JAKARTA – Indonesia meletup dan menenggelamkan empat kapal nelayan Vietnam yang memasuki perairan negara itu secara haram di perairan Pulau Datok, Kalimantan Barat pada 25 Mac, demikian kenyataan seorang pegawai.
Pemangku Pengarah Pengendalian Pelanggaran Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Nughroho Aji berkata, keempat-empat kapal nelayan haram dari Vietnam itu memiliki badan kapal dengan nombor bilangan BV 5248 TS (90GT), BV 5688 TS (80GT), Suria Timur (105GT), dan KG 93255 TS (115 GT).
“Kapal-kapal itu ditahan oleh pasukan maritim kerana menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia,” kata Aji.
Ketua Pegawai Pendakwa Tinggi Kalimantan Barat, Masyhudi pula berkata tindakan menenggelamkan semua kapal berkenaan dilakukan sebagai langkah pencegahan dan pemberitahuan kepada pemilik kapal dan nelayan negara lain yang menceroboh perairan Indonesia untuk menangkap ikan secara haram.
“Penenggelaman semua kapal dilakukan berdasarkan keputusan yang telah ditetapkan oleh mahkamah menurut peruntukan undang-undang,” tambah Masyhudi.
Indonesia turut mengumumkan rancangan untuk menenggelamkan beberapa kapal penangkap ikan haram yang telah ditahan dan dirampas, iaitu 10 kapal di Natuna (wilayah Kepulauan Riau), tiga di Merauke (wilayah Papua), masing-masing satu di Nunukan (wilayah Kalimantan Utara), Bitung (wilayah Sulawesi Utara) dan Batam (wilayah Kepulauan Riau).