Seorang pemain bola sepak untuk pasukan Selangor II dalam M-League, Hein Htet Aung telah digantung satu perlawanan kerana menunjukkan simbol berbaur politik ketika perlawanan.
Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Jawatankuasa Disiplin FAM mendapati tindakan pemain dari Myanmar yang berusia 19 tahun itu sebagai ‘tidak bersemangat sukan’.
Dia difahamkan telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) dengan kelakuan itu semasa menentang PDRM FC pada 6 Mac lalu.
Sehubungan itu, Hein tidak dibenarkan untuk menyertai perlawanan seterusnya iaitu perlawanan menentang Perak FC II yang dijadualkan pada 2 April.
Dia juga turut diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat jika didapati mengulangi kesalahan yang sama.
Hein Htet Aung didapati menunjukkan hormat tiga jari iaitu simbol atau ‘three-fingered salute’ iaitu simbol yang digunakan masyarakat dalam menentang rejim autoritarian di Asia Tenggara.
Simbol tersebut lazimnya digunakan oleh puak penunjuk perasaan yang memprotes tampuk pemerintahan Myanmar yang diambil alih oleh tentera.
Keputusan penggantungan Hein menyaksikan banyak sokongan diterimanya daripada aktivis dan pergerakan belia rentas sempadan, Milk Tea Alliance.
Milk Tea Alliance Malaysia turut menzahirkan kekecewaan atas hukuman yang diterima Hein susulan insiden itu.
#Myanmar national Hein Htet Aung who plays for our Msian Selangor team has been issued a stern warning for showing 3 finger salute & suspended for 1 game. We are very disappointed with this outcome, we stand with you our brother#WhatsHappeningInMyanmar pic.twitter.com/FyGyjULky4
— Milk Tea Alliance Malaysia (@MYmilkteh) March 27, 2021
@MYmilkteh/Twitter
Dalam pada itu, wartawan Myanmar ada menulis bahawa Hein akur dengan keputusan dan hukuman yang diterimanya kerana melanggar kod etika bola sepak.
“Namun saya lakukannya dengan etika kemanusiaan”, ujar Hein.