google Playstore atau Apple Store, dan anda akan dapat membayar saman trafik dengan mudah.

MyBayar Saman

Bagaimanapun, TIDAK semua kesalahan trafik diberikan diskaun. Kesalahan utama trafik berikut adalah tidak terpakai dalam penggunaan aplikasi MyBayar Saman:

  • Memandu di lorong kecemasan.
  • Memandu melebihi had laju.
  • Menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
  • Memotong garisan berkembar di jalan raya.
  • Tidak mematuhi dan melanggar lampu isyarat.

Nenek ini akan taip ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ setiap kali buat carian di Google. Comelnya nenek!

0

Semua individu bergantung kepada enjin carian seperti Google dalam kehidupan seharian. Apa sahaja yang kita cari, jawapannya pasti ada di Google. Kebiasaannya, kita hanya perlu menaip sesuatu yang ringkas tanpa perlu menghuraikan lebih lanjut.

Tetapi nenek berusia 86 tahun ini telah menjadi buah mulut warganet setelah cucunya memuat naik sejarah carian Google nenek ini. Apa yang menghiburkan adalah cara nenek ini membuat carian dengan memasukkan perkataan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ di dalam carian tersebut.

Kisahnya bermula apabila cucu nenek ini yang bernama Ben John telah berkunjung ke rumah neneknya. Ketika sedang membantu nenek tercinta mengemas rumah, Ben tanpa sengaja telah melihat skrin komputer riba neneknya dan terus mengambil gambar sebelum memuat naik gambar tersebut ke media sosial.

“Ketika saya sedang membasuh pakaian, saya terlihat skrin komputer riba nenek dan mendapati nenek sedang membuat carian di internet. Ketika melakukan carian maklumat, nenek akan menambahkan perkataan tolong dan terima kasih seperti dia sedang berinteraksi dengan manusia”.

Ben telah bertanya kepada neneknya tentang isu itu. Rupa-rupanya, nenek yang comel ini menyangka Google merupakan manusia sebenar yang akan membalas setiap persoalan daripada pengguna internet!

Penularan tweet berkenaan bukan sahaja menarik perhatian warganet tetapi juga Google sendiri apabila Google turut membalas tweet berkenaan dengan menyatakan bahawa carian nenek itu benar-benar membuatkan pihaknya terhibur.

“Ke hadapan nenek, terima kasih tidak diperlukan”.

“Harap nenek dalam keadaan sihat. Dalam berbilion carian di seluruh dunia, carian daripada nenek membuatkan kami tersenyum”.

Pengantin perempuan bersaiz kecil molek, ramai tak sangka umur sebenarnya mencecah 27 tahun

0

Jodoh pertemuan itu terletak di tangan Allah yang maha Esa. Kalau dia jodoh yang telah dijanjikan, kita tetap akan bersamanya juga. Bagi yang belum bertemu jodoh, percayalah Allah maha tahu saat yang tepat untuk membahagiakan anda.

Bila berbicara soal jodoh, ramai yang telah menetapkan ciri-ciri pasangan idaman. Ada yang mencari seseorang yang manis dipandang, berbudi pekerti, berharta, mempunyai ilmu agama dan lain-lain lagi. Tapi sedarkah anda, cinta memerlukan keikhlasan dan sanggup menerima segala kekurangan diri masing-masing.

Baru-baru ini, telah tular di laman TikTok memaparkan pengantin perempuan memiliki fizikal tubuh kecil molek seperti kanak-kanak perempuan yang comel. Jika berdiri bersebelahan dengan pengantin lelaki, ketara sungguh perbezaan dari ketinggian.

Oleh kerana bentuk fizikal yang kecil itu, ramai yang menyangka usia pengantin perempuan masih muda. Rupa-rupanya usianya telah pun mencecah 27 tahun. Menerusi video tersebut juga, salah seorang rakan pengantin perempuan telah memuat naik beberapa gambar sekitar majlis perkahwinan dan majoriti warganet memuji penampilan pengantin perempuan yang comel.

Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih sehingga 25K tanda suka dan ribuan komen. Antaranya :

“Comelnya. Semoga bahagia kekal ke jannah”.

“Kalau jalan dengan isteri mesti orang tanya adik ke?”.

“Bertuah dia dapat lelaki yang tak memilih rupa. Selamat pengantin baru. Siapa kita nak pertikai jodoh dari Allah kan”.

Anak mahu ke Sentosa Aquarium, bapa kreatif ini sebaliknya bawa ke pasar untuk lihat ikan

0

Mana ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sedaya upaya cuba untuk memenuhi permintaan anak-anaknya bukan?

Terutamanya buat anak kecil. Lumrahlah anak yang masih kecil meminta untuk dibawa berjalan dan melawat ke tempat-tempat menarik seperti zoo ataupun pameran hidupan akuatik.

Itulah permintaan oleh seorang kanak-kanak lelaki dari Singapura, yang meminta agar bapanya, Radee Ibrahim membawanya ke Sentosa Aquarium.

Malangnya, Radee tidak mempunyai bajet lebih untuk membawa anaknya ke sana. Namun, bapa kreatif itu punyai cara tersendiri untuk memenuhi permintaan anaknya.

“Anak saya mahu lihat ikan di Sentosa Aquarium. Bajet saya pula tidak mencukupi jadi saya bawanya ke pasar sahaja untuk melihat ikan”, tulis Radee di Facebook.

Tambah Radee, anaknya yang pelik ada juga bertanya mengapa ikan-ikan di situ tidak lagi bergerak dan jawapannya ringkas sahaja, “Semua ikan sedang tidur”.

Walaupun tidak dapat ke lokasi yang dipinta anaknya, namun misi anaknya untuk melihat ikan-ikan dapat juga dilaksanakan.

Ia juga sebenarnya sudah cukup bermakna kerana masa yang dihabiskan bersama itu pasti akan diingat oleh si anak sampai bila-bila.

Perkongsian tersebut ternyata mendapat banyak perhatian netizen dan menerima lebih 13,000 reaksi.

Bagus juga apa yang dilakukan Radee bukan? Anda setuju atau tidak? Kongsikan pendapat masing-masing..

Indonesia tenggelamkan empat kapal nelayan Vietnam yang menceroboh, menangkap ikan secara haram di perairan Borneo Barat

0

JAKARTA – Indonesia meletup dan menenggelamkan empat kapal nelayan Vietnam yang memasuki perairan negara itu secara haram di perairan Pulau Datok, Kalimantan Barat pada 25 Mac, demikian kenyataan seorang pegawai.

Pemangku Pengarah Pengendalian Pelanggaran Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Nughroho Aji berkata, keempat-empat kapal nelayan haram dari Vietnam itu memiliki badan kapal dengan nombor bilangan BV 5248 TS (90GT), BV 5688 TS (80GT), Suria Timur (105GT), dan KG 93255 TS (115 GT).

“Kapal-kapal itu ditahan oleh pasukan maritim kerana menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia,” kata Aji.

Facebook

Ketua Pegawai Pendakwa Tinggi Kalimantan Barat, Masyhudi pula berkata tindakan menenggelamkan semua kapal berkenaan dilakukan sebagai langkah pencegahan dan pemberitahuan kepada pemilik kapal dan nelayan negara lain yang menceroboh perairan Indonesia untuk menangkap ikan secara haram.

“Penenggelaman semua kapal dilakukan berdasarkan keputusan yang telah ditetapkan oleh mahkamah menurut peruntukan undang-undang,” tambah Masyhudi.

Indonesia turut mengumumkan rancangan untuk menenggelamkan beberapa kapal penangkap ikan haram yang telah ditahan dan dirampas, iaitu 10 kapal di Natuna (wilayah Kepulauan Riau), tiga di Merauke (wilayah Papua), masing-masing satu di Nunukan (wilayah Kalimantan Utara), Bitung (wilayah Sulawesi Utara) dan Batam (wilayah Kepulauan Riau).